14 April 2012

Cabaran Pelayaran Baru Titanic Dalam 3D


FILEM percintaan antara dua darjat yang menjadi tunjang utama Titanic telah meletakkannya dalam kelompok filem-filem klasik sepanjang zaman. [Gambar ihsan 20th CENTURY FOX]


Biarpun sudah 15 tahun berlalu, ramai yang terus memperkatakan tentang Titanic yang kini berada dalam kelompok filem-filem berstatus klasik seperti Gone With The Wind (1939) dan Casablanca (1942).

Cukup menyedari Titanic sebuah naskhah agung James Cameron dan pencinta sinema dunia, maka itu, dia dan sahabatnya yang juga penerbit filem tersebut, Jon Landau kembali melayarkan Titanic ke pawagam. Lebih mengagumkan apabila karya itu diterbitkan semula dalam versi tiga dimensi (3D) yang kini menjadi satu budaya popular dalam pembikinan filem di dunia.

Apabila memperkatakan tentang 3D, ia bukanlah sesuatu yang baru buat Cameron yang dilihat sebagai pelopor kepada filem-filem dalam versi itu. Bermula tahun 2001, Cameron sudah mempelopori penggunaan teknik 3D dalam filem dokumentarinya, Ghosts of the Abyss dan seterusnya mengaplikasikan teknik yang lebih canggih dalam filem Avatar.


Mencipta teknik yang dipanggil steroskopik 3D yang digunakan sepenuhnya dalam filemAvatar, Cameron telah mencetus satu revolusi dalam pembikinan filem. Yang menjadi persoalan sekarang, apakah Titanic yang ditimbulkan semula dalam bentuk 3D ini mampu menyaingi produk asal 15 tahun lalu?

Tetapi jika dilihat pada senario awal penghasilan Titanic oleh Cameron, tiada siapa yang mempercayai naskhah yang lahir dari idea pengarah kreatif ini mampu menjadi sebuah fenomena. Bayangkan ketika Cameron cuba menjual cerita tentang sebuah kapal persiaran mewah diberi nama Titanic sekitar tahun 1995, ramai yang meraguinya.

Namun mengenali Cameron, dia bukan seorang yang mudah berputus asa dan apabila hatinya sudah bulat, tiada siapa mampu menghalangnya. Cameron mempunyai visinya yang tersendiri dan sedar seandainya sebuah cerita yang fokus kepada pelayaran sebuah kapal semata-mata, ia kurang menarik perhatian.

Lalu pengarah yang cukup dikenali dengan filem-filem bercorak aksi dan sains fiksyen itu menyuntik elemen drama dan cinta antara dua darjat. Idea itu dilihat cukup menarik dan akhirnya, dua buah studio gergasi Hollywood, 20th Century Fox dan Paramount Pictures bergabung tenaga menghasilkan Titanic.

Belum pun memulakan penggambaran, Titanic sudah mencipta rekodnya sendiri apabila menjadi filem paling mahal pernah dihasilkan di dunia iaitu dengan kos sebanyak AS$200 juta pada tahun 1996. Seperti yang diramal ramai pihak sewaktu Titanic dalam pembikinan, pelbagai masalah timbul terutama kos pembikinannya yang terus meningkat dari hari ke hari.

Ia cukup merisaukan dua buah studio itu apabila mereka enggan lagi menanggung kos penerbitannya yang ketika itu memang dilihat sebagai sesuatu yang tidak masuk akal. Sehinggakan mereka mendesak Cameron memberhentikan penggambaran dan melupakan sahaja niat menzahirkan Titanic ke layar perak.

Setinggi manapun ego Cameron sebagai pengarah dan penerbit, akhirnya dia tunduk dengan kehendak 20th Century Fox dan Paramount Pictures. Tetapi bukan untuk menghentikan penggambaran sebaliknya pengarah itu sanggup mengorbankan bayaran gajinya demi menyelamatkan Titanic.

Penggambaran diteruskan selama lebih setahun sehinggalah ia ditayangkan kepada umum pada 21 Disember 1997 dan sekali lagi, ia mengundang kebimbangan kepada penerbit. Ia berikutan kutipan Titanic pada minggu pembukaannya dilihat kurang memberangsangkan apabila sekadar mencatatkan AS$28 juta sahaja.

Angka itu bukanlah satu rekod yang dianggap cemerlang untuk sebuah filem blockbuster seperti Titanic kerana jika silap percaturan, ia boleh mengundang kegagalan.



Fenomena

Namun kebimbangan itu bertukar menjadi satu kejayaan apabila kutipannya terus meningkat minggu demi minggu sehingga mampu menjadi juara carta filem pecah panggung selama 15 minggu berturut-turut di Amerika Syarikat dan Kanada.

Ditambah pula dengan 14 pencalonan dan seterusnya memenangi 11 trofi Oscar termasuk Filem dan Pengarah Terbaik untuk Cameron pada tahun 1998, Titanic terus berlayar lancar ke mercu kejayaan sehingga mampu menjadi satu fenomena luar biasa di seluruh dunia.

Malah ia juga terus bertahan di panggung wayang selama hampir setahun sebelum pihak penerbit memutuskan untuk menamatkan tayangannya pada 1 Oktober 1998.

Rekod baru juga telah tercipta apabila Titanic menjadi filem pertama di dunia untuk mencatatkan kutipan sebanyak AS$1.8 billion dan terus berada di takhta selama 12 tahun sebelum sebuah lagi filem arahan Cameron, Avatar mengambil alih kedudukan itu.

Lalu apabila Cameron menerbitkan semula Titanic dalam versi 3D, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan ramai pihak. Bahkan, ia adalah saat yang cukup dinanti-nantikan kerana ramai yang mahu melihat hasilnya.

Apakah ia mampu terus mengekalkan keaslian ceritanya sekali gus mengembalikan nostalgia penonton filem tersebut? Atau apakah Titanic sengaja 'dihidupkan' semula ke layar perak atas tujuan komersial semata-mata dan terus mengutip kutipan berganda-ganda daripadanya?

"Saya mempunyai justifikasi sendiri mengapa mahu menerbitkan semula Titanic. Pertamanya, filem ini merupakan 'bayi' saya dan telah membawa saya ke mercu kejayaan yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini. Seterusnya, ia adalah sebuah naskhah yang telah mengubah hidup ramai orang dan meletakkannya di satu tahap luar biasa sehingga mampu menjadi sebuah budaya popular di seluruh dunia.

"Bukan itu sahaja, saya mahu menjelmakan semula Titanic dalam bentuk 3D kerana percaya ia mampu mendekatkan filem ini lagi kepada penonton. Versi 3D ini bukan hanya untuk menunjukkan kemegahan Titanic itu sendiri tetapi setiap adegan dalam filem ini yang saya percaya mampu bergerak dengan penuh dramatik terutama pada semua babak antara Jack Dawson dan Rose DeWitt Bukater," kata pengarah filemTerminator 2: Judgement Day dan True Lies itu penuh optimis.

Kata Cameron lagi, perbincangan untuk Titanic 3D telah dilakukan sejak beberapa tahun lalu dan dia mahukan versi terbaru itu ditayangkan tahun ini sempena ulang tahun ke-15 filem tersebut selain sambutan penubuhan Paramount Pictures yang ke-100.

Bukan itu sahaja, kemunculan Titanic 3D juga adalah mengenang kembali pelayaran sulung dan terakhir kapal persiaran mewah itu 100 tahun lalu pada 10 April 1912. Bercerita lanjut tentang Titanic 3D, jelas Cameron, ia bukanlah satu tugas yang mudah untuk dilakukan terutama sekali untuk menukarkan versi asalnya kepada 3D.

Kemasyhuran Leonardo Dan Kate


TITANIC telah memasyhurkan nama Leonardo DiCaprio dan Kate Winslet ke seluruh dunia. [Gambar ihsan 20th CENTURY FOX]

KEBERANIAN James Cameron bukan hanya terletak kepada penghasilan filem Titanicsemata-mata tetapi juga percaturannya memilih bintang utama filem itu.

Sememangnya sejak awal Cameron telah membayangkan bahawa watak Jack Dawson itu hanya layak untuk Leonardo DiCaprio. Walaupun 20the Century Fox dan Paramount Pictures mahukan Matthew McConaughey memainkan watak tersebut namun Cameron menolak mentah-mentah.

Dikatakan juga pelakon filem Home Alone, Macaulay Culkin adalah antara yang menjadi pilihan untuk membawakan watak tersebut. Tetapi pengarah itu berasa yakin dengan kemampuan DiCaprio untuk melakonkan watak tersebut biarpun ramai yang meraguinya.

Begitu juga dengan Kate Winslet yang pada ketika itu bukanlah seorang aktres popular dan berada dalam kedudukan Gred A. Tetapi Titanic telah merobah hidup mereka sekelip mata sekali gus memasyhurkan nama dua teraju utama filem itu dan meletakkan mereka di puncak kegemilangan.

Kerana filem itu jugalah, nama DiCaprio dan Winslet menjadi sebutan peminat selain menarik perhatian penerbit serta pengarah di Hollywood untuk bekerjasama dengan mereka.

"Sewaktu saya mula-mula mencadangkan nama mereka berdua, saya ditentang dengan alasan Leonardo dan Kate tidak mempunyai nilai bintang yang tinggi untuk menarik audiens ke pawagam. Saya juga harus akui kedua-dua mereka tidak popular dan bintang mereka tidak secerah seperti yang dapat kita lihat hari ini.

"Namun saya percaya kepada bakat lakonan mereka dan ternyata ia menuai hasil yang sangat lumayan serta luar biasa. Biar apa pun diperkatakan tentang saya dan mereka tetapi saya bangga kerana Titanic telah menjulang nama mereka dan membuka mata ramai pihak terhadap diri mereka," kata Cameron.

Sementara itu, bagi Winslet pula, membintangi filem Titanic merupakan peluang yang telah membuka jalan untuknya untuk terus dikenali. Sebagai bintang baru ketika itu, dia juga cukup sedar dan perlu berhadapan dengan kritikan peminat dan pengkritik filem.

Ternyata, lakonannya sebagai Rose DeWitt Bukater diterima baik dan terus diletakkan dalam kelompok watak-watak ikonik sinema dunia.

"Apabila dikenang kembali, hanya Tuhan yang tahu bagaimana situasinya sewaktu menjalani penggambaran Titanic. Saya hampir putus asa dan tidak tahan dengan kehendak melampau James yang sentiasa memberikan tekanan kepada kami.

"Bukan sekali dua, sebaliknya untuk setiap babak kami melakonkannya sehingga lima kali kerana James tidak mahu cepat berpuas hati dan ia memberinya pilihan untuk mencantikkan lagi adegan itu. Namakan apa sahaja, semuanya kami lalui sehingga sampai satu ketika saya dan Leonardo pernah menangis kerana sudah tidak tahan dan kepenatan.

"Semua itu adalah kenangan yang tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila dan saya bangga kerana menjadi sebahagian daripada sejarah serta nostalgia itu," ujar Kate dalam satu wawancara bersama ABC News sewaktu tayangan perdana Titanic 3D di Royal Albert Hall, London.

Sementara itu, bagi meraikan tayangan Titanic 3D, syarikat rakaman antarabangsa, Sony Music turut menerbitkan semula album runut bunyi edisi ulang tahun (anniversary edition) yang menampilkan cakera padat berkembar.

Cakera pertama merupakan album runut bunyi asal yang dicipta oleh pemenang Oscar, James Horner dan memuatkan lagu tema popularnya, My Heart Will Go On nyanyian Celine Dion. Sementara cakera kedua pula akan memuatkan beberapa buah lagu instrumental yang belum pernah didengar sebelum yang dicipta dan dimainkan oleh I Salonisti.

Album Titanic merupakan salah sebuah album runut bunyi terlaris di dunia dengan penjualan melebihi 22 juta salinan di seluruh dunia sejak ia dipasarkan pada 1998.

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
Sumber: Utusan Artikel 1 dan Utusan Artikel 2



My Heart Will Go On (lyrics)
Songwriters: Horner, James; Jennings, Will;
Singer: Celine Dion;

Every night in my dreams
I see you, I feel you
That is how I know you go on

Far across the distance
And spaces between us
You have come to show you go on

Near, far, wherever you are
I believe that the heart does go on
Once more you open the door
And you're here in my heart
And my heart will go on and on

Love can touch us one time
And last for a lifetime
And never let go till we're gone

Love was when I loved you
One true time I hold to
In my life we'll always go on

Near, far, wherever you are
I believe that the heart does go on
Once more you open the door
And you're here in my heart
And my heart will go on and on

You're here, there's nothing I fear
And I know that my heart will go on
We'll stay forever this way
You are safe in my heart
And my heart will go on and on

1 comments:

Fatin Shahira berkata...

nak tengok titanic 3D :)