05 April 2012

LHDN: Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) 2012

Sudahkah anda melaksanakan e-Filing bagi pendapatan anda di tahun 2011?
Sila klik e-Filing untuk melaksanakannya.


LHDN kembalikan borang pembayar cukai tidak lengkap

Mulai tahun 2012 ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memulangkan semua Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) pembayar cukai yang tidak lengkap. Langkah ini diambil memandangkan kelonggaran yang diberikan selama ini kepada pembayar cukai yang menghantar BNCP tidak lengkap diambil mudah oleh sebilangan daripada mereka.

LHDN dalam satu kenyataannya berkata, selepas Sistem Taksir Sendiri (STS) diperkenalkan sejak 11 tahun (syarikat) dan tujuh tahun (individu), masih banyak borang tidak lengkap diterima.

Kenyataan itu menjelaskan, pembayar cukai hendaklah mengembalikan semula BNCP yang telah lengkap ke Jabatan Pemprosesan Maklumat, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia di Pandan Indah, Kuala Lumpur sebelum 30 April 2012 bagi Borang BE dan 30 Jun 2012 bagi Borang B. Langkah ini bagi mengelakkan penalti lewat hantar BCNP dikenakan ke atas mereka.


Justeru untuk mengelakkan masalah BNCP tidak lengkap ini, LHDNM menyediakan kemudahan e-Filing serta m-Filing (penghantaran BNCP melalui peranti mudah alih) dan pembayar cukai disarankan untuk menggunakannya kerana ia mampu memastikan hanya BNCP yang lengkap sahaja berjaya dihantar.

Kegagalan mengemukakan borang BNCP ini pada atau sebelum 31 Mac ini adalah menjadi satu kesalahan di bawah perenggan 120(1)(b) Akta Cukai Pendapatan 1967 dan boleh dikenakan denda minimum RM200.00 dan maksimum RM2000.00 atau enam (6) bulan penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.



Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohd Shukor Mahfar, berkata LHDN menyasarkan 2.8 juta pembayar cukai yang bakal menjadi peserta e-filing tahun 2012 ini, daripada 2.5 juta yang menggunakan sistem e-filing tahun 2011 lepas.

"Kami juga akan mengemukakan cadangan agar e-filing dijadikan mandatori di negara ini," katanya.

Mohd Shukor berkata penambahbaikan terbaru bagi musim pemfailan 2012 ialah pengenalan pemfailan mudah alih atau m-filing bagi pembayar cukai individu, yang merupakan pengubahsuaian kepada e-filing, yang disasarkan kepada pembayar cukai Generasi X dan Generasi Y yang memiliki telefon pintar.

Beliau berkata perkembangan terbaru menyatakan pembayar cukai individu yang memilih untuk mengemukakan borang mereka melalui e-filing kini diberi masa hingga 15 Mei 2012 untuk berbuat demikian. Sebelum ini, tarikh tutup ditetapkan adalah pada 30 April 2012.

Sumber: Utusan (29/03/2012) BERNAMA (04/04/2012)

3 comments:

Unknown berkata...

tandatangan digital pun dah ada skrg.

Norgadis Labuan berkata...

Dah selesai, saya yang tak kerja ni pun dapat surat, pelik benar...

ch000tz berkata...

sudah siapp lama sudah :D