31 Mei 2012

Misteri Kejadian Histeria



BARU-BARU ini, seperti yang dilaporkan dalam akhbar Kosmo!, sekumpulan pelajar wanita di sebuah sekolah menengah di Kedah telah diserang histeria. Mangsa melaporkan bahawa mereka melihat seorang wanita dengan wajah cantik di bahagian kanan dan hodoh di bahagian kiri, dengan sekuntum mawar terselit di telinga kanan.

Seringkali kita tertanya-tanya, apakah sebenarnya histeria dan mengapa pula hanya terjadi kepada kaum wanita? Mengapa pula histeria terjadi kepada sekumpulan orang dan berjangkit daripada satu individu kepada individu lain.

Hakikat yang perlu diketahui, histeria juga boleh berlaku kepada kaum lelaki. Kajian-kajian awal mengenai histeria sebenarnya melibatkan kaum lelaki, khususnya tentera yang terlibat dengan Perang Dunia Pertama. Kebanyakan tentera ini mengalami trauma dalam peperangan. Histeria juga tidak semestinya berlaku kepada banyak orang. Ia juga boleh berlaku kepada individu.

30 Mei 2012

Rawatan Ibu Kanggaru Untuk Bayi Pramatang


CARA kanggaru membesarkan anak di dalam kantung perutnya diadaptasi dalam rawatan ibu kanggaru untuk bayi pramatang.

KELAHIRAN bayi pramatang dengan kurang berat badan memang cukup merisaukan lebih-lebih lagi apabila doktor mengesahkan si anak memiliki masalah saluran jantung sempit.

Bagi seorang ibu muda, Noor Azlina Jaafar, 34, hanya Allah yang mengetahui rawan di hati mereka.

“Saya lahirkan Nur Iman Damia pada 8 April 2012 lalu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) pada minggu ke-31 kehamilan. Tarikh itu jauh lebih awal daripada yang dijangkakan doktor iaitu antara minggu ke-39 dan 40. Ketika dilahirkan, berat Nur Iman Damia cuma 1.6 kilogram,” kata Noor Azlina yang melahirkan anak keduanya itu secara normal.

Beliau memberitahu, pakar perubatan pediatrik telah mengesyorkan supaya bayi mereka menjalani rawatan menggunakan teknologi inkubator yang berupaya memberi kehangatan dan mengawasi bayi pramatang sehingga mencapai tahap berat badan normal dan cukup bulan.

29 Mei 2012

Urus Diri Selepas Bersalin


Usah abai jagaan kesihatan selepas bersalin, elak komplikasi lain

PENGALAMAN memiliki cahaya mata amat menyeronokkan. Yang pasti perasaan teruja menyelubungi diri ibu meskipun perlu menjaga, menyusu dan menguruskan bayi, selain memastikan cepat sembuh sebaik saja melahirkan.

Dalam tempoh berpantang, khususnya beberapa hari selepas bersalin, wanita masih bergantung kepada orang lain untuk mengurus diri dan bayinya, selain ingin memulihkan kesihatan serta menyesuaikan diri dengan suasana baru.

Lazimnya, jururawat atau bidan, individu yang bertanggungjawab mengurus ibu di hospital sebaik selamat bersalin. Mereka juga berpengalaman dan terlatih untuk mengendalikan ibu melahirkan sebelum keluar dari hospital.

28 Mei 2012

Jangan Ambil Mudah Penjagaan Mata



BAGAIMANA caranya seseorang itu melindungi matanya dan memastikannya dalam keadaan sihat?

"Dapatkan nasihat daripada optometris bila timbul keperluan untuk penjagaan mata," nasihat Khairunisah Muda, seorang optometris dari syarikat Menara Optometry.

Menurut beliau, umum perlu prihatin tentang dua situasi yang boleh melibatkan mata iaitu patologi dan fisiologi.

Optometris ialah seorang yang dilatih secara profesional dan mempunyai lesen bagi memeriksa mata, mengesan masalah, memberi diagnosis tentang mata dan mengesyorkan rawatan bagi mata yang mempunyai masalah.

Majlis Perkahwinan Diteruskan Di Saat Puting Beliung


Latar Gambar Yang Menarik...
Gambar perkahwinan Caleb dan Candra Pence pada 19 Mei 2012 yang berlatarkan puting beliung di Daerah Harper, Kansas.

Sepasang kekasih meneruskan majlis perkahwinan mereka selepas ribut puting beliung muncul tidak jauh dari tempat majlis berkenaan berlangsung di Daerah Harper , Kansas, Amerika Syarikat.


Klip video perkahwinan Caleb dan Candra Pence itu ditonton lebih 20,000 kali di YouTube.

Video dirakam oleh bapa saudara pengantin lelaki, ia menunjukkan pasangan berkenaan dan tetamu mereka tidak mempedulikan kemunculan puting beliung sekitar 16 kilometer di belakang mereka. Gambar perkahwinan mereka menunjukkan puting beliung kedua yang lebih kecil muncul di lokasi sama sejurus selepas mereka berkahwin.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS menyatakan, puting beliung itu mencapai kelajuan 222 kilometer sejam dengan beberapa ladang serta kincir angin musnah dalam bencana tersebut.

Sumber: Kosmo

27 Mei 2012

Penangan Cinta Online


JIKA anda tidak bijak mengendalikan aplikasi maya seperti Facebook, ia boleh mengundang kemusnahan pada kehidupan.- Gambar hiasan

DAHULU, orang menulis surat sambil menyapukan minyak wangi, lalu diposkan kepada kekasihnya yang jauh yang mungkin tidak dikenalinya. Berbulan-bulan ditunggu, adakalanya dijawab, adakalanya tidak. Bernasib baik kalau surat itu dijawab.

Kini, posmen tidak lagi perlu menjadi orang tengah menghantarkan surat cinta. Dunia hari ini, semua jenis aplikasi online seperti Facebook, Twitter, MySpace dan e-mel menjadi medium baharu manusia menjalinkan hubungan cinta.

Medium baharu ini juga tidak mengenal usia dan status, sama ada tua, muda, bujang, berkahwin, duda atau janda. Kini. kita sering mendengar banyak rumah tangga yang musnah kerana cinta online. Ada juga yang mula menjalin semula cinta dengan kekasih lama, walaupun pada masa yang sama sudahpun berumah tangga.

Fenomena Istiwa' Memudahkan Semak Arah Kiblat

Semak arah kiblat petang Ahad ini, 27 Mei 2012 ...



Umat Islam di seluruh negara berpeluang menyemak arah kiblat menggunakan teknik bayang matahari pada pukul 5.18 petang, Ahad 27 Mei 2012 ini.

Bahagian Falak, Pejabat Mufti Negeri Sarawak berkata, peluang keemasan itu tidak wajar dilepaskan kerana fenomena istiwa' matahari yang menyebabkan bayang semua objek menjadi tegak 90 darjah di seluruh dunia hanya berlaku dua kali setahun. Pada tahun ini ia berlaku pada 27 Mei dan 15 Julai 2012.

Tambahan pula, katanya, penggunaan teknik bayang matahari adalah mudah dan paling tepat untuk menentukan arah kiblat kerana pada masa itu matahari berada tepat di langit bersamaan dengan latitud Kaabah.

26 Mei 2012

Tiada Jalan Pintas Untuk Kurus



"Anda hendak kelihatan langsing dalam tempoh singkat? Ingin kurus tanpa bersenam dan berlapar? Turunkan berat badan tanpa adanya kesan sampingan? Usah risau. Jenama xxx, produk pelangsingan no.1, dijamin selamat dan GERENTI kurus!".

Sangat menarik. Tidak cukup dengan itu, strategi pemujukan menerusi kaedah gambar turut digunakan. Dipaparkan gambar sebelum dan selepas menggunakan produk pelangsingan badan jenama xxx, di mana hasilnya sangat mengagumkan!

Bayangkan, daripada 90kg turun sehingga 54kg dalam masa singkat sudah tentu mampu menarik perhatian individu bersaiz besar untuk mencubanya.

Biarpun begitu, hampir kebanyakan produk pelangsingan badan menggunakan 'teknik serupa' dalam menambat hati pengguna. Justeru, timbul kekeliruan di kalangan pengguna akan manakah produk pelangsingan yang betul-betul berkesan.

25 Mei 2012

Doa Anak Lebih Bererti Untuk Hargai Jasa Ibu


IBU mengharapkan anak mendoakan kesejahteraannya setiap masa. - Gambar hiasan

SETIAP kali berhajat menggembirakan ibu, ada kalanya kita merancang untuk pulang bertemu dan menghabiskan masa, ada juga yang suka menjamu ibu dengan makanan lazat hasil tangan sendiri, tidak kurang membawa ibu melancong ke merata dunia. Apa pun caranya, setiap ibu pasti gembira apabila dihargai anak yang mengenang jasa.

Namun, semua itu tiada bermakna jika anak tidak mendoakan supaya kehidupan ibu lebih baik di akhirat kelak. Doa begitu sinonim dengan hajat untuk mendapatkan sesuatu yang diingini. Doa juga satu permohonan kepada Allah SWT supaya diberi perlindungan daripada malapetaka dan bencana.

WWW 1 Terima Bidaan Tertinggi RM520,000



Nombor pendaftaran WWW 1 mencipta rekod baru apabila bidaan tertinggi yang diterima bagi nombor siri tersebut bernilai RM520,000, mengatasi nombor pendaftaran MCA 1 yang dijual dengan harga RM300,100.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, siri WWW juga mencipta rekod tersendiri, iaitu sejumlah 13 bidaan yang telah berjaya, adalah bernilai melebihi RM100,000 dan tiga daripadanya bernilai melebihi RM300,000.

Katanya, bilangan pembida yang terbanyak adalah untuk nombor WWW 333 iaitu seramai 84 orang.

24 Mei 2012

Nilai Refleksi Cermin


CERMIN bermotif flora seperti ini bukan sahaja menawan dari aspek bentuk malah membantu memantulkan cahaya.

Lazimnya, sesebuah ruang yang kecil boleh diberikan efek pembesaran dengan hanya menggantung sebingkai cermin. Muslihat itu kini menjadi trend dan tradisi dalam gaya hiasan kediaman.

Sebenarnya, cermin mempunyai pelbagai sentuhan rekaan untuk diterapkan dalam sesebuah ruang, terutamanya rumah. Selain refleks ilusi ruang, ia turut memantul semula imej sesebuah objek dengan bantuan cahaya dari arah bertentangan.

Dengan menganalisis secara lebih teliti tentang kedudukan cermin di dalam kediaman, ia dapat mengubah seluruh pandangan rumah atau barangan dalam rumah. Berikut adalah beberapa tip yang boleh membantu anda menghias penampilan rumah:

Algeria Bina masjid Ketiga Terbesar Di Dunia


Lakaran artis masjid ketiga terbesar di dunia yang akan dibina di Algiers, Algeria bernilai RM4 bilion. - AGENSI

Kerajaan Algeria akan membina sebuah masjid besar di ibu negara Algeria ini, berharga satu bilion euro (RM4 bilion), yang bakal menjadi masjid ketiga terbesar di dunia. Masjid yang mampu memuatkan 120,000 jemaah itu dianggap ketiga terbesar, selepas Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabi di Madinah.

Projek yang dijangka siap pada 2015 itu dibina oleh Syarikat Kejuruteraan Pembinaan China. Projek itu bakal menyediakan peluang pekerjaan kepada 17,000 orang, kebanyakan mereka rakyat tempatan.

Menteri Hal Ehwal Agama Algeria, Bouabdallah Ghlamallah dan Duta China di negara ini, Liu Yuhe hadir bagi menyempurnakan upacara perletakan batu asas pembinaan projek tersebut, di sini pada 21/05/2012.

23 Mei 2012

UiTM Tawar Tempat Untuk Pelajar Gagal Ke IPT



Pemohon yang gagal melanjutkan pelajaran ke IPTA tidak perlu bimbang kerana mereka berpeluang belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menawarkan 10,000 tempat untuk program khasnya.

Di bawah program itu, pelajar akan mengikuti pengajian peringkat pradiploma, praperdagangan dan prasains selama 16 minggu di kampus cawangan UiTM seluruh negara.

Naib Canselornya, Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata kerajaan menyedari persaingan hebat untuk memasuki IPTA, manakala mereka dari kawasan luar bandar pula tercicir bukan disebabkan tidak pandai tetapi kekurangan kemudahan dan persekitaran kehidupan keluarga.

Gerhana Matahari 2012 Di Rantau Pasifik


KOMBINASI gambar yang menunjukkan pembentukan gerhana matahari di Tokyo, Jepun 21 Mei 2012.

Orang ramai berkumpul di China, Jepun dan beberapa tempat lain di timur Asia pada 21 Mei 2012 untuk melihat fenomena gerhana matahari cincin yang jarang berlaku. Penduduk di sini dapat menyaksikan gerhana berkenaan buat seketika ekoran cuaca mendung.

Menjelang subuh, sekitar 3,000 orang melihat ke langit di sepanjang kawasan pelabuhan Tsim Sha Tsui di sini tetapi mereka cuma dapat melihat keajaiban alam itu selama 30 saat apabila awan mendung beredar sejurus selepas matahari terbit.

22 Mei 2012

Bebaskan Diri Anda Daripada belitan Skrin

Berapa jam sehari anda peruntukkan masa anda untuk mengadap segala macam skrin (skrin komputer dan skrin TV)?


Kawal masa terluang anda. Kurangkan peruntukan masa anda di depan skrin. Lebihkan masa yang berharga itu bersama keluarga.

Cara hidup semakin berubah, tidak menolak kemungkinan ia daripada berlaku. Tetapi usah jadikan ia alasan untuk kita berterusan mengorbankan masa berkualiti bersama ahli keluarga semata-mata ralit depan skrin.

Kalau tiada urusan penting, tutup dan tumpukan masa kepada keluarga dan anak-anak dengan melakukan aktiviti berfaedah. Lantaran tabiat itu menyebabkan masalah suka menyendiri dan gaya hidup yang tidak banyak melakukan pergerakan fizikal.

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) melancarkan kempen Minggu Tanpa Skrin yang diadakan di seluruh negara, baru-baru ini. Program itu dianggap penting lantaran penggunaan peralatan termasuk komputer riba, komputer, televisyen, telefon bimbit, gajet tablet serta MP3 yang ibarat belitan yang banyak mengorbankan masa bersama-sama keluarga.

21 Mei 2012

Penemuan Harta Karun Pulau Bidong


Harta karun Pulau Bidong

Sepasukan penyelam tempatan menemui ‘harta karun’ - artifak barangan tembikar dipercayai berusia lebih 100 tahun (dipercayai daripada abad ke-17 hingga ke-19) termasuk bahan tembikar seperti tempayan, takar dan pasu, di perairan Pulau Bidong, Terengganu. Artifak itu dikesan sejak pertengahan Mac 2012 lalu dan sudah dimaklumkan kepada Muzium Negeri Terengganu yang kini sedang mengumpul maklumat mengenainya.

Wanita Jepun 73 Tahun Takluk Puncak Everest


GAMBAR fail 9 Mei 2002 menunjukkan Tamae Watanabe (kanan) bersama jurugambar Noriyuki Muraguchi di kaki Gunung Everest di Nepal.

Seorang nenek yang menjadi wanita tertua di dunia sampai ke Gunung Everest sedekad lalu, memecahkan rekodnya sendiri hari ini dengan kembali menawan puncak gunung tersebut pada usianya 73 tahun.

Jurucakap Persatuan Mendaki Gunung China Tibet, Ang Tshering berkata, Tamae Watanabe bersama empat ahli pasukannya mencapai puncak Everest dengan ketinggian 8,850 itu dengan pendakian dari sebelah utara gunung di Tibet dan tiba awal pagi 19 Mei 2012. Dia diiringi empat ahli pasukan termasuk pendaki gunung dan jurugambar, Noriyuki Muraguchi.

Watanabe melakar sejarah pada 16 Mei 2002 apabila dia menawan puncak Everest setinggi 8,848 meter pada usia 65 tahun sekali gus memecahkan rekod yang dipegang pendaki Poland, Anna Czerwinska.

20 Mei 2012

Kelantan Juara Baru Piala FA Malaysia 2012


KETUA pasukan, Mohd. Badhri Mohd. Radzi, pemain dan pegawai pasukan Kelantan menjulang Piala FA.

Kelantan Akhiri Penantian 22 Tahun.

Pasukan Bola Sepak Kelantan mengukir sejarah apabila berjaya menamatkan penantian selama 22 tahun untuk menjulang Piala FA buat kali pertama, setelah menewaskan pasukan berstatus kelab, Sime Darby 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu, 19 Mei 2012.

Beraksi di hadapan kira-kira 85,000 penonton (termasuk kira-kira 67,000 penyokong setia The Red Warriors), pasukan yang terkenal dengan gelaran 'The Red Warriors'  nyata pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan apabila berjaya menghasilkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-58. Sepakan penalti itu disempurnakan dengan baik oleh penyerang import dari Lebanon, Mohammed Ghaddar. [BERNAMA]

19 Mei 2012

Keputusan Piala FA Malaysia 2012

Tahniah Pasukan Bola Sepak Kelantan kerana buat julung kalinya berjaya menjadi juara Piala FA Malaysia seterusnya menjadi pasukan bola sepak pertama menjulang Piala FA Malaysia yang baru.

Piala FA baru seberat 4.5 kg itu dihasilkan di Negeri Kelantan dengan nilai RM80,000 untuk menggantikan Piala FA lama yang mempunyai berat 13 kg..



KEPUTUSAN PERLAWANAN AKHIR:

Perlawanan: Kelantan Vs Sime Darby FC (1 - 0)
Tarikh:         19 Mei 2012
Venue:         Stadium Nasional Bukit Jalil
Harga Tiket: RM40 (Dewasa - bagi semua tempat duduk),
                    RM5 (Kanak-Kanak bawah 12 tahun)
Penjaring:     Muhammad Ghaddar (Sepakan penalti pada minit ke-58)

Diet Sihat Untuk Lelaki

DALAM memenuhi tuntutan selera harian, kita perlu membuat pilihan tepat dalam pengambilan makanan supaya memenuhi keperluan nutrisi yang diperlukan, seimbang dan tidak memudaratkan. Walaupun terdapat beberapa makanan yang disyorkan perlu diambil setiap hari, keperluan pemakanan adalah berbeza mengikut jantina yang sekali gus membawa kepada kepelbagaian makanan.

Di sini disenaraikan makanan yang perlu diambil oleh lelaki.



1. Tomato:

Buah yang popular ini memberi pelbagai manfaat kepada lelaki kerana bahan likopena (sejenis fitokimia) berperanan merendahkan kolesterol, mengurangkan risiko kanser kolorektum dan penyakit jantung.

Kajian menunjukkan lelaki yang kerap memakan makanan yang tinggi kandungan likopena berisiko rendah mendapat kanser prostat.

18 Mei 2012

Belajar Daripada Musibah



Selaku umat Islam yang wajib meyakini kasih sayang Allah sentiasa melindungi kehidupan kita. Kalimah "Bismillahir Rahman nir Rahim" – dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang – sentiasa menjadi sebutan kita.

Namun ketika musibah seperti kematian, kesakitan, kemiskinan, kegagalan dan kekalahan melanda diri, mungkin hati kecil kita tertanya-tanya, mengapa? Mengapa Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang itu mentakdirkan begitu?

Jangan begitu. Dalam apa jua keadaan pun kita wajib yakin bahawa takdir Allah pasti mengandungi banyak hikmah dan kebaikan. Istilah buruk, hanya ada dalam rumus pemikiran manusia. Manakala di sisi Allah, segalanya punya maksud baik walaupun kekadang pada zahirnya tidak begitu. Kelihatannya sangat pahit, tetapi ia manis dan indah. Hanya apabila hikmahnya dapat dicungkil, insya-Allah.

17 Mei 2012

Keunggulan Cheng Ho



LAKSAMANA Cheng Ho yang begitu sinonim dengan Melaka bukan sahaja hebat dalam dunia pelayaran, namun mempunyai kepakaran tinggi dalam menjayakan hubungan diplomatik. Di kepulauan Nusantara hingga ke Afrika, keperibadian Cheng Ho dikenali kerana banyak membantu kawasan-kawasan yang dilawatinya.

Cheng Ho merupakan seorang Islam yang taat dengan ajaran agama belayar bersama-sama ribuan anak kapal di bawah jagaannya yang berlainan agama dan bangsa dalam tempoh 1405 hingga 1433. Ciri-ciri kepimpinan ini menjadikan beliau sebagai seorang pelayar yang hebat mengatasi pelayar-pelayar tersohor Barat.

16 Mei 2012

Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara

SELAMAT HARI GURU KEPADA SEMUA WARGA PENDIDIK [16 MEI 2012]
TEMA HARI GURU 2012: "GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA"



KECEMERLANGAN hidup seseorang di dunia ini tidak dapat lari daripada sumbangan dan pengorbanan ibu bapa, keluarga, rakan dan guru. Sumbangan dan pengorbanan itu tidak mampu dibalas, lebih-lebih lagi sumbangan guru membimbing ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat.

Tarikh 16 Mei setiap tahun amat bermakna bagi warga guru yang pasti diingati, dihargai dan diraikan. Tidak kiralah siapapun yang pernah mengajar kita, banyak atau sedikit ilmu dicurahkan, bangsa atau agamanya, mereka tetap guru kita.

Merekalah yang mengajar membaca, menulis dan mengira supaya kita menjadi insan berilmu. Oleh itu, adalah wajar kita mengiktiraf sumbangan dan jasa guru terhadap pembangunan masyarakat serta negara.

Berdasarkan sumbangan guru, maka tema sambutan Hari Guru tahun ini ialah ‘Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara’.

15 Mei 2012

Baju Zirah Dunia Islam


BAJU zirah berhias dari Mindanao, Filipina (Abad ke 19 Masihi / abad ke 13 Hijrah)

BAJU zirah juga dikenali sebagai baju besi. Pakaian ini digunakan oleh para kesatria atau tentera di seluruh dunia untuk melindungi badan daripada kecederaan senjata tajam seperti pedang, anak panah dan tombak sewaktu pertempuran.

Sebelum baju besi digunakan dengan meluas, kebanyakan tentera menggunakan kulit haiwan sebagai pakaian untuk melindungi diri mereka dalam peperangan. Seperti di China, tentera berjalan kaki khususnya menggunakan baju zirah yang diperbuat daripada kepingan kulit tebal yang dijahit menjadi baju.

Baju yang menggunakan cengkerang kura-kura dan besi digunakan oleh golongan bangsawan yang terdiri daripada para panglima dan keluarga diraja.

Baju besi yang pertama dipercayai dicipta oleh orang Celt pada tahun 300 Sebelum Masihi. Walaupun baju besi mula dipakai di Barat, ia juga telah digunakan oleh tentera Islam seperti di Iran, India, Turki dan Asia Tenggara.

14 Mei 2012

Bulan Hampiri Bumi, Lebih Besar Dan Bercahaya



PADA 6 Mei lalu, penduduk Bumi sekali lagi berpeluang menyaksikan keindahan bulan penuh bersaiz besar. Kejadian yang diberi julukan supermoon oleh peramal bintang, Richard Nolle pada tahun 1979 itu ibarat acara tahunan yang dinanti-nanti.

Fenomena global itu banyak dirakamkan oleh jurugambar profesional terutama di mercu tanda ternama. Imej bulan besar di sebalik Patung Jesus di Rio de Janeiro, Brazil dan bersebelahan Kuil Poseidon, berhampiran Athens, Greece menunjukkan betapa indahnya kejadian alam itu.

Bagaimanapun, sebahagian besar warga Britain terlepas detik itu gara-gara awan tebal yang meliputi langit negara tersebut. Hanya penduduk di kawasan barat laut dan barat daya England dan Wales dapat menyaksikan bulan paling besar sepanjang tahun itu.

13 Mei 2012

Akta Tangani Salah Laku Integriti



Penubuhan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (Suruhanjaya Integriti) sejak setahun yang lalu ialah untuk membantu meningkatkan kesedaran integriti bukan sahaja dalam kalangan agensi penguatkuasaan kerajaan tetapi juga orang awam.

Kewujudan suruhanjaya itu juga dijangka meningkatkan pencapaian masing-masing agensi penguatkuasaan selain menegaskan kepada pegawai-pegawai yang melakukan kesalahan bahawa jika disabitkan, hukuman yang bakal diterima adalah berat.

Suruhanjaya Pastikan Agensi Penguatkuasa Berintegriti



Orang ramai kini mempunyai cara yang lebih berkesan dan mudah untuk membuat aduan mengenai seseorang pegawai penguatkuasa atau sesuatu agensi penguatkuasaan kerajaan.

Aduan berkaitan boleh dilakukan menerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (Suruhanjaya Integriti) yang ditubuhkan pada 1 April 2011 selaras dengan penguatkuasaan Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.

Suruhanjaya ini ialah sebuah badan bebas yang mempunyai tanggungjawab untuk memantau dan menjalankan siasatan terhadap aduan orang ramai tentang mana-mana 19 agensi penguatkuasaan negara.

SELAMAT HARI IBU

SELAMAT HARI IBU [13 MEI 2012]
SEBAIK-BAIK SAMBUTAN, SETIAP HARI ADALAH HARI IBU....



PENGHORMATAN yang tinggi kepada ibu menjadikan setiap tahun satu hari dikhususkan untuk meraikan dan menghargai golongan tersebut. Masyarakat di 46 buah negara termasuk Malaysia memilih hari Ahad kedua dalam bulan Mei sebagai Hari Ibu.

Antara negara lain yang turut memilih hari Ahad kedua bulan Mei sebagai Hari Ibu ialah Amerika Syarikat (AS), Australia, Kanada dan Singapura.

Hari Ibu yang pertama disambut di AS pada 1914. Tradisi menyambut Hari Ibu kemudiannya tersebar di beberapa negara. Bagaimanapun, budaya sambutan Hari Ibu di setiap negara adalah berbeza berdasarkan amalan sesebuah masyarakat.

12 Mei 2012

Jururawat Bertugas Malam Dilanda Fenomena 'Kurang Tidur'?


12 Mei diisytiharkan Hari Jururawat Antarabangsa. Apakah benar Jururawat Bertugas Malam Dilanda Fenomena 'Kurang Tidur'?

Mary Lim bertugas di sebuah hospital di sini dan pada setiap dua minggu, beliau bertugas syif malam untuk selama dua hari.

"Berbeza daripada anggapan biasa, kerja malam memang meletihkan. Saya tidak cukup tidur dan adakalanya pada malam-malam lain bila saya tidak bertugas, saya turut mengalami masalah tidur," katanya.

Menurut pakar penjagaan kesihatan, masalah gangguan tidur berpunca daripada situasi tidak cukup tidur dan boleh wujud dalam keadaan kronik atau akut. Gangguan tidur kronik akan menyebabkan orang yang mengalaminya menjadi letih dan kelesuan.

Menurut Lim, tugas jururawat yang bekerja malam adalah sama dengan tugas dan tanggungjawab jururawat yang bekerja pada syif lain (pagi atau petang).

Ramai Jururawat Pakar Diperlukan Di Sektor Kesihatan


12 Mei adalah Hari Jururawat Antarabangsa. Apakah tedapat perbezaan Jururawat Pakar (CNS) dengan jururawat terlatih?

Siew Bee (bukan nama sebenar) mempunyai anak lelaki berumur lima tahun. Pada umur dua tahun, anak itu dimasukkan ke hospital kerana jangkitan kuman di paru-parunya.

Setelah agak lama di hospital dan beransur pulih, doktor membenarkan kanak-kanak itu pulang tetapi dia memerlukan mesin 'pemekatan oksigen' atau oxygen concentrator selain tangki oksigen untuk kegunaan di rumah.

Siew Bee agak bernasib baik kerana hospital itu mempunyai Jururawat Pakar Klinikal (atau dikenali sebagai CNS) bagi penyakit respiratori (pernafasan) yang membantu beliau menguruskan perpindahan anaknya dari hospital ke rumah.

Budi Misi @ Jururawat

SELAMAT MENYAMBUT HARI JURURAWAT ANTARABANGSA [12 MEI 2012]



MEREKA adalah insan gigih yang tidak pernah menolak beban tugasan diberikan. Biarpun bergelumang dengan perasaan cemas, namun keberanian mengatasinya. Biarpun terpaksa 'bermain' dengan darah, membersihkan luka dan nanah serta diri pesakit, diherdik dan meredah tugasan dalam bentuk syif dan bersabar dengan kerenah pesakit serta ahli keluarga mereka - semuanya diredah atas nama tanggungjawab.

Ringkasnya, kepentingan dan keperluan diri menjadi perkara kedua walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga apabila berkhidmat di bandar mahu pun ceruk negara. Tidak ketinggalan, budi yang ditabur tidak mengira masa, termasuk pada cuti umum.

Itulah pengorbanan ‘wira’ dalam bentuk jururawat yang seputih pakaian seragam mereka mencurahkan bakti dan kudrat. Namun, sejauh manakah budi mereka dihargai dan dihayati?

11 Mei 2012

Islam Galakkan Umat Saling Mencintai


Tidak sempurna iman jika bermusuhan dengan saudara seagama

CINTA kerana Allah SWT adalah mencintai hamba Allah kerana keimanannya dan ketaatan kepada Allah SWT. Mencintai orang beriman yang sentiasa taat kepada Allah SWT, sangat besar pahalanya.

Imam Muslim meriwayatkan, daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya kelak pada hari kiamat Allah akan berfirman: Di mana orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku? Pada hari ini Aku akan memberikan naungan kepadanya dalam naungan-Ku di saat tidak ada naungan kecuali naungan-Ku.”

Diriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:

“Demi Allah, kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian beriman. Tidak sempurna keimanan kalian sehingga kalian saling mencintai. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu, yang mana jika kalian melakukannya nescaya kalian akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian.” (Hadis riwayat Muslim)

10 Mei 2012

Motosikal Harley-Davidson Jepun Hanyut Sejauh 6,400km


MOTOSIKAL Harley-Davidson yang hanyut dari Jepun dipamerkan kepada orang ramai.

Sebuah motosikal Harley-Davidson yang hanyut dari timur laut Jepun hingga ke sebuah pantai di Kanada telah dibersihkan dan dibaik pulih di sebuah kedai di Langford, British Columbia. Motosikal Harley Davidson Nigth Train keluaran tahun 2004 milik Ikuo Yokoyama, 29, dari Yamamoto, Jepun itu dihanyutkan selepas tsunami melanda pada 11 Mac 2011.

Ia terdampar di Pulau Graham, 800 kilometer dari bandar raya Vancouver, Kanada selepas hanyut sejauh 6,400 kilometer. Motosikal itu ditemui oleh seorang penduduk tempatan, Peter Mark pada 18 April 2012 lalu dalam sebuah kontena putih tempat ia disimpan oleh pemiliknya, Ikuo Yokoyama. Mark menyatakan, dia sukar untuk mempercayai bahawa motosikal itu akan dihanyutkan merentasi Lautan Pasifik.

09 Mei 2012

Raja Kita Selamat Bertakhta


Pameran Raja Kita di Istana Negara lama pamer titik mula Institusi Raja Berperlembagaan

Pelajar sekolah khususnya, mereka mesti mengenali susur galur sejarah termasuk Tanah Melayu dan kewujudan Institusi Raja Berperlembagaan selepas kerajaan menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib lulus bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Dilaksanakan sebagai mata pelajaran teras mengikut Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), mata pelajaran Sejarah sebelum ini hanya subjek teras pada peringkat sekolah menengah yang wajib diambil semua pelajar namun tidak wajib lulus. Itu pengetahuan pada dasarnya saja, namun persoalan utama yang menjadi polemik dan perlu dibincangkan masyarakat hari ini ialah bilakah bermulanya titik penubuhan Institusi Raja Perlembagaan?

Kini sedang berlangsung Pameran Raja Kita yang diadakan selama dua bulan bermula 16 April lalu, anjuran bersama Jabatan Muzium Malaysia dan Bahagian Pendaftaran, Istana Negara Lama.

2.5 Juta Rakyat Malaysia 25 Tahun Ke Atas Masih Bujang


Kenapa memilih untuk hidup bersendirian? Seorang rakan memberikan alasan mahukan hidup yang bebas. Adakah dengan perkahwinan segala kebebasan diri akan lenyap?

Sekitar 2.5 juta rakyat berusia lebih 25 tahun yang mewakili 16.7 peratus penduduk negara ini masih belum atau tidak berkahwin.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie, berkata berdasarkan Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 daripada jumlah itu 60.4 peratus adalah lelaki.

“Bancian itu juga mendapati purata umur perkahwinan pertama bagi lelaki menurun kepada 28 tahun berbanding 28.6 pada 2000 manakala bagi wanita pula meningkat kepada 25.7 berbanding 25.1 tahun,” katanya.

08 Mei 2012

Stevia Pengganti Gula Dalam Minuman


Stevia, tanpa kalori dan 100 kali lebih manis berbanding gula tebu.

GULA merupakan bahan pemanis utama dalam menghasilkan sesuatu masakan. Rasa kemanisan itu menjadi tarikan kepada masyarakat untuk menikmati masakan seperti kek, kuih muih dan pelbagai minuman. Sebab itu pengambilan gula merupakan perkara biasa dalam kehidupan harian kita. Ada orang seolah-olah tidak boleh hidup tanpa gula walaupun diri diancam pelbagai penyakit.

Antara masalah kesihatan yang berpunca daripada pengambilan gula berlebihan adalah obesiti, lelah, kencing manis serta penyakit jantung. Secara ringkas, gula adalah karbohidrat yang mudah diserap tubuh dan bertujuan untuk membekalkan sumber tenaga kepada tubuh badan kita.

Semakan Status Ke IPTA 2012 Bagi Lepasan SPM



Semak Status Permohonan ke IPT Menerusi SMS

Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan setaraf boleh mula menyemak keputusan permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan politeknik premier bagi sesi akademik 2012/2013 mulai 7 Mei 2012 sehingga jam 12 malam 28 Mei 2012.

Unit Pusat Universiti (UPU) dalam kenyataan menerusi laman webnya berkata, pelajar boleh menyemak keputusan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) melalui perkhidmatan mySMS dengan menghantar UPU RESULT [No kad pengenalan] ke 15888 atau hubungi talian bantuan Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar Jabatan Pengajian Tinggi di 03-55692840 untuk sebarang pertanyaan.

07 Mei 2012

Katak Comel, Warna Menarik Tetapi Beracun


Cantik untuk dilihat, bahaya untuk disentuh dan dipegang.

RONA fizikal katak daripada keluarga Dendrobatidae itu sangat menarik. Komponen warna primer seperti kuning, emas, perak, merah, hijau, biru dan hitam yang mencolok mata dengan rekaan yang berlebihan pasti memukau pandangan orang ramai.

Lebih dikenali sebagai poison dart frog (katak damak beracun), kebanyakan ukuran panjang haiwan comel itu kurang 1.5 sentimeter, tetapi ada juga yang berukuran sehingga mencecah enam sentimeter.

Warna dan saiz berlainan itu bergantung kepada habitat katak tersebut. Ia banyak ditemui di hutan hujan tropika di benua Amerika Selatan dan Amerika Tengah di antara Costa Rica dan Brazil, manakala sedikit di kepulauan Hawaii.

06 Mei 2012

Kuasa Luar Biasa Bantal Busuk


Bantal busuk dengan karakter Angry Bird menjadi pilihan kanak-kanak masa kini.

KEPADA sesetengah individu terutama si kecil, fasa untuk melelapkan mata mungkin terganggu atau mengambil masa yang agak panjang sekiranya bantal busuk tiada di sisi. Bahkan kepada si kecil, ada yang merengek-rengek, gelisah, menangis atau menyusu dengan selesa sekiranya kehilangan bantal busuk.

Fenomena bantal busuk hakikatnya bukan isu yang berlegar dalam kalangan si kecil. Sebaliknya, bantal busuk iaitu objek yang menjadi peneman kepada seseorang ketika mahu tidur ini juga berlaku dalam kalangan orang dewasa.

Bantal busuk hanya istilah yang dilabelkan kepada objek yang menjadi peneman kepada seseorang ketika tidur. Bantal busuk juga boleh bermaksud selimut, sapu tangan, kain pelikat, kepala anak patung, patung beruang dan sebagainya.

Sambutan Hari Bomba Tonjolkan Peranan Ahli Bomba

SELAMAT MENYAMBUT HARI BOMBA SEDUNIA [4 MEI 2012]


Demonstrasi kawad sempena Sambutan Hari Bomba 2011 [Foto BHarian]

Anggota bomba dan kebakaran saling berkait rapat, disebabkan itu apabila berlaku sahaja kebakaran, sudah pasti nama bomba akan meniti di bibir.

Namun, pada masa kini, tugasan yang digalas oleh anggota bomba bukan sekadar memadamkan api malah lebih daripada itu, melakukan aktiviti menyelamat di dalam hutan, mengeluarkan mangsa yang tersepit akibat kemalangan jalan raya termasuklah membantu kucing terperangkap di atas pokok.

Sebenarnya, terdapat beberapa lagi tugas bomba yang tidak diketahui ramai. Ia mungkin disebabkan sebahagian daripada khidmat unit beruniform itu tidak dimaklumkan kepada umum.

05 Mei 2012

Program Latihan Industri Di Sekolah Vokasional


Latihan Industri adalah peluang dalami ilmu kerjaya

PAGI itu, Muhammad Zamzani Mohd. Salleh memulakan rutin hariannya seperti biasa di kilang perabot LY Furniture yang terletak di Batu Pahat, Johor. Dikelilingi pelbagai jenis timbunan kayu, remaja itu dilihat begitu bersemangat menjalankan tugasnya.

Satu persatu kayu yang telah diproses menjadi kepingan papan kecil diangkat dan diletakkan di satu sudut dengan berhati-hati.

Jika melihat pada tubuh kecil remaja berusia 17 tahun itu, pasti ramai tertanya-tanya mengapa dia tidak ke sekolah seperti remaja lain yang seusia dengannya? Apakah yang dilakukan di kilang perabot berkenaan dan mengapa pihak pentadbiran kilang membenarkan remaja bawah umur bekerja di situ?

04 Mei 2012

Pameran 'Dinasaurs Live' 2012 Di Pusat Sains Negara


Dinosaur kembali di Pusat Sains 

Pameran Dinosaur ‘Hidup Semula’ kembali diadakan di Pusat Sains Negara buat kali kedua dengan menampilkan lebih 30 spesies haiwan purba berkenaan dengan pendekatan lebih interaktif dan realistik menggunakan teknologi animatronik.

Pengarah Pusat Sains Negara, Prof Madya Dr Irmawati Ramli, berkata pameran selama tiga bulan berkenaan bermula  bermula 1 Mei hingga 31 Julai 2012, akan membawakan pengalaman menyeluruh merangkumi habitat, maklumat mengenai penemuan haiwan itu, pergerakan juga bunyian dan banyak lagi. Pameran ini kemudiannya dilanjutkan tiga bulan lagi sehingga 31 Oktober 2012.

Ilmu Asas Pembangunan Islam


Ulama jadikan penulisan medium dakwah utama

IMAM Syafie pernah mengatakan ilmu itu (umpama) binatang buruan, tulisan itu (laksana) ikatan, ikatlah binatang buruan itu dengan kuat (supaya tidak dapat lari).

Kata-kata Imam Syafie ini memberi gambaran kuatnya ikatan antara buku dan ilmu, penulis dan pembaca, pendakwah dan sasaran dakwah. Maka tidak hairanlah jika ulama terdahulu menulis buku dan menghasilkan buku hingga akhir hayat mereka.

Tidak kurang juga yang menulis walau di dalam penjara kerana bagi mereka menyampaikan dakwah Islam, usaha itu tidak akan terhenti walaupun di tirai besi.

Contohnya, tafsir Fi Zilalil Quran ditulis oleh Syed Qutub ketika di dalam penjara dan Profesor Hamka menulis Tafsir Al-Azhar di balik tirai besi. Iltizam dan semangat ulama terdahulu untuk mewariskan ilmu kepada ummah wajar dicontohi.

03 Mei 2012

Aktiviti Keselamatan Jalan Raya Di Sekolah

Jika anda seorang guru, bagaimanakah cara anda menguji kefahaman pelajar tentang keselamatan jalan-raya? Apakah aktiviti yang sesuai dilaksanakan dalam perjumpaan ahli Kelab Keselamatan Jalan Raya?

Aktiviti sekolah berikut ini mungkin boleh dijadikan contoh.



DENGAN wisel di bibir, gaya kanak-kanak berusia 10 tahun itu seolah-olah seperti anggota polis trafik yang sedang bertugas. Meskipun dibakar terik matahari sambil pen di tangan, dia tidak teragak-agak mengeluarkan saman kepada rakan yang melanggar peraturan lalu lintas.

Setiap kesalahan itu dicatat dan dimaklumkan agar ia tidak diulangi. Pelbagai aksi dapat dilihat apabila mereka yang melanggar peraturan menerima surat saman. Ada yang menepuk dahi dan ada pula yang hanya mampu tersengih apabila menyedari kesilapan yang dilakukan.

Senario itu mungkin kelihatan sama seperti keadaan sebenar di jalan raya, namun ia hanyalah latihan amali pendidikan keselamatan jalan raya melalui Ops Sikap 2 yang dijalankan oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasik, Bandar Tasik Permaisuri, Cheras.

One World Trade Centre Atasi Ketinggian Empire State



Bangunan One World Trade Centre yang menggantikan bangunan berkembar World Trade Centre (WTC) diumumkan sebagai bangunan pencakar langit tertinggi New York. Ketinggian bangunan baharu itu hanya melebihi 381 meter daripada bangunan Empire State di sini selepas para pekerja memasang beberapa tiang besi di atas menara itu.

One World Trade Center kini menjadi mercu tanda kebanggaan bandar raya New York dan pembinaannya bakal siap pada hujung tahun 2013. Menara itu setinggi 541.3 meter dan memiliki 104 tingkat jika siap sepenuhnya.

02 Mei 2012

Mengekalkan Khasiat Sayur


Bagaimanakah cara yang betul mengendalikan sayur ketika memasaknya agar khasiatnya terpelihara?

BANYAK kelebihan yang dapat kita peroleh daripada makanan. Jika anda inginkan bekalan serat, anti oksida dan nutrien dalam diet harian, saya sarankan anda makan lebih sayur-sayur. Ada sayur sayuran yang boleh dimakan begitu sahaja dan ada sesetengahnya perlu dimasak.

Nutrien dalam sayur-sayuran seperti vitamin dan mineral mampu meningkatkan imunisasi dalam badan serat pula dapat membantu untuk sistem pencernaan kita. Anti oksida juga dapat mempertahankan diri kita daripada serangan penyakit.

Bagi mendapatkan khasiat sayur yang maksimum yang kita makan anda perlulah memilih sayur-sayuran yang masih segar. Ciri-ciri sayur yang segar boleh dilihat dari warnanya yang terang contohnya jika sayur itu berwarna merah maka warna merahnya tidaklah kusam.

01 Mei 2012

Pengguna Dilindungi Pelbagai Akta


Pengguna Lama Vs Pengguna Baru. Anda termasuk dalam kategori mana?

RAKYAT di negara ini mestilah memahami bahawa kedudukan mereka sebagai pengguna dilindungi oleh pelbagai akta awam dan akta berkaitan 'perlindungan pengguna'.

Konsep 'perlindungan pengguna' itu sendiri adalah berkaitan dengan kuasa perundangan bagi memelihara dan melindungi hak pengguna daripada dieksploitasi, ditipu, ditindas dan diperdaya oleh pengeluar (industri), syarikat perdagangan, pembekal dan peniaga.

Antara tujuan undang-undang berkaitan perlindungan pengguna diwujudkan untuk menjamin keselamatan pengguna, kesihatan pengguna, kepentingan ekonomi pengguna, maklumat peribadi pengguna serta ganti rugi pengguna.

Kadar Gaji Minimum Sektor Swasta RM900

SELAMAT MENYAMBUT HARI PEKERJA 2012



Kadar gaji minimum kebangsaan sektor swasta bagi Semenanjung Malaysia ditetapkan RM900 sebulan (RM4.33 sejam), manakala bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan (RM3.85 sejam), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata gaji minimum itu akan meliputi pekerja dalam semua sektor ekonomi di seluruh negara, kecuali perkhidmatan domestik, yakni pembantu rumah, tukang kebun dan sebagainya.

"Tarikh mula kuat kuasa pelaksanaan gaji minimum ialah enam bulan daripada tarikh Perintah Gaji Minimum diwartakan," katanya semasa berucap pada majlis Pengumuman Gaji Minimum Sektor Swasta di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Isnin 30 April 2012.

Pengumuman itu juga sempena sambutan Hari Pekerja yang akan disambut Selasa dan sebagai hadiah istimewa daripada kerajaan persekutuan kepada seluruh warga pekerja.