Nuff Atas

07 Mei 2013

Angkat Sumpah Jawatan PM, MB Dan KM Selepas PRU-13

Selepas berjaya memperolehi mandat berdasarkan keputusan undian kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, Datuk Seri Najib memperbaharui angkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri Malaysia yang keenam pada hari isnin, 6 Mei, 2013.

Angkat sumpah jawatan juga dilakukan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dipilih berdasarkan kemenangan calon dan parti yang bertanding di peringkat DUN.

PERDANA MENTERI MALAYSIA


NAJIB membaca lafaz Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Datuk Seri Najib Tun Razak pada 6 Mei 2013, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Balai Rong Seri, Istana Negara pada 4.07 petang.

Datuk Seri Najib, 59, mengulangi sejarah apabila mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong sama seperti Allahyarham bapanya Tun Abdul Razak Hussein ketika mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kedua Malaysia pada 1970.


Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah memberi perkenan selaras dengan Fasal (2)(a) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan supaya Najib dilantik sebagai Perdana Menteri.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelmarin, Barisan Nasional kekal berkuasa dengan memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu. [Kosmo].

MENTERI BESAR JOHOR



Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor yang baru di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru, pada Selasa, 14 Mei, 2013.

Mohamed Khaled, 55, mendapat perkenan Sultan Ibrahim sebagai Menteri Besar Johor ke-14, mengantikan Datuk Abdul Ghani Othman yang berkhidmat selama empat penggal sejak 1995. [BHarian: 14052013]

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengangkat sumpah bersama sembilan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) selepas mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 8 Mei, 2013.

Mohamed Khaled pada PRU-13 memenangi kerusi DUN Permas selepas menewaskan calon PAS Syed Othman Syed Abdullah dengan majoriti 5,752 undi.

Barisan Nasional kekal memerintah Johor apabila mendapat majoriti dua pertiga dengan memenangi 38 daripada 56 kerusi DUN. [BHarian].

MENTERI BESAR KEDAH



Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Muhkriz Mahathir mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Kedah di hadapan Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Istana Anak Bukit, pada Isnin 6 Mei, 2013.

Watikah perlantikan tersebut diserahkan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah kepada Datuk Mukhriz Mahathir pada Majlis Pelantikan Menteri Besar di Istana Anak Bukit.

Upacara itu diadakan sehari selepas BN kembali berkuasa di negeri itu selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). [BHarian]

MENTERI KELANTAN

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar baru negeri itu di hadapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di Istana Negeri, Kubang Kerian, pada petang 6 Mei, 2013.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan itu menggantikan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang yang telah memegang jawatan sebagai Menteri Besar negeri itu selama 22 tahun sejak 1990.



Pelantikan itu sekali gus menamatkan kepimpinan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar selama 22 tahun sejak tahun 1990.

Ahmad, 63, yang sebelum ini Timbalan Menteri Besar mengangkat sumpah di hadapan Sultan Muhammad V, Tuanku Muhamad Faris Petra Sultan Ismail.

Pas kekal memerintah Kelantan selepas memperoleh majoriti mudah dengan memenangi 32 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). [Kosmo]

KETUA MENTERI MELAKA



Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Udang, Datuk Idris Haron, 47, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-10 menggantikan Mohd. Ali Rustam pada pukul 10.20 pagi Selasa 7 Mei, 2013..

Beliau berbuat demikian di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob di pejabatnya di Ayer Keroh. Idris menggantikan ketua menteri terdahulu Mohd. Ali yang melepaskan jawatan tersebut apabila mengambil keputusan bertanding di peringkat parlimen pada PRU-13. [Kosmo]

MENTERI BESAR NEGERI SEMBILAN



Datuk Seri Mohamad Hasan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan buat penggal ketiga di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada Sabtu 11 Mei, 2013.

Mohamad berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Dalam PRU-13, BN memenangi 22 daripada 36 kerusi DUN yang dipertandingkan. [Kosmo : 11052013]

Datuk Seri Mohamad Hasan menyerahkan watikah pelantikan Menteri Besar kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kira-kira jam 1 tengah hari Khamis 9 Mei, 2013. [BHarian : 09052013]

MENTERI BESAR PAHANG



Datuk Seri Adnan Yaakob mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang bagi penggal keempat di Istana Sultan Abu Bakar, Pekan, jam 5 petang pada Khamis 9 Mei, 2013.. Manakala majlis angkat sumpah bagi Exco kerajaan negeri dijangka diadakan pada pagi Jumaat. [BHarian : 09052013]

Adnan, 63, mengangkat sumpah simpan rahsia kerajaan negeri di hadapan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. Adnan mula dilantik sebagai Menteri Besar Pahang pada 25 mei 1999, menggantikan Tan Sri Mohd Khalil Yaakob (kini Tun) yang dilantik sebagai Menteri Penerangan ketika itu.

Barisan Nasional Pahang (BN) yang dipimpin Pengerusi BN negeri Datuk Seri Adnan Yaakob berjaya mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum ke-13. BN Pahang berjaya memenangi 30 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Adnan yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Pelangai pada PRU13, mula bertanding di kerusi berkenaan pada 1986, dilantik sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua pada 2004, dan penggal ketiga pada 2008.

Menurut sumber, Adnan yang dianugerahkan gelaran "Datuk Seri Diraja" oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada 2010, yang juga merupakan penerima pertama gelaran itu dalam sejarah Pahang. [BERNAMA]

MENTERI BESAR PERAK



Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di Istana Iskandariah di sini pada pukul 10.40 pagi Selasa 7 Mei, 2013.

Beliau yang menjadi Menteri Besar Perak buat penggal kedua sejak 2009 setelah mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). [Kosmo]

MENTERI BESAR PERLIS

Azlan Man, Menteri Besar Perlis yang baru

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh, Azlan Man, 54, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis ke-11 di Istana Arau, pada Selasa 7 Mei, 2013. Beliau menggantikan Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, yang tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Azlan yang memegang Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi Antarabangsa dari Universiti of Denver, Amerika Syarikat, sebelum ini adalah Timbalan Ketua Pengarah (Pengaduan) Biro Pengaduan Awam di Jabatan Perdana Menteri. [BHarian]

KETUA MENTERI PULAU PINANG



Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang di Seri Mutiara pada Selasa 7 Mei, 2013. Guan Eng, 53, melafazkan sumpah memegang jawatan itu di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas pada pukul 11.30 pagi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Pakatan Rakyat memenangi 30 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang. [Kosmo]

KETUA MENTERI SABAH



Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Musa Aman mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, Kota Kinabalu pada Isnin 6 Mei, 2013.

Musa menjadi Ketua Menteri mengikut sistem penggiliran selepas mengetuai kemenangan BN pada pilihan raya umum 2004. BN mengekalkan pemerintahan Sabah dengan majoriti dua pertiga apabila menguasai 48 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU-13. [Kosmo]

KETUA MENTERI SARAWAK
Telah dilaksanakan majlis angkat sumpah jawatan.

MENTERI BESAR SELANGOR



PAS mahu Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN)Pelabuhan Klang Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR kekal sebagai Menteri Besar Selangor.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, walaupun PKR hanya menang 14 kerusi DUN berbanding PAS dan DAP (masing-masing 15 kerusi), PAS membuat keputusan Khalid harus terus menjadi Menteri Besar Selangor.

"Saya dah berbincang dengan PAS Selangor supaya Menteri Besar dari PKR dikekalkan di Selangor. Kita mahu tunjukkan bahawa pakatan rakyat boleh memerintah negeri secara kolektif," katanya. [BHarian]

Pas Selangor menegaskan jawatan Menteri Besar bukan hak milik mutlak PKR, sebaliknya keputusan pemilihan siapa yang layak menduduki kerusi nombor satu kepimpinan negeri itu diputuskan bersama dalam Pakatan Rakyat.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Abdul Rani Osman berkata, selepas Pakatan Rakyat memenangi kerusi DUN Selangor pada pilihan raya umum lalu, Pas dan DAP bersetuju menyerahkan jawatan itu kepada calon PKR. [Kosmo : 11052013]

Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor, Hamidzun Khairuddin berkata, PKR tidak berhak menuntut kerusi tersebut memandangkan parti itu memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata, parti paling layak menuntut kerusi tersebut ialah Pas yang dipimpin orang Melayu dan beragama Islam apabila ia memenangi 15 kerusi DUN pada PRU-13.

Satu lagi rakan pakatan ialah DAP memenangi 15 kerusi DUN tetapi wakil parti itu tidak boleh menjadi Menteri Besar memandangkan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor mensyaratkan ketua negeri itu hendaklah orang Melayu dan beragama Islam.

Calon Menteri Besar menjadi kontroversi apabila Pas dan DAP mahu Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada PKR kekal sebagai Menteri Besar namun Mohamed Azmin turut dikaitkan dengan persaingan merebut jawatan itu. [Kosmo : 12052013]

Akhirnya kontroversi siapa Menteri Besar Selangor selesai. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal yang kedua di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dalam majlis yang diadakan di Istana Alam Shah, pada Selasa 14 Mei 2013.

Dalam Majlis tersebut Abdul Khalid turut melapaskan ikrar Aku Janji merangkumi 10 perkara yang perlu beliau penuhi dan patuhi dalam tempoh memegang jawatan itu. Antara aku janji tersebut memastikan agama Islam tidak diganggu gugat, mempertahankan institusi raja, memastikan hak orang Melayu terpelihara dan menjaga hak sah kaum lain serta mendahulukan rakyat.

Ini merupakan pertama kali pemegang jawatan itu melafazkan ikrar aku janji. [Utusan : 14052013].

MENTERI BESAR TERENGGANU



Datuk Seri Ahmad Said kekal sebagai Menteri Besar Terengganu untuk pengggal kedua selepas mendapat perkenan dari Sultan Mizan Zainal Abidin.

Datuk Seri Ahmad Said, 56, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu untuk penggal kedua di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah, Kuala Terengganu pada Sabtu, 11 Mei, 2013.

Ahmad pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu pada 22 Mac 2008, sekali gus menjadi Menteri Besar kelapan sejak tahun 1959. [Kosmo : 11052013]

Ahmad  menghadap Sultan Mizan di Istana Badariah jam 2.45 petang Khamis 9 Mei, 2013 selepas menerima surat pelantikan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Majlis mengangkat sumpah Menteri Besar akan diadakan beberapa hari lagi bersama dengan pelantikan ahli Exco Kerajaan Negeri.

Ahmad dilantik semula sebagai menteri besar selepas BN berjaya mengekalkan penguasaan di Terengganu apabila menang 17 daripada 32 kerusi DUN. [BHarian]

Sementara itu .......

KETUA PEMBANGKANG DI PARLIMEN



Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai ketua pembangkang di Parlimen, sekalipun DAP menang lebih banyak kerusi berbanding PKR.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata perkara itu dipersetujui semua parti dalam pakatan pembangkang susulan kejayaan DAP memenangi 38 kerusi, PKR (30) dan PAS (21) pada PRU-13.

“Ini selaras dengan komitmen kami bahawa beliau akan memimpin kerajaan pakatan,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu. [BHarian]

2 comments:

Harith Iskandar berkata...

hebat hebat tahniah untuk semua

MyFreeMinded berkata...

Harap2 menteri besar negeri saya ditukarlah..