Nuff Atas

14 November 2013

Sayap Udara APMM Perkasa Kawalan Keselamatan Perairan Negara



Hanya kerana tertera perkataan 'maritim' pada namanya, orang ramai rata-rata beranggapan peranan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) adalah tidak lebih daripada mengawal dan menguatkuasa undang-undang perairan negara.

Bagaimanapun, APMM yang ditubuhkan lapan tahun lepas (2005) melangkah setapak lagi dengan memperluas skop tugasnya meliputi ruang udara Zon Maritim Malaysia. Nadi operasi udara APMM ini adalah Stesen Udara Maritim Subang.


Dalam satu temubual eksklusif, Pengarah Cawangan Operasi Udara APMM Laksamana Pertama (Maritim) Datuk Zammani Mohd Amin berkongsi maklumat mengenai stesen udara pertama APMM ini.

ASET UDARA APMM

Zon Maritim Malaysia meliputi pantai barat Semenanjung Malaysia dari Selat Melaka hingga ke Laut Andaman, di sebelah Timur Semenanjung Malaysia dari pantai timur hingga ke Zon Ekonomi Eksklusif (Laut China Selatan) dan di pantai Sabah dan Sarawak hingga ke laut Sulu.

Justeru, melihat kepada kawasan maritim negara yang begitu luas meliputi hampir kira-kira 614,000km persegi, mengawalnya sepanjang masa adalah satu tugas yang mencabar bagi APMM.

Oleh itu satu sistem kawalan bersepadu melibatkan kapal, sistem radar dan pesawat udara diwujudkan oleh agensi penguatkuasa berkenaan bukan sahaja untuk menguatkuasa undang-undang perairanan negara malahan menangani jenayah dan mengendalikan proses Mencari & Menyelamat (SAR).

Mengambil contoh insiden kes lanun, kebakaran di Selat Melaka dan proses memadam kebakaran ketika jerebu yang berlaku awal tahun ini, kejayaan demi kejayaan yang diraih APMM adalah dengan mengguna pesawat udara.

"Mengguna pesawat udara, pelaksanaan penguatkuasaan maritim lebih mudah dijalankan kerana pesawat udara boleh sampai ke lokasi sasaran dalam masa yang singkat," jelasnya.

Zammani berkata dengan adanya aset udara ini juga, APMM dapat mengintegrasi semua sistem sedia ada untuk pelaksanaan yang lebih berkesan dalam setiap operasi.

"Pesawat akan sampai terlebih dahulu dan kemudian dibantu oleh aset lain.

"Keupayaan helikopter dan pesawat sayap kaku atau 'fixed wing' yang boleh terbang di paras yang lebih rendah (turun ke paras air) lebih memudahkan kerja menyelamat mangsa bot karam atau mencari yang lemas," katanya.

Stesen udara itu juga menempatkan enam buah helikopter dan dua pesawat pelbagai guna amfibia, iaitu pesawat jenis Bombardier 415 buatan Kanada.



CABARAN

Mengenai unit udara, sudah tentu keperluan profesion juruterbang dalam memenuhi kriteria pelaksanaan unit ini perlu diambil kira.

Mengakui aspek ini antara cabaran besar APMM, Zammani menjelaskan; "Cabaran kami dalam mengukuhkan unit ini adalah untuk menggaji juruterbang yang benar-benar berkemahiran dan berpengalaman selari dengan kehendak APMM iaitu boleh menerbangkan pesawat dalam setiap keadaan cuaca dan melakukan tugas menyelamat pada waktu malam.

"Pembangunan aset udara APMM sememangnya memerlukan perancangan rapi terutama dalam menentukan keselamatan penerbangan kerana tiada kompromi dalam hal ini," katanya dan beliau menambah kata unit udara itu kini mempunyai lapan juruterbang.

APMM turut merancang untuk memperoleh lebih banyak aset seperti Unmanned Aerial Vehicle (UAV) bagi meningkatkan keupayaan agensi berkenaan.

HARAPAN

Perancangan jangka panjang pembangunan keupayaan udara APMM yang seterusnya adalah membina lebih lima stesen udara masing-masing di Langkawi, Kerteh, Kuching, Kota Kinabalu dan Sandakan.

Melihat kepada senarai lokasi stesen-stesen udara berkenaan, Zammani berkata ini adalah satu keperluan yang sedang dibangunkan kerana kawasan operasi APMM juga melibatkan lebih 4,492 km kawasan pantai.

"Tugas pengawasan pantai juga perlu lebih cekap. Justeru stesen yang menempatkan pesawat udara untuk bertindak dilihat boleh membantu pencegahan awal kes pencerobohan atau pelanunan yang berlaku di persisiran pantai," jelasnya.

Perancangan pembinaan stesen bukan sahaja disebabkan oleh insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada Februari lepas, tetapi juga kes lain yang pernah ditangani APMM.

Melihat kepada pelbagai aspek kepentingan sesebuah stesen udara kepada operasi APMM sehari-hari, Zammani meletakkan harapan yang tinggi agar unit udara APMM beserta asetnya dapat menyumbang besar kepada jaminan keselamatan negara khususnya menerui perairan.

Sumber: BERNAMA

0 comments: