31 Januari 2013

Istana Negara Lama Kini Menjadi Muzium Diraja


ISTANA Negara lama menjadi Muzium Diraja yang mula dibuka pada umum pada awal Februari 2013.

BANGUNAN Istana Negara lama yang terletak di lereng bukit berhadapan Jalan Syed Putra dan Sungai Klang sebenarnya sudah lebih 80 tahun bertapak. Bangunan berwarna putih dan ditandai dengan dua kubah emas ini asalnya milik seorang jutawan dari China bernama Chan Wing.

Mula dibina pada 1928 dengan kos RM150,000 di kawasan seluas 11.34 hektar, ia mendapat sentuhan daripada firma Swan & Mclaren.

Banyak rentetan sejarah Istana Negara lama. Semasa zaman pendudukan Jepun, banglo ini dijadikan pusat pemerintahan tentera dan sebagai mes pegawainya barmula dari tahun 1942 hingga 1945.

30 Januari 2013

Kenali Anak Istimewa Autisme

Ini adalah kali ketiga saya berkongsi maklumat berkaitan Autisme. Individu Autisme tergolong dalam kumpulan manusia istimewa dalam kumpulan Individu Bermasalah Pembelajaran. 

Kanak-kanak yang menunjukkan symptom ini akan ditempatkan di dalam Kelas Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran.

Perkataan Autisme begitu asing bagi diri saya sehinggalah apabila anak sulung saya disahkan oleh pakar pediatrik sebagai individu Autisme ketika dia berumur 7 tahun. 

Disebabkan kurangnya pendedahan dan barangkali juga kurang peka terhadap sebaran maklumat maka saya terpaksa menunggu 7 tahun untuk mengetahui keadaan sebenar yang dialami oleh anak saya walaupun dia telah menunjukkan simptom Autisme sekian lama.



BUKAN semua ibu bapa diberikan peluang memperoleh dan menjaga anak istimewa. Bagi ibu bapa berpelajaran, mudah bagi mereka mendidik dan mengenal pasti anak istimewa berdasarkan bantuan pakar atau Pusat Kreativiti Kanak-kanak.

Namun, bagaimana pula nasib ibu bapa yang kurang pengetahuan mengenai anak istimewa dan tidak mampu membelanjakan sejumlah wang untuk mengenalpasti punca penyakit anak mereka?

Anak istimewa atau autisme bermaksud satu gangguan apabila kanak-kanak mempunyai kesukaran untuk berinteraksi sosial dan berkomunikasi.

29 Januari 2013

Keajaiban Protein

 Protein Rich Foods

Protein adalah nutrien yang penting dan bermanfaat untuk kesihatan anak. Namun, tahukah anda bagaimana ia membantu pertumbuhan dan perkembangan?

Protein adalah sejenis nutrien yang melaksanakan pelbagai fungsi dalam tubuh kita. Ia membantu mata anak anda untuk melihat, mengecutkan otot dan pembekuan darah. Selain itu, ia membolehkan anak anda menjadi aktif dengan memudahkan tindak balas kimia melalui enzim dan melindunginya terhadap jangkitan. Tanpa protein, tulang, kulit dan rambut anak anda tidak akan mempunyai strukturnya.

Peranan penting protein

* Menggantikan sel-sel dan tisu yang mati atau rosak.
* Mengawal proses badan (sesetengah hormon tetapi bukan semuanya adalah protein).
* Mengekalkan jumlah dan komposisi cecair badan.
* Mengangkut bahan-bahan seperti lipid, vitamin, mineral dan oksigen ke seluruh badan.
* Melindungi badan terhadap penyakit melalui antibodi dan menguatkan sistem imun badan.

28 Januari 2013

Pro dan Kontra Pakir Khas Wanita


Keperluan mempertingkatkan keselamatan di pusat beli-belah sebaiknya diutamakan.

'Tempat letak kereta wanita (Hanya Pemandu Wanita Tanpa Penumpang)'. Itu tertera pada ada lot pakir, di pusat beli-belah Suria (KLCC) yang dikhaskan untuk pemandu wanita, sejak beberapa minggu lalu.

Selain KLCC, ada beberapa pusat-belah di ibu kota juga sudah mengambil inisiatif sama menyediakan puluhan lot berwarna merah jambu untuk kemudahan wanita.

Penyediaan parkir wanita ini dianggap satu lagi pengiktirafan pihak tertentu terhadap kepentingan perempuan. Sebelum ini, kerajaan menyediakan koc kereta api khas untuk wanita, teksi wanita dan bas wanita (RapidKL). Semua itu ternyata memberi kemudahan kepada wanita dalam urusan seharian selain membantu mengurangkan kadar jenayah.

27 Januari 2013

3 Kategori Mudah Ke IPT Tanpa Meritokrasi


Politeknik dan IPTA ~ 5,200 tempat disediakan untuk pelajar miskin, OKU dan minoriti.
Semoga peluang sebegini digunakan sebaiknya dengan menuntut ilmu bersungguh-sungguh ...

Pelajar miskin, orang kelainan upaya (OKU) serta golongan minoriti seperti Orang Ulu akan ditawarkan tempat di politeknik dan universiti awam mulai Mei dan September 2013, tanpa mengikut meritokrasi.

Kementerian Pengajian Tinggi menyediakan 5,200 tempat khusus di politeknik dan universiti untuk golongan itu tanpa mengira kaum dan agama, tetapi mereka perlu memenuhi syarat kemasukan am dan program yang ditawarkan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pelaksanaan mod kemasukan baru itu yang diluluskan Kabinet baru-baru ini membabitkan pelbagai jurusan kecuali program asasi.

Penyusuan Anak Angkat


Memberikan susu ibu kepada anak angkat bukanlah semata-mata untuk menjadikan anak itu muhrim kepada ibu bapa angkat tetapi lebih kepada memberikan makanan terbaik untuk bayi. - Gambar hiasan

Mencetuskan penyusuan ibu atau induce lactation bagi ibu angkat yang hendak menyusukan anak angkat bukanlah suatu perkara yang mudah kerana biasanya ibu-ibu ini tidak pernah hamil atau tidak pernah melahirkan anak.

Jadi proses pembentukan dan kematangan kelenjar mamari seperti yang dialami semasa proses kehamilan tidak pernah berlaku kepada ibu-ibu ini. Namun ini tidak boleh menjadi penghalang kepada ibu-ibu angkat berusaha menghasilkan susu ibu untuk diberikan kepada anak angkat mereka.

Memberikan susu ibu kepada anak angkat bukanlah semata-mata untuk menjadikan anak itu muhrim kepada ibu bapa angkat tetapi lebih kepada memberikan makanan terbaik untuk bayi. Susu ibu tetap yang terbaik berbanding susu formula.

26 Januari 2013

Sejarah Penciptaan Sudoku


Maki Kaji, Bapa Sudoku.

BERMAIN teka-teki yang memerlukan seseorang meneka angka dalam grid kotak, Sudoku, seolah-olah menjadi trend dalam kalangan orang ramai tanpa mengira usia dan latar belakang.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, permainan itu perlahan-lahan mengambil tempat menerusi paparan di akhbar, majalah mahupun buku-buku yang secara meluas dijual di pasaran. Kehebatan teka-teki yang menduga akal pemainnya dalam mencari kaitan nombor antara petak-petak kecil itu mempunyai sejarah tersendiri.

Ia bermula, apabila ada seorang lelaki yang percaya bahawa permainan teka-teki seperti silang kata akan menjadi popular sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun selepas diperkenalkan. Siapa sangka, permainan yang diperkenalkan kurang 30 tahun dahulu, mula mendapat perhatian dan menjadi antara permainan atas kertas atau skrin telefon mudah alih yang paling digemari.

25 Januari 2013

Ilmu Adalah Harta Warisan Rasulullah SAW

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL



Ketibaan Rabiulawal mengingatkan kita kepada peristiwa besar iaitu kelahiran junjungan Nabi Muhammad SAW. Bulan ini juga menyaksikan peristiwa hijrah Baginda Rasulullah SAW yang menyaksikan Islam berada pada tapak yang semakin kukuh.

Pembangunan yang dibawa Baginda Rasulullah SAW amat bermakna kepada seluruh umat sehingga ungkapan menyebut: 'Saudaramu Isa menyeru pada jasad yang mati lalu ia bangun berdiri. Dan kamu (Muhammad) menghidupkan umat daripada hilang harga diri.'

24 Januari 2013

Kewajipan Mencintai Rasulullah SAW

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL 1434 H


Sesiapa yang taat kepada Rasulullah SAW, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah.” Surah al-Nisa’(ayat 80)

Hadis : Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda, "Belum sempurna iman seseorang kamu sebelum ia mencintaiku melebihi daripada cintanya kepada anaknya, kepada bapanya dan kepada manusia semuanya.” Sahih Muslim. [Juga terdapat dalam riwayat Bukhari, Ibnu Majah, Nasa’i, Ahmad, al-Darimi].

Mencintai Rasulullah saw melebihi cinta kepada manusia semuanya bukanlah bermaksud membenci orang-orang lain. Tetapi apa yang dimaksudkan adalah mengikuti apa yang diperintahkan, serta menjauhi apa yang dilarang oleh Allah subhana wa Ta’ala dan Rasul-Nya.

Bermakna sesiapa sahaja yang menyuruh kita melakukan kemaksiatan,walaupun ibu bapa sendiri, hendaklah kita mengingkarinya. Tidak boleh mentaati sesiapa sahaja dalam kemungkaran. [Dipetik dari http://koleksihadisnabi.blogspot.com/2011/02/mencintai-rasulullah-sallahu-alaihi.html].

Law Kana Bai Nan Na

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL ...

Abdul Rahman Muhammad - Law Kaana Bainana (Lirik Melayu)


LAW KANA BAINANA
Lirik Dalam Bahasa Melayu

Puisi Intro
----------
Wahai Tuhanku, kami telah lalai lupa,
Namun setiap orang daripada kami tetap tamakkan,
Keampunan-Mu, dan sifat pemurah-Mu dan kebebasan daripada neraka-Mu,
Dan juga kami tamakkan syurga, yang dimasuki bersama-sama penghulu seluruh manusia.

Kami mohon pada-Mu...
Mohon dengan sangat, wahai Tuhanku,
Dari sudut hati kami yang paling dalam...

23 Januari 2013

Panduan Penjagaan Kanta Lekap (Contact Lens)



Memang tidak dapat dinafikan, kanta lekap (contact lens) berperanan besar sebagai alternatif membantu si pemakai menghadapi gangguan penglihatan, namun risikonya yang berbahaya perlu anda tanggung sekiranya cara penggunaannya tidak dipatuhi.

Sekiranya masih ada yang memilih untuk menggunakan kanta lekap, sila pastikan anda dapat mendisiplinkan diri agar aspek kebersihan mata, tangan dan udara di sekeliling kamu benar-benar terjaga. [Utusan]

Selain dari menjaga aspek kebersihan mata tangan dan persekitaran, pastikan anda juga mematuhi kaedah-kaedah penjagaan kanta lekap yang sepatutnya.

22 Januari 2013

Khasiat Daun Teh



TEH telah ditanam selama berabad-abad lamanya bermula di India dan China. Hari ini, teh merupakan minuman yang paling banyak diminum selepas air kosong.

Beratus-ratus juta warga dunia minum teh dan kajian menunjukkan bahawa minuman teh khususnya teh hijau mempunyai banyak manfaat untuk kesihatan.

Terdapat tiga jenis teh yang utama iaitu teh hijau, hitam dan wu long (oolong). Ia dibezakan melalui cara teh diproses. Teh hijau tidak melalui proses fermentasi dan mengandungi kepekatan antioksidan iaitu polifenol yang tinggi.

Antioksidan merupakan bahan-bahan yang bertindak melawan radikal bebas yang merosakkan sel-sel dalam badan, merosakkan asid deoksiribonukleik (DNA) dan menyebabkan kematian sel.

21 Januari 2013

Portal Pendidikan Sains Angkasa Pupuk Minat Bidang Astronomi


Portal Pendidikan Sains Angkasa, www.astronomi.angkasa.gov.my

SESEKALI apabila mendongak ke dada langit pada waktu malam dan melihat cahaya rembulan yang ditemani kerlipan bintang-bintang, pasti membuatkan kita terfikir betapa hebatnya Allah yang menciptakan alam cakerawala ini.

Justeru, tidak hairanlah jika ada anak-anak kecil yang bercita-cita untuk menjadi ilmuwan dalam bidang astronomi kerana kagum melihat keindahan alam semesta.

Astronomi merupakan salah satu daripada cabang ilmu sains berkaitan bintang, planet, bulan dan matahari. Ia juga dikenali sebagai ilmu falak dari segi bahasa etimologi yang membawa maksud peraturan bintang.

Apabila berbicara tentang bidang yang turut dikenali sebagai sains angkasa itu, ruang lingkupnya terlalu luas. Malah, adakalanya ia menjangkau tahap pemikiran manusia itu sendiri.

20 Januari 2013

Pendakap Gigi Murah Penyebab Kanser Usus

Di awal kemunculan pendakap gigi (braces), individu yang memakainya cenderung berasa rendah diri dan dilemparkan dengan pelbagai gelaran seperti 'gigi besi', 'gigi buruk', 'rel keretapi' dan sebagainya.

Namun keadaan sudah berubah apabila pemakaian pendakap gigi kini menjadi trend anak muda kerana pilihan getahnya yang berwarna-warni. [ Utusan ]

Pendakap gigi kini boleh juga dijadikan sebagai aksesori penghias gigi. Dengan wujudnya pendakap gigi yang murah di pasaran, semua anak muda mampu memakainya.


Berhati-hati dengan pendakap gigi tiruan yang ditawarkan dengan harga murah.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli pendakap gigi menerusi internet yang dijual murah kerana banyak produk seumpama itu tidak diiktiraf pakar pergigian kerana mengandungi plumbum yang boleh menjadi punca penyakit kanser usus.

Peringatan itu dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai hasil kajian awal kementerian terhadap kegiatan penjualan pendakap gigi di pasaran dalam talian.

Aura Klasik Jambatan Golden Gate, San Francisco


JAMBATAN Golden Gate menjadi laluan buat 120,000 kenderaan setiap hari. 

SESUAI dengan statusnya sebagai sebuah metropolitan, San Francisco sememangnya mempunyai pelbagai keunikan. Pulau Alcatraz, Fisherman Wharf, San Franciso Zoo, Chinatown, North Beach, Golden Gate Park, California Academy of Sciences dan sebagainya, semua menjanjikan keistimewaan tersendiri.

Terkenal dengan sejarah pelombongan emasnya satu ketika dahulu, kota yang berpusat di California, Amerika Syarikat (AS) itu menawarkan pelbagai pengalaman gastronomi, seni, budaya dan tarikan pelancongan yang mempesonakan para pengembara dari seluruh dunia.

Mercu tanda San Francisco yang paling terkenal di dunia ialah Jambatan Golden Gate.

19 Januari 2013

Yang Buruk Dan Hebat Tentang Bola Sepak



Jangan ambil mudah pengaruh sukan bola sepak. El Salvador dan Honduras pernah berperang kerana bola sepak. La guerra del futbol (perang bola sepak dalam bahasa Sepanyol) berlangsung selama 100 jam bermula pada 14 Julai dan berakhir pada 20 Julai 1969.

Sewaktu Yugoslavia masih wujud sebagai sebuah negara, cauvinisme kaum disemarakkan oleh dua pasukan iaitu Red Star Belgrade di Serbia dan Dinamo Zagreb di Croatia. Kebencian dua kaum ini dipancarkan di padang bola.

Dengan kematian Presiden Josip Broz Tito pada bulan Mei 1980, Yugoslavia tidak dapat bertahan sebagai sebuah kesatuan. Hanya diktator seperti beliau yang boleh menyatukan enam daerah di dalam Yugoslavia iaitu Croatia, Serbia, Bosnia-Herzegovina, Slovania, Montenegro dan Macedonia.

Panda China Ditempatkan Di Zoo Negara Pada Mei 2014

Tidak sabar rasanya menanti kehadirannya di Muzium Negara ...
Pastinya rakyat Malaysia yang lain pun sedemikian ...
Ingin melihat kecomelan beruang panda dengan mata kepala sendiri ...


Zoo Negara Bakal Terima Dua Panda Gergasi Dari China Mei 2014

Zoo Negara bakal menaikkan reputasinya sebagai destinasi tarikan pelancong apabila sepasang beruang panda gergasi dari China, Fu Wa dan Feng Yi, ditempatkan di situ bermula Mei 2014.

Sebelum ini pasangan panda ini dirancang untuk ditempatkan di Taman Wetland, Putrajaya. Zoo Negara dipilih sebagai lokasi penempatan kedua-dua beruang berkenaan kerana ia merupakan tempat paling sesuai berbanding Taman Wetland, Putrajaya.

18 Januari 2013

Waktu Mustajab Doa



Rasulullah SAW telah mengajar umat Baginda agar sentiasa menjaga adab-adab dalam berdoa. Ini adalah kerana doa merupakan sebuah permohonan dan permintaan yang dilakukan kepada Allah Yang Maha Esa.

Mana mungkin Allah SWT menerima sesuatu permintaan yang dibuat tanpa menggunakan bahasa yang terbaik, merendah diri dengan perasaan kehambaan dan pengharapan yang tinggi kehadrat-Nya.

Bahasa doa yang paling terbaik ialah dengan menggunakan bahasa yang ditunjukkan dalam al-Quran dan hadith. Jika kita amati, doa-doa yang dikemukakan oleh al-Quran dan hadith amat ringkas tetapi padat. Ia tidak berjela-jela dan meleret-leret sehingga terkeluar daripada maksudnya yang sebenar.

17 Januari 2013

MRT Dan Keupayaan Herrenknecht

MRT
"My Rapid Transit" (MRT)

Satu daripada cabaran utama yang sering dihadapi oleh bandaraya moden zaman sekarang ialah bagaimana menangani masalah kesesakan lalulintas berikutan bertambahnya penduduk dan bertambahnya pengguna kenderaan peribadi di jalan raya.

Di ibu negara Kuala Lumpur, pihak berkuasa telah mengambil pelbagai langkah untuk menangani persoalan ini termasuk pembinaan jejambat, jalan lingkaran luar dan lingkaran tengah selain usaha memperbaiki sistem pengangkutan awam.

Langkah-langkah ini diambil kerana permasalahan kesesakan lalulintas didapati berpunca daripada ramainya penghuni kota yang bekerja di kawasan pusat perniagaan yang padat dengan bangunan, yang kebanyakannya mempunyai jalan-jalan sempit.

16 Januari 2013

Caj Letak Kereta Diseragam Mengikut Empat Kategori


RAJA NONG CHIK (dua dari kiri) menunjukkan ruang letak kereta khas untuk wanita di KLCC. 

Kadar caj bayaran letak kereta di bandar raya ini diseragamkan mengikut zon dengan nilai siling yang ditetapkan bermula 15 Januari 2013.

Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata operator parkir diberi masa tiga bulan untuk mematuhi harga siling berkenaan.

Keputusan itu diambil selepas pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur membuat kajian dan mengadakan pertemuan dengan pengusaha tempat letak kereta bagi mencari mekanisme terbaik untuk mengatasi kadar bayaran yang mahal.

Kemewahan Ekosistem Galapagos


IGUANA marin antara haiwan natif yang mudah ditemui di kebanyakan kawasan di pulau ini.

MESKIPUN nama pulau ini tidak sepopular Kepulauan Mauritius atau Maldives dari aspek pelancongan komersial, ia tidak bermakna Galapagos langsung tiada aset atau pertaruhan menarik untuk dimuatkan dalam agenda pelancongan, khususnya di Amerika Selatan.

Terletak kira-kira 1,000 kilometer di sebelah barat benua tersebut, Galapagos merupakan gugusan 19 pulau yang mengandungi gunung berapi. Wilayah ini merupakan salah satu kawasan gunung berapi paling aktif di dunia.

Mendiami Lautan Pasifik lebih 10 juta tahun lalu, secara geografinya, gugusan kepulauan ini berada di bawah pemerintahan Ecuador yang merupakan negara ketiga terkecil di benua itu.

15 Januari 2013

Bahaya Kanta Lekap



Kanta lekap sebenarnya berfungsi bagi menggantikan cermin mata untuk memperbaiki kecacatan refraksi pada mata, di samping menjadi pelindung bagi beberapa jenis penyakit kornea.

Memang tidak dapat dinafikan, kanta lekap berperanan besar sebagai alternatif membantu si pemakai menghadapi gangguan penglihatan, namun risikonya yang berbahaya perlu anda tanggung sekiranya cara penggunaannya tidak dipatuhi.

Sekiranya masih ada yang memilih untuk menggunakan kanta lekap, sila pastikan anda dapat mendisiplinkan diri agar aspek kebersihan mata, tangan dan udara di sekeliling kamu benar-benar terjaga.

Kementerian Kesihatan Pantau 'Rokok Elektronik'

Melalui pengamatan saya, isu tentang rokok elektronik ini seakan suatu promosi kepada para perokok. Sebaik isu ini tersiar di media-media massa utama negara, tidak berapa lama kemudian terlalu kerap saya bertemu dengan perokok yang menghisap rokok elektronik ini.

Padahal tujuan isu ini dibangkitkan adalah agar timbul kesedaran di kalangan perokok tentang bahaya rokok jenis ini.

Rakan sepejabat saya juga dengan bangganya menunjukkan cara penggunaan rokok elektronik yang baru diperolehinya setelah dihadiahkan oleh seseorang kepadanya. 

"Dia hadiahkan aku benda ini .... nak suruh aku terseksa dahulu dengan penyakit sebelum mati..." katanya dalam nada bergurau sambil menghembuskan asap yang kononnya berperisa tertentu.



Kementerian Kesihatan memantau rapi penjualan rokok elektronik atau e-cigarette di pasaran bagi memastikan ia tidak menjejas kesihatan penggunanya, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata kementerian telah mengesan terdapat rokok elektronik yang mempunyai cecair nikotin dalam pelbagai kepekatan di pasaran.

"Pengguna harus tahu bahawa rokok elektronik yang terdapat cecair nikotin akan membawa padah kepada pengguna kerana ia hanya meningkatkan ketagihan merokok. Ia boleh menjadi suatu bencana," katanya.

Sebelum ini Pengarah kesihatan Negeri Sarawak Datuk Dr Zulkifli Jantan berkata bahawa menjual, mengedar atau menyimpan rokok elektronik adalah satu kesalahan di bawah Akta Racun 1952 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

14 Januari 2013

Muzium Coklat Kota Damansara Pertama Di Malaysia


Gambar Hiasan

BAGAI tidak terkira bilangan penggemar coklat di negara ini. Walaupun ada yang mengatakan coklat menyebabkan kegemukan, namun itu bukan penyebab untuk peminatnya menghindari makanan kegemaran ramai itu.

Dalam keenakan menikmati coklat, tentunya ada kalangan kita yang tidak tahu sejarah atau asal-usul bagaimana coklat itu dihasilkan. Cuma, hanya mendapat tahu maklumat sampingan sahaja iaitu coklat mampu memberi ketenangan dan menjadikan fikiran lebih rileks dan tenang.

Pasti rasa teruja bagi peminat-peminat coklat apabila dapat merasai sendiri pengalaman ketika menyusuri Muzium Coklat pertama di Malaysia dan Asia Tenggara ini dengan pelbagai maklumat menarik mengenai coklat. Muzium Coklat ini terletak di Seksyen 3, Kota Damansara, Petaling Jaya.

Menurut Pengurusnya, Mohd. Azuan Arshad, tujuan muzium ini dibina adalah sebagai platform memberi pengetahuan dan kesedaran secara terus kepada orang ramai mengenai sejarah coklat, kebaikan memakannya dan cara pembuatan coklat.

13 Januari 2013

Empat Bank Biaya Rumah Mesra Rakyat



Bermula tahun 2013 ini semua pemohon yang berkelayakan untuk memiliki Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) akan ditentukan melalui empat panel bank yang dipilih Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) iaitu CIMB, Bank Islam, Maybank dan Bank Rakyat. Proses permohonan skim tersebut berbeza apabila syarat permohonan pinjaman ditentukan oleh SPNB dan institusi kewangan yang dipohon.

Pengerusi SPNB, Datuk Idris Haron berkata, proses baharu itu menetapkan hanya individu yang memiliki sejarah pengurusan kewangan bersih layak memohon program tersebut selain tertakluk kepada polisi Bank Negara Malaysia (BNM).

Cerita Tentang Mee


Mee Sup ... Slurrrpp... Sedap ....

Mee merupakan antara makanan ruji bagi penduduk Asia dan dikatakan berasal dari negara China. Ini dibuktikan pada tahun 2002 apabila pakar arkeologi menemui mangkuk mengandungi mee yang telah berusia 4000 tahun di kawasan persisiran Sungai Kuning, China.

Pada masa itu tiada mesin yang digunakan untuk membuat mee tetapi mereka menggunakan teknik uli dan tarik dengan tangan bagi membentuk mee.

Sehingga kini, walaupun terdapat pelbagai mee di pasaran, mee yang dibuat secara tradisional iaitu yang diuli dan ditarik dengan tangan ini masih boleh didapati di restoran-restoran tertentu dan mengekalkan tradisi membuat mee ini.

12 Januari 2013

Imaginasi Filem Star Trek Jadi Realiti

Star Trek kini berada di Pusat Sains Negara menanti kunjungan anda semua ...
Bermula 19 Disember 2012 hingga 31 Mac 2013 ...
Rasailah pengalaman angkasa lepas di sana ...
Anda juga berpeluang untuk melihat gajet-gajet canggih ....
Yang dahulunya adalah imaginasi dalam Star Trek, tetapi kini telah menjadi realiti ...



SEKITAR pukul 11 pagi akhir Disember 2012 lalu, keadaan ruang pameran Star Trek: The Exhibition di Pusat Sains Negara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur yang agak sepi mula meriah dengan kehadiran para pengunjung.

Orang yang datang melawat mempunyai banyak ragam terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan kaum. Variasi usia semuda empat tahun sehingga mencecah 60 tahun.

Reaksi mereka juga berbeza-beza. Kanak-kanak berasa begitu teruja melihat kostum, prop-prop untuk lakonan dan set pakaian yang begitu unik. Bagi golongan dewasa pula, mereka melihat barang-barang pameran dengan begitu teliti sekali.

11 Januari 2013

Hukuman Jika Bawa Anak Kecil Ke Perhimpunan Demontrasi

Utamakan keselamatan anak-anak ...
Walaupun perhimpunan dirancangkan agar berlangsung secara aman ...
Tetapi banyak berlaku provokasi dalam perhimpunan berunsurkan politik sebegini ...
Dalam perhimpunan sebegini, kita juga tidak mengenali siapa yang terlibat dan berada di sekeliling kita ..
Ada kemungkinannya mereka adalah di kalangan yang mengambil kesempatan untuk mencetuskan huru-hara ...
Kelak tentu kita akan menyesali tindakan kita membabitkan kanak-kanak, jika berlaku kemungkinan  kecelakaan atau kecederaan terhadap mereka ...


Elakkan dari membawa anak kecil ke perhimpunan seperti ini ~ Gambar Hiasan.

Ibu bapa yang membawa anak-anak kecil dan anak remaja berusia 15 tahun dan ke bawah untuk menyertai perhimpunan yang dianjur pembangkang boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Malaysia, Datuk Noraini Mohd. Hashim berkata, ibu bapa atau penjaga dinasihat tidak melibatkan anak-anak di bawah jagaan mereka dalam aktiviti yang boleh mendatangkan kemudaratan seperti menyertai perhimpunan haram.

"Sekiranya gagal berbuat demikian, tindakan boleh diambil mengikut subseksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Tepati Janji Demi Hidup Yang Diredhai Allah


Katakan InsyaAllah Apabila Berjanji

Kita tidak terlepas daripada berjanji seperti janji terhadap diri sendiri, Allah dan Rasul, sesama manusia. Seperti kata ulama nusantara, Dr Hamka, kehidupan ini seluruhnya diikat dengan janji, mengakui diri sebagai hamba Allah, ertinya akan menepati janji dengan Allah.

Memang menabur janji manis sangat senang. Namun, apabila sampai detiknya ramai yang sengaja tidak menepati janji walaupun ketika itu sudah ada kemampuan. Penyakit sebegini patut dielakkan kerana boleh mengundang perpecahan dan tidak melambangkan ciri orang bertakwa.

Firman Allah SWT bermaksud: dan orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang yang bertakwa. (Surah Al-Baqarah, ayat 40)

10 Januari 2013

Tindakan Ke Atas Penyebar SMS dan Berita Palsu Di Internet



Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperingatkan orang ramai tentang bahayanya penyebaran berita palsu menerusi internet dan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS).

Ini ekoran berita palsu mengenai kesihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini.

“Kami mengambil serius perkara ini. Siasatan sedang dijalankan dan seperti biasa kami bekerjasama dengan polis dan jika didapati melanggar undang-undang, mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang sedia ada,” kata Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.

Guna Perisian Komputer Hasilkan Khat Kufi


Surah At-Takathur (Sumber: Lufti)

Perkembangan seni khat seiring teknologi

PERKEMBANGAN gaya penulisan khat kufi di Malaysia dianggap kian berkembang dan digunakan secara meluas sama ada untuk hiasan atau pun untuk tujuan dakwah.

Lihat sahaja logo rasmi yang digunakan Muzium Kesenian Islam Malaysia. Logo muzium dibina dalam bentuk karya kufi murabba dan ini jelas menunjukkan signatur pada muzium tersebut.

Apa yang penting dalam seni khat ialah, kebolehbacaan sesuatu tulisan dan mesej yang ingin disampaikan menerusi setiap karya khat.

09 Januari 2013

Sindrom Stockholm



MENGURUS mangsa trauma disebabkan keganasan fizikal atau emosi amat mencabar terutama melibatkan hal-ehwal perundangan seperti soal-siasat dan pendakwaan di mahkamah.

Ini kerana ada mangsa bersimpati kepada penjenayah dan enggan bekerjasama. Fenomena ini dipanggil Stockholm Syndrome. Nama ini diambil selepas satu rompakan bank di bandar raya Stockholm, Sweden pada 1973.

Dalam kejadian itu, dua orang perompak bersenjata merompak sebuah bank dan menahan empat tebusan selama enam hari. Operasi menyelamat dilakukan pada hari keenam. Malangnya ada tebusan cuba bertindak menyelamatkan perompak tersebut walaupun setelah mereka menyerah diri.

08 Januari 2013

Buah-Buahan Tempatan Kaya Khasiat



MALAYSIA kaya dengan pelbagai jenis buah tropika seperti durian, manggis, rambutan, duku dan langsat. Bagaimanapun bagi sesetengah orang, mereka menganggap bahawa memakan buah-buahan tempatan boleh menyebabkan mereka tidak sihat.

Adakah ini satu mitos? Sesetengah orang juga beranggapan bahawa buah import seperti epal dan anggur lebih berkhasiat berbanding buah-buahan tempatan yang bermusim.

Pelbagai persepsi negatif menjalar dan dilemparkan terhadap buah-buahan bermusim hingga menarik perhatian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menjelaskannya.

07 Januari 2013

eBuku Sebagai Industri Penyumbang KDNK Negara


eMall Karangkraf adalah ePenerbitan terawal di Malaysia

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir meluahkan harapan mahu menjadikan Lembah Kelang sebagai hab pembangunan dan perdagangan perbukuan digital (e-buku) di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik.

Mukhriz dalam ucapan ketika melancarkan perasmian Persidangan Pertama Kali eBuku ASEAN (AEC) 2012 di sini pada Disember 2012 lepas, melahirkan keyakinan bahawa aspirasi itu boleh dicapai berbekalkan kesungguhan dan kerjasama antara pihak yang berkaitan.

Berdasarkan kepada kejayaan industri eBuku di beberapa negara Asia seperti Jepun dan China, angka-angka yang ada memberi gambaran industri ini berpotensi cerah dan boleh dibangunkan sebagai antara industri utama negara.

06 Januari 2013

Terukir Di Bintang Versi Yuna dan Aizat



Terukir Di Bintang ~ Lagu ciptaan sepenuhnya dan nyanyian Yuna (Yunalis Zarai) layak ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL 27).



Bagaimanapun atas komitmen kerja-kerja berkaitan proses rakaman album terbarunya dengan penerbit David Foster di USA, Yuna tidak dapat menyanyikan sendiri lagu tersebut dalam pertandingan itu.

Akhirnya Yuna memilih Aizat Amdan untuk membawakan lagu tersebut dalam AJL 27 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada malam 6 Januari 2013.

Newsweek Akur Perubahan Trend Pembaca Masa Kini

Pembacaan Secara Online Adalah Trend Pembaca Masa Kini .....


NEWSWEEK majalah berita mingguan kedua terbesar di AS terpaksa akur dengan landskap pembacaan baharu masa kini.

SELEPAS ensiklopedia Britannica yang berusia 244 tahun ditamatkan penerbitannya awal Mac lalu, kini nasib sama menimpa majalah berita terkenal Amerika Syarikat, Newsweek yang diterbitkan buat kali terakhir pada 31 Disember 2012.

Bagaimanapun, hayat majalah berita mingguan kedua terbesar di Amerika Syarikat tidak sepanjang ensiklopedia Britannica kerana hanya mampu bertahan hampir 80 tahun apabila mula menemui pembacanya pada 17 Februari 1933.

Penamatan riwayat edisi cetak kedua-dua naskhah tersebut berlaku akibat penghijrahan trend pembacaan khalayak yang lebih gemar membaca secara dalam talian berbanding bahan bercetak kerana ia lebih cepat dan mudah, malah boleh didapati secara percuma.

05 Januari 2013

Had Gaji Mohon Skim Rumah Pertamaku Naik



Mulai bulan Januari 2013 ini, had pendapatan peminjam individu yang ingin memohon Skim Rumah Pertamaku dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 sebulan manakala bagi pendapatan bersama peminjam naik sehingga RM10,000 sebulan.

Langkah kerajaan menambah baik kriteria kelayakan permohonan itu bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki kediaman pertama.

Di samping itu, keperluan rekod simpanan bersamaan tiga bulan ansuran dan had perkhidmatan minimum enam bulan juga akan dimansuhkan.

Pendapatan 100 Jutawan Dunia Cecah RM5.77 Trilion Di Tahun 2012

Mereka ini sangat kaya ...
Dengan pendapatan tahunan setiap seorang adalah dalam kiraan 'ratusan bilion' ....
Cuba anda bayangkan, ada berapa sifar dalam kiraan 'ratusan bilion' ini ...

Anda hitung sendiri berdasarkan maklumat yang berikut:
(sistem yang digunakan di U.S.):

Hundred - 100 atau 2 Sifar
Thousand - 1,000 atau 3 Sifar
Million - 1,000,000 atau 6 Sifar
Billion - 1,000,000,000 atau 9 Sifar
Trillion - 1,000,000,000,000 atau 12 Sifar
Quadrillion - 1,000,000,000,000,000 atau 15 Sifar
Quintillion - 1,000,000,000,000,000,000 atau 18 Sifar


Carlos menduduki tempat pertama individu terkaya dunia manakala Robert Kuok, rakyat Malaysia tersenarai di tempat ke-41.


Jumlah kekayaan hartawan dunia bertambah di tahun 2012 yang lalu dengan peningkatan nilai bersih terkumpul masing-masing AS$241 bilion (RM732 bilion).

Indeks Jutawan Bloomberg iaitu ranking harian 100 individu terkaya di dunia, mendapati nilai bersih terkumpul keseluruhan 100 jutawan dunia adalah AS$1.9 trilion (RM5.77 trilion) selepas pasaran ditutup pada 31 Disember 2012 lalu.

Daripada 100 individu yang disenarai dalam ranking terakhir 2012, hanya 16 mencatatkan kerugian bersih dalam tempoh 12 bulan lalu.

04 Januari 2013

Tiada Had Harga Telefon Pintar Untuk Rebat RM200


Cepat! Rebut Peluang Ini Segera! 'Siapa cepat dia dapat!' ......

Jemaah Menteri telah bersetuju agar belia berumur 21 hingga 30 tahun berpendapatan RM3,000 ke bawah boleh membeli apa jua jenis telefon pintar tanpa mengira harga untuk mendapatkan rebat RM200 seperti yang diumumkan dalam Bajet 2013.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan di sini berkata, perkara itu diumumkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementerian tersebut pada 2 Januari 2013.

Pemberian rebat RM200 kepada 1.5 juta belia itu dilaksanakan di bawah Pakej Komunikasi Belia (PKB) selaras dengan pembentangan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  pada September 2012.

Menurutnya, pelaksanaan skim tersebut berdasarkan prinsip 'siapa cepat dia dapat' sehingga peruntukan RM300 juta untuk skim itu habis.

Amalan Pemakanan Rasulullah Cegah Obesiti



Kajian terbaru Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2010 mendapati 60 peratus rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 25 dikategorikan sebagai berat berlebihan.

Keseluruhannya, Malaysia kini menduduki tangga keenam di Asia dengan kadar obesiti tertinggi di kalangan dewasa.

Menurut laporan Malaysian National Health and Morbidity Survey pada 2006, sebanyak 43 peratus dewasa dan 38 peratus kanak-kanak di Malaysia adalah penghidap obesiti.

Allah SWT berfirman: “Dan makanlah dan minumlah, jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebihan." (Surah al-A’raaf, ayat 31)

03 Januari 2013

Bantuan RM100 Kepada Murid Sekolah Dibayar 15 Januari 2013


KESERONOKAN murid mendapat wang bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 seorang pada tahun lalu akan berulang mulai 15 Januari 2013 ini.

Bantuan Kerajaan untuk meringankan beban ibu bapa dengan menyalurkan wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100, bakal dinikmati pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara mulai 15 Januari 2013. Ia diberikan terus kepada ibu bapa secara berperingkat sehingga 15 Februari 2013.

Sebanyak RM498 juta diperuntukan dalam Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada setiap 4.98 juta pelajar di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata peruntukan sebenar yang disediakan bagi 2013 adalah RM540 juta, termasuk untuk pelajar sekolah swasta dan sekolah agama rakyat, tetapi kementerian belum menerima jumlah sebenar pelajar terbabit.

Khasiat Sayur



Dalam menyediakan dan menikmati makanan, kita hendaklah mengamalkan diet seimbang dan tidak berlebih-lebihan kerana makanan adalah diri kita yang memberi kesihatan atau sebaliknya kepada kita.

Sayur-sayuran sememangnya berkhasiat untuk tubuh kita, namun ada segelintir yang menolak untuk makan sayur dengan alasan rasa pahit dan pelik.

Alasan lain adalah tidak biasa mengambil sejak dari kecil lagi. Jadi tidak hairanlah kenapa mereka ini tidak menggemari sayur kerana amalan makan sayur tidak diamal sedari usia kanak-kanak.

Jadi ibu bapa harus lebih kreatif dalam menyediakan makanan untuk kanak-kanak dan fikirkan bagaimana cara untuk sematkan minat kanak-kanak untuk makan sayur.

02 Januari 2013

Hari Pertama Persekolahan Anak-Anak Prasekolah



Hari ini, sesi persekolahan bermula. Perasaan gembira, cemas, takut dan teruja semuanya bercampur-baur. Bukan saja ibu bapa, malah anak khususnya yang baru mula mengenal alam persekolahan, dapat disaksikan macam-macam ragam mereka.

Bagi kanak-kanak yang tidak biasa dengan suasana persekitaran baru itu, tadika dianggap tempat yang amat asing. Jika setiap hari dunia mereka hanya bersama ibu bapa dan adik-beradik di rumah, tetapi hari ini, ramai rakan sebaya daripada pelbagai latar belakang keluarga, kaum dan bahasa ditemui.

Ada yang menangis, merengek ketakutan dan bersembunyi di belakang badan ibu atau bapa, itu pemandangan biasa. Bila tengok rakan lain menangis, yang tidak menangis juga turut menangis. Ada yang tidak mahu masuk ke kelas dan tidak kurang juga ada yang tampak yakin bersahaja seakan tadika tempat baru yang menyeronokkan.

01 Januari 2013

Dapatkah Personaliti Diubah?



KITA sedang berada di ambang tahun 2013. Setiap kali menjelangnya tahun baharu, kita semua cuba untuk menetapkan azam baharu dan menjadi manusia yang lebih baik daripada apa yang sedang kita lalui hari ini.

Ada perkara yang mungkin mampu kita ubah dengan mudah, manakala ada yang tidak. Ada kelakuan atau tabiat tertentu yang dapat kita elakkan, tetapi sebahagiannya kekal sepanjang hayat.

Antara isu yang selalu didebatkan dalam kalangan ahli psikologi ialah adakah manusia mampu mengubah personalitinya? Adakah orang yang panas baran, misalnya, mampu menjadi manusia penyabar dengan semakin meningkatnya usia?