28 Februari 2013

Hospital Pengajar UIAM Mercu Pengamalan Konsep Syariah


Kulliyyah of Medicine UIAM ~ [Gambar Kredit: jimie1402.blogspot.com]

Bagaimana seseorang Islam hendak bersembahyang apabila anggota badan mereka dalam keadaan tidak boleh bergerak dan terlentang di katil sahaja kerana sakit?

Bagaimana pula hendak mengambil wuduk sebelum sembahyang apabila kaki dan tangan berbalut? Bagaimana seorang wanita yang sedang kesakitan hendak bersalin hendak sembahyang apabila masuk waktu sembahyang?

Biarpun bukan mewakili suara majoriti, namun masih ada antara kita (orang Islam) mempunyai persepsi mahupun anggapan bahawa kesakitan dihadapi sebagai alasan untuk tidak mengerjakan ibadat itu.

Walhal, ia antara satu tunjang Fardu Ain, yakni wajib melaksanakannya walau dalam apa keadaan sekalipun tanpa alasan. Tidak kiralah jika anda dalam keadaan sakit, musafir dan sibuk.

27 Februari 2013

Nilai Estetika Rumah Tradisional Melayu Klasik Sijangkang

Pada hari ini 27 Februari 2013, acara tahunan Hari Kraf Kebangsaan anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) akan diadakan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

Sempena perlancaran Hari Kraf Kebangsaan ini, saya kongsikan artikel berkaitan kehebatan seni kraftangan yang tersimpan dan terdapat di dalam sebuah rumah klasik di Kampung Sijangkang.



Kampung Sijangkang yang terletak di Kuala Langat, Selangor mengambil masa perjalanan kira-kira satu jam dari Kuala Lumpur.

Rumah kayu klasik milik seorang bekas seorang usahawan, Ahmad Ali, 50 terletak di Jalan Seri Tanjung, Sijangkang ini adalah rumah kayu yang popular di kampung tersebut. Rumah kayu berwarna coklat gelap itu tersergam indah di atas hamparan rumput yang menghijau.

Sebaik melangkah masuk rasa nyaman serta sejuk menyelubungi dan anda tentu akan merasa kagum tatkala melihat keunikan jubin lantai yang berwarna-warni diselangi kepingan papan dan batu sungai.

26 Februari 2013

Kids@Kepenggunaan Mendidik Pelajar Sekolah



MENYEDARI kepentingan pendedahan ilmu kepenggunaan kepada pelajar sekolah, kebanyakan sekolah hari ini telah mula mengajar ilmu kepenggunaan dan yang terbaharu Program Kids@Kepenggunaan telah pun dilancarkan.

Bertempat di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak, Baru Caves, Selangor, program tersebut yang dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilihat bertepatan dengan senario dunia hari ini yang menuntut generasi muda didedahkan dengan kesedaran berhubung isu kepenggunaan.

Program tersebut yang merupakan kerjasama antara KPDNKK dan Kementerian Pelajaran bertujuan memberi pendedahan berkaitan ilmu kepenggunaan dan gerak gempur cetak rompak kepada murid sekolah rendah.

25 Februari 2013

Hari Kraf Kebangsaan 2013


Peluang Lihat Kemajuan Kraftangan Di Hari Kraf Kebangsaan 2013

Selama 13 hari bermula 27 Februari 2013, peminat kraftangan serta pelancong berpeluang menyaksikan kehebatan seni kraftangan negara sepanjang berlangsungnya sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2013.

Acara tahunan ini anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) akan diadakan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

Matlamat utama penganjuran Hari Kraf Kebangsaan ke-11 ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada pembabitan serta sumbangan usahawan dan penggiat kraf dalam membangunkan industri kraf negara.

Ia juga berperanan sebagai medan untuk mempertemukan pengusaha kraf tempatan dengan pedagang dari dalam dan luar negara.

24 Februari 2013

Sarana Sekolah dan Ibu Bapa PPPM



Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah peringkat kebangsaan dilancar pada 24 Februari 2013 sebagai inisiatif untuk menyatukan setiap pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan masyarakat bagi melahirkan modal insan yang berkualiti global melalui sekolah.

Terkandung di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Sarana Ibu bapa mengandungi empat elemen iaitu penyediaan suasana pembelajaran di rumah, interaksi sosial dengan anak, komunikasi dengan anak dan sokongan terhadap kecemerlangan anak.

Sarana Sekolah pula mempunyai enam elemen iaitu iklim sekolah, komunikasi berkesan, sokongan terhadap kejayaan murid, tanggungjawab bersama, keputusan bersama, kerjasama dengan komuniti dan kumpulan sokongan ibu bapa.

Permata Hati Berbahasa Inggeris



Si Anak Vs Si Bapa Berbahasa Inggeris

Anak-anak lelaki saya yang berumur 14 dan 11 tahun begitu lancar berbahasa Inggeris kerana mereka berdua sering mempraktikkannya di setiap kesempatan.

Minat mereka terhadap Bahasa Inggeris bermula sejak mereka berusia 3 atau 4 tahun di mana mereka menunjukkan minat terhadap program VCD Magic English. Mereka menontonnya setiap hari tanpa jemu sehinggalah mereka mereka berusia 5 atau 6 tahun. Apabila mereka mula bersekolah mereka telah begitu bijak untuk memilih rancangan TV yang hendak ditonton.

Rancangan televisyen yang menjadi pilihan mereka adalah daripada saluran Disney Channel. Mereka menonton saluran tersebut dalam versi Bahasa Inggeris walaupun mereka mempunyai pilihan untuk menontonnya dalam Bahasa Melayu. Mereka memasang program tersebut dengan 'volume' yang agak tinggi barangkali dengan alasan untuk mengesan dialog dengan lebih jelas.

Di samping itu, mereka sering pula mencari maklumat daripada Wikipedia berbahasa Inggeris dan saling berbincang pula tentang bahan yang mereka baca dalam perbincangan bahasa Inggeris. Mereka beitu selesa sekali betutur alam bahasa tersebut.

23 Februari 2013

Hindari Anak Dari Didera


PENDERAAN datang dalam pelbagai bentuk sama ada fizikal, mental, emosi atau seksual.- Gambar hiasan

KEJADIAN yang menimpa Mohamed Haneez Mohd. Zamri, bayi lelaki berusia empat bulan yang menjadi mangsa dera seorang pembantu rumah di Kuantan, Pahang, pada Jumaat 15 Februari 2013 amat mengejutkan semua pihak.

Bayi berkenaan yang dilambung sehingga lebam kaki dan tangannya oleh pembantu rumah warga Indonesia itu diketahui menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang disaksikan oleh ibunya, Nina Suraya Sulaiman.

Nina Suraya, masih dikatakan seorang ibu yang bernasib baik kerana dapat melihat penderaan yang dilakukan menerusi peralatan canggih sebelum akhirnya mengambil tindakan untuk menyelamatkan anaknya.

Namun bagaimana pula keadaan kanak-kanak malang yang didera dari segi fizikal dan emosi oleh si penjaga, pengasuh di tempat asuhan atau sesiapa sahaja secara senyap, terutama bagi anak-anak yang masih bayi mahupun berusia dua hingga tiga tahun yang belum pandai bercakap.

22 Februari 2013

Tempoh Kemuka Borang Penyata Cukai Pendapatan (ITRF) 2012

Artikel berikut ini bolehlah dianggap sebagai suatu peringatan kepada semua tentang tanggungjawab mengemukakan Borang ITRF. Terutamanya kepada individu yang pernah menggunakan sistem e-Filing, kerana Borang ITRF tidak akan dihantar kepada mereka.

Pada pendapat saya, LHDN sepatutnya memberi peringatan kepada individu yang pernah menggunakan e-Filing tentang hal ini. Peringatan tarikh mula dan tarikh tutup sistem e-Filing kemungkinannya boleh dikirim melalui e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS) sesuai dengan perkembangan ICT terkini. Ini kerana dalam hal kesibukan dengan tugas-tugas harian kemungkinan ada individu yang akan terlepas pandang akan perkara ini.

Untuk ke laman sistem dan memulakan Sistem e-Filing LHDN sila klik https://e.hasil.gov.my/
Untuk mendapatkan maklumat Sistem e-Filing sila klik http://www.hasil.gov.my/
Untuk mendapatkan info berkaitan LHDN sila klik http://www.hasil.gov.my/



Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) sedang dalam proses menghantar Borang Penyata Cukai Pendapatan (ITRF) bagi kategori E, BE, B, M, P, TP, TF dan TJ bagi Tahun Taksiran 2012 kepada pembayar cukai yang meraih pendapatan daripada perniagaan dan / atau pendapatan lain.

Bagaimanapun, Lembaga itu tidak akan mengeluarkan ITRF bagi Tahun Taksiran 2012 kepada pembayar cukai yang sebelum ini mengemukakan borang melalui e-Filing (termasuk m-Filing).

Pembayar cukai boleh terus menggunakan perkhidmatan e-Filing untuk mengemukakan ITRF mereka bagi Tahun Taksiran 2012 mulai 1 Mac 2013.

Taubat ~ Sikap Manusia Terhadap Dosa



SEBAGAI manusia, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Kita bukannya seperti malaikat yang terhindar daripada melakukan dosa dan maksiat kepada Allah SWT. Kita juga bukan seperti para Nabi dan Rasul AS yang maksum iaitu sentiasa dipelihara oleh Allah SWT daripada dosa dan penderhakaan.

Kelemahan yang ada pada diri kita menyebabkan kita mudah dikuasai oleh nafsu yang mengatasi iman kepada Allah SWT dan hari Akhirat. Lantas mendorong diri kita kepada melakukan dosa yang bakal mengundang kemurkaan Allah SWT.

Imam al-Ghazali menyebut perbuatan dosa itu ibarat makanan yang memudaratkan badan manusia. Begitulah apabila manusia melakukan dosa dan terkumpul dalam dirinya ia akan meracuni jiwa dan menghakis keimanannya.

21 Februari 2013

Syarat Kelahiran Yang Layak Menjadi Warganegara

Tentunya ramai di kalangan kita kini masih belum jelas tentang syarat untuk menjadi warganegara. Sebagai contoh, adakah semua jenis kelahiran bayi di Malaysia diiktiraf sebagai wargenegara? Kita ikuti penjelasannya.


Pemberian Sijil Lahir Kepada Anak Warga Asing Bukan Pengesahan Warganegara - JPN

Pemberian sijil lahir kepada anak warga asing yang lahir di Sabah bukan pengesahan sebagai warganegara, kata Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pendafataran Negara (JPN) Sabah Jainisah Mohd Noor.

Katanya, biarpun setiap kelahiran wajib didaftarkan dengan JPN, penentuan status warganegara adalah berdasarkan undang-undang, termasuk pengiktirafan perkahwinan ibu bapa di negara ini.

"Ramai yang menganggap anak warga asing yang memiliki sijil lahir JPN mendapat taraf warganegara secara automatik. Sebenarnya, ini tidak tepat.

Peraturan Perlindungan Pengguna Untuk Peniaga Dalam Talian


Peraturan Baharu Peniaga Dalam Talian Berkuat Kuasa 1 Julai 2013

Mulai 1 Julai 2013 ini, semua perniagaan dan perkhidmatan dalam talian perlu mematuhi peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 bagi menjamin kepentingan kepenggunaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peraturan itu penting memandangkan seramai 1.1 juta rakyat negara ini menjalankan urusniaga dalam talian (perdagangan elektronik) dengan nilai perniagaan sebanyak RM1.8 bilion pada 2010 dan dijangka meningkat kepada RM5 bilion menjelang 2014.

Beliau berkata sektor perjalanan menyumbang RM435 juta (24 peratus), pembayaran bil RM329 juta (18 peratus), hiburan dan gaya hidup RM255 juta (14 peratus), IT dan elektronik RM218 juta (12 peratus), insurans am RM205 juta (11 peratus), fesyen dan kecantikan RM181 juta (10 peratus) serta hadiah dan cenderahati RM68 juta (4 peratus).

20 Februari 2013

Jangan Abaikan Sakit Belakang

Pada hari selasa 12 Februari 2013, saya dapati bahagian belakang saya terasa sakit ketika rukuk di dalam solat. Saya fikir mungkin kesakitan biasa akibat terlalu lama duduk sepanjang tempoh memandu dari Temerloh ke Banting.

Malam itu saya minta anak saya yang berumur lima tahun memijak bahagian belakang saya untuk melegakannya sedikit. Hari demi hari berlalu, tetapi sakit di bahagian belakang saya ini masih lagi terasa. Cuma kesakitan itu tidak lagi seberat yang saya rasa pada hari selasa minggu yang lalu.

Setakat ini saya belum lagi berhasrat mendapatkan sebarang rawatan doktor. Saya harap kesakitan yang saya alami ini akan pulih dengan izin Allah tanpa membawa sebarang kemudaratan.



SAKIT pada belakang badan merupakan sakit yang kerap berlaku pada setiap orang dewasa. Lazimnya, seseorang itu akan mengalami episod kesakitan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Namun, ramai dalam kalangan kita mengambil ringan terhadap sakit belakang. Walaupun kebanyakan sakit belakang tidak mengundang bahaya atau membawa maut, ia wajar mendapat perhatian yang teliti sekiranya berterusan.

Antara penyebab sakit belakang yang sering berlaku ialah 'slipped disc' atau cakera tergelincir. Ia boleh terjadi pada mana-mana kedudukan antara 33 vertebra yang membentuk tulang belakang.

19 Februari 2013

Meteor, Meteorit, Meteoroid, Tahi Bintang ...


Meteor jadi meteorit bila sampai ke bumi, tetapi kekal sebagai tahi bintang

ORANG sekarang tidak lagi panggil batu-batu dari angkasa itu sebagai tahi bintang. Mereka memanggilnya meteor. Seperti mana orang sekarang tidak memanggil astronomi sebagai kaji bintang.

Meteor adalah perkataan Inggeris yang telah diterima ke dalam Bahasa Malaysia. Asalnya meteor bermaksud kesan-kesan laluan meteoroid di langit yang di lihat dari bumi. Gumpalan asap dan cahaya seperti yang dilihat di sekitar pergunungan Ural di Rusia Jumaat 15 Februari 2013 lalu ialah meteor.

Tetapi batunya dipanggil meteoroid. Selalunya meteoroid tidak sampai ke bumi tetapi pecah dan hangus di ruang udara kerana geseran kuat yang dilaluinya. Apabila meteoroid jatuh ke bumi, ia berubah nama menjadi meteorite dalam bahasa Inggeris, atau meteorit dalam Bahasa Malaysia.

Namun begitu, tahi bintang tidak berubah nama bila ia sampai ke bumi. Ia tetap dipanggil sebagai tahi bintang. Ketiga-tiga perkataan meteor, meteoroid dan meteorit adalah tahi bintang.

18 Februari 2013

Individu Terkaya Malaysia 2013

Pernah orang bertanya kepada saya apa pentingnya memaparkan berita tentang individu terkaya ini. Pada saya terpulang kepada cara seseorang melihat berita tersebut. Ada orang yang tidak kisah langsung tentangnya. Ada pula pihak yang akan mencemburui kejayaan mereka lalu memberikan bermacam-macam andaian.

Yang terbaik adalah menjadikan kejayaan dan kekayaan mereka suatu motivasi. Kebanyakan individu terkaya ini (kecuali mereka yang telah mewarisi empayar perniagaan keluarga) bermula daripada seorang individu biasa yang berusaha kuat untuk memperkasakan perniagaan mereka sendiri.

"Saya sendiri melalui pahit maung dan merasai segala-galanya untuk sampai ke tahap ini. Tidak ada jalan yang singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini dari kecil lagi, dan saya juga biasa kena tipu. Memang kena banyak sabar dan kuat berusaha. Semasa mula-mula berniaga dulu saya pun biasa kena tindas." demikian kata Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Dengan memiliki kekayaan seseorang berpeluang membuat kebaikan membantu pihak-pihak yang memerlukan sebagai tanda bersyukur atas rezeki yang Allah limpahkan.

"Kekayaan ini Tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula. Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain." kata Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. [Rujuk: Utusan]


Robert Kuok.

Robert Kuok, hartawan Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong masih merupakan orang terkaya di Malaysia dengan kekayaan bernilai RM46.1 bilion, meningkat sebanyak 0.88 peratus daripada RM45.7 bilion tahun 2012 lalu, diikuti oleh ahli perniagaan, Ananda Krishnan dan Pengerusi / CEO Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow.

17 Februari 2013

Meteor Jatuh Di Chelyabinsk Rusia


Gambar yang disediakan www.chelyabinsk.ru menunjukkan dengan jelas hujan meteor yang melanda bandar Ural, di Chelyabinks.

Sebutir tahi bintang (meteor) seberat 11 tan jatuh di kawasan padat dengan penduduk di bandar Chelyabinsk, pergunungan Ural (bahagian tengah Rusia), kira-kira 1,500 kilometer dari Moscow sebelum ia meletup pada awal pagi 15 Februari 2013 menyebabkan lebih 1,000 orang cedera.

Tahi bintang itu mempunyai kelajuan 54,000 kilometer sejam dan meletup pada ketinggian 30 hingga 50 kilometer di udara, kata Akademi Sains Russia.

Serpihan besar batu angkasa itu dikatakan mempunyai kekuatan menyamai kekuatan 30 butir bom nuklear yang digugurkan di bandar Hiroshima ketika Perang Dunia Kedua.

Ia bersepai berpuluh-puluh kilometer di atas Bumi, namun serpihannya dipercayai terhumban ke beberapa tempat di wilayah perindustrian itu.

Tujahan meteor itu menghasilkan gelombang kuat yang memecahkan tingkap kaca lebih 5,000 bangunan di wilayah tengah Rusia dan juga mencederakan lebih 1,200 penduduk tempatan.

16 Februari 2013

Mutesi Jaguh Catur Dari Setinggan Uganda

Saya bukanlah seorang yang sangat handal bermain catur. Bagaimanapun di zaman persekolahan saya dulu, saya pernah begitu asyik berlawan catur dengan adik-adik di hujung minggu di samping permainan dam haji.

Permainan catur dikatakan mampu mencerdaskan minda. Atas alasan itu, saya cuba mendorong anak-anak saya supaya turut meminati catur dengan membelikan set catur. Saya juga men'download' dan 'install' applikasi permainan ini ke dalam laptop sesuai dengan perkembangan teknologi masa kini.

Apa yang kurang menggembirakan ialah permainan catur tidak menarik perhatian mereka. Bidak-bidak catur hilang satu persatu. Dengan adanya pelbagai gadget elektronik yang menawarkan segala macam 'game' harapan saya untuk melahirkan pemain catur di kalangan anak-anak saya tidak tercapai.

Saya tertarik dengan artikel berikut. Saya kira catur menjadi pilihan kanak-kanak di Uganda kerana pada mereka ia adalah permainan yang canggih berbanding permainan tradisional mereka. Pemain catur yang handal dapat dilahirkan dengan jayanya memandangkan tiada pengaruh gadget elektronik yang masih lagi asing di kalangan mereka semua.


MUTESI sedang mencongak pergerakan buah caturnya di sebuah pusat komuniti di Katwe.

DUDUK di dalam sebuah bilik yang hanya bercahaya malap, seorang remaja perempuan, Phiona Mutesi merenung tajam papan catur di hadapannya. Dia sedang mengatur langkah seterusnya yang semakin sukar.

"Catur telah mengubah hidup saya," kata Mutesi, sambil mengalih cermin mata berbingkai tebal yang bertenggek di atas hidungnya.

15 Februari 2013

Pemurah Rasulullah SAW Tiada Tandingan


Skop pemurah itu tidak wajar disemptikan. - Gambar hiasan

MEMANDANGKAN kita masih berada di dalam bulan Rabiulawal di mana ia adalah bulan Baginda Rasulullah SAW diputerakan, maka penulis terpanggil untuk mentafsirkan ayat-ayat berkaitan dengan Baginda SAW agar kefahaman dan makrifah kita terhadap Baginda SAW akan lebih jelas dan difahami dengan sebaik mungkin.

Marilah kita bersama-sama menekuni sepotong ayat suci al-Quran yang bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik. (al-Ahzab: 21)

14 Februari 2013

Memahami Simptom Stress Dalam Kewangan


Don't Let Money Stress You!

TIADA belenggu yang lebih menjerat melainkan apabila seseorang itu hidup berlebih daripada kemampuannya. Asas utama dalam membina kestabilan kewangan adalah untuk berbelanja mengikut kadar kemampuan diri. Namun, dengan trend yang membudayakan hidup berhutang untuk berbelanja, ramai yang gagal pada perkara asas ini.

Isu ini biasanya berlaku kepada golongan berpendapatan tengah di mana mereka mempunyai akses kepada kredit dan pada masa sama terpaksa mengimbangkan antara keinginan dan kemampuan.

Hidup secara bersederhana wajar menjadi panduan tetapi apabila keinginan menguasai diri, kemudahan kredit yang ada sering disalah guna sehingga menjerumuskan diri ke kancah hutang. Jadi bagaimanakah kita dapat mengetahui kita sebenarnya hidup melebihi kadar kemampuan?

13 Februari 2013

Hak Untuk Hidup Anak Tak Sah Taraf

Peringatan:

Tarikh 14 Februari setiap tahun menjadi tarikh yang ditunggu-tunggu oleh pasangan bercinta sebagai hari untuk memperingati dan meluahkan cinta sejati kononnya kepada pasangan masing-masing. Amalan songsang seperti ini sudah menjadi taqwim tahunan remaja dan semestinya penganut agama Kristian.


Perbuatan untuk meraikan sambutan Hari Kekasih amat bercanggah dengan syara’ kerana ianya mempunyai unsur kepercayaan agama kristian dan menjurus kepada keruntuhan akhlak.

Selain itu, sambutan yang tidak berfaedah ini dirai dengan penuh adegan maksiat seperti berdua-duaan, berpeleseran hatta membawa kepada perbuatan seks bebas. Seterusnya peristiwa inilah yang membawa kepada gejala kelahiran Anak Tak Sah Taraf.


Bayi yang baru lahir itu umpama kain putih yang suci bersih.- Gambar hiasan

12 Februari 2013

Nyawa Bayi Di Titisan Susu Ibu


Percampuran susu ibu yang dikumpulkan melalui bank susu boleh mengakibatkan kekeliruan nasab. - Gambar hiasan.

KELAHIRAN bayi pra-matang, ibu mempunyai penyakit berjangkit serta tidak dapat mengeluarkan susu badan dengan sempurna adalah antara permasalahan yang merunsingkan ibu bapa seusai sesuatu kelahiran.

Lebih membimbangkan, bayi yang terputus sumber makanan utama itu juga tidak dapat menerima susu formula yang dihasilkan bagi menggantikan susu ibu tersebut.

Perkara ini bukan sahaja memberi risiko kepada bayi, malah boleh mengakibatkan kematian kerana bayi tidak mendapat keperluan zat makanan yang mencukupi dan seimbang.

Sehingga direkodkan melalui kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendapati, risiko kematian bayi dan kanak-kanak kecil di negara membangun meningkat sehingga 10 ke 15 kali bagi mereka yang tidak menyusu badan pada usia tiga bulan pertama.

11 Februari 2013

Tangani Stres Dengan Sebaiknya



Apa itu stres?

Stres adalah tekanan perasaan iaitu gangguan emosi kesan tindak balas sesuatu di luar kebiasaan atau kemampuan seseorang atau disebabkan sesuatu beban yang menimpa seseorang. Apabila berlaku stres, badan menghasilkan hormon adrenalin dan cortison yang menyebabkan jantung berdegup lebih laju, pernafasan lebih kencang dan tekanan darah meningkat.

Dr Hans Selye, pengasas teori tekanan perasaan atau stres, mendefinisikannya sebagai reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang disebabkan sesuatu bebanan yang menimpanya.

Menurut Perunding Psikologi Pusat Perubatan Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Khairi Rahman, tekanan adalah perubahan fisiologi yang boleh dilihat secara ketara dalam diri seseorang. Ia terhasil apabila seseorang itu berasa keperluan melebihi keupayaan.

10 Februari 2013

Saintis Jepun Temui Spesies Sotong 'Terbang' Neon



Gambar yang diambil oleh Kouta Muramatsu dari Universiti Hokkaido pada 25 Julai 2011 merakamkan spesies sotong laut yang dipercayai mampu terbang, ditemui di barat laut Pasifik kira-kira 600 kilometer dari timur Tokyo. 

Saintis Jepun mendedahkan penemuan satu spesies sotong laut yang mampu 'terbang' sehingga 30 meter di udara dengan kelajuan lebih pantas berbanding pelari pecut nombor satu dunia, Usain Bolt.

Penyelidik Universiti Hokkaido, Jun Yamamoto berkata, Sotong Terbang Neon itu, juga berkeupayaan melompat dari permukaan air bagi mengelakkan diri dimakan pemangsa, sebelum membuka sirip untuk terbang pada kelajuan 11.2 meter sesaat.

09 Februari 2013

Agar Makanan Tahan Lama


Simpan cara betul, elak tercemar dan menyebabkan keracunan

Ramai Pakar Pemakanan bersetuju, cara penyimpanan makanan tidak betul, boleh menyebabkan ia mudah tercemar, sekali gus membuka ruang keracunan pada orang memakannya.

Sakit perut, muntah-muntah atau kehilangan air dalam badan antara kesan ketara akibat makan makanan yang sudah rosak atau tercemar. Malah dalam kes terpencil ada yang menemui ajal kerana lambat mendapatkan rawatan.

Kadangkala makanan dibeli di pasar atau pasar raya, sememangnya bersih dihasilkan, tetapi kerana kita tidak menyimpannya makanan dengan baik serta betul, maka kuman serta bakteria mudah menghinggapi. Makanan yang bersih adalah kunci kesejahteraan sekeluarga.

08 Februari 2013

Makrifah Rasulullah SAW



ALHAMDULILLAH, segala puji bagi Allah dan selawat serta salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Peri pentingnya umat Islam pada masa kini mengenali Rasulullah SAW. Pesanan dan wasiat seorang sahabat Nabi yang bernama Sa'd bin Abi Waqas ra. Antara lain katanya: "Kita hendaklah mengajar anak-anak kita peperangan Rasulullah SAW seperti mana kita mengajar mereka surah-surah al-Quran."

Kenyataan ini jelas menunjukkan betapa Rasulullah SAW begitu hampir dalam kehidupan kita kecuali kabus kemewahan dan kelalaian telah menjadi hijab untuk kita makrifah dan mengenali Rasulullah SAW yang sewajibnya kita beriman dan mencintainya.

Mengikut riwayat al-Tabarani, daripada Saidina Ali ra, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Didiklah anakmu atas tiga sifat, cintakan Nabimu, cintakan keluarganya dan membaca al-Quran. Ini kerana pembawa al-Quran berhak mendapat bayangan lindungan Arasy Allah pada hari tiada sebarang lindungan kecuali lindungannya bersama para nabi dan orang-orang yang dipilihnya."

07 Februari 2013

Skim Prihatin Pendidikan 1Malaysia (SPPIM)


Kerajaan lancar skim pinjaman khas untuk penuntut pengajian tinggi

Kerajaan pada 6 Januari 2013 telah melancarkan skim pinjaman khas untuk pelajar melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda dan sarjana dikenali sebagai Skim Prihatin Pendidikan 1Malaysia (SPPIM).

Pelancaran dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Ketika melancarkannya, Najib berkata, untuk permulaan skim itu boleh didapati menerusi Maybank dan RHB Bank dengan peruntukan RM5 bilion.

Perdana Menteri berkata, skim diperoleh melalui bank atau institusi kewangan dan setakat ini Maybank dan RHB Bank bersetuju menyertai skim berkenaan.

Unit Rondaan Bermotosikal Guna Kawasaki Ninja 250



Unit Rondaan Bermotosikal (URB) polis dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 19 Disember 2012. Pada peringkat permulaan, sebanyak 560 buah motosikal jenis Kawasaki Ninja 250 dilengkapi sistem lampu dan siren telah disediakan bagi program itu di enam buah negeri iaitu di Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kedah.

Unit Rondaan Bermotosikal (URB) polis akan diperluaskan jika operasi itu berkesan mengurangkan jenayah serta bagi memenuhi tuntutan rakyat yang mahu menikmati kesejahteraan hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kajian keberkesanannya dinilai semula dalam enam bulan selepas pelancarannya pada 19 Disember 2012. Beliau berkata demikian ketika melancarkan URB di Bandar Kinrara, Puchong.

06 Februari 2013

Raja Abdullah Peneroka Bijih Timah Di Kuala Lumpur



Jalan Raja Abdullah di Kampung Baru, Kuala Lumpur dikelilingi pembangunan pesat bandar raya. Laluan yang bermula dari persimpangan lampu isyarat di Jalan Raja Muda Abdul Aziz sehingga ke persimpangan Jalan Dang Wangi itu sememangnya rancak dengan pelbagai aktiviti sama ada siang atau malam.

Daripada tradisi bubur lambuk di Masjid Jamek Kampung Baru kepada Pasar Chow Kit yang penuh bersejarah di Jalan Raja Alang sehingga gelaran syurga gastronomi di Jalan Raja Muda Musa dan sekitarnya menjadikan Jalan Raja Abdullah dekat dalam sanubari warga kota.

Namun, di sebalik kemasyhuran laluan yang juga dikenali sebagai Hale Road satu ketika dahulu, mungkin tidak ramai yang berpeluang mengetahui sejarah dan kisah pemilik namanya, Raja Abdullah Raja Jaafar.

05 Februari 2013

FAM Tolak Hasrat PKNS Guna Khidmat Nazmi Lebih Awal

PKNS terpaksa menangguhkan hasrat untuk menurunkan Nazmi Faiz Mansur dalam perlawanan Liga Super menentang Felda United pada 16 Februari 2013 atas peraturan FAM yang berikut:

1. Nazmi Faiz Mansor perlu memiliki Sijil Perpindahan Antara bangsa sebelum mengemukakan permohonan menyertai pasukan baru.

2. Mana-mana pasukan tidak boleh menurunkan pemain baharu sehingga jendela perpindahan kedua dibuka dari 8 hingga 22 April 2013 kerana pendaftaran siri pertama perpindahan pemain Liga Malaysia tamat 6 Disember 2012.

3. Mana-mana pemain yang keluar dari kelab lain sama ada dalam negara atau luar negara perlu kembali ke kelab asal mereka.



04 Februari 2013

Rawat Rhinitis Alergi Dengan Berkesan


MASALAH rinitis alergi mengganggu kualiti hidup seharian si penghidapnya. - Gambar hiasan

DIANGGARKAN hampir 1.4 bilion orang di seluruh dunia menghidap gangguan alergi. Statistik tersebut semakin meningkat hingga menjadikannya salah satu masalah perubatan kronik yang paling lazim berlaku di dunia.

Dalam perkembangan lain, kes rhinitis alergi di rantau Asia Pasifik juga telah banyak meningkat dalam tempoh 10 tahun lalu.

Rhinitis merupakan sejenis penyakit yang sering berlaku dan menjejaskan kira-kira 40 peratus penduduk Malaysia.

Berdasarkan angka tersebut, alergi adalah punca utama rhinitis dalam kalangan kanak-kanak dan golongan pertengahan usia iaitu sebanyak 80 peratus.

03 Februari 2013

Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP)



Latar Belakang Taman Negara Tanjung Piai

Taman Negara Johor Tanjung Piai yang terletak di berhampiran Tanjung Piai di mukim Serkat, daerah Pontian, Johor merupakan tanah paling selatan di benua Asia. Ia menyimpan pelbagai khazanah berharga alam semulajadi yang kaya dengan hutan, hidupan paya bakau serta flora dan fauna.

Dengan keluasan 926 hektar, Taman Negara Tanjung Piai menempatkan mercu tanda daratan penghujung di benua Asia, iaitu peta dunia yang dibina atas sebuah pelantar menghadap Selat Melaka. [Wikipedia]

Ia diluluskan sebagai taman negara pada 1997 sebelum diisytiharkan antara Tapak Ramsar Malaysia pada 31 Januari 2003, sebelum diwartakan menjadi Taman Negara Johor pada 26 Februari 2004 membabitkan kawasan seluas 926 hektar.

Kira-kira 526 hektar daripada kawasan taman negara ini meliputi hutan bakau, manakala bakinya dataran berlumpur. Pelbagai spesies bakau boleh didapati di taman negara itu termasuk bakau minyak, tulen, kurap, lenggadai dan bakau putih, selain dihuni hidupan seperti ketam, belacak, kera dan lotong cikong.

02 Februari 2013

Mengesan Potensi Anak Menerusi Cap Jari



SETIAP kanak-kanak dikurniakan bakat semula jadi sejak kecil lagi. Hakikatnya, tidak ramai golongan ibu bapa menyedari potensi anak-anak mereka walau secara lazimnya bakat mereka ini dapat diperhatikan ketika mereka masih kecil lagi.

Bakat semula jadi ini bukan dibina melalui proses penyesuaian luar atau dilatih tetapi potensi diri mereka berdasarkan kecenderungan atau cara minda bertindak balas terhadap lingkungan stimulasi.

Bakat semula jadi ini boleh dikenal pasti sejak awal melalui analisa cap jari anak yang bertujuan untuk memberi idea kepada ibu bapa berusaha menyokong si kecil menerusi bakat dimiliki.

01 Februari 2013

Ya Hanana

Ya Hanana - Halaqah Sentuhan Qalbu





Penghalang Doa


Doa adalah talian hayat dalam kehidupan seorang insan bernama hamba dengan Allah SWT.
~ Gambar hiasan

ANTARA sifat seorang Mukmin sejati ialah sentiasa memohon dan meminta kepada Allah SWT dengan penuh pengharapan dan bersungguh-sungguh. Doa adalah talian hayat dalam kehidupan seorang insan bernama hamba dengan Allah yang Maha Berkuasa.

Apabila seseorang hamba itu berdoa, dia akan merasakan Allah SWT sentiasa dekat dengannya, mengawal dan memerhatikan segala tindakannya tanpa henti. Apabila seseorang hamba itu berdoa, dia perlu yakin dan percaya bahawa doanya itu akan diperkenankan oleh Allah SWT.

Keyakinan ini berasaskan kepada firman Allah SWT yang bermaksud: Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina. (al-Mukmin: 60)