Nuff Atas

21 Mac 2014

Kisah Talut dan Jalut



BERTAHUN-tahun setelah Nabi Musa A.S. wafat, Bani Israel mula melupakan ajaran baginda. Mereka pun menjadi bangsa yang lemah dan berpecah-belah. Mereka memerlukan seorang pemimpin yang dapat menyatukan mereka kembali.

Allah SWT mewahyukan kepada Samuel, pemimpin agama Bani Israel, agar melantik seorang pemuda bernama Talut. Talut memimpin Bani Israel untuk membebaskan dan mengembalikan harga diri mereka daripada tangan musuh.

Beliau (Samuel) menyiapkan pasukannya untuk berperang melawan pasukan Filistin (kini Palestin) yang dipimpin oleh Jalut.


Meskipun menghadapi banyak dugaan, dengan semangat dan pertolongan Allah SWT, pasukan Talut berjaya menumpaskan pasukan Jalut. Walaupun berjumlah kecil, mereka setia bersama Talut bersedia menghadapi Jalut dan pasukannya. Mereka yakin bahawa Allah SWT akan menolong mereka mengalahkan pasukan Jalut.

Kisah Talut dan Jalut ini terdapat di dalam al- Quran, surah al-Baqarah, ayat 246 hingga 252.

Jalut

Ketika Talut diangkat menjadi pemimpin, Bani Israel dijajah oleh bangsa Filistin yang jauh lebih kuat. Pasukan Filistin dipimpin oleh seorang komander yang bertubuh sangat besar bernama Jalut. Jalut dibunuh oleh anak kecil yang kemudian menjadi seorang nabi, iaitu Daud.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka (tentera Talut) mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah dan (dalam peperangan itu) Daud membunuh Jalut, kemudian Allah memberikan kepadanya (Daud) pemerintahan dan hikmah (sesudah meninggalkan Talut) dan Allah mengajarkan kepadanya apa yang dikehendaki-Nya. Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain; pasti rosaklah bumi ini. tetapi Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) atas semesta alam. (al-Baqarah: 251)

Talut

Pelantikan Talut sebagai raja Bani Israel sangat mengejutkan. Ini kerana Talut bukan berasal daripada keluarga bangsawan. Maka Bani Israel pun menolaknya. Namun, Samuel menjelaskan bahawa Talut adalah orang yang paling tepat. Allah SWT telah memilihnya, menganugerahkan kepadanya keluasan dan kematangan ilmu serta tubuh yang kuat.

Perang Israel - Palestin

Talut menyeru Bani Israel memerangi musuh mereka yang kafir. Beliau dan pasukannya pergi ke medan perang. Apabila melihat pasukan Jalut yang lebih besar jumlahnya, beberapa orang daripada pasukan Talut berasa takut dan mengundurkan diri.

Jumlah pasukan Talut pun semakin sedikit. Maka Talut berdoa kepada Allah SWT yang bermaksud: Ya Tuhan kami, curahkanlah kesabaran atas diri kami dan kukuhkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap orang-orang kafir. (al-Baqarah: 250).

Allah SWT memenuhi permohonan Talut. Pasukannya berjaya mengalahkan pasukan Jalut.

Air sungai

Ketika berangkat ke medan perang, Talut berkata kepada anggota pasukan tenteranya, Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai. Maka sesiapa antara kamu meminum airnya, dia meminumnya, kecuali dengan seceduk tangan. Maka dia adalah pengikutku…. (al-Baqarah: 249)

Ketika sampai di sungai, sebahagian besar pasukannya membangkang. Hanya sebahagian kecil yang taat kepada Talut.

Tabut

Sesudah Nabi Musa A.S. wafat, Bani Israel berpecah-belah dan sangat lemah. Tabut, peti daripada Allah SWT yang berisi kitab Taurat dan sepatutnya dijaga mereka, telah hilang. Tetapi, semasa pelantikan Talut, Tabut itu kembali ke tangan Bani Israel.

Ketika itu Samuel mengatakan bahawa pelantikan Talut oleh Allah SWT untuk memimpin Bani Israel ditandai dengan kembalinya Tabut.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan nabi mereka mengatakan kepada mereka: Sesungguhnya tanda ia akan menjadi raja, ialah kembalinya tabut kepadamu, di dalamnya terdapat ketenangan daripada tuhanmu dan sisa daripada peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun; tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya pada demikian itu terdapat tanda bagimu, jika kamu orang yang beriman. (al-Baqarah: 248).

Setelah mendapatkan Tabut kembali, barulah Bani Israel percaya akan perkataan Samuel dan bersetuju dengan pelantikan Talut.

Disediakan oleh:
Bahagian Analisa dan Penyelidikan, Yayasan Dakwah islamiah Malaysia
Sumber: Utusan

0 comments: