Nuff Atas

26 Mei 2014

Japan Juara Piala Thomas 2014 Selepas Atasi Malaysia


Piala Thomas: Jepun Juara Selepas Atasi Malaysia 3-2

Jepun menjuarai Piala Thomas selepas menewaskan Malaysia 3-2 pada perlawanan akhir di Stadium Tertutup Siri Fort di New Delhi, pada 25 Mei, 2014.

Ini merupakan kali pertama Jepun mendakap trofi Piala Thomas dalam penampilan sulung mereka di pentas final sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1949.

Jurulatih Jepun, Park Joo Bong (bekas pemain Korea Selatan) juga pastinya individu yang paling gembira dengan kejayaan Negara Matahari Terbit melakar sejarah ekoran beliau tidak pernah mendakap trofi paling berprestij berkenaan sepanjang kariernya bersama Korea Selatan sebelum ini.

Mata kemenangan diraih pemain perseorangan ketiganya, Takuma Ueda yang menewaskan Liew Daren 21-12, 18-21, 21-17.


Ia merupakan kekalahan ketiga Daren pada kejohanan kali ini apabila tewas kepada pemain India, R.M.V Gurusaidutt dan Lukas Schmidt dari Jerman di peringkat kumpulan sebelum ini.

Ketika bertemu Denmark dan Indonesia di peringkat suku akhir dan separuh akhir sebelum ini, Daren tidak sempat beraksi apabila Malaysia menang 3-1 dan 3-0 sebelum melangkah ke pentas final.


JURULATIH Jepun, Park Joo Bong (tengah) menjulang Piala Thomas selepas skuad bimbingannya muncul juara

Terdahulu, Lee Chong Wei meletakkan Malaysia di depan selepas menewaskan pemain perseorangan pertama Jepun, Kenichi Tago 21-12, 21-16.

Jepun menyamakan kedudukan apabila pasangan pertamanya, Kenichi Hayakama/Hiroyuki Endo menewaskan pasangan negara, Tan Boon Heong/Hoon Thien How, 11-21, 21-17, 21-19.

Jepun kemudian mendahului 2-1 apabila pemain perseorangan keduanya, Kento Momota menewaskan pemain negara, Chong Wei Feng 21-15, 21-17.

Pasangan kedua negara, Goh V Shem/Tan Wee Kiong menyamakan kedudukan 2-2 apabila menewaskan Keigo Sonoda/Takeshi Kamura 19-21, 21-17, 21-12.

Sumber: BHarian, Kosmo

Chong Wei pastikan curi mata pertama
BARISAN pemain negara bergambar menjelang final Piala Thomas 2014 menentang Jepun di Hotel Shangri-La, New Delhi, India

Malaysia Ke Final Selepas 12 Tahun

Malaysia hadir di New Delhi bersama pasukan yang dianggap paling lemah, namun pemain-pemain negara membuktikan semangat juang tinggi berjaya me­ngatasi segala keraguan dengan me­langkah ke final Piala Thomas buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun selepas menundukkan juara 13 kali, Indonesia 3-0 pada 23 Mei, 2014.

Malah, beberapa jam sebelum perlawanan, keyakinan bahawa peluang untuk merampas kejuaraan Piala Thomas buat kali pertama selepas 22 tahun cukup cerah setelah melihat Jepun mengejutkan gergasi dunia, China 3-0 turut menjadi motivasi tambahan buat pasukan negara.

Ucapan tahniah kepada wira-wira badminton negara. Walaupun sebelum ini tiada harapan besar diberikan kepada pasukan Malaysia, di mana Malaysia hanya menyasarkan untuk sampai ke suku akhir. Tetapi semangat juang yang tinggi memungkinkan slogan 'Malaysia Boleh' menjadi kenyataan.

Melayakkan diri ke perlawanan akhir sememangnya mengejutkan banyak pihak ketika tumpuan diberikan kepada pasukan China, Korea Selatan dan Indonesia. Menumpaskan Korea Selatan di peringkat kumpulan, Denmark di peringkat suku akhir dan menumbangkan Indonesia di separuh akhir sudah cukup membanggakan kita. Ini menunjukkan Malaysia berupaya untuk kembali sebagai kuasa badminton dunia.

Datuk Lee Chong Wei, Tan Boon Heong-Hoon Thien How dan Chong Wei Feng, semuanya memberi aksi terpuji biarpun terpaksa mengha­rungi perlawanan mendebarkan sebelum melakar kemenangan.

Chong Wei dipaksa berhempas pulas di set pertama sebelum menjinakkan Tommy Sugiartro 21-19, 21-13 untuk menghadiahkan mata semangat buat pasukan negara.

Selepas gagal menghadiahkan mata dalam pertemuan menentang Denmark di suku akhir, gandingan senior, Boon Heong-Thien How kembali menunjukkan taring dengan mengejutkan juara dunia dan pasa­ngan No. 1 dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 8-21, 23-21.

Daripada sekadar pemain simpanan pada penampilan sulung Piala Thomas di Wuhan, dua tahun lalu, Wei Feng sekali lagi menjadi wira dengan menghadiahkan mata kemenangan Malaysia selepas menumpaskan Dionysius Rumbaka 21-10, 21-17.

Bagi Chong Wei dan Wei Feng, mereka adalah tonggak penting yang membawa kepada kejayaan Malaysia ke perlawanan akhir apabila memenangi semua lima perlawanan setakat ini.

"Memang amat teruja apabila berjaya melangkah ke final sekali lagi. Saya tidak merasai pengalaman perlawanan akhir terakhir Malaysia dan gembira melihat pemain-pemain muda ini berjaya menunjukkan semangat juang yang tinggi.

"Selepas tiba di sini, ramai yang memandang rendah kemampuan Malaysia, apatah lagi kami dikatakan hadir sebagai pasukan paling lemah, namun hari ini kami membuktikan mereka silap dengan berjaya melangkah ke final.

"Saya tidak pernah anggap peluang Malaysia untuk merampas kejuaraan adalah cerah selepas Jepun menewaskan China dalam separuh akhir pada sebelah petang, pada saya berdepan Jepun juga bukan mudah dan mereka adalah lawan yang kental.

"Yang paling penting buat semua pasukan adalah fokus kepada permainan sendiri. Kami sudah menyahut cabaran persatuan yang mahu pasukan melangkah ke final, sekarang terpulang kepada kami untuk mencari keputusan lebih baik," kata Chong Wei.

Masa robek penantian 22 tahun
Skuad badminton negara menjulang trofi Piala Thomas 1992 selepas Malaysia menewaskan Indonesia 3-2 pada perlawanan akhir di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Jika rekod pertemuan Malaysia dan Jepun menjadi ukuran, pasukan negara memegang kelebihan 3-1 ke atas negara Matahari Terbit itu.

Namun Jepun, yang menunjukkan peningkatan sangat ketara di bawah bimbingan Park Joo Bong mengejutkan pasukan negara pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Kuala Lumpur pada 2010.

Kali terakhir Malaysia layak ke perlawanan akhir adalah di Guangzhou 2002, di mana kita tewas 2-3 kepada Indonesia manakala kejohanan 1992 di Kuala Lumpur adalah kali terakhir pasukan negara muncul juara.

Sumber: Utusan ~ Malaysia Ke FinalUtusan ~ Awang Selamat



Jepun Melangkah Ke Final

Jepun lebih awal mengesahkan slot ke final Piala Thomas apabila tampil dengan aksi di luar jangkaan untuk menundukkan juara sembilan kali, China pada 23 Mei, 2014.

"Menewaskan China bukan sesuatu yang terlalu istimewa, namun jika kami berjaya merangkul kejuaraan Piala Thomas, pasti menggembirakan."

Demikian kenyataan jujur pemain berusia 20 tahun, Kento Momota yang tiba-tiba dijulang sebagai wira Jepun apabila membantu pasukannya melakar kejutan terbesar dalam sejarah Piala Thomas dengan membenam juara lima kali berturut-turut, China 3-0 pada separuh akhir.

China tidak pernah kalah dalam mana-mana peringkat dalam lima kempen Piala Thomas sebelum ini. Kali terakhir mereka tumpas ialah 3-1 pada separuh akhir kepada Malaysia di gelanggang sendiri di Guangzhou pada 2002.

Riak gembira terpancar di wajah Kento, juara remaja dunia 2012, sejurus menundukkan Du Pengyu 23-25, 21-18, 21-14 untuk menghadiahkan mata kemenangan pasukannya dan membawa Jepun ke perlawanan akhir Piala Thomas buat kali pertama sejak kejohanan diper­kenalkan pada 1949.

"Pada saya, mengalahkan China bukan sesuatu yang mengejutkan. Kami memang meletakkan sasaran untuk menewaskan mereka dan layak ke perlawanan akhir, jadi kami cuma memenuhi sasaran bukan melakukan perkara-perkara di luar jangkaan," katanya.



Terdahulu pemain No. 4 dunia, Kenichi Tago membuka laluan buat Jepun apabila mengejutkan pemain No. 2 dunia, Chen Long 21-13, 21-11, sebelum pasangan Kenichi Hayakawa-Hiroyuki Endo memberi tekanan kepada China dengan melebarkan kedudukan 2-0 selepas menang 22-20, 21-19 ke atas Chai Biao-Hong Wei.

Juara dunia lima kali, Lin Dan hanya mampu duduk di tepi gelanggang tanpa dapat melakukan apa-apa, sambil melihat pemain-pemain muda negaranya gagal menyerap tekanan beraksi sebagai pasukan pilihan.

Ketika pemain-pemain muda China tampak amat tertekan, skuad muda Jepun sebaliknya lebih tenang, malah Momota juga menegaskan dia tidak peduli siapa lawan yang akan ditemui dalam perlawanan akhir dan bersedia untuk mencari satu lagi kemenangan selepas dipaksa bertarung selama 1 jam, 24 minit pada malam tersebut.

Sumber: Utusan


SKUAD negara menamatkan kempen Piala Thomas 2014 di tempat kedua

Sistem Pemilihan Pemain Di Jepun Lebih Terbuka

Sistem latihan skuad Jepun memberi tumpuan untuk menjalin kerjasama dengan kelab-kelab tempatan mereka dalam melahirkan pemain bertaraf dunia. Sistem yang digunakan Jepun itu terbukti berjaya selepas mereka muncul sebagai kuasa baharu badminton dunia. Demikian kenyataan Penasihat Kelab Badminton Nusa Mahsuri, Datuk Seri Jalani Sidek.

Malaysia sudah ada pemain sepenuh masa di bawah naungan BAM. Jadi, konsep pemilihan itu tidak terbuka. Jepun tidak menggunakan sistem pemain sepenuh masa dalam skuad kebangsaan mereka sebagaimana Malaysia.

Kelab-kelab di Jepun pula besar dan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk melahirkan pemain yang hebat selain memberi pendedahan sejak pemain mereka masih di usia remaja lagi,

Semua pemain daripada beberapa kelab di Jepun akan berlawan sesama sendiri untuk merebut tempat dalam skuad kebangsaan mereka, dan hanya yang terbaik akan dipilih.

Selepas habis sahaja sesuatu kejohanan pemain skuad Jepun akan terus pulang menyertai kelab masing-masing. Oleh itu Jepun boleh menghantar pemain yang terbaik ke sesuatu kejohanan kerana mereka ada sistem pemilihan yang adil dan terbuka.

China juga menggunakan sistem yang sama dengan Jepun. Cuma pemain mereka dikendalikan oleh persatuan-persatuan di wilayah masing-masing. Persatuan di setiap wilayah berperanan sebagaimana Majlis Sukan Negeri tetapi mereka bergerak aktif dengan melahirkan pemain-pemain remaja untuk skuad negara.

Sumber: Kosmo

Anak Malaysia Jurulatih Pemain Jepun

Izuan (kiri) memberi arahan kepada Momota dalam satu kejohanan di India pada 2011. Foto: (http://izuanibrahim84.blogspot.com
Izuan (kiri) memberi arahan kepada Momota dalam satu kejohanan di India pada 2011. 
Foto: (http://izuanibrahim84.blogspot.com )

DI SEBALIK kejayaan pasukan Jepun merangkul kejuaraan Piala Thomas, ramai tidak mengetahui pasukan negara matahari terbit itu sebenarnya dibantu oleh anak Malaysia.

Individu tersebut ialah Izuan Ibrahim. Anak kelahiran Kelantan itu adalah jurulatih kepada pemain perseorangan Jepun, Kento Momota yang menewaskan pemain negara, Chong Wei Feng dengan straight set 21-15, 21-17.

Kemenangan Momota, 19, memastikan Jepun mendahului 2-1 pada aksi final di New Delhi.

Izuan yang merupakan seorang bekas guru ketika ini berkhidmat sebagai jurulatih remaja pasukan kebangsaan Jepun di bawah Nihong Badminton Association dan jurulatih di RS Hamanaka.

Dalam Facebook beliau, Izuan turut memuat naik status menyentuh kehebatan Zulfadli Zulkifli yang mengalahkan Momota di separuh akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia pada 2011.

"Pada 2011, saya tumpang gembira apabila Zulfadli muncul juara dunia. Saya juga sedih apabila gagal membantu Momota di separuh akhir.

"Apa pun, 2014 menyaksikan permainan Momota semakin matang dan dia berjaya menewaskan ramai pemain hebat. Sekarang, saya sedih melihat kedudukan Zulfadli," katanya dipetik dari Facebook beliau.

Sumber: Sinar Harian

P/S: Malaysia perlu berfikir dengan serius maksud yang tersirat daripada kata-kata dan kenyataan Izuan Ibrahim ...

0 comments: