06 Oktober 2015

Jokowi Janji Masalah Jerebu Selesai Tiga Tahun Lagi.



Indonesia berjanji untuk menyelesaikan masalah jerebu dalam tempoh tiga tahun. Janji itu dinyatakan sendiri oleh Presidennya, Joko Widodo (Jokowi). Barangkali Indonesia pun sudah segan untuk angkat muka. Yalah, jiran tetangga selalu berlelucon, selain eksport orang, Indonesia juga jaguh eksport jerebu.

Jokowi memerlukan tempoh itu sebelum usaha yang giat digerakkan Indonesia sekarang untuk menamatkan masalah tahunan tersebut mula membuahkan hasil. Rekod Jokowi dalam menunaikan janji sama ada semasa menjadi wali kota Solo dan Gabenor Jakarta setakat ini baik.


Beliau bukan jenis pemimpin yang sekadar bercakap. Janjinya itu pula bukan sekadar kepada rakyat Indonesia tetapi kepada dua negara tetangga yang paling teruk terjejas jerebu. Beban itu sekarang di bahunya.

Selain menurunkan ribuan bala tentera dan polis, pesawat bom air, pembenihan awan, membina takungan dan tali air di hutan, usaha Indonesia kali ini nampak bersungguh-sungguh mengatasi masalah itu secara jangka panjang.

Tetapi sekali lagi, apa yang dilakukan oleh kerajaan Jokowi ini bukan inisiatif baharu. Sudah berkali-kali pemerintahan bertukar, jerebu itu tetap muncul. Jerebu diselesaikan secara musiman. Jerebu surut, inisiatif pun luput. Ini tidak lebih umpama ritual tahunan.

Cuma kali ini, ada keyakinan apabila Presidennya berani memberikan batas masa. Tiga tahun rasanya boleh ditunggu kerana kita telah lama menunggu lebih 20 tahun.

Begitu sekali kesabaran tetangga. Jerebu yang sampai ke peringkat malapetaka ini tetap mahu diselesaikan secara baik. Perbincangan demi perbincangan atas semangat tetangga dan ASEAN terus dijalankan walaupun setakat ini masih nihil hasilnya.



Indonesia pun kadangkala masih menampakkan keegoannya. Berkali-kali mereka menolak tawaran tetangga yang menawarkan bantuan. Kami ada sumber mencukupi untuk menangani jerebu, kata mereka semasa menolak tawaran bantuan terbaharu Singapura.

Kali ini, langkah Singapura juga agak keras apabila mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat pertanian di Indonesia yang menjadi punca jerebu. Singapura seperti mahu mengajar Indonesia cara yang betul menangani masalah yang berlarutan ini.

Indonesia yang banyak bercakap soal hak asasi manusia selain berbangga dengannya, tentu faham tentang hak bukan sahaja warganya tetapi negara tetangga yang telah dicabul.

Hak asas, menghirup udara segar telah cuba dinafikan setiap tahun. Ini boleh dianggap pelanggaran melampau hak asasi kerana dilakukan tanpa henti. Ini satu bentuk kejahatan yang membawa malapetaka dan kesengsaraan individu dan negara lain. Ini pembakaran dan bukan kebakaran yang tidak disengajakan. Tanggapannya, Indonesia seperti sengaja menghantar bencana ke negara tetangga.

Tentulah tidak elok memberikan alasan meremehkan seperti Singapura dan Malaysia harus turut berterima kasih atas udara segar sepanjang tahun daripada kehijauan Indonesia. Macam tidak tahu menjaga adab berjiran pula.

Semasa kebakaran terbuka dulu, Malaysia boleh turut dipersalahkan tetapi kini hampir semua titik panas itu dikesan berada di sebelah Indonesia. Pekatnya asap telah menjejaskan kehidupan jutaan orang di Sumatera dan Kalimantan, juga di Malaysia dan Singapura.

Di kawasan- kawasan Indonesia itu bacaan IPU sehingga lebih 1,000. Orang terpaksa berpindah bahkan pengunaan penutup hidung dan mulut tidak lagi berfungsi. Tiada tempat selamat daripada menghirup udara kotor. Oksigen yang percuma itu menjadi barang mahal sehingga ada yang terpaksa menyediakan tabung oksigen di rumah.

Perjanjian, memorandum persefahaman, deklarasi yang dimuktamadkan dalam setiap pertemuan peringkat antara negara, serantau mahupun antarabangsa belum memberikan hasil. Benar-benar satu proses yang panjang dan melelahkan.

Banyak pihak sebenarnya sudah hilang keyakinan masalah jerebu ini mampu diselesaikan. Negara tetangga hanya mampu mengeluh dan merintih. Negara punca pula selalu lepas tangan sambil memberikan alasan yang hanya menyakitkan hati.

Untuk tahun ini, Indonesia meramalkan masalah jerebu yang berpunca daripada kebakaran ladang dan hutan berakhir dalam tempoh sebulan lagi. Kawasan-kawasan titik panas di Sumatera dan Riau khususnya sudah hujan. Perubahan cuaca itu sekali gus memadamkan api dalam tanah gambut dan sedikit demi sedikit menghilangkan jerebu yang melanda sejak dua bulan lepas.

Kejadian alam di bumi yang sudah rentan ini juga yang akhirnya menjadi penyelamat ulah manusia itu. Apa lagi yang boleh dilakukan oleh Malaysia dan Singapura yang seperti tidak terdaya ini?

Akhirnya, kita hanya mampu bersabar dan berharap janji Presiden Indonesia itu benar-benar dapat ditunaikan. Tempoh lebih 20 tahun ditambah tiga tahun lagi sudah terlalu lama.

Janji Presidennya kita nanti.

ZULKEFLI HAMZAH
Sumber: Utusan

0 comments: