Pages

17 April 2011

Kelkatu petanda cendawan busut

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN



Bukan sebarang cendawan boleh dimakan. Cendawan busut merupakan salah satu jenis cendawan yang selamat untuk dimakan. Cendawan ini hanya akan tumbuh pada musim tertentu sahaja.

Apakah keadaan-keadaan yang sesuai untuk cendawan tumbuh dengan banyaknya? Apakah tanda-tanda yang dapat dikenal pasti menunjukkan cendawan busut akan tumbuh?

Apakah masakan yang sesuai yang menyelerakan untuk cendawan busut?

----------------------------------------------------------------------------------------------



PAGI itu suasana dingin dan hening menyeliputi Felda Gunung Besout 2, Sungkai, Perak. Tanah masih belum terang, embun pagi juga belum berhenti menitik.

Namun, di sebalik deretan pokok kelapa sawit yang disempadani parit-parit kecil, kelihatan susuk tubuh milik Mohd. Shaiful Isa, 28, sedang tekun mengutip cendawan busut.

Dengan bantuan cahaya dari motosikal miliknya, pantulan cahaya putih daripada cendawan memang jelas kelihatan.

“Dalam keadaan yang redup sebegini, kerja mengutip lebih mudah kerana pantulan warna cendawan senang dilihat berbanding pada waktu cerah.

“Kerja mengutip cendawan memang dilakukan pada awal pagi kerana ia perlu diasing-asingkan dan dibersihkan sebelum boleh dijual di pasar,” jelas Shaiful, anak peroka di Felda ini.

Selesai mengutip di tepi parit kecil, dia beralih pula ke satu kawasan busut yang hampir dilitupi dengan cendawan berkepala bulat tersebut.

Struktur tanah yang agak lembut di kawasan berkenaan memudahkan lagi kerja-kerja mencabut cendawan, sekali gus rentak tangannya semakin tangkas.
------------------------------------------------------------------------------------------------

“Kalau tumbuh di tanah lembut, cendawan boleh dicabut hingga ke akarnya. Begitu juga jika ia tumbuh di tanah berpasir.

“Jika tumbuh di tanah keras, batang cendawan yang panjang biasanya mudah patah semasa dicabut,” katanya yang mengutip cendawan liar hampir 10 busut sehari ketika musim cendawan tumbuh.

Cendawan busut merupakan cendawan boleh dimakan yang tumbuh meliar selalunya di ladang kelapa sawit dan kebun getah. Antara lokasi terkenal yang menjadi rumah kepada tumbuhan jenis kulat ini sekitar Perak dan Negeri Sembilan.

Musim yang cukup sinonim dengan cendawan busut di Felda Gunung Besout ialah pada setiap awal tahun bermula bulan Januari hingga awal Mac dan hujung tahun di antara bulan November hingga Disember.


KERJA pembersihan dilakukan segera bagi memastikan cendawan dapat dipasarkan pada hari yang sama ia dikutip.

Ia juga boleh tumbuh di luar musim namun hasilnya tidak sebanyak awal dan hujung tahun. Bagaimanapun, tarikh sebenar bila cendawan akan tumbuh, tiada siapa yang dapat mengetahui dengan tepat dan jelas.

“Kehadiran cendawan di sini memang bergantung pada hujan. Mungkin betul pepatah yang mengatakan seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

“Namun, tidak semua hujan boleh menghasilkan cendawan. Kebiasaannya, cendawan muncul apabila hujan turun pada waktu malam dan keesokannya cuaca panas terik.

“Jika rutin cuaca seperti ini berulang selama tiga hari berturut-turut, kemungkinan besar cendawan akan tumbuh.

“Satu lagi petunjuk yang boleh dijadikan petanda ialah hujan yang mengundang kehadiran kelkatu.

“Jika banyak kelkatu, mungkin dalam masa tiga, empat hari lagi, cendawan akan tumbuh,” jelas Shaiful yang pernah mengutip dan menjual 120 kilogram (kg) cendawan busut sehari.

Jangka hayat cendawan yang hanya mampu bertahan selama empat hari sering memberikan keterujaan kepada para penduduk di Felda berkenaan untuk turun ke ladang dan mencari cendawan.

“Apabila sudah ada tanda-tanda cendawan tumbuh, saya akan meronda ke lokasi yang menjadi tempat kebiasaan cendawan busut tumbuh.

“Jika ada topi cendawan yang keluar dari tanah, kami akan tandakan kawasan tersebut dan datang semula esok pagi untuk mengutipnya,” ujar Shaiful.

Menurutnya lagi, hari tuaian terbaik ialah pada hari kedua. Jika cendawan dikutip pada hari pertama, ia masih terlalu kecil, jika hari ketiga pula, topi cendawan sudah besar dan hampir kembang.

Pada hari keempat pula, biasanya topi cendawan sudah mengembang.

“Jika dikutip pun, kami tidak menjualnya, cuma makan sendiri.

“Selalu juga kami terlepas musim cendawan kerana tidak ramai yang boleh menyedari kehadiran cendawan busut pada hari pertama, sedar-sedar ia sudah kembang,” kata Shaiful yang juga merupakan peraih cendawan di sekitar Felda tersebut.

Memiliki kepakaran mencari lokasi tumbuhnya cendawan busut, minatnya itu lahir selepas sering mengikut abang dan ayahnya mencari dan menjual cendawan sejak kecil lagi. Malah, bapanya, juga seorang peraih cendawan.

Abang Shaiful, Ahmad Razak Isa, turut menjadikan cendawan busut sebagai pendapatan sampingan yang lumayan.

“Jika musim lebat, saya mampu membeli lebih kurang satu tan cendawan busut daripada warga Felda. Hasilnya pula akan dijual di pasaran luar, biasanya di Ipoh dan Rawang.
------------------------------------------------------------------------------------------------


SELEPAS dicabut, cendawan akan dibersihkan dan diasingkan mengikut gred sebelum dijual di pasar.

“Memandangkan ia tidak tahan lama, proses pembersihan dan pengasingan perlu dilakukan sejurus ia dicabut supaya ia dapat dijual pada hari yang sama,” katanya.

Tambahnya lagi, jika cendawan busut dijual hingga ke Rawang, maknanya musim cendawan di Besout benar-benar menjadi.

Menurut rakan Shaiful, Mohd. Roslan Salleh, 27, mereka mempunyai cara tersendiri untuk membersihkan cendawan busut.

“Jangan sekali-kali gunakan air untuk membersihkan cendawan melainkan jika sudah mahu dimasak. Cukup sekadar bersihkan tanah dan pasir yang melekat di cendawan. Membasuh dengan air akan menjadikannya cepat rosak dan buruk,” katanya.

Selepas proses pembersihan dijalankan, cendawan akan dikumpulkan mengikut gred berdasarkan hari ia dikutip.

“Biasanya kerja mengutip akan dilakukan pada awal pagi. Ia kemudiannya terus dibawa ke rumah untuk dibersihkan dan diasingkan mengikut gred.

“Kebanyakan cendawan tumbuh pada hari yang sama, tetapi ada juga cendawan yang lewat sehari dua.

“Cendawan yang dicabut pada hari kedua adalah cendawan terbaik kerana teksturnya yang masih sedikit keras dan kenyal.

“Harganya juga lebih tinggi dan dijual mengikut kg. Untuk gred bagus, ia akan dijual pada harga di bawah RM20 sekilogram.

“Untuk cendawan yang dikutip sudah memasuki hari ketiga atau keempat, biasanya ia akan dijual longgok, sekitar RM5 hingga RM8 selonggok,” katanya yang mengakui cukup seronok menjual cendawan jenis liar ini.

Menurut Roslan, memandangkan ia sukar ditemui dan tidak dapat diketahui bila ia akan tumbuh, jualan cendawan busut biasanya sangat laris.

“Mungkin sebab ia jarang ada, apabila kita buka gerai jualan, tidak sampai tiga jam, hasil jualan beratus kilogram pun dapat dihabiskan, apatah lagi jika cuma geng-geng kita yang menjual di situ.

“Kalau buka gerai di tepi jalan, memang orang akan berkerumun bila mengetahui kami menjual cendawan busut di situ,” katanya.

Cendawan yang menjadi kegemaran ramai ini sememangnya enak dijadikan juadah pembuka selera. Teksturnya yang tebal sudah tentu menghadirkan rasa puas tatkala mencicip batang ataupun topi cendawan liar ini.

Rasanya manis dan baunya juga harum. Bukan sekadar itu, keenakannya memang tidak dapat dinafikan malah sesuai dengan apa jua masakan sama ada goreng tepung, sup, tomyam, masak lemak kunyit mahupun dijadikan campuran dalam hidangan masakan panas seperti mi hailam

Sumber: Kosmo.

1 ulasan:

  1. tak taula pernah makan tak cendawan nie..hehe..macam banyak sangat jenisnye..hehe

    BalasPadam

Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.