Pages

08 Februari 2012

Kementerian Kesihatan Larang Rawatan Lintah


Kaedah dikesan tak selamat, risiko sebar penyakit berjangkit

Kementerian Kesihatan tidak pernah memberi kelulusan kepada pusat kesihatan menjalankan kaedah perubatan melalui penggunaan lintah kerana keberkesanannya tidak dapat dibuktikan secara saintifik.

Sehubungan itu, orang ramai dilarang menggunakan lintah sebagai kaedah rawatan yang dikesan tidak selamat dan mampu membawa risiko penularan penyakit berbahaya yang berjangkit melalui darah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, berkata penyebaran penyakit berbahaya itu boleh menular apabila lintah sama yang menghisap darah pelanggan iaitu pembawa kuman, digunakan pula merawat pengguna lain.


“Kita memang tidak benarkan kaedah ini untuk rawatan kerana ia belum terbukti berkesan, termasuk tanggapan lintah menghisap darah kotor juga salah, tiada darah kotor dalam perubatan.

“Berhubung penyakit tibi, berkemungkinan besar seseorang itu boleh berjangkit kerana duduk bersebelahan ketika menjalankan rawatan itu, tidak semestinya oleh kuman dibawa lintah.

“Proses rawatan itu memang mampu memindahkan penyakit berbahaya yang berkaitan dengan darah ketika penggunaan lintah itu. Kesan gigitan lintah juga boleh melambatkan darah beku, ” katanya.

Pakar Dermatologi Hospital An-Nur, Dr Saadiah Sulaiman, berkata kaedah rawatan berkenaan yang didakwa mampu menyembuhkan pelbagai penyakit serta mengeluarkan darah kotor, sebenarnya mendedahkan pelanggan kepada sejenis penyakit batuk kering (tibi) ganjil.

Dr Saadiah berkata, setakat ini dua pelanggan sudah berjumpa dengannya untuk mendapatkan rawatan susulan selepas dijangkiti penyakit itu akibat terapi terbabit.

Oleh Suzalina Halid
Sumber: BHarian

1 ulasan:

  1. uhhh bahayanya kan, risau, nasib tak pernah pun buat rawatan ni..

    BalasPadam

Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.