Pages

28 Mac 2012

James Cameron Berjaya Selami Jurang Mariana


James Cameron menyelam menggunakan kapal selam khas Deepsea Challenger dalam Cabaran Kedalaman Jurang Mariana, di Lautan Pasifik. - AFP

Pengarah filem Titanic, James Cameron mencuba menyelam di dasar laut paling dalam berbanding yang pernah dilakukan pada misi solo sebelum ini, bagi mendapatkan pelbagai maklumat dan imej dari kawasan tersebut.

Institusi saintifik National Geographic, yang bekerjasama dengan pengarah filem itu untuk projek Cabaran Laut Dalam semalam mendedahkan, Cameron mencuba melengkapkan misi tersebut, supaya ia memperoleh hasil mengagumkan sebagaimana filem yang pernah dihasilkannya sebelum ini.



Ketika melakukan cubaan di Papua New Guinea Selasa 5 Mac 2012 lalu, Cameron memecah rekod menyelam lebih dalam daripada yang pernah dicatatkan dalam mana-mana misi solo, dengan catatan 8.2 kilometer.

Pengarah terkenal itu berhasrat muncul individu pertama mengharungi Cabaran Kedalaman Jurang Mariana, yang memiliki kedalaman 11 kilometer di Lautan Pasifik, serta membawa pulang maklumat dan spesimen dari kawasan tersebut.



Jurang Mariana mempunyai kedalaman melebihi ketinggian Everest

Cameron, 57, berkata, dia maklum tentang bahaya yang dihadapinya semasa melakukan cubaan berkenaan.

"Apabila anda menghasilkan filem, semua orang membawa skrip dan mereka tahu apa yang berlaku selepas itu. Namun ia berbeza dengan ekspedisi. Alam semula jadi tidak mempunyai skrip, laut juga tidak mempunyai skrip dan siapa pun tidak tahu apa yang akan berlaku selepas itu," katanya.

Pada 1960, dua anggota tentera laut Amerika Syarikat (AS) menggunakan sejenis bot khas dipanggil Trieste dalam satu misi yang mencatat sejarah apabila berjaya sampai ke jurang tersebut. Mereka menghabiskan masa selama 20 minit, namun gagal mendapatkan imej menarik kerana pemandangan yang kabur dan kurang kelengkapan.

Kapal selam khas Deepsea Challenger yang digunakan Cameron, dijangka mampu menyelam sehingga enam jam di dasar laut, membolehkannya memfilemkan pengembaraan itu menggunakan kamera definisi tinggi (HD) dan tiga dimensi (3D) serta dibantu lampu LED setinggi 2.4 meter.

The Deepsea Challenger boleh menyelam secara menegak, mempunyai ketinggian lapan meter dan menggunakan buih khas yang direka bagi membolehkan beratnya hanya 12 tan ketika selaman dilakukan, iaitu kira-kira 12 kali lebih ringan daripada berat sebenar.

Sumber: AFP, Utusan (10 Mac 2012)

Cameron Tiba Di Jurang Paling Dalam Lautan Pasifik


CAMERON keluar dari kapal selam selepas dia berjaya meneroka Mariana Trench di Lautan Pasifik pada 26 Mac 2012.

HONOLULU - Pengarah filem Avatar, James Cameron menamatkan penerokaan ke Mariana Trench yang merupakan tempat paling dalam di Lautan Pasifik. Dia menggunakan sebuah kapal selam khas untuk menyelam hampir 11 kilometer di dasar lautan.

Cameron meluangkan masa sekitar tiga jam dengan mengambil sampel bagi penyelidikan saintifik dan merakamkan kawasan Mariana Trench. Kapal selam itu diturunkan ke lautan tersebut dari sebuah kapal.

Kawasan paling dalam itu terletak di barat Lautan Pasifik, barat daya Guam, dan timur Filipina, sekitar 200 ke timur Kepulauan Mariana. Ia merupakan kawasan berbentuk bulan sabit sepanjang 2,550 kilometer (km) dengan lebar 69km. Mariana Trench diselubungi kegelapan dengan suhu hampir beku.

Cameron melakukan ekspedisi itu yang turut mendapat kerjasama daripada institusi pendidikan terkenal, National Geographic Society. Menurut pegawai saluran National Geographic, Stephanie Montgomery, Cameron kembali ke permukaan Lautan Pasifik pagi 26 Mac 2012.

Rakan misi ekspedisi tersebut, National Geographic berkata, Cameron menyelam pada kedalaman 10,898 meter pada pukul 7.52 pagi ini waktu tempatan (5.52 pagi waktu Malaysia) di Jurang Mariana menggunakan kapal selam yang direka khas itu.


Kakitangan misi projek Cabaran Laut Dalam memeriksa kapal selam khas Deepsea Challenger untuk ujian pertama di Jervis Bay, selatan Sydney, bulan Februari lalu. – REUTERS

Pengarah filem itu menyelam pada kedalaman 10,898 meter sebelum kapal selam kecilnya tiba pada permukaan laut. Kumpulan ekspedisi tersebut menyatakan, Cameron pada mulanya merancang meluangkan masa hingga enam jam di Mariana Trench.

"Namun, kapal selam Deepsea Challenger seberat 12 tan yang dinaikinya timbul lebih awal daripada jangkaan," menurut kenyataan National Geographic.

Pihak penganjur memberitahu, kapal selam berkenaan yang terapung di tengah laut ditemui sebuah helikopter peninjau.

Setakat ini, belum ada laporan mengenai keadaan kesihatan Cameron tetapi seorang doktor ekspedisi berkenaan Joe MacInnis memberitahu bahawa pengarah filem itu cukup sihat untuk membuat selaman tersebut. Cameron, 57, ialah manusia pertama yang meneroka Mariana Trench secara solo.

Sebelum ini cuma jurutera Switzerland, Jacques Piccard dan anggota tentera laut Amerika Syarikat (AS), Kapten Don Walsh yang pernah sampai ke tempat itu pada tahun 1960 dengan menaiki kapal selam tentera laut AS, Trieste.

Sumber: Agensi, Kosmo (27/03/12)

Catatan:
Antara filem-filem James Cameron berkaitan laut dalam adalah Aliens of the Deep dan Ghosts Of The Abyss (2003)

9 ulasan:

  1. bila agaknya akan keluar di national geographic dokumentari ni

    BalasPadam
  2. Teringin nak menyelam juga satu hari nanti

    BalasPadam
  3. hebat...dia dpt idea wat filem pn masa menyelamkan.....

    BalasPadam
  4. teringin menyelam tapi takut ^_^

    BalasPadam
  5. teringin jugak nk menyelam.. hehe :)

    BalasPadam
  6. mcam best dok dalam kapal selam tu kan..

    BalasPadam
  7. klau x silap lama dulu ada movie tajuk abyss.. view laut dalam mmg lawa dlm movie ni ^^

    BalasPadam
  8. wah laut dlam kot.,dia berjaye sampai^^

    BalasPadam

Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.