Pages

30 Mac 2012

Pasir Dan Kerikil Dalam Kehidupan


Butiran Pasir ~ Gambar Hiasan

Seorang lelaki cuba memasukkan batu pelbagai saiz ke dalam sebuah bekas. Mula-mula dimasukkannya pasir, kemudian batu-batu kecil dan akhirnya dia cuba memasukkan batu-batu besar.

Malangnya batu besar tidak dapat dimasukkan sepenuhnya. Maka akhirnya banyak batu besar ini tertinggal daripada dimasukkan ke dalam bekas. Ini kerana bekas tadi sudah hampir penuh dengan batu-batu kecil dan pasir yang diisikan di peringkat awal tadi.

Apakah analogi daripada kisah tersebut di atas?

Sekarang, anggaplah bekas yang mahu diisikan tadi adalah kehidupan, lelaki yang memasukkan batu itu adalah kita, sedang batu-batu itu sendiri adalah semua perkara yang dilakukan di dalam kehidupan kita.

Apakah pula batu besar, pasir dan batu kecil dalam kehidupan kita?



Kerikil ~ Gambar Hiasan

Batu besar adalah perkara-perkara yang sangat penting dan bermakna dalam kehidupan kita. Batu-batu kecil pula perkara yang penting manakala pasir adalah perkara yang kurang penting.

Namun, jika kita mengisi hidup ini seperti yang dilakukan oleh lelaki tadi, maka jadilah kehidupan kita seperti bekas batu yang diisikan hanya dengan pasir dan batu kecil serta tidak terdapat ruang untuk batu besar.

Sedangkan yang sepatutnya diisikan sejak awal adalah batu besar, kemudiannya barulah diikuti dengan batu kecil dan pasir, bergantung kepada lebihan ruang yang ada.

Bekas tadi tidak akan berubah saiznya, sama juga seperti kehidupan kita. Setiap hari masa yang ada 24 jam, setiap minggu pula 7 hari. Begitulah kitarannya akan terus berputar selama empat minggu yang menggenapkan sebulan hingga bulan-bulan yang terkumpul sebanyak 12 pula akan mencukupkan setahun.

Namun, kebijaksanaan kitalah yang perlu dikerahkan demi mengisi ruang kehidupan yang sempit ini.

Apakah perkara penting dalam kehidupan kita?

Bila kita beli telefon bimbit baru, kita akan teliti buku manual yang disediakan oleh syarikat telefon bimbit berkenaan untuk memahami cara penggunaan telefon yang kita beli.

Begitu jugalah dengan kehidupan manusia. Perlu dirujuk kepada buku manual yang dibuat oleh Pencipta manusia, iaitu Al-Qur'an serta Al-Sunnah yang dibawa oleh Rasulullah SAW..

Maka Al-Qur'an telah menyebut bahawa terdapat satu perkara penting dalam hidup manusia, iaitu menjadi hamba kepada Allah.

Firman Allah,

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu." [Adz Dzariyat [51] : 56].

Beribadat kepada Allah dalam konteks kita sebagai seorang Islam tidaklah terbatas kepada solat, membaca Al-Qur'an, puasa, sedekah dan haji sahaja. Sebaliknya seluruh hidup kita bermula daripada bangun tidur hingga kita tidur semula boleh jadi ibadah bila kena caranya.

Kerana itulah apabila baginda nabi berpesan kepada kita dengan pesannya, "Hiduplah kamu di dunia seolah-olah kamu ini warga asing atau pengembara di sebuah perjalanan", sangat perlu kepada kita untuk faham bahawa hidup kita di dunia ini akan berakhir. Sedangkan hidup di akhirat tidak akan berakhir.

Sebarang pengisian dalam kehidupan kita sangat penting untuk diperhatikan. Jika tersalah hitung, bekas kehidupan bukan sahaja diisi oleh batu kecil dan pasir, malah ditimbuni sampah sarap!

Sumber: http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/4135-sampah-sarap-kehidupan.html

4 ulasan:

  1. puteri suka dengan kisah ini. kita perlu bijak memilih apa yang penting untuk kehidupan kita kan :)

    BalasPadam
  2. setiap apa yg kita buat kita kena fikir baik dan buruk serta kesan tindakan kita tu supaya xmenyesal kemudian hari.

    BalasPadam

Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.