30 April 2012

Hernia, Benjolan Abnormal


Keadaan penyakit akan bertambah teruk akibat aktiviti meneran seperti membuang air besar, batuk dan bersin. - Gambar hiasan

Hernia adalah daripada bahasa Latin 'herniae'. Ia membawa maksud penonjolan keluar organ atau tisu atau isi suatu rongga melalui bukaan otot yang lemah pada bahagian abdomen. Dinding abdomen yang lemah itu kemudiannya membentuk suatu kantung dengan bukaan seperti cincin. Orang melayu menggelarkannya dengan nama Angin Pasang.

Gangguan ini sering terjadi di kawasan abdomen dengan komponen yang keluar berupa bahagian dalaman abdomen seperti usus kecil, usus besar atau lapisan lemak yang menyelaputi kedua-dua usus ini.

29 April 2012

Fakta Tentang Anak Autisme



KETIKA memerhatikan anak-anak bermain, ada ketikanya kita mendapati sesetengah kanak-kanak berada di dalam dunianya sendiri. Mereka gagal bercampur dan bermain riang seperti anak-anak lain. Bahkan, ada antara anak-anak ini sangat cepat mengamuk.

Mereka juga mempunyai masalah pertuturan, walaupun secara logiknya pada usia tertentu mereka sudah boleh bercakap. Apabila berbual, mata mereka akan menoleh ke arah lain dan bukannya kepada si penutur. Sekiranya anda mempunyai anak-anak yang bersikap seperti ini jangan mengandaikan ia perkara normal. Ada kemungkinannya anak-anak ini menghidap autisme.

Sebenarnya, ada banyak tanda lain yang boleh diperhatikan pada anak-anak austisme ini. Mereka juga bermain dengan cara yang janggal dan suka menyusun mainannya. Mereka seolah-olah sedang bermain dalam dunianya sendiri dan tidak menghiraukan orang lain, walaupun mereka sedang bermain dengan anak-anak lain.

Rumah Terbalik Sabah


KERETA Kancil yang berada dalam kedudukan terbalik dan tergantung ini pasti membuatkan pengunjung berasa teruja untuk meneroka keseluruhan kawasan Rumah Terbalik. 

SEJAK sekian lama, Sabah begitu sinonim dengan Gunung Kinabalu yang menjadi tarikan kepada ribuan pencinta alam semula jadi dan penggemar aktiviti lasak dari dalam dan luar negara. Selain banyak lagi tarikan alam yang mewarnai dunia pelancongannya, pelancong kini mempunyai alasan lain untuk melawat ke negeri yang terkenal dengan jolokan Negeri Di Bawah Bayu itu.

Rumah Terbalik. Mungkin ia kedengaran seperti tidak masuk akal, namun itulah keistimewaan sebuah binaan rumah yang terletak di Batu 21, Jalan Berungis - Tamparuli itu.

Di atas lakaran pelan, Rumah Terbalik kelihatan seperti kediaman biasa dilengkapi dua bilik tidur, satu ruang tamu, satu ruang makan, satu beranda, ruang dapur dan tandas. Bezanya semua itu dibina secara terbalik iaitu dengan keadaan bumbung di bawah dan lantainya di atas.

28 April 2012

Pintu Gerbang Gah



PINTU gerbang adalah satu struktur yang menjangkau ruang dan menyokong beban. Dikatakan kemunculannya seawal abad kedua sebelum masihi pada zaman Mesopotamia dengan binaan pertama dikenali sebagai Gerbang Kemenangan (Triumphal Arc). Ia dibina sebagai penghormatan di atas kejayaan tentera yang memenangi peperangan.

Di negara ini, tidak dapat dipastikan tarikh sebenar binaan ini mula muncul tetapi dipercayai mula diperkenalkan sejak zaman kerajaan Gangga Negara di Beruas, Perak berdasarkan petikan dalam Sulalatus Sulatin.

Pintu gerbang membuktikan kreativiti dan inovasi masyarakat Melayu walaupun tiada kelengkapan mahu pun jentera moden bagi memudahkan kerja mengukir dan membina gerbang berkenaan. - Ibrahim Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara.

Penciplak Boleh Dikesan Melalui Decorder Astro


Astro First tidak wujud jika tiada perlindungan

PIHAK tidak bertanggungjawab yang memuat naik filem ataupun program disiarkan melalui Astro First ke internet boleh dikesan menerusi alat dekodernya, secara tidak langsung mendedahkan pengguna terbabit kepada tindakan undang-undang.

Begitu juga mereka yang membuat salinan secara haram ke atas filem siaran saluran itu ke dalam bentuk DVD atau VCD, kegiatan berkenaan boleh dijejak melalui alat terbabit. Justeru, ia secara tidak langsung menjadi bentuk perlindungan ke atas produk yang disiarkan saluran berbayar berkenaan.

Menurut Ketua Perniagaan Bahasa Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, sebelum saluran itu diperkenalkan, kajian menyeluruh dilakukan bagi menangani masalah cetak rompak daripada berbangkit. Ia dilakukan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).

27 April 2012

Keistimewaan Amalan Hasanah Pada Jumaat



HARI Jumaat mempunyai banyak keistimewaan yang seharusnya dimanfaatkan dengan melaksanakan amalan hasanah. Ibnu Katsir dalam kitabnya Tafsir Ibnu Katsir mengatakan Jumaat bermaksud berhimpun. Pada hari Jumaat kaum muslimin dihimpunkan di masjid untuk mendengar khutbah dan mendirikan solat Jumaat dua rakaat.

Hari Jumaat cukup istimewa kerana Allah telah mengatakan tawaran hebat iaitu ganjaran pahala besar terhadap amal ibadah dan amalan hasanah yang dilakukan. Disebabkan besarnya pahala dijanjikan Allah, maka rugilah sesiapa yang mengabaikan kehadiran hari Jumaat tanpa amalan salih dan kebajikan.

Jumaat sebagai penghulu segala hari adalah hari pengampunan yang Allah berikan kepada hamba-Nya. Anas berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak meninggalkan seorangpun dalam kalangan orang Islam pada hari Jumaat, melainkan ia pasti diberi-Nya pengampunan.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Semak Penerima Gelaran Kebesaran Secara Online


ORANG ramai boleh menyemak senarai penerima pingat kebesaran melalui laman sesawang Bahagian Istiadat Jabatan Perdana Menteri. [Sumber Foto: Kosmo]

Orang ramai boleh merujuk laman sesawang Bahagian Istiadat di Jabatan Perdana Menteri www.istiadat.gov.my jika mereka mahu menyemak sama ada gelaran kebesaran yang digunakan oleh seseorang individu itu adalah sahih dan diiktiraf kerajaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata laman sesawang itu mempunyai senarai lengkap yang dikemas kini mengenai semua penerima anugerah, sama ada yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong ataupun sumber-sumber yang diiktiraf.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Syed Ibrahim Kader yang meminta Perdana Menteri menjelaskan apakah usaha yang diambil untuk menangani masalah penyalahgunaan gelaran kebesaran seperti Datuk dan Datuk Seri yang diragui kesahihan sumbernya.

26 April 2012

Legoland Malaysia Yang Pertama Di Asia



Legoland pertama Asia dibuka September 2012

Legoland pertama Asia akan dibuka bagi perniagaan pada 15 September 2012. Pengurus Besar Legoland Malaysia, Siegfried Boerst berkata, taman tema berharga RM700 juta di kawasan seluas 76 ekar di Iskandar Malaysia, Johor itu kini sudah 75 peratus siap.

Beliau berkata, bulan lepas, kontraktornya memulakan kerja-kerja memberi tema kepada taman itu, dan bulan depan mereka akan mula memasang 50 juta kepingan lego dan model.

"Saya gembira mengumumkan bahawa hasil daripada usaha keras semua kontraktor kami, kami akan membuka taman itu beberapa bulan lebih awal daripada dijadualkan,” katanya.

Taman itu yang ditampilkan dengan tujuh tema khas iaitu ”Lego kingdom”, ”imagination”, ”land of adventure”, ”lego technic”, ”the beginning”, ”lego city” dan ”miniland”, direka khas bagi keluarga yang mempunyai kanak-kanak berusia dari dua hingga 12 tahun.

Kembar Tiga Hasil Pembekuan Embrio IVF

Subhanallah... 
Demikianlah kehebatan kekuasaan Allah...


Si Kembar Yang Comel ~ Gambar Hiasan ~

Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh mencatat sejarah tersendiri apabila bayi kembar tiga dilahirkan melalui proses pembekuan embrio dengan kaedah rawatan In Vitro Fertilisation (IVF) atau  kaedah persenyawaan tabung uji yang dilakukan oleh doktor pakar hospital berkenaan.

Dua bayi lelaki dan seorang perempuan berkenaan dilahirkan secara pembedahan selang seminit bermula jam 8.46 pagi pada 18 April lalu dan kini masih diletakkan di bawah pengawasan doktor, termasuk dikuarantin di wad hospital berkenaan kerana dilahirkan tidak cukup bulan.

Bayi yang masing-masing seberat 2.1, 1.8 dan 1.7 kilogram itu adalah anak kepada pasangan Lee Foong Theng, 30, dan Chang Keng Long, 33, yang juga pengusaha restoran di Ipoh.

25 April 2012

Nilai Sebutir Berlian



Institut Gemological Amerika (GIA) membangunkan skala penggredan berlian bagi memastikan kualiti batu permata berharga itu. Skala ini dibahagikan kepada empat kriteria penggredan utama, yang lebih dikenali sebagai Cs 4 iaitu potongan, karat, kejelasan dan warna (cut, carat, clarity dan colour).

Dua berlian yang sama saiznya boleh berbeza dari segi harga apabila diukur menggunakan keempat-empat ciri-ciri yang digabungkan di atas. Berat sebutir berlian diwakili dalam karat dan ia adalah faktor utama dalam menentukan harga belian tersebut.

Ia juga adalah faktor utama jika diukur dengan mengunakan kaedah 4Cs. Karat adalah ukuran berat, bukannya saiz berlian, dimana satu karat adalah lebih kurang 0.2 gram. Sama seperti 1 meter sebanyak 100 sentimeter, satu karat berlian mengandungi sebanyak 100 mata.

24 April 2012

Krisis Usia 40 Hingga 65 Tahun


Muslim beriman ialah yang menghadapkan seluruh kalbunya ke hadrat Ilahi ketika mendirikan solat dengan disaksikan deria ketakwaan di samping keinginan mencari petunjuk dan memohon taufik demi meraih kebahagiaan hidup dunia akhirat. [BHarian]

PERNAHKAH anda mendengar frasa "life begins at 40?" Ia adalah fasa kehidupan yang menggambarkan tentang perubahan tingkah laku dan emosi manusia apabila berada dalam lingkungan umur 40 ke 65 tahun. Fenomena berkenaan dikenali sebagai midlife crisis atau krisis pertengahan usia dalam istilah psikologi.

Sesetengah lelaki akan menyedari fenomena ini semasa menyambut hari jadi mereka pada umur tertentu atau pada kelahiran cucu pertama. Ada yang menyedarinya setelah merasakan prestasi seksual mereka semakin menurun akibat penurunan paras hormon testosteron.

Bagi wanita pula, mereka biasanya lebih bersedia kerana mengalami simptom menopause sebagai tanda bermulanya fasa tersebut. Individu dalam lingkungan umur ini amat mencemburui zaman. Mereka sedar bahawa kecantikan dan kecergasan fizikal yang mereka ada satu ketika dulu semakin pudar.

23 April 2012

Fenomena Ekuinoks


Bayang lesap: Kejadian matahari atas kepala tanpa bayang landa Malaysia pada 27/03/2012, cetus situasi pelik namun bukan dianggap fenomena astronomi

AWAL 3 Mac 2012 lalu, fenomena dunia tanpa bayang dilaporkan berlaku di Bogor dan Jakarta, Indonesia. Dalam kejadian itu, tepat jam 12 tengah hari bagi tempoh dua hingga lima minit, orang ramai tidak dapat melihat bayang-bayang sendiri di bawah sinar matahari kerana ia berada tepat atas kepala.

Fenomena itu mendapat liputan kebanyakan akhbar di republik berkenaan dan beberapa negara Asia termasuk Malaysia. Banyak persoalan ditimbulkan hasil liputan berkenaan dan ramai yang ingin mengetahui mengenai fenomena yang jarang didengari itu.

Ketua Unit Strategik dan Hal Ehwal Antarabangsa ANGKASA (Agensi Angkasa Negara), Mohd Zamri Shah Mastor berkata, fenomena tanpa bayang sebenarnya berlaku setiap hari sepanjang tahun dan ia bukannya satu kejadian yang luar biasa atau pelik.

22 April 2012

Buruk Dan Baik Pinjaman Peribadi Kewangan



Pada tahun 2003, Abdul (bukan nama sebenar) telah memohon pembiayaan peribadi dari sebuah institusi kewangan di mana pembayaran balik hutang itu setiap bulan berlanjutan sehingga tujuh tahun. Bagaimanapun empat tahun kemudian, Abdul mengalami satu 'kecemasan' kewangan yang memaksa dirinya memohon satu lagi pinjaman baru dari institusi kewangan yang sama.

Satu daripada terma dan syarat pinjaman baru ini mewajibkan dana yang dipinjam diguna bagi melunaskan hutang yang lama. Ini dikenali sebagai 'pinjaman bertindih' di kalangan institusi kewangan.

Tetapi ansuran bulanan yang perlu dibayar beliau bagi pinjaman terbarunya adalah lebih tinggi (kerana Abdul perlu memohon jumlah yang lebih besar bagi melangsaikan pinjaman lama) dan masa pembayaran balik bagi hutang yang baru adalah selama 10 tahun.

Dari satu sudut, Abdul dapat sumber dana bagi menyelesaikan masalah kewangan semasa yang dihadapi beliau tetapi dari satu aspek yang lain beliau kini dibelenggu oleh beban hutang yang baru untuk selama 10 tahun.

21 April 2012

Elak Guna Kad Kredit Untuk Dapatkan Wang Tunai


HAMPIR semua pakar kewangan bersetuju bahawa membuat pendahuluan wang tunai daripada kad kredit adalah tindakan kurang bijak. 

Audrey Lim (bukan nama sebenar) risau kerana beliau kekurangan wang tunai dalam simpanan. Disebabkan keperluan membeli barangan kegunaan harian, beliau telah bertindak menggunakan kemudahan pendahuluan wang tunai dengan mengguna kad kredit di mesin juruwang automatik (ATM).

"Saya keluarkan RM250, tetapi terperanjat bila terima bil kad kredit. Saya dikenakan caj pendahuluan tunai sebanyak RM50 bagi transaksi tersebut. Itu adalah 25 peratus dari wang tunai yang saya keluarkan.

"Saya sepatutnya dengar nasihat kawan. Mereka beritahu guna kad kredit bagi pendahuluan tunai adalah tidak digalakkan kerana faedah yang dikenakan tinggi selain caj wang pendahuluan yang juga tinggi," cerita Lim kepada penulis di sini baru-baru ini.

20 April 2012

Diskaun Caj Hospital Untuk Warga Tua



Berkuat kuasa 1 Mei 2012 ini, warga tua berusia 60 tahun ke atas diberikan diskaun 50 peratus bagi caj pesakit kelas tiga hospital kerajaan dengan caj maksimum sebanyak RM250 saja bagi setiap kemasukan.
Selain itu, mereka dikecualikan daripada caj RM5 pendaftaran rawatan pakar di Jabatan Pesakit Luar Pakar semua hospital dan klinik kerajaan.

Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai tambahan pemansuhan caj pendaftaran pesakit luar RM1 kepada golongan berkenaan di semua hospital, klinik kesihatan dan Klinik 1Malaysia yang diumumkannya tahun 2011 lalu.

“Pengecualian tambahan itu menunjukkan keprihatinan dan komitmen berterusan kerajaan menjaga kebajikan warga emas,” katanya ketika merasmikan Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia.

Penyakit Hati Kerana Dosa Tiada Ubat Melainkan Taubat



ISLAM telah menentukan garis panduan, mana yang baik dan mana yang mendatangkan kemudaratan untuk manusia menjalani kehidupan di dunia. Tetapi sikap manusia sejak dulu, tidak pernah akur dengan perintah Allah sehingga ada yang jatuh ke jurang dosa dan kemungkaran.

Menurut Ibnu Qayyim, orang yang melakukan maksiat terhadap Allah, akan ditimpa pelbagai musibah sama ada di dunia atau akhirat. Katanya, banyak bencana bakal diterima oleh pelaku maksiat dan diberikan contoh supaya dijadikan pedoman.

Antara kesan buruk itu, orang yang berbuat dosa akan terhalang masuknya ilmu kerana ilmu adalah cahaya yang diletakkan Allah dalam hati seseorang, sedang kemaksiatan akan memadamkan cahaya itu. Sebab itulah, maka umat Islam terdahulu begitu mengambil berat dengan menjauhi dosa kecil apa lagi dosa besar untuk mengelak susahnya mendalami ilmu pengetahuan. Lebih-lebih lagi menekuni ilmu agama, maka hendaklah bersih daripada melakukan maksiat.

19 April 2012

Gajet Komunikasi 'Under Water' Berbahaya Digunakan


Pastikan ia mempunyai label SKMM untuk mengesahkan ketulenannya. [Gambar Hiasan]

Pengguna perlu berhati-hati ketika membeli telefon bimbit, komputer riba dan komputer tablet kerana kira-kira 30 peratus daripada peralatan yang dijual di pasaran negara ini tidak memenuhi piawaian keselamatan teknikal antarabangsa serta berbahaya digunakan.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi selepas menerima aduan orang ramai tentang banyak telefon bimbit seludup yang digelar sebagai ‘underwater atau submarine handset’ di kalangan peniaga, tidak menepati piawaian.

“Jika pengguna membeli produk telekomunikasi seperti telefon yang tidak memenuhi piawaian, anda mungkin terdedah kepada kejadian ia meletup ketika di dalam saku atau ketika digunakan.

“Kita menasihatkan pengguna membeli peralatan yang disahkan selamat dan mempunyai label SKMM bagi menjamin keselamatan diri masing-masing,” katanya.

Jadikan Membaca Sebahagian Budaya Malaysia



Sebelum ini, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengukur amalan membaca dalam kalangan masyarakat berdasarkan statistik dan pengukuran secara subjektif.

Budaya membaca masyarakat Malaysia didapati mula meningkat daripada hanya membaca dua buah buku setahun pada 1996 kepada lapan hingga 12 buah buku setahun pada 2010. Ini dijadikan bukti bahawa ramai rakyat Malaysia semakin gemar membaca.

Faktor lain yang boleh dilihat adalah dari segi penambahan ahli baharu yang berdaftar dengan PNM dari tahun ke tahun. Peningkatan ini juga adalah satu lagi petunjuk yang boleh diambil kira untuk melihat keadaan semasa amalan membaca rakyat Malaysia.

Rang Undang-Undang RELA 2012

Rang Undang-Undang RELA 2012 dibentang untuk penambahbaikan
* Gugur hak bawa senjata api
* Tak boleh buat tangkapan




Kuasa membawa senjata api, menahan dan memeriksa serta menangkap individu disyaki pengganas atau pendatang tanpa izin yang diperuntukkan kepada 2.94 juta anggota RELA akan digugurkan apabila Rang Undang-Undang Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA 2012) dibentangkan di Dewan Rakyat, Rabu 18 April 2012.

Rang undang-undang itu turut menetapkan had minimum umur menyertai RELA dinaikkan daripada 16 tahun kepada 18 tahun, selain anggota perlu memperbaharui keahlian setiap lima tahun sebagai langkah mengenal pasti ahli aktif.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata cadangan kepada akta baru itu akan dijadikan sebagai standard pelaksanaan operasi dalam tugasan harian seperti rondaan kawasan selain membendung salah laku dan kuasa oleh anggota RELA.

18 April 2012

Dim Sum Sajian Tradisi Merentasi Budaya



DAHULU, apabila menyebut dim sum, ramai yang beranggapan ia adalah makanan tidak halal kerana kebanyakan dim sum yang berada di pasaran menggunakan campuran daging babi.

Barangkali ada yang tertanya-tanya, apakah dim sum sebenarnya? Ia adalah sejenis makanan masyarakat Cina Kantonis yang berasal dari selatan China. Pada mulanya, ia dihasilkan sebagai snek untuk pengembara laut dan petani yang berhenti berehat di gerai-gerai untuk minum teh.

Dim sum dihasilkan dalam saiz kecil menggunakan adunan tepung sebagai kulitnya. Intinya pula sama ada diperbuat daripada isi ikan, udang, ayam, daging dan sayur-sayuran. Ia dikukus atau direbus terlebih dahulu sebelum dimakan.

Ekoran keraguan tentang bahan-bahan tersebut, masyarakat Islam ragu-ragu untuk mencubanya. Bagaimanapun, kebelakangan ini sudah banyak restoran mahupun hotel yang menyediakan hidangan itu telah memohon sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Pihak tersebut perlu akur pada prosedur yang sangat ketat.

Preve Bukti Keunggulan PROTON


PROTON Preve ditawarkan pada harga RM59,990 hingga RM72,990 seunit.

SPESIFIKASI: Proton Preve

1. Enjin 1.6 liter turbo ringan menghasilkan kuasa sama 2.0 liter enjin biasa
2. 138 kuasa kuda, kilasan 205Nm
3. Sistem butang penghidup enjin untuk Premium
4. Stering kuasa hidrolik
5. Brek ABS dengan EBD
6. Dwi beg udara SRS untuk semua varian dan beg udara sisi untuk Premium saja
7. Dilengkapi dengan sambungan 4G WiFi dan sistem navigasi GPS
8. Sistem audio dengan pemain CD MP3 dengan Bluetooth, USB dan sambung iPod
9. Warna pilihan Blue lagoon, Fire red, Genetic silver, Solid white, Tranquility black, Elegant brown
10. Kesemua varian didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 150,000 km
11. Tiga varian : Premium (harga dari RM72,990), Eksekutif CVT (harga dari RM62,990), Eksekutif (harga dari RM59,990)

17 April 2012

Gajet Elektronik Wujudkan Peluang Berlakunya Jenayah



Gajet peribadi yang berteknologi tinggi seperti telefon, iphones, notebook, adalah antara yang memberi kemudahan di hujung jari di samping menyenangkan kehidupan harian pengguna.

Semua gajet ini begitu mempengaruhi kehidupan hari ini. Kita berkomunikasi menerusi suara dan mendapatkan maklumat, menyiapkan tugas dan malahan menyimpan maklumat rahsia peribadi menerusi gajet berkenaan.

Namun gajet elektronik juga mempunyai kelemahan. Selain menghadkan interaksi bersemuka, ia juga berkompromi dengan keselamatan data peribadi.

Bayangkan apabila anda kehilangan gajet berkenaan, sebenarnya anda bukan setakat kehilangan gajet malahan maklumat peribadi seperti nombor pin, alamat, gambar dan data peribadi lain yang disimpan dalamnya.

16 April 2012

Pencahayaan LED Yang Mesra Alam


Evolusi Teknologi Pencahayaan

DALAM teknologi hari ini, kita akan mendapati masa berlalu cukup pantas. Banyak peranti teknologi dihasilkan seiring dengan keperluan pengguna yang dambakan gejat tercanggih bagi memudahkan kehidupan mereka.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, penekanan terhadap teknologi hijau semakin dititikberatkan dalam pembangunan peranti-peranti berkuasa tinggi agar dapat mengimbangi dan membantu mengurangkan perubahan iklim yang melanda dunia.

Industri pencahayaan tidak terkecuali dalam membantu mengurangkan perubahan iklim dengan memperkenalkan teknologi pencahayaan lebih mesra alam dan menjimatkan tenaga.

Satu ketika dahulu, teknologi diod pemancar cahaya (LED) yang cukup popular digunakan dalam peranti-peranti elektronik, jam tangan dan kalkulator mula diadaptasi sebagai sumber tenaga pencahayaan hijau.

15 April 2012

Fenomena Halo di Alor Setar



Orang ramai di bandar raya Alor Setar dikejutkan dengan satu fenomena di mana lingkaran cahaya seakan-akan pelangi mengelilingi matahari atau bulan. Keadaan yang dikenali sebagai Fenomena Halo itu mula dikesan tengah hari 13 April 2012.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan itu adalah satu fenomena semula jadi. Halo merupakan fenomena semulajadi yang berupa lingkaran cahaya di sekitar matahari atau bulan yang kadang kala boleh berlaku pada sumber cahaya lain seperti lampu jalan.

"Terdapat banyak jenis halo, tetapi kebanyakannya terjadi daripada kristal ais dalam awan tinggi cirrostratus sejuk yang kelihatan seakan-akan kepingan awan yang terletak pada ketinggian sekitar 6,000 - 18,000 meter (lapisan troposfera) di atas paras tanah," kata kenyataan itu.

Bantuan Kewangan Pengajian (Bursary)



Kerajaan memperuntukkan RM2.12 bilion untuk membiayai kos pengajian lanjutan pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengikuti program persediaan, Program Ijazah Luar Negara (PILN) dan Program Ijazah Dalam Negara (PIDN), tahun ini.

Ini termasuk bantuan kewangan (Bursary) secara automatik daripada Kementerian Pelajaran kepada 1,609 pelajar cemerlang SPM yang mendapat keputusan 9A+ ke atas.

Daripada jumlah itu 1,020 pelajar mendapat keputusan 9A+; 10A+ (492); 11A+ (90) dan 12A+ (7) yang akan mengikuti pengajian peringkat persediaan (prauniversiti) sebelum ditawar ke PILN atau PIDN.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pemberian Bursary itu bagi mengiktiraf pelajar cemerlang SPM 2011 tanpa mengira etnik, kaum, keturunan dan latar belakang.

14 April 2012

Suka Duka Kancah Bola Sepak Kelantan


SIKAP penyokong yang suka membaling mercun sukar dibendung di Kelantan.

BOLA sepak Kelantan memiliki susur galur sejarah yang cukup panjang dan unik, perjalanan dan jatuh bangun pasukan ini sentiasa menarik untuk ditelusuri.

Pernah dianggap 'kilang' yang melahirkan ramai nama-nama besar dan berstatus legenda seperti Dali Omar, Mahadi Yusof, Nik Salleh Nik Man, Hashim Mustapha, Wan Ezila Daud dan Nik Fauzi Nik Hassan, Kelantan kini mampu berbangga dengan pencapaian yang telah dikecapi.

Menjadi pasukan negeri pertama terperosok di kancah liga kelas ketiga, Liga FAM, Kelantan kemudian bangkit menjadi kuasa besar baharu bola sepak Malaysia selepas menjulang Piala Malaysia dan Liga Super.

Era kebangkitan Kelantan bermula pada musim 2008 apabila tampuk kepimpinan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diambil alih oleh Tan Sri Annuar Musa yang telah banyak melakukan perubahan.

Merungkai Misteri Tenggelamnya Titanic



WALAUPUN sudah 100 tahun berlaku, tragedi kapal mewah RMS Titanic yang tenggelam di Lautan Pasifik masih lagi menjadi tanda tanya para pengkaji.

Bagaimana sebuah kapal yang dilengkapi teknologi paling canggih ketika itu dan didakwa tidak mungkin tenggelam akhirnya 'tersungkur' ke dasar laut disebabkan berlanggar dengan bongkah ais, pukul 11.40 malam (waktu kapal) pada pagi Ahad 14 April 1912, sebelum ia tenggelam sepenuhnya dalam tempoh dua jam empat puluh minit kemudian iaitu pada pukul 2.20 pagi Isnin (15 April 1912).

Sehingga kini aura misteri itu masih kekal bersama 'bangkai' kapal itu di dasar Lautan Pasifik, namun saluran History (Saluran Astro 555) buat pertama kalinya akan mendedahkan penemuan-penemuan terbaharu mengenai tragedi Titanic kepada umum.

Bersempena ulang tahun ke-100 tragedi Titanic, saluran History akan mempersembahkan sebuah dokumentari berjudul Titanic Mystery Solved pada 15 April 2012 ini. Dokumentari itu akan merakamkan detik-detik misi paling mutakhir, mendedahkan cebisan-cebisan bangkai kapal Titanic yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Cabaran Pelayaran Baru Titanic Dalam 3D


FILEM percintaan antara dua darjat yang menjadi tunjang utama Titanic telah meletakkannya dalam kelompok filem-filem klasik sepanjang zaman. [Gambar ihsan 20th CENTURY FOX]


Biarpun sudah 15 tahun berlalu, ramai yang terus memperkatakan tentang Titanic yang kini berada dalam kelompok filem-filem berstatus klasik seperti Gone With The Wind (1939) dan Casablanca (1942).

Cukup menyedari Titanic sebuah naskhah agung James Cameron dan pencinta sinema dunia, maka itu, dia dan sahabatnya yang juga penerbit filem tersebut, Jon Landau kembali melayarkan Titanic ke pawagam. Lebih mengagumkan apabila karya itu diterbitkan semula dalam versi tiga dimensi (3D) yang kini menjadi satu budaya popular dalam pembikinan filem di dunia.

Apabila memperkatakan tentang 3D, ia bukanlah sesuatu yang baru buat Cameron yang dilihat sebagai pelopor kepada filem-filem dalam versi itu. Bermula tahun 2001, Cameron sudah mempelopori penggunaan teknik 3D dalam filem dokumentarinya, Ghosts of the Abyss dan seterusnya mengaplikasikan teknik yang lebih canggih dalam filem Avatar.

13 April 2012

Tunjukkan Tanda Syukur Dengan Perbuatan



PADA zaman Saidina Umar al-Khattab, ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi Kaabah yang maksudnya: "Ya Allah! Masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit." Doa beliau didengar Saidina Umar yang melakukan tawaf di Baitullah.

Saidina Umar hairan dengan permintaan pemuda itu. Selepas selesai melakukan tawaf, Saidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya: “Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa, apakah tiada permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada Allah?”

Pemuda berkenaan menjawab: “Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa berkenaan kerana aku takut dengan penjelasan Allah seperti firman-Nya dalam surah al-A’raaf, ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekalian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur.”

Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012



Undang-Undang Baharu Ganti ISA Dibentang.

Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang bertujuan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 10 April, 2012.

Rang undang-undang itu dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz. Beliau juga mencadangkan bacaan kali kedua rang undang-undang itu dibuat pada persidangan ini. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, rang undang-undang itu akan dibacakan untuk kali kedua dan dibahas Isnin 16 April 2012.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 September lepas mengumumkan ISA akan dimansuh dan satu akta baharu akan diwujudkan bagi menggantikan akta itu.

Antara yang terkandung dalam rang undang-undang baharu itu ialah pada Bahagian 5 Fasal 12 yang mencadangkan supaya semua kesalahan keselamatan hendaklah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

12 April 2012

Senarai Yang di-Pertuan Agong Malaysia

Yang di-Pertuan Agong atau Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ialah gelaran rasmi ketua negara Malaysia. Malaysia yang mengamalkan sistem pemerintahan Raja BerPerlembagaan dan Demokrasi BerParlimen mula melaksanakan pemilihan Yang di-Pertuan Agong ketika negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

SENARAI SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG

SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG I
Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad

D.M.N., S.M.N.
Memerintah dari 31 Ogos 1957 hingga 1 April 1960
Negeri: Negeri Sembilan

Menjunjung Kasih Yang di-Pertuan Agong Ke-14



Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun

Rabu, 11 April, 2012 Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang menaiki takhta menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin dari Terengganu, ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Ini adalah satu-satunya peristiwa kenegaraan tertinggi bagi Malaysia. Peristiwa ini menepati kehendak Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan yang antara lain memperuntukkan: "Maka hendaklah ada seorang Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelarkan Yang di-Pertuan Agong, yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan..."

Frasa Kepala Utama Negara di bawah Perkara 32(1) itu tanpa sebarang keraguan atau kesamaran meletakkan Raja bagi Persekutuan Malaysia sebagai peneraju utama bagi negara ini.

Peruntukan ini yang telah sedia sedemikian semenjak berkuatkuasanya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, susulan kepada syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Lord Reid selaku pembentuk kerangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

11 April 2012

Peralatan Kebesaran Dalam Istiadat Pertabalan Agong


Muskat adalah pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong

Alat-alat Kebesaran Diraja memainkan peranan penting dalam istiadat-istiadat rasmi Raja-raja Melayu di negara ini.

Peralatan-peralatan itu yang melambangkan kedaulatan Baginda dan negara telah dicipta dan disesuaikan dengan alat kebesaran yang pernah menjadi warisan kegemilangan Raja-raja Melayu pada zaman keagungannya dahulu.

Bagaimanapun, sesuai dengan fungsi dan kehormatannya, alat-alat berkenaan hanya boleh digunakan pada upacara rasmi sahaja, dan untuk kesekian kalinya, rakyat akan berpeluang menyaksikan penggunaannya pada istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke-14, pada 11 April ini.

Antara alat-alat kebesaran itu ialah pakaian istiadat Yang di-Pertuan Agong termasuk Muskat, Tengkolok, Pending, Keris Pendek, Gendik dan Kalung. Muskat adalah pakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong, yang berasal dari Oman.

Nobat Diraja Kedah Serikan Istiadat Pertabalan Agong Ke-14


Anggota kumpulan Nobat Diraja Kedah pada sesi raptai menjelang istiadat pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April 2012 ini.

Kumpulan Nobat Diraja Kedah, kumpulan nobat tertua di negara ini yang ditubuhkan 400 tahun lalu, akan memainkan peranan penting sekali lagi dalam istiadat pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April 2012 ini.

Kali terakhir kumpulan ini mewarnai istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ialah pada 25 April 2002 semasa Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-12 di Balairong Seri, Istana Negara yang lama.

Bagi Ketua Nobat Diraja Kedah, Mohd Nazri Omar, 50, pertabalan Yang di-Pertuan Agong kali ini lebih bermakna buatnya bukan sahaja kerana Sultan Kedah melakar sejarah sebagai satu-satunya Raja Melayu yang ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua, tetapi juga buat pertama kalinya anak beliau, Mohd Syazwan Mohd Nazri, 22, akan turut bersamanya membuat persembahan.

10 April 2012

Agong Tunggak Keyakinan Rakyat Terhadap Kestabilan Negara



Tanggal 11 April 2012 ini, sekali lagi rakyat Malaysia yang berbilang kaum akan menyaksikan berlangsungnya istiadat pertabalan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-14.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah negara, seorang Sultan dilantik kali kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong oleh Raja-Raja Melayu pada mesyuarat khasnya, 14 Okt 2011 lepas.

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, 84, pertama kali dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima pada 23 Julai, 1970 semasa berusia 42 tahun.

Malaysia yang mengamalkan sistem pemerintahan Raja BerPerlembagaan dan Demokrasi BerParlimen mula melaksanakan pemilihan Yang di-Pertuan Agong ketika negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Langkah tersebut amat bermakna kerana ia melambangkan keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan demokrasi.

Keunggulan Sistem Beraja Di Dunia


YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajjah Haminah.

Hari Rabu 11 April 2012 ini Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dan Tuanku Hajah Haminah sebagai Raja Permaisuri Agong.

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ini adalah acara paling penting bagi Malaysia kerana jawatan Seri Paduka itu adalah sebagai ketua negara. Ia merupakan kedudukan tertinggi di negara ini dalam amalan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Malaysia adalah salah satu daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem beraja. Setiap negara mempunyai kaedah masing-masing dalam mengamalkan sistem beraja. Daripada 43 negara itu, 36 mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Sementara lima negara mengamalkan sistem beraja kuasa mutlak, dan dua lagi adalah campuran, iaitu mutlak dan berperlembagaan.

09 April 2012

Pertabalan Agong Dirakam National Geographic Channel



Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada Rabu 11 april 2012 ini menarik minat National Geographic Channel (NatGeo) untuk merakamkannya dalam bentuk filem dokumentari dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk siaran ke seluruh dunia.

Pengarah Produksi Finas, Subaidah Md. Top berkata ini kali kedua NatGeo membuat liputan seumpama itu. Kali pertama, istiadat pertabalan Yang di Pertuan Agong ke 13, Sultan Mizan Zainal Abidin dari Terengganu pada 2007.

Dalam liputan kali ini, NatGeo akan menumpukan kepada keunikan dan keistimewaan pelantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk kedua kalinya.

Subaidah berkata, belum pernah dalam sejarah negara, Sultan atau Raja yang sama dilantik semula sebagai Ketua Negara sejak sistem giliran memegang jawatan itu di kalangan sembilan Sultan dan Raja dipraktikkan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

Profil Yang Dipertuan Agong XIV



11 April 2012 Cuti Umum Pertabalan Agong

Istiadat pertabalan Yang Dipertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, akan diadakan pada Rabu, 11 April 2012 ini di Balairong Seri, Istana Negara diikuti Majlis Santapan Diraja pada sebelah malam.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, sempena istiadat tersebut kerajaan mengisytiharkan 11 April 2012 sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara.

Pengisytiharan hari kelepasan am tambahan ini dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan manakala Sabah dan Sarawak boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang negeri masing-masing.

08 April 2012

Pemerintahan Beraja Dalam Sistem Demokrasi Malaysia



Pemerintahan beraja di Malaysia dikatakan paling unik berbanding negara lain yang mengamalkan pemerintahan beraja.

Ini kerana di negara-negara berkenaan takhta pemerintahan terus kekal dikuasai waris, tetapi di Malaysia raja yang memegang jawatan sebagai Ketua Negara atau dikenali sebagai Yang di-Pertuan Agong bertukar mengikut giliran dalam kalangan sembilan Sultan atau Raja yang memerintah negeri.

Sungguhpun negara ini mengamalkan sistem pemerintahan Raja BerPerlembagaan dan Demokrasi BerParlimen, pemilihan Yang di-Pertuan Agong, yang mula dilaksanakan ketika negara mencapai kemerdekaan pada 1957, adalah cukup bermakna kerana ia melambangkan keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan demokrasi.

Peraturan Perlindungan Pengguna (Jualan Kredit) 2012


Peralatan elektrik adalah antara barangan yang dijual secara kredit - Gambar Hiasan.

Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Jualan Kredit) 2012 akan dikuatkuasa mulai 1 Oktober, 2012 untuk mengawal selia transaksi secara ansuran dengan memberi jaminan tiada lagi caj tersembunyi kepada pengguna kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata peraturan itu, yang telah digubal dan diwartakan pada 30 Mac 2012 lepas, diletakkan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dengan tujuan memastikan maklumat penting dimaklumkan kepada pengguna secara telus oleh peniaga selain membantu kedua-dua pihak memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing.

"Kementerian memperkenal peraturan jualan kredit bagi pembelian barang secara ansuran di mana ia merupakan satu mekanisme pengawalseliaan terhadap transaksi jualan kredit yang belum pernah dikawal selia oleh mana-mana kementerian mahu pun agensi.

07 April 2012

Seni Gubahan Ikebana


Gubahan Ikebana (Contoh 1)

Seni gubahan ikebana tujuh abad

SIAPA sangka dengan menggunakan kacang panjang, lobak merah, sayur sawi dan barang terpakai yang terdapat di dapur rumah, anda mampu menghasilkan gubahan hiasan yang cantik dan menarik untuk dijadikan perhiasan.

Berbeza dengan gubahan bunga kebiasaan yang mementingkan hasil yang berwarna-warni, seni gubahan dari Jepun yang dikenali sebagai ikebana tidak memfokuskan kepada kecantikan bunga semata-mata. Sebaliknya, dengan hanya menyusun dahan, daun dan sayuran malah rumput ke dalam bekas bunga yang unik ataupun bekas kitar semula, kreativiti mampu menghasilkan gubahan yang sungguh menawan.

Seorang peminat ikebana, Mastura Ibrahim, 29, berkata, walaupun tidak menggunakan bunga yang banyak atau terlalu berwarna-warni, gubahan tersebut mampu menyerikan kediaman sekali gus menyejukkan pandangan mata.

06 April 2012

Hak Suami dan Isteri Dalam Rumah Tangga


Perkahwinan merupakan satu tanggungjawab dan amanah besar yang perlu dipikul oleh suami dan isteri.

ALAM perkahwinan merupakan dunia yang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan yang sedang bercinta. Namun dalam usaha memenuhi impian tersebut, masih ramai yang tidak memahami tanggungjawab sebenar sama ada sebagai suami mahupun isteri.

Malah faktor ini antara yang menjadi penyumbang besar kepada berlakunya pergolakan dalam rumah tangga sehingga membawa kepada perceraian.

Penolong Pengarah Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hafizan Ibrahim berkata, perkahwinan merupakan satu tanggungjawab dan amanah besar yang perlu dipikul oleh suami dan isteri. Katanya, Islam telah menjelaskan berkaitan hak-hak suami ke atas isteri dan sebaliknya.

Proton Preve Dilancar 16 April 2012

Proton Preve dimajukan bertujuan mengukuhkan pasaran eksport pengeluar kereta nasional itu dan ditawarkan pada harga RM59,990 seunit bagi versi standard eksekutif transmisi manual, RM62,990 bagi standard eksekutif automatik CVT dan RM72,990 seunit bagi versi premium. [BHarian 16/04/2012]



Proton P3-21A atau nama rasminya Preve yang bakal dilancarkan pada 16 April 2012 ini merupakan kereta berharga bawah RM75,000 pertama di pasaran yang menawarkan gajet berkelas premium. Preve yang disebut 'prey-vey' ditawarkan dalam tiga varian itu terdiri daripada model manual standard, automatik standard dan automatik spesifikasi tinggi.

Model standard menggunakan enjin 1.6 liter IAFM Continuous Variable Transmission (CVT) lima kelajuan bagi model manual dan tujuh kelajuan untuk automatik. Model spesifikasi tinggi itu menggunakan enjin 1.6 liter Caj Keberkesanan Minyak (CFE) turbo dengan CVT Protonic tujuh kelajuan.

Preve mempunyai bahagian belakang yang tinggi bagi menonjolkan imej lebih sporty, di samping lampu hadapan jenis projektor jelas memperlihatkan rekaan garangnya. Saiz model baharu itu lebih besar berbanding Persona dan menurut Proton, Preve mampu bersaing dengan model seperti Honda Civic dan Kia Forte di pasaran.

05 April 2012

LHDN: Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) 2012

Sudahkah anda melaksanakan e-Filing bagi pendapatan anda di tahun 2011?
Sila klik e-Filing untuk melaksanakannya.


LHDN kembalikan borang pembayar cukai tidak lengkap

Mulai tahun 2012 ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memulangkan semua Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) pembayar cukai yang tidak lengkap. Langkah ini diambil memandangkan kelonggaran yang diberikan selama ini kepada pembayar cukai yang menghantar BNCP tidak lengkap diambil mudah oleh sebilangan daripada mereka.

LHDN dalam satu kenyataannya berkata, selepas Sistem Taksir Sendiri (STS) diperkenalkan sejak 11 tahun (syarikat) dan tujuh tahun (individu), masih banyak borang tidak lengkap diterima.

Kenyataan itu menjelaskan, pembayar cukai hendaklah mengembalikan semula BNCP yang telah lengkap ke Jabatan Pemprosesan Maklumat, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia di Pandan Indah, Kuala Lumpur sebelum 30 April 2012 bagi Borang BE dan 30 Jun 2012 bagi Borang B. Langkah ini bagi mengelakkan penalti lewat hantar BCNP dikenakan ke atas mereka.

Penguatkuasaan Tali Pinggang Keselamatan Ketiga Bermula



Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah mula menyaman para pemilik kenderaan yang tidak mematuhi peraturan memasang tali pinggang keselamatan ketiga pada kenderaan mereka, sejak awal tahun 2012 ini.

Pengarah Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Jaafar Mohamed yang mengingatkan orang ramai mengenai penguatkuasaan peraturan itu berkata pihaknya amat mengharapkan kerjasama orang ramai menjadikan amalan menitikberatkan soal keselamatan sebagai satu budaya, dan bukan hanya melihatnya daripada segi penguatkuasaan semata-mata.

"Penguatkuasaan perlu dilihat ada unsur-unsur pendidikan, untuk didik orang ramai supaya semua memainkan peranan mematuhi undang-undang, demi keselamatan, bukan soal tindakan tegas semata-mata," katanya.

04 April 2012

Kehalusan Kain Tenun Pahang Diraja


PELBAGAI cenderamata yang diperbuat daripada kain Tenun Pahang Diraja menjadi pilihan pelancong luar dan tempatan yang berkunjung ke galeri Perniagaan Sutera Pulau Keladi.

SAAT menjejakkan kaki di bengkel Perniagaan Sutera Pulau Keladi, Pekan, Pahang, kedengaran bunyi ketukan mesin kek (mesin tenun tradisional) yang menjadi ‘irama’ peneman. Suasana itu memberikan mood kepada penenun untuk lebih tekun dan fokus menghasilkan tempahan kain Tenun Pahang Diraja.

Begitulah rutin harian di bengkel milik Azman Zakaria, 41, yang terlibat dalam pelaksanaan projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Kraftangan Malaysia. Kelihatan ada penenun yang sedang melakukan proses mengubung (mengikat sehelai demi sehelai benang), meneguh dan menenun.

03 April 2012

Nilai Eksklusif Kayu Balau Berlubang



BURUK, usang, kelihatan reput dan berlubang-lubang. Itu antara perkataan yang terlintas di fikiran ketika pertama kali melihat struktur binaan pintu gerbang dan beberapa perabot seperti almari, meja solek dan meja kopi di kilang Kayuma Industry di Kampung Peragap, Kerdau, Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Pasti anda juga berkongsi pendapat yang sama tatkala memandang pada perabot yang ciri fizikalnya berlubang-lubang seolah-olah sudah parah dimamah anai-anai.

Dalam hati tertanya-tanya, siapakah sanggup melaburkan wang membeli perabot sedemikian yang pada pandangan mata insan khilaf seni sebagai objek yang tidak bernilai dengan harga jauh lebih tinggi daripada perabot biasa?

Namun, apabila menatap perabot tersebut dengan kemasan terakhir berkali-kali, terbuka hijab pandangan melihat keunikan pesona perabot yang diperbuat daripada kayu balau berlubang. Seolah-olah mengerti pelbagai persoalan yang bermain di fikiran penulis, 'orang kuat' yang menerajui Kayuma Industry, Mohamad Awik, 44, tampil memberikan penjelasan.

02 April 2012

Keldai Siber Wanita Tempatan Sindiket Antarabangsa


Sindiket antarabangsa didalangi warga Afrika peralat wanita kita perdaya syarikat dalam internet

Selain dijadikan keldai dadah, wanita tempatan kini diperalatkan sebagai keldai internet oleh sindiket antarabangsa warga Afrika dengan menggunakan akaun internet dan akaun bank mereka untuk pelbagai kegiatan penipuan secara atas talian di seluruh dunia.

Modus operandi sindiket warga Nigeria yang mempunyai kepakaran teknologi maklumat (ICT) itu adalah dengan menggodam e-mel syarikat antarabangsa yang mengandungi maklumat sulit transaksi perniagaan dan menghubungi syarikat itu selepas mencipta emel baru yang alamatnya mirip e-mel pelanggan syarikat yang berurus niaga dengan syarikat yang mahu ditipu.

Mereka berurus niaga menerusi e-mel palsu termasuk rundingan pembelian. Selepas meyakinkan mangsa, anggota sindiket mengambil alih urus niaga dan menghantar e-mel mengarahkan pembeli memasukkan wang ke dalam akaun bank milik wanita rakyat tempatan yang didaftarkan di Malaysia.

Jadual Pelarasan Gaji Baru SSM 2012



Jadual Pelarasan Gaji Baru Penjawat Awam Boleh Disemak Dalam Laman Web JPA. Anda juga boleh melaksanakan pengiraan sendiri pemindahan gaji anda melalui web tersebut.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan mengenai jadual gaji baru penjawat awam, selaras keputusan kerajaan untuk melaksanakan pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus berdasarkan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Pekeliling yang telah dimuat naik di laman web JPA www.jpa.gov.my, pada 30 Mac 2012 (Jumaat), membolehkan penjawat awam menyemak jadual serta mengira secara automatik kadar gaji baru bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Gaji baru itu berkuatkuasa mulai 1 Jan 2012.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata Pekeliling Perkhidmatan itu bertujuan melaksanakan keputusan kerajaan mengenai kenaikan gaji sebanyak 13 peratus berdasarkan SSM dengan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) antara RM80 hingga RM320 kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta Kumpulan Pelaksana.

01 April 2012

Tenaga Elektrik Dan Kesannya Terhadap Alam Sekitar

Rencana Sempena Earth Hour 2012

KLCC Di Saat Earth Hour 2012

Banjir di Thailand pada November yang meragut lebih 500 nyawa disifatkan sebagai satu daripada bencana alam paling buruk dalam sejarah negara itu.

Walaupun para saintis mengatakan perubahan iklim masih tidak pasti sama ada wujud kaitan langsung antara banjir dengan perubahan iklim, namun mereka sepakat mengatakan bahawa perubahan iklim baru-baru ini berkemungkinan besar berpunca daripada pemanasan sejagat, iaitu pelepasan gas rumah hijau.

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), punca terbesar pelepasan tahap tinggi Karbon Dioksida ialah industri tenaga, melibatkan 41 peratus diikuti dengan pengangkutan (23 peratus) dan perindustrian (20 peratus) pada 2009.

Di Malaysia, satu kajian oleh UTM dalam tahun 2010 mengunjurkan pelepasan  Karbon Dioksida di negara ini mencapai 285.73 juta tan metrik, (daripada 187 juta tan metrik pada tahun 2006), dan 43.4 peratus berpunca daripada industri tenaga.