Pages

31 Mei 2013

Menangani Masalah Pembelajaran Anak



Anak adalah amanah Allah. Ibubapa bertanggungjawab mendidik agar mereka sedar mereka khalifah Allah di muka bumi.

Ilmu pengetahuan tinggi tanpa akhlak baik, seolah melahirkan anak cacat. Kini ibu bapa, guru dan masyarakat terlalu fokus kepada keputusan peperiksaan yang cemerlang tetapi mengabaikan didikan akhlak dan sahsiah diri anak-anak ini.

Ibubapa sanggup berbelanja besar menghantar anak ke tuisyen terutama yang bakal menghadapi peperiksaan utama. Malangnya mata pelajaran Al Quran, fardu ain, akhlak dan sahsiah diri kurang diberi perhatian.


Kini, telah terbukti anak cemerlang dalam peperiksaan datang daripada sekolah yang menekankan pendidikan Al Quran dan Agama Islam.

Contoh yang boleh dijadikan iktibar seperti kisah kejayaan Adik Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan yang mendapat 20A dalam peperiksaan SPM beberapa tahun lalu. Beliau hanya anak nelayan dalam keluarga miskin, tetapi mampu cemerlang.

Kita harus sedar dan faham, didikan anak sebagai Muslim sejati memerlukan perhatian dari aspek jasmani dan rohani. Makanan jasmani dapat disediakan. Bagaimana dengan makanan rohani seperti solat, bacaan Al Quran dan makanan bersih lagi halal? Adakah kita mengambil berat persoalan penting ini?

Anak-anak yang menjadikan rutin membaca Al Quran setiap hari dan sentiasa mendirikan solat, lazimnya hati mereka lembut dan mudah mendengar kata.

Ini sesuai dengan maksud firman Allah; "Dan kami turunkan sebahagian dari Al-Quran (ayat-ayat) sebagai penawar (penyembuh) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Isra - 18)"

Perkara yang kita sering lupa selaku ibu bapa ialah matlamat mencari ilmu. Kita sering mengingatkan anak-anak rajin belajar supaya bila dewasa, ada ijazah bagi mencari pekerjaan. Tujuan belajar untuk habuan keduniaan, bukannya satu ibadah.

Kita fikir kalau gagal peperiksaan, gelap masa depan. Sedangkan, tujuan menuntut ilmu ialah mematuhi perintah Allah. Rasulullah SAW pernah berpesan lebih kurang bermaksud, jika hendak senang di dunia atau akhirat perlu menuntut ilmu.

Kisah Lukman Al Hakim dalam Al-Quran sangat jelas dijadikan panduan dan pengajaran dalam pendidikan. Al-Quran menghidangkan petua dan wasiat bagaimana Lukman mendidik anaknya dalam Surah Lukman dalam ayat 13 hingga 19.

Kita perlu mengenali Lukman supaya kita boleh mencontohinya. Bagaimana Lukman Al-Hakim mencapai makam mulia?

Menurut Imam Ibnu Jarir daripada Amru Ibnu Qais, seorang lelaki pernah menyoal Lukman mengenai perkara itu.

Lukman menjawab: “Semua adalah kehendak Ilahi. Bagaimanapun, aku sentiasa menunaikan amanah yang dibebankan ke atas diriku. Aku juga sentiasa bercakap benar dan aku menjauhi setiap perkara yang tidak mendatangkan faedah bagiku."

Ramai ibu bapa tidak mengetahui bahawa ‘wasiat’ Lukman kepada anaknya adalah teknik khusus mendidik anak. Jika teknik ini diamati lalu dipraktikkan dalam kehidupan seharian, nescaya lahir anak Muslim beriman dan bertakwa kepada Allah. Masalah malas, tidak fokus kepada pelajaran atau melawan ibu bapa mampu diatasi.

Cuba kita renungkan intisari ayat 13 hingga 19 surah Lukman;

13. “Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".

Pertama, kita perlu tanamkan sifat tidak syirik kepada Allah kerana ia perbuatan zalim, maksudnya meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Contohnya, tujuan belajar bukan untuk dapat kerja tetapi patuh perintah Allah.

Orang yang semakin tinggi ilmunya, sepatutnya makin takut kepada Allah. Bukan semakin ingkar dan derhaka kepada Allah.

14. "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."

Kedua, anak-anak perlu dididik supaya taat dan hormat kedua ibubapa, rasa terhutang budi kepada ibu bapa, menyedarkan mereka bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu. Reda Allah bergantung kepada reda ibu bapa.

15. "Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan Tauhid dan amal-amal yang soleh). kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan."

Patuh kepada ibu bapa kepada perkara tidak bercanggah dengan perintah Allah.

16. "(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat biji sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana Sesungguhnya Allah Maha halus pengetahuanNya; lagi amat meliputi akan segala yang tersembunyi."

Anak-anak perlu sentiasa diingatkan, apa sahaja yang mereka fikirkan, lakukan semuanya diketahui Allah dan akan dibalas oleh Allah di akhirat kelak.

17. "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya."

Solat wajib didirikan, tidak kira dalam apa keadaan. Mengapa perlu solat? Kerana Allah berjanji solat mampu mencegah daripada melakukan perkara tidak baik.

Contohnya sikap malas belajar, adalah perkara keji dan mungkar. Solat sukar dilaksanakan pada awalnya, tetapi jika dilatih, ia menjadi mudah. Itulah sebabnya Rasulullah saw berpesan. “Suruhlah anak-anak mendirikan solat sewaktu berumur tujuh tahun dan rotanlah sewaktu berumur 10 tahun, jika meninggalkan solat."

Sikap sabar perlu ditekankan dari awal. Anak-anak perlu dilatih agar tidak semua keinginan mereka mesti dipenuhi.

18. "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri."

Anak perlu dididik mempunyai hati kasih belas dan sentiasa ingin membantu. Sikap pemurah, tidak kedekut, suka berkongsi ilmu dan mengajar rakan yang lemah dalam mata pelajaran perlu ditanam kerana Allah suka orang yang pandai mengajar mereka.

19. "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".

Ibubapa perlu memberi contoh komunikasi berkesan. Cara berinteraksi dengan anak perlu sopan, tertib dan tidak menengking.

Saidina Ali berpesan, jika percakapan datang dari hati yang ikhlas ia akan sampai ke dalam hati, tetapi jika percakapan datang dari lidah maka ia akan masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tiada kesan positif.

Penutup

Apakah ayat-ayat Al-Quran yang dapat diamalkan untuk menggalakkan anak rajin belajar dan tidak degil?

Sebelum menyuruh anak-anak rajin solat dan baca Al Quran, ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik.

Mungkin kita terlalu sibuk, tetapi dengan kemudahan teknologi maklumat, terlalu banyak kemudahan yang Allah sediakan untuk kita menggunakannya.

Berikut adalah ayat Al Quran yang boleh dijadikan amalan harian agar hati anak lapang dan mudah belajar;

1. Surah Yassin ayat 72 hingga 83
2. Surah Ar Rahman ayat 21 hingga 60

Anak harus dibimbing untuk amalkan ayat tersebut setiap hari dan dalam setiap masa terluang.

Paling penting, iringi bacaan dengan doa kepada Allah supaya dikurniakan hati dan minda lebih fokus kepada pelajaran.

InsyaAllah, Allah sentiasa mendengar dan memerhati setiap usaha dan doa hambaNya yang tekun berusaha. Jangan berdoa tanpa usaha.

Oleh: Haji Lokman Abdul Hamid
Sumber: Utusan

1 ulasan:

Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.