Pages

11 Mei 2013

Titik Juga Diterima Sebagai Tanda Undi?



Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan bahawa selain tanda pangkah X pada kertas undi, tanda lain seperti titik juga diterima sebagai undi.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata syaratnya sesuatu tanda itu mestilah dibuat di dalam ruangan yang disediakan. Tulis (perkataan) tak boleh, tapi kalau dot, tick atau apa tanda yang dibuat dalam kotak kita boleh takrifkan bahawa dia punya intention (niat) adalah untuk memilih calon itu.

"Dalam garis panduan kita, apa tanda pun diterima tak semestinya pangkah tetapi jangan buat di semua kotak," katanya mengulas 332,297 kertas undi ditolak atau undi rosak pada pilihan raya umum Ahad lalu, berbanding 324,120 pada 2008.


Beliau berkata, bilangan undi rosak menunjukkan masih ramai rakyat Malaysia tidak faham mengenai cara mengundi semasa pilihan raya sehingga beratus-ratus ribu kertas undi terpaksa ditolak dan dikategorikan sebagai undi rosak.

Daripada keseluruhan undi rosak, 171,556 kertas undi adalah bagi kerusi Parlimen, manakala 151,741 lagi undi untuk kerusi dewan undangan negeri (DUN).

Sumber: BHarian [2013/05/10]



Malaysia telah berpengalaman menempuh Pilihan Raya Umum sebanyak 13 kali. Umum mengetahui dalam Pilihan Raya Umum terdahulu pengundi akan menanda kertas undi ke atas calon pilihan mereka dengan tanda pangkah. Tiada seorang rakyat Malaysia pun dengan pengalaman lebih 55 tahun melalui pengalaman mengundi tidak mengetahui tentang hal ini.

Undi rosak dengan tandaan yang pelbagai bukan disebabkan tidak tahu cara menanda, tetapi suatu perbuatan yang disengajakan oleh pihak tertentu yang tidak sedar tentang pentingnya setiap undi mereka itu ditandakan dengan betul.

Maka dengan kefahaman sedemikian, tanda-tanda lain selain tanda pangkah dan penandaan di luar kotak yang disediakan dianggap sebagai undi rosak. Tidak perlu untuk kita bersusah-payah memikirkan tentang tanda-tanda lain ini sama ada perlu diterima atau ditolak.

Maka apabila terbaca berita tentang penerimaan tanda titik sebagai tanda undi di akhbar, ia membuatkan saya rasa terkejut. Lebih-lebih lagi maklumat tentang penerimaan tanda titik sebagai tanda undi tidak disebarkan di mana-mana media sama ada media cetak atau media elektronik. Atau mungkin kaedah ini telah diguna pakai sekian lama, tetapi maklumat ini tidak disebar luas untuk pengetahuan masyarakat umum.

Saya memang amat pasti bahawa maklumat ini tidak disebarluas ke masyarakat umum dan saya amat yakin saya tidak terlepas pandang jika maklumat ini disebarkan, kerana sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya segala bentuk berita berkaitan dengan Pilihan Raya akan saya baca atau sekurang-kurangnya saya akan membaca tajuk berita tersebut.

Penerimaan tanda titik ini pula boleh dipersoalkan. Dengan penggunaan calitan dakwat kekal pada jari telunjuk, tanda titik ini boleh juga terhasil apabila jari telunjuk yang mengandungi dakwat yang belum kering secara tidak sengaja atau secara tidak disedari telah tersentuh kertas undi.

Pada saya pada Pilihan Raya akan datang lebih baik penandaan kertas undi kembali kepada ketetapan awal yang telah diterima pakai sekian lama iaitu ketetapan yang menghendaki pengundi menandakan tanda pangkah pada kotak yang disediakan. Ini bagi menghindarkan sebarang pertikaian daripada pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan kaedah yang pelbagai ini.

Bagi menunjukkan SPR tegas dengan cara penandaan secara tanda pangkah, maklumat ini hendaklah sentiasa diulang-siar di dalam media cetak dan media elektronik sebagai mana keadaannya sentiasa diulang-siar lagu 'Jom Kita Mengundi'.

2 ulasan:

  1. walaupun umur x cukup lagi... tapi smua nih kena tau.. huhu.. next pru .insyaAllah ^_^

    BalasPadam
  2. macamtu pun dikira juga ke? susah payah aiza buat tanda pangkah.. baru tahu nak tanda semudah tu je..

    BalasPadam

Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.