Pages

13 Jun 2013

Kaedah Meta Ubah Kelajuan Membaca



SUASANA di dalam kelas Speed Reading itu agak berbeza. Setiap peserta yang kebanyakannya terdiri daripada wakil media tempatan diberikan objek berlainan yang sebenarnya merupakan alat permainan kanak-kanak.

Peserta yang menerima objek yang sama akan dikumpulkan dalam kumpulan kecil yang sama.

Sesi perkenalan pula dibuat dalam satu bulatan sambil peserta membaling sebiji bola. Peserta yang lain akan menyambut bola itu, menyebut nama sendiri dan menjawab soalan yang tertera pada bola getah berkenaan. Semuanya dilakukan serentak dan spontan.


Boleh dikatakan, objek dan sifat spontan merupakan ramuan asas kepada teknik pembacaan pantas yang boleh dipelajari menerusi Speed Reading.

Teknik itu diperkenalkan oleh sebuah syarikat tempatan, The Learning Hub Asia. Kaedah itu bertujuan melatih seseorang membaca sehingga sekali ganda lebih pantas daripada kebiasaan.

Bagi memastikan pelajar membuat peningkatan, kelajuan bacaan mereka akan dinilai sebelum kelas dimulakan. Hakikatnya, ramai golongan yang telah mendapat manfaat daripada program Speed Reading ini termasuk pelajar Sarjana Muda Undang-Undang di Kolej Asia Brickfields di Kuala Lumpur, Ahmad Luqman Ahmad Kamaruzaman.

Menurut Ahmad Luqman, 19, dia mempunyai kadar kelajuan membaca yang sangat menyedihkan. Dia mengambil masa selama lebih tujuh minit untuk membaca sebuah artikel yang mempunyai 1,200 patah perkataan.

"Saya hanya boleh membaca 148 patah perkataan seminit. Selepas mengikuti kelas ini, kelajuan membaca saya meningkat.

"Sekarang kelajuannya lebih kurang sama dengan purata kepantasan lelaki dewasa membaca iaitu 264 patah perkataan seminit," katanya yang mendapat keputusan 6A dan 2B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Dia kini boleh membaca artikel 1,200 patah perkataan dalam masa empat minit 30 saat berbanding tujuh minit sebelum ini.

Sebagai pelajar undang-undang, Ahmad Luqman perlu membaca begitu banyak buku. Justeru, mengikuti kelas tersebut dirasakan tepat sekali di samping meningkatkan disiplinnya ketika membaca.

Akui Ahmad Luqman, gaya membacanya dahulu sama seperti orang lain iaitu membaca sepatah demi sepatah perkataan.

"Itulah cara yang diajar sejak kita kecil lagi. Bukanlah salah sepenuhnya, cuma kurang cekap," keluhnya.


THE Learning Hub Asia melatih seseorang membaca sehingga sekali ganda lebih pantas daripada kebiasaan.

Ketua Pegawai Operasi The Learning Hub Asia, Jessica Dang berkata, terdapat beberapa tabiat yang menjadi punca orang ramai lambat membaca.

Antaranya, ketika berada di tahun satu dan dua sekolah rendah, guru yang mengajar pasti menyuruh murid membaca dengan kuat, namun kaedah pengajaran itu bertukar sebaik sahaja murid memasuki tahun lima.

"Guru mengarahkan anak murid membaca dalam keadaan senyap menyebabkan tabiat membaca kuat terbawa-bawa apabila mereka membaca dalam diam," terang Jessica yang telah pun berada dalam industri pendidikan selama lebih dua dekad.

Ia dikenali sebagai subvocalization (suara kecil) iaitu pembaca akan menggerakkan bibir ketika membaca.

Membaca teks sepatah demi sepatah perkataan juga sebenarnya melambatkan bacaan begitu juga dengan fokus pergerakan mata yang tidak efisien.

"Otak manusia boleh bergerak lebih pantas daripada mulut. Sewaktu membaca, kita harus melihat sesuatu perkataan sebagai imej, bukan susunan huruf," ujar Jessica.

Satu perkara lagi yang membuatkan orang membaca dengan lambat ialah sikap membaca yang kerap membalik atau mengulang-ulang.

Ketika membaca, kita sering terlupa apa yang telah dibaca sebelum itu. Akibatnya, kita akan pulang semula ke perenggan atau muka surat sebelumnya. Kelakuan sebegitu menyebabkan timbul rasa jemu dan menambah tempoh yang diperlukan untuk membaca.

Dalam kelas Speed Reading, individu akan diuji tahap bacaan dan mengenal pasti jenis tabiat dan masalah membaca yang paling dominan.

"Dalam dunia yang sentiasa sibuk ini, membaca surat khabar, dokumen kerja mahupun buku rujukan perlu lebih cepat.

"Teknik membaca ini amat sesuai untuk semua peringkat usia dan boleh diaplikasi kepada kanak-kanak seawal usia 10 tahun," terangnya.

Terdapat beberapa teknik yang ada dan diajar dalam kelas tersebut. Setiap teknik boleh dipupuk bagi meningkatkan kadar membaca seseorang itu.

Antaranya dengan membesarkan pandangan mata daripada penglihatan primer kepada penglihatan periferal. Pandangan tersebut membolehkan lebih banyak perkataan dilihat pada satu-satu masa berbanding satu perkataan pada satu masa.

Maka tabiat buruk membaca satu demi satu perkataan dapat dikurangkan dengan melihat susunan satu-satu ayat itu dalam satu masa.

Cerita Jessica, teknik Speed Reading tercetus apabila pengasasnya, Evelyn Wood berasa putus asa kerana tidak dapat memahami apa yang dibaca lantas mebaling buku tersebut.

Apabila dia mengutip semula buku itu, dia mendapati buku itu diselaputi habuk dan menyapunya mengikut baris perkataan.

Baris perkataan

Dari situ, wanita itu mendapati pengerakan menyapu habuk menarik pandangan mata dan membantunya membaca dengan lebih baik.

Kejadian tersebut berlaku pada tahun 1958. Sejak itu, Evelyn menggunakan tangan sebagai alat penunjuk serta memperkenalkan kepada umum teknik membaca seperti itu pada tahun berikutnya.

Teknik dikenali sebagai panduan Meta dengan cara menggunakan alat penunjuk yang mampu menjadi perentak dalam tempo bacaan.

Penunjuk boleh memaksa individu membaca dalam kadar yang cepat dengan menggerakkannya pada kelajuan yang dikehendaki.

Teknik itu boleh dilatih bagi mempercepatkan bacaan daripada mengerakkan satu perkataan kepada perkataan yang lain.

Ayat bersegmen

Latihan seterusnya, penunjuk diletakkan pada tengah ayat supaya individu boleh membaca keseluruhan ayat dengan satu tempat sahaja yang ditunjukkan.

Kemudian, kaedah tersebut boleh dilatih dengan menggerakkan penunjuk dari atas ke bawah baris demi baris ayat.

Membaca ayat secara bersegmen seperti itu yang mengikut rangkai kata membolehkan ia mudah difahami.

Penunjuk berfungsi dengan memastikan pandangan anda sentiasa ke hadapan sekali gus menghilang perkataan yang telah dibaca.

Tabiat buruk membaca iaitu suka membaca perenggan sebelumnya secara berulang kali mampu dihapuskan.

"Kami mendapati benda yang paling baik untuk dijadikan penunjuk adalah kayu penyepit berwarna hitam. Ia ringkas, tetapi alat yang sangat berkuasa," kata Jessica lagi.

Menurutnya, jika tiada penunjuk yang sesuai seperti pen, jari juga boleh digunakan. Cuma, elakkan daripada meletakkan telapak tangan pada teks kerana ia menutup pandangan.

Tambah fasilitator The Learning Hub Asia, Charissa Rebecca Daniel, 24, terdapat beberapa kumpulan perkataan yang kerap digunakan dan dikenali sebagai perkataan perdana.

"Perkataan-perkataan itu mudah dikenal pasti serta-merta dan tidak perlu dinyahkod individu, jadi mata tidak perlu ditumpukan pada perkataan itu," kata Charissa selepas kelas Speed Reading.

Nyahkod dalam bacaan adalah kebolehan mengadaptasi pengetahuan membunyikan huruf supaya perkataan disebut dengan tepat.

Jika seseorang itu dapat menguasai perkataan perdana, proses tersebut boleh berlaku secara automatik.

The Learning Hub Asia dan pengasas Speed Reading telah menyusun lebih 500 juta perkataan dalam bahasa Inggeris dan menyisihkannya mengikut kekerapan penggunaannya.

Penyisihan perkataan itu mendapati sebanyak 2,000 patah perkataan membentuk 75 peratus perkataan yang digunakan dalam percakapan seharian.

Tabiat buruk membaca

Daripada 2,000 perkataan itu, 300 pertama mewakili 50 peratus perkataan bahasa Inggeris dalam cetakan, manakala 15 perkataan pertama termasuk dalam 25 peratus daripada semua perkataan yang dicetak.

Walaupun kelas tersebut dijalankan dalam bahasa Inggeris, menurut Charissa, teknik-teknik yang diajar boleh digunakan dalam semua jenis bahasa dengan sedikit ubah suai.

"Kelas ini bertujuan menanam kemahiran membaca dalam kalangan kanak-kanak, manakala untuk orang dewasa, ia lebih kepada memecahkan tabiat buruk membaca," katanya.

Selain mengesan dan mempelajari teknik membaca dengan pantas, The Learning Hub Asia turut menggunakan sebuah perisian yang mampu meningkatkan lagi kemahiran membaca.

Perisian tersebut berbentuk permainan perkataan dan huruf yang menguji kecekapan mengenal pasti perkataan atau huruf.

Selepas kelas, perisian tersebut perlu digunakan pelajar selama antara 10 hingga 15 minit sehari bagi menajamkan kemahiran membaca.

"Kami memberi jaminan bahawa peserta kelas ini pasti dapat meningkatkan kelajuan bacaan dalam masa sehari sahaja," tegas Jessica.

Sumber: Kosmo

2 ulasan:

  1. setengah org buku terbalik pun boleh baca n laju lak tu.kalau saya mesti terkedek2 nak baca...hihi

    BalasPadam
  2. Hai.. how are u?..
    done follow.. jom follow blog teman.. heee.. http://tengkubutang.blogspot.com/

    klu minat kucen leh follow blog ni jugak.. =)
    http://kucenkucenbelog.blogspot.com/

    BalasPadam

Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.