Pages

08 Jun 2013

Women Deliver ~ Perkukuh Agenda Wanita



Pengasas dan Presiden Women Deliver, Jill Sheffield mengulangi bahawa pelaburan dalam gadis dan wanita akan memberi manfaat besar kepada masyarakat dunia.

Dalam ucapan penutup pada Persidangan Global Women Deliver 2013 di sini, beliau berkata peningkatan pengiktirafan dan penghargaan ke arah memperkasakan hak gadis dan wanita adalah petanda baik untuk kemajuan.

"Ambil sekurang-kurangnya satu idea hebat dan jadikan ia tindakan inspirasi apabila anda pulang ke negara masing-masing...kami ingin melihat dunia yang lebih baik untuk gadis dan wanita," katanya.


Sheffield berkata lebih 4,500 perwakilan termasuk pembuat dasar, penyokong dan pemimpin dunia mewakili 146 negara termasuk lebih 400 wartawan dari seluruh dunia menghadiri persidangan itu yang memberi tumpuan kepada kesihatan dan kesejahteraan gadis serta wanita.

Pada sidang pleno mengenai Agenda Pembangunan Melalui Kaca Mata Wanita, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon dalam sidang videonya, berkata kini adalah masanya untuk menyampaikan lebih banyak usaha untuk gadis dan wanita serta mempercepatkan kemajuan ke arah mencapai matlamat pembangunan PBB.

"Kita tahu bagaimana untuk melakukan ini, ialah dengan memperbaiki akses perancang keluarga, maklumat dan kesihatan, dengan memberi wanita perkhidmatan yang mereka perlukan sebelum dan selepas mengandung dan dengan menyediakan kualiti kesihatan untuk semua," katanya.

"Marilah kita pastikan kesihatan seksual dan reproduktif serta hak wanita dan gadis menjadi keutamaan. Melabur dalam kesihatan dan hak wanita bukan sahaja perkara betul yang perlu dilakukan tetapi ia juga merupakan langkah bijak," katanya.

Pengarah Serantau Women Deliver Asia Datuk Dr Raj Abdul Karim pada sidang media berkata ia merupakan penghormatan kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah acara berprestij itu.

Sumber: BERNAMA [31052013]

Perkukuh agenda kanak-kanak, wanita

Perkukuh agenda kanak-kanak, wanita
Perkasakan kepentingan pendidikan, kesihatan dan politik demi martabat golongan hawa

Malala Yousafzai, 14, rakyat Pakistan yang kini menuntut di sebuah kolej di Birmingham, Britain juga aktivis termuda yang ingin memperjuangkan dan memajukan hak wanita dalam bidang pendidikan, sewajarnya dunia mengaguminya kerana dalam usia semuda itu mampu memperjuangkan hak sepatutnya untuk golongan hawa.

Malala melihat bagaimana kumpulan militan paling berbahaya di negaranya, iaitu Taliban melarang kanak-kanak perempuan bersekolah dan mendapat pendidikan yang sepatutnya wajar dinikmati semua kanak-kanak di dunia.

Sekolah yang ada pelajar perempuan perlu ditutup. Jika tidak, sekolah berkenaan akan dihancurkan. Lantaran keadaan itulah menarik Malala untuk memperjuangkan hak pendidikan membabitkan wanita.

Malala ditembak tahun lalu secara dekat oleh Taliban dan mengalami kecederaan pada kepala. Sungguhpun perjuangan Malala belum sampai ke penghujungnya, beliau membuka mata pihak mengenai berharganya hak wanita.

Semangat Malala patut dijadikan ikon dan pemangkin kepada ekonomi negara ialah menerusi pelaburan ke atas gadis dan wanita.

Semangat Malala

Kisah Malala itu juga menjadi pembuka bicara Pengasas dan Presiden Women Deliver Amerika Syarikat (AS), Jill Sheffield pada Persidangan Global women Deliver yang berlangsung di ibu kota, kelmarin, mampu membakar semangat wanita di seluruh dunia untuk berjuang demi meningkatkan martabat golongan itu.
Katanya, tugas memperkasa wanita memang tidak terbatas malah perlu dibantu dan disokong kerajaan menerusi pelaburan untuk mencapai kesejahteraan hidup mereka termasuk dalam aspek pendidikan serta kesihatan.

“Apabila kerajaan melabur apa saja mengenai kepentingan wanita secara langsung ia menjana ekonomi sesebuah negara,” katanya dalam ceramahnya bertajuk ‘Pelaburan Ke Atas Gadis dan Wanita’.

Sidang itu turut disertai Pengarah Pembangunan Gender, Kumpulan Bank Dunia, Jeni Klugman; Ketua Tindakan Wanita Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN), Lakshmi Puri; Koordinator Projek Sida Antarabangsa, Remmy Shawa; Pekerja Keadilan Afrika Selatan, Sonke Gender dan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Rohani Abdul Karim.

Jill berkata, pelaburan kesihatan kanak-kanak perempuan dan wanita adalah satu penyelesaian untuk setiap masalah pembangunan yang wujud dalam sesebuah negara.

Pada masa sama, tumpuan isu juga seharus meliputi terhadap pembasmian kemiskinan, menstabilkan masyarakat, merangsang ekonomi dan memajukan kesejahteraan keluarga dan masyarakat amat penting untuk kehidupan mapan secara keseluruhannya.

“Keprihatinan nasib, masa depan kanak-kanak dan wanita wajar dijadikan agenda global. Kami berhutang kepada Malala dan berjuta-juta lagi kanak-kanak perempuan seperti dia yang berhadapan dengan pelbagai kesukaran, berusaha setiap hari untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik. Kini adalah masa untuk kita melabur terhadap anak gadis dan wanita,” katanya.

Sementara itu, Jeni Klugman, berkata laporan Pembangunan Dunia Bank Dunia 2012, mendapati peningkatan dalam bidang pendidikan, kesihatan dan agensi wanita secara langsung dikaitkan dengan pertumbuhan ekonomi negara itu.

“Manfaat ini ‘diserahkan’ kepada generasi akan datang. Kita mahu mereka terbela dari segi pendidikan dan kesihatan termasuk kadar imunisasi yang lebih tinggi, pemakanan yang lebih baik dan penurunan kadar kematian bayi.

“Pada tahun 2000, kita menubuhkan Matlamat Pembangunan Milenium (MDGs) untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat termiskin di dunia. Masyarakat global mengakui keperluan untuk meningkatkan kepentingan golongan wanita yang menjadi penanda aras terhadap pembangunan, hak kesamarataan gender, kesihatan ibu dan lain-lain,” katanya.

Lakshmi Puri pula berkata, kanak-kanak perempuan dan wanita adalah kunci kepada pembangunan global.

“Mempromosi dan melindungi wanita adalah perkara utama. Semua pihak perlu menamatkan keganasan terhadap wanita, menggalakkan penyertaan dan memperkasakan mereka dalam aspek politik, sosial dan ekonomi.

“Sekiranya dunia inginkan kemajuan penambahbaikan selepas 2015 patut dirancang dan direalisasikan untuk golongan itu,” katanya.

Global Women Deliver adalah masa kritikal untuk menjana dan memacu masyarakat global untuk mempertahankan hak asasi manusia khususnya membabitkan wanita.

Usaha Malaysia diiktiraf

Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Rohani Abdul Karim, berkata kira-kira 99 peratus kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu yang positif HIV di Malaysia bebas daripada penyakit berkenaan.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil pelaksanaan Program Pencegahan Ibu Kepada Anak (PMTCT) yang diwujudkan sejak 1998 di pusat kesihatan di seluruh negara.

“PMTCT adalah satu usaha yang menyeluruh untuk mencegah penyebaran virus dari ibu kepada anak sama ada sebelum, ketika hamil dan waktu kelahiran dan selepas bersalin,” katanya.

Akses yang lebih besar dari segi penjagaan profesional dan perkhidmatan perancangan keluarga di Malaysia memberi impak terbaik dalam menurunkan nisbah kematian ibu mengandung dan ketika melahirkan.

Mengenai program pencegahan kanser dalam kalangan wanita dan kanak-kanak perempuan, Rohani berkata, Malaysia adalah negara Asia pertama memperkenalkan program pencegahan kanser pangkal pangkal menerusi suntikan ‘human papillomavirus’ (HPV) kepada remaja secara percuma.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan memperuntukkan RM10 juta bagi memperkenalkan program vaksinasi remaja perempuan berusia 13 tahun.

Hakikatnya, pencapaian kebajikan wanita Malaysia dalam bidang kesihatan dan penyertaan ekonomi berada pada tahap yang membanggakan dan diiktiraf oleh organisasi antarabangsa.

“Kestabilan politik penting untuk memastikan usaha memperkasakan wanita berterusan dan berjaya. Persidangan kali ini adalah peluang perkongsian yang bermakna bagi Malaysia ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020,” katanya.



INFO

Persidangan ‘Women Deliver’:

Membabitkan 5,000 perwakilan dari 150 buah negara, iaitu wanita, keperluan yang belum dipenuhi bagi perancangan keluarga dan Rangka Kerja Pembangunan Pasca 2015.

Bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) disertai penceramah hebat seluruh dunia antaranya pengasas bersama Yayasan Bill & Melinda Gates; bekas Presiden Chile, Michelle Bachelet dan Puteri Mahkota Mette-Marit dari Norway.

Penceramah lain ialah anggota Parlimen Kemboja, MuSochua; Anuradha Gupta dari Kementerian Kesihatan India dan Gita May dari Kementerian Kesihatan Indonesia.

Women Deliver adalah pertubuhan yang tidak bermatlamatkan keuntungan serta memberi fokus kepada kesihatan wanita. Ia menjadi forum berpengaruh untuk memperjuangkan kepentingan kanak-kanak perempuan dan wanita pada tahun-tahun mendatang.

Negara yang akan mengambil bahagian termasuk 10 buah negara yang menyatakan komitmen pada Sidang Perancangan Keluarga London iaitu Ghana, Indonesia, India, Benin, Afrika Selatan, Ethiopia, Tanzania, Rwanda, Senegal, Burkina, Faso, Niger dan Nigeria.

Pameran disertai lebih 100 pempamer sepanjang persidangan berlangsung, memeriahkan acara berkenaan.

Oleh: Shaidah Shafie dan Nor Afzan Mohamad Yusof
Sumber: BHarian [2013/05/30]

1 ulasan:

Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.