Contoh paip shisha ~ gambar hiasan
Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, shisha boleh dikategorikan sebagai haram kerana mendatangkan kemudaratan kepada individu sama seperti rokok dan cerut.
Pada 28 Jun 2013, Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding rokok.
Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-11/2013 pada 24 Jun lepas membuat keputusan itu dan surat akan dihantar kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) berhubung perkara itu.
Beberapa bandar telah mengharamkan shisha iaitu Jeddah, Riyadh, Kaherah di Arab Saudi, Islamabad, Sind dan Lahore di Pakistan, Khartoum dan Rumbek di Sudan, Amman di Jordan dan semua tempat awam di Turki dan Kazakhstan. [Utusan : 29 Jun 2013]
Majlis Fatwa Kebangsaan kaji secara menyeluruh
Majlis Fatwa Kebangsaan sedang melaksanakan kajian secara menyeluruh berhubung kesan menghisap shisha dengan melibatkan pandangan pakar kesihatan.
Pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, kajian itu turut mengambil kira hukum menghisap shisha yang diguna pakai di negara-negara Asia Barat seperti Arab Saudi dan Mesir. Majlis Fatwa Kebangsaan akan membuat keputusan selepas kajian yang kini pada peringkat akhir itu selesai.
"Langkah seterusnya bergantung kepada jawatankuasa fatwa negeri untuk mengambil kira pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan jika bersesuaian. Dalam hal ini, Majlis Fatwa Kebangsaan hanya boleh mengeluarkan pandangan, namun tindakan penguatkuasaan terletak di bawah pihak berkuasa negeri," katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Shukor memberitahu, secara dasarnya, Islam tidak membenarkan umatnya melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan kesihatan, ekonomi dan alam sekitar.
Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
Sumber: Utusan [29 Jun 2013]
PELANGGAN di sebuah kedai makan sedang asyik menghisap shisha ~ Gambar Hiasan
Sekat warga ketagih shisha
Pemandangan orang ramai tidak mengira bangsa menghisap shisha di cafe, restoran dan kedai mamak di sekitar ibu kota khususnya di Sri Hartamas, Jalan Doraisamy, Bukit Bintang dan banyak lokasi sudah menjadi satu perkara biasa.
Menghisap shisha juga dianggap amalan gaya hidup moden bukan saja membabitkan pelancong asing, malah penduduk tempatan termasuk belia dan remaja dilihat ramai menghisap shisha tanpa mengambil kisah ia boleh memudaratkan kesihatan jika diambil dalam tempoh jangka masa panjang.
Dengan cafe shisha yang khusus menyediakan ruangan lebih selesa diiringi aluan muzik, aroma wangian menyusuk hidung, ditambah pula cita rasa tembakau shisha pelbagai berperisa menjadikan sedutan dan kepulan asap menerusi hos serta paip yang disalurkan daripada bekas gelas kaca penuh berwarna-warni menambah keasyikan mereka.
Suasana itu pula sangat santai sambil menikmati makanan, berbual panjang dengan rakan atau melayari laman sesawang tanpa disedari mereka boleh menghabiskan masa berjam hanya untuk menghisap shisha.
Begitulah lazim disaksikan di pusat terbabit. Adakah penggemar shisha ini pernah terfikir kesan jangka panjang pengambilannya jika diambil berterusan? Rasanya rata-rata orang tahu ia boleh memudaratkan kesihatan. Cuma tidak tahu kadar asap yang dihisap itu bahayanya sampai ke tahap mana.
Yang jelas, sudah banyak kajian dan isu diperkatakan mengenai tabiat menghisap shisha khususnya berkaitan kesan terhadap kesihatan. Meskipun ada pelbagai pandangan berkaitannya, namun ia seakan tidak mengubah gaya hidup masyarakat dunia terhadap tabiat itu.
Shisha, pada awalnya diamalkan penduduk di Utara India, kemudian berkembang ke Iran, Turki, Iraq dan Mesir sejak lebih 500 tahun lalu. Malah kegiatan semakin meledak dan amat popular bermula 1980-an apabila seorang pedagang Mesir menambah cita rasa keenakan tembakau dengan sari buah-buahan.
Haramkan shisha
Penyelidikan dijalankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mendapati jumlah asap disedut shisha dalam tempoh sejam dianggarkan bersamaan merokok antara 100 dan 200 rokok.
Kajian diketuai oleh penyelidik bebas dari Royal University Arab Saudi pula menunjukkan asap shisha adalah 30 kali lebih pekat dalam bahan kimia daripada asap rokok. Malah paip atau shisha asap adalah 200 kali lebih toksik daripada asap rokok.
Kajian pakar perubatan di negara ini juga menjelaskan, shisha tembakau yang dicampurkan dengan sirap pekat, perisa buah-buahan dan produk tembakau sama bahaya dengan rokok kerana mengandungi lebih 3,500 bahan kimia meliputi 200 toksik dan 43 adalah karsinogenik.
Jika disingkap semua kajian dilakukan pakar perubatan dunia mereka tidak menggalakkan tabiat menghisap shisha. Begitu juga dengan ulama yang menganggap tabiat itu, hukumnya haram.
Selain Melaka, Perlis baru-baru ini mengambil langkah sama apabila Jawatankuasa Fatwa negeri itu mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding merokok.
Mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya menjelaskan amalan menghisap shisha bukan saja membuang masa tapi memudaratkan kesihatan terutama bagi golongan belia dan remaja.
Kempen kesedaran
Apa yang diharapkan kempen kesedaran mengenai kesan bahaya shisha ini seharusnya dipergiatkan seperti dilakukan terhadap kempen berhenti merokok. Walaupun kempen merokok juga gagal menghentikan sepenuhnya tabiat merokok, tetapi ia tetap ada kesannya. Bagaimanapun, ketika ini, isu menghisap shisha jarang dibangkitkan oleh pihak berkuasa termasuk Jabatan Kesihatan dan persatuan pengguna dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Konsep cafe terbuka dengan budaya orang ramai yang suka melepak memang memberi peluang lebih luas kepada pengusaha menyediakan kemudahan seumpama itu bagi menarik pelanggan mengunjungi premis mereka.
Jika diperhatikan perkembangan terkini, dapat kita saksikan semakin banyak peralatan shisha dari sehari ke sehari. Penguatkuasaan tidak dapat dijalankan kerana setakat ini tiada undang-undang boleh mensabitkan terhadap kesalahan itu.
Oleh Jamiah Shukri
Sumber: BHarian [01072013]
Kerajaan kaji haramkan shisha
Gambar Hiasan
Kementerian Kesihatan sedang mengkaji bentuk perundangan paling sesuai untuk menguatkuasakan pengharaman shisha di negara ini sebagai langkah mengatasi masalah kesihatan dalam kalangan pengguna terutama golongan belia.
Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, ketika ini pihaknya sedang mengenal pasti kesan menghisap shisha dalam kalangan penghisapnya dan ia meliputi beberapa perkara yang perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan diputuskan.
Menurut beliau, kerajaan juga turut merangka beberapa tindakan mengikut Akta Farmasi dan Kawalan Barangan terhadap penjualan, pengimportan dan bahan nikotina serta peralatan menghisap.
“Isu yang berbangkit ialah bahan yang dihisap, contohnya di Pakistan dan Afghanistan, ia menjadi tradisi rakyat di negara itu dengan memasukkan perisa asli iaitu herba sebagai perisa ketika menghisap shisha.
“Sebaliknya ada penghisap shisha di negara ini memasukkan nikotina pelbagai perisa termasuk ada yang mencampurkan dadah ke dalamnya. Itulah punca masalah bermula,” katanya.
Oleh NOOR HASLIZA NUSI
Sumber: Kosmo
Pengharaman shisha elak penularan penyakit berjangkit
Penghisap shisha berisiko mendapat penyakit berjangkit kerana saling berkongsi peralatan yang sama untuk menghisapnya.
Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr. Ghazali Hasni Md. Hassan (gambar) menyifatkan langkah pengharaman menghisap shisha oleh Jawatankuasa Fatwa Perlis amat wajar bagi mengelak penularan penyakit berjangkit.
"Keadaan ini juga menyebabkan penghisap lebih berisiko mendapat Hepatitis serta penyakit lain yang boleh merebak melalui bawaan air," katanya.
Sumber: Utusan [02072013]
bagus juga pun kalau sekat :)
BalasPadam