Pages
▼
01 Ogos 2013
Khasiat Air Tebu
Kini, sudah menjadi satu tradisi apabila tiba sahaja bulan Ramadan, ratusan bazar akan muncul di seluruh negara. Bazar-bazar Ramadan ini menawarkan pelbagai juadah untuk berbuka puasa termasuk berjenis-jenis kuih dan makanan tradisional termasuk pelbagai nasi dan lauk-pauk.
Tidak ketinggalan juga terdapat gerai yang menjual pelbagai minuman seperti cendol, cincau dan bandung.
Antara gerai air minuman yang laris di bazar Ramadan adalah gerai air tebu.
AIR TEBU
Menurut Amran Hamid 32, peniaga air tebu di Bandar Tasik Puteri, Rawang, pendapatan hariannya hasil jualan air tebu meningkat empat kali ganda di bulan puasa berbanding di bulan-bulan yang lain.
"Pada hari-hari di bulan lain, saya cuma dapat dalam RM100 sehari dari gerai saya yang terletak berhampiran sebuah sekolah di Batu Arang dengan saya berniaga dari waktu tengahari hingga petang. Kebanyakan pelanggan saya terdiri daripada pelajar sekolah.
"Tetapi pada bulan puasa, saya boleh terima pendapatan sehingga RM400 sehari menjual air tebu dari pukul 5.00 petang hingga 7.00 petang, hanya dua jam sehari," kata Amran yang hanya menjual air tebu di bazar Ramadan itu.
"Ramai daripada pelanggan saya merupakan pekerja pejabat yang mahu pulang berbuka puasa di rumah, Walaupun hari hujan (pada bulan puasa) saya boleh dapat lebih kurang RM300 sehari," tambah Amran yang turut memaklumkan beliau mendapat bekalan batang tebunya dari Kuala Selangor.
KELEBIHAN AIR TEBU
Kenapa ramai yang meminati jus tebu?
Seorang guru, Samsul Aziz Baharuddin menerangkan air tebu selain menghilangkan dahaga, juga menyejukkan badan mereka yang berpuasa sehari suntuk.
"Saya juga diberitahu jus itu bagus untuk mereka yang mempunyai kandungan kolesterol tinggi dalam badan," terang guru itu lagi.
Menurut Samsul, beliau ada terbaca tentang satu kajian saintifik yang dilakukan Pusat Nasional di Havana, Cuba yang mendapati jus tebu mengandungi 'Octacosanol' yang merencat pembentukan kolesterol darah dalam jangka panjang.
"Ada juga yang memberitahu saya air tebu elok untuk penghidap kencing manis, tetapi saya tidak pasti tentang ini," tambah beliau.
HAMPAS tebu dibuang selepas diperah airnya.
ALTERNATIF SIHAT
Menurut "Organic Lifestyle Magazine" jus tebu merupakan satu alternatif sihat berbanding gula pasir.
Majalah itu menjelaskan bahawa air tebu mengandungi fruktos dan glukos, yang tidak memerlukan tindakbalas insulin untuk metabolisme jika dibandingkan dengan gula yang berasaskan sukros.
"Sebabnya badan manusia menjalankan proses metabolisma berasaskan gula tumbuhan ini dalam hati dan bukan dalam usus kecil. Fruktos dan glukos dari jus tebu akan diserap dengan lebih perlahan dibandingkan sukros dan tidak menyebabkan perubahan mendadak dalam paras gula darah," menurut majalah itu.
Pakar kesihatan percaya walaupun jus tebu tidak mengandungi kumpulan vitamin seperti A, C atau E, ianya masih mengandungi anti-oksidan daripada bahan flavonoid dan fenol.
Menurut mereka flavonoid adalah penentang virus, alergi, keradangan, tumor serta membawa kesan anti-oksidan dalam manusia.
JUS DIPERAH DARI BATANG TEBU
Jus tebu diperolehi dengan memerah batang tebu yang telah dikupas kulitnya menggunakan mesin pemerah atau 'crush roller' yang diputar dengan tangan. Jus itu lebih enak jika diminum sejuk.
Ianya sememangnya popular di kalangan masyarakat Malaysia kerana jus itu mudah didapati di banyak lokasi. Di Malaysia, air tebu boleh didapati di seluruh negara terutama di kalangan peniaga di gerai tepi jalan dan juga di medan selera. Ianya juga dibotolkan bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.
Kerana kandungan gulanya, jus tebu juga mempunyai kalori tinggi untuk membekalkan tenaga.
Sumber: BERNAMA, Sinar Harian
Emmm.. air tebu memang sedap pun.. walaupun tak setiap hari membelinya tapi dalam 2, 3 hari sekali mesti cari air tebu ni di bazar ramadan.
BalasPadam