Pages
▼
24 Januari 2014
Amalan Sunah Rasulullah SAW Pelengkap Kehidupan
SETIAP malam sebelum tidur, Mohd. Naufal Hakim, 15, akan mengibas tilamnya menggunakan selimut sebanyak tiga kali, membaca doa tidur sebelum dikukuhkan lagi dengan surah tiga Qul dan al-Fatihah.
Jika sebelum ini amalan itu sekadar rutin harian sebelum melelapkan mata, ternyata perbuatan lazim itu adalah antara sunah Rasulullah SAW yang tidak pernah diketahuinya.
Bercita-cita mahu menjadi seorang hafiz, penuntut Akademi Tahfiz al-Quran Cinta Madinah di Beranang, Selangor itu mengamalkan kehidupan persis yang disaran Baginda.
Satu perkataan yang sering dilafazkan dari bibir anak muda yang mula mendalami al-Quran sejak tiga tahun lalu itu ialah ketenangan.
Katanya, rutin harian dan amalannya lebih tersusun, malah jauh di lubuk hatinya dipenuhi dengan keyakinan terhadap Tuhan yang Esa serta cinta kepada Nabi Muhammad SAW.
"Sebenarnya terlalu banyak amalan harian yang sering kita lakukan sebelum ini berkait rapat dengan sunah Rasulullah SAW.
"Berdasarkan pengalaman saya, perkara asas yang menyebabkan kita gagal mengetahui tentang sesuatu amalan sunah itu kerana cetek ilmu. Walhal sunah nabi dalam kehidupan kita sentiasa selari di samping mudah diamalkan," katanya. Sunah ialah perbuatan atau perkataan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.
Tidak kekok
Antara kelebihan mereka yang mengamalkan sunah Rasulullah SAW ialah mendapat syafaat daripada Baginda di akhirat kelak dan keberkatan hidup.
Mohd. Naufal memberitahu antara amalan sunah Rasulullah yang paling digemarinya ialah makan dalam dulang bersama rakan. Amalan itu disifatkan antara cara terbaik dalam mengeratkan ukhuwah sesama Islam.
ILMU mengenai sunah Rasulullah SAW amat penting sebelum mengamalkannya.
"Sebelum belajar di sini, saya sering menyaksikan pendakwah dan jemaah masjid serta surau berkongsi makanan dalam dulang yang sama.
"Kalau dahulu, saya melihat situasi itu sesuatu yang sangat asing dan pelik. Namun kini, ia adalah antara saat yang paling saya nantikan," jelasnya lagi.
Sementara itu, keletah seorang kanak-kanak bertubuh genit asyik menyugi gigi dan kadangkala dilihat menggigit kayu sugi sehingga tertunduk membuatkan ruangan kuliah dipenuhi suara nakal gelakan sinis pelajar.
Mempunyai wajah keanak-anakan, Muhammad Adib Ahmad, 12, sanggup merantau jauh dari Tapah, Perak semata-mata untuk bergelar ahli al-Quran.
Muhammad Adib ketika ditemui mengakui tidak kekok dengan rutin yang diamalkan sepanjang menghafaz al-Quran, sebaliknya lebih terkesan dengan cara yang diterapkan di akademi itu.
Ujarnya, antara amalan sunah yang cukup memberi keinsafan terhadap dirinya ialah bangun sepertiga malam untuk menunaikan solat sunat tahajud.
Adab tidur
"Sebelum mengamalkan cara hidup Rasulullah SAW, saya tidak pernah menyangka bahawa sebelum dan semasa tidur pun ada adab yang perlu diikuti. Apatah lagi difahamkan perlunya menjaga aurat ketika tidur.
"Tidur mengikut cara Nabi Muhammad SAW itu juga dianggap ibadah. Kalau tidur mengiring ke kanan ia berfungsi menjaga jantung dan pernafasan. Kalau ketika tidur kemudian terjaga, bangun dan bersugilah sebelum beribadah. Besar rahmatnya, kita bersugi mengikut sunah Nabi Muhammad SAW kerana dikhabarkan pahala lebih 70 kali ganda akan diberikan," tutur anak muda itu.
Baru memasuki akademi berkenaan kira-kira enam hari yang lalu, Muhammad Adib yang mahu bergelar pendakwah sekali gus memastikan setiap umat Islam dan mereka yang menyayangi Rasul mengamalkan sunah Baginda SAW.
"Rugi kepada mereka yang tidak menyedari betapa besarnya rahmat dalam setiap amalan sunah yang menjadi amalan.
"Contohnya, pernahkah kita tahu membasuh kedua-dua tangan sebelum makan, makan menggunakan tangan kanan dan keluar rumah dengan langkah kanan sebenarnya sunah Rasulullah?" tanyanya.
MAKAN bersama dalam dulang adalah sunah Rasulullah SAW.
Tanggungjawab Muslim
Hakikatnya, semua madrasah atau pusat menuntut ilmu berkonsepkan Islamik mewujudkan persekitaran kehidupan mengikut saranan agama.
Namun, cabaran masyarakat masa kini ialah bagaimana mahu mengamalkan sunah berkenaan dalam situasi yang menuntut manusia menumpukan kehidupan duniawi atas desakan hidup yang semakin tinggi.
Keadaan lebih meruncing apabila kehidupan umat Islam pada akhir zaman ini bertembung dengan pelbagai ideologi sekali gus amalan sunah adakalanya menjadi satu cabaran.
Misalnya menyimpan janggut. Meskipun ia sebenarnya sunah Rasulullah, namun ada pihak yang lain beranggapan golongan seperti ini dengan pelbagai label negatif seperti pengganas.
Kepada Aina Mastura Mohamed Saaid, 26, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Perkhidmatan Pelanggan di Kingsley International School, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor berkata, menjadi tanggungjawab seorang Muslim mengamalkan sunah Nabi.
"Hari ini kita terlalu sibuk dengan kehidupan dunia apatah lagi dengan kos sara hidup yang makin meningkat memaksa kita bekerja lebih masa untuk meneruskan survival kehidupan.
"Tetapi, saya yakin sunah Nabi sering berkait rapat dengan kehidupan kita. Contohnya menghormati orang tua, dan membantu mereka yang kurang upaya, semua itu sunah. Malah senyuman juga dianggap sebagai sedekah.
"Justeru, mengapa kita perlu rasa terbeban sedangkan mengikut sunah adalah tanda kasih sayang dan kecintaan kita terhadap Baginda? soal Aina Mastura panjang lebar.
Lain pula kisah Mustafa Akmal Ariffin, 35. Beliau memilih untuk mendalami sunah Rasulullah SAW melalui pengajian ilmu Usrah Fitrah pada setiap hari Isnin dan kelas ta'lim yang diadakan setiap hari Jumaat selepas solat Isyak di Masjid Muadz Bin Jabal, Setiawangsa, Kuala Lumpur.
Pengajian yang dikendalikan oleh Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid itu banyak menerangkan perkara berkaitan amalan sunah Rasulullah SAW.
Kakitangan syarikat wasta itu tidak mempunyai sebarang masalah untuk menghadiri kelas berkenaan kerana berpegang kepada konsep istiqamah.
Jelasnya, untuk melahirkan rasa cinta terhadap Nabi Muhamamd SAW, sunah Baginda seharusnya dijadikan amalan.
"Baginda sangat meminati warna putih dan hijau, maka saya seboleh-bolehnya akan memakai pakaian warna putih terutama pada hari Jumaat.
"Dahulu saya tidak pernah tahu memakai pakaian berwarna putih itu sudah mengikut sunah Nabi Muhammad SAW. Benar, untuk mengamalkan sunah nabi itu mudah, tetapi kita sebagai manusia perlu ada sifat istiqamah," katanya.
Katanya lagi, tidak wajar jika umat Islam berpendapat mengingati Nabi Muhammad SAW itu hanya ketika sambutan Maulidur Rasul sahaja atau bermusim.
"Ramai orang berkata kepada saya, sunah itu adalah perkara sunat. Jadi, jika tidak melakukannya tidak mengapa. Namun ramai yang terlupa bahawa amalan sunah itu melengkapkan setiap perkara yang wajib.
"Jadi marilah kita menyelitkan dan berniat melakukan setiap sunah Nabi sebagai tanda kecintaan kita kepada Rasulullah di samping mengharapkan syafaat Baginda ketika di akhirat kelak," jelasnya.
Sumber: Kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.