Pages
▼
06 Januari 2014
Perpustakaan Rumah Kedua
Membaca dalam suasana santai di bawah replika pokok besar 'Reading Tree'.
Jika anda memiliki sebuah taman dan perpustakaan, anda memiliki semua yang anda perlukan. Ungkapan ini sangat jelas menggambarkan kepentingan perpustakaan dalam menyediakan bahan bacaan dan maklumat kepada masyarakat.
Perpustakaan bukan terhad sebagai sebuah tempat untuk menimba ilmu dan pusat rujukan, malah ia juga boleh dijadikan sebagai tempat untuk melakukan aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat khususnya kepada kanak-kanak.
Oleh itu, sepanjang cuti panjang persekolahan, ramai ibu bapa membawa anak-anak mereka menghabiskan masa bersantai sambil menimba ilmu di gedung bacaan terutamanya perpustakaan yang disediakan berdekatan dengan tempat tinggal.
Salah satu perpustakaan yang menawarkan pengalaman menarik dan tenang adalah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor(PPAS).
Pembinaan bangunan baru Perpustakaan Raja Tun Uda , Shah Alam, itu dimulakan pada September 2007 di lokasi yang strategik, aman dan hijau iaitu bersesuaian dengan konsep 'perpustakaan dalam taman'.
Selain memberi kelainan kepada peranan perpustakaan iaitu sebagai gedung bacaan untuk para pelajar, penyelidik, dan pendidik, perpustakaan tersebut turut dilihat menjadi tempat beriadah seisi keluarga bahkan tempat mencari ilham kepada pencinta seni.
Pembantu Perpustakaan, Juliana Es Mohamed Munawir berkata, bangunan perpustakaan ini berkeluasan 18,992 meter persegi dan setinggi 6 tingkat dengan kapasiti kira-kira 2,500 orang pengunjung pada satu-satu masa, serta mengandungi 400,000 naskhah buku.
"Perpustakaan RATU merupakan ibu pejabat kepada 96 perpustakaan lain yang terdapat di Selangor. Dibahagikan kepada enam bahagian merangkumi ruang santai, bahagain bacaan kanak-kanak, koleksi remaja dan dewasa, koleksi pinjaman dewasa, bahan rujukan dan penyelidikan serta bahagian ensiklopedia.
"Selain menyediakan bahan ilmiah, PPAS juga menyediakan beberapa aktiviti santai yang digemari oleh golongan remaja dan kanak-kanak yang berkunjung ke sini.
"Sebagai contoh, di bahagian ruang legar, disediakan tempat untuk aktiviti santai dan ekstrem seperti teater XD, 6D dan 3D. Aktiviti permainan lasak ini mendapat sambutan golongan remaja dan pelajar terutama selepas mereka penat menghadap buku.
"Sekali permainan akan dikenakan bayaran sebanyak RM10, mereka akan dapat rasai pengalaman tersebut dengan kelajuan empat gegaran per saat dan dengan had ketinggian tidak melebihi 1.4 meter," jelasnya.
Juliana berkata, bahagian kanak-kanak yang terletak di sayap kanan tingkat bawah dikhaskan untuk pengguna di bawah umur 10 tahun.
"Selain pilihan luas buku kanak-kanak yang boleh dipinjam dengan koleksinya hampir 47,000 naskah, terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di pelbagai sudut menarik seperti Reading Tree, Zon Kreatif, Zon Siber dan Zon Interaktif.
"Zon Kreatif dibangunkan untuk memudahkan penganjuran pelbagai aktiviti minda. Kemudahan pentas pula membolehkan kanak-kanak menyertai aktiviti setiap hujung minggu dan juga musim cuti sekolah seperti pertandingan mewarna, bercerita, senamria dan pertunjukan boneka.
"Reading Tree pula merupakan ruang berkonsep taman dalam perpustakaan untuk kanak-kanak membaca dalam suasana yang santai dan konsepnya diambil dari sebuah perpustakaan di Singapura.
"Sebatang replika pokok besar dibina untuk menggamit kanak-kanak berehat dan membaca di bawahnya tanpa mengira apa juga cuaca di luar sana dengan dikelilingi bahan bacaan di rak buku yang berwarna-warni," katanya.
Tidak terhenti setakat itu, keseronokan berterusan di Zon Interaktif dengan permainan i-Step yang berupaya membangkitkan mood ceria kanak-kanak, manakala On Location Reporter pula merupakan aplikasi permainan yang melatih kanak-kanak membuat pengucapan awam gaya seorang wartawan.
Tidak ketinggalan Zon Siber yang menyediakan lapan komputer peribadi berasaskan Windows dan lapang komputer iMac yang mengajak kanak-kanak menerokai dunia siber dengan penggunaan hanya RM1 sejam sahaja.
Dalam pada itu, kata Juliana lagi, sepanjang cuti sekolah pihak perpustakaan juga mengadakan aktiviti-aktiviti istimewa seperti seni kreatif, pertunjukan boneka burung, pertandingan membaca buku cerita, pertandingan x-bow bowling, melawat ke setiap tingkat dan banyak lagi.
Apa kata pengunjung
Sementara salah seorang pengunjung, Siti Nor Aishah Mohd. Yunus, 10, mengakui sering megunjungi Perpustakaan Raja Tun Uda terutama pada setiap hujung minggu bersama keluarganya walaupun mereka menetap di Bukit Uda, Klang.
"Setiap hujung minggu ayah akan membawa saya dan adik beradik untuk menghabiskan masa di sini. Setiap kali musim cuti sekolah, memang banyak masa akan dihabiskan di sini dari pagi hingga petang.
"Saya suka datang perpustakaan di sini kerana banyak pilihan buku dan bahan bacaan yang disediakan. Selepas penat membaca buku, saya juga boleh mencuba pelbagai aktiviti menarik yang di sediakan di zon kreatif kanak-kanak," katanya.
Berlainan pula dengan adik, Afif Firdaus Mohd. Tahir, 8 , yang dihantar oleh ibu bapanya untuk menghabiskan masa cuti dengan melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat.
"Ibu dan ayah hantar saya ke sini dari pagi dan akan mengambil saya pada sebelah petang. Selalunya kami akan habiskan masa di sini pada cuti hujung minggu.
"Di sini saya suka membaca buku cerita. Banyak pilihan buku cerita yang menarik dan bagus.
"Selain membaca, saya juga dapat kenal ramai kawan dan mencuba pelbagai permainan dan aktiviti yang disediakan sepanjang musim cuti ini," jelasnya.
Oleh SITI AISHAH YUSOFF
Sumber: Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.