Pages
▼
17 Januari 2014
Selawat Ke Atas Rasulullah SAW
ALLAH hanya memerintahkan hambaNya berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, tiada perintah (kewajipan) ke atas Nabi lain. - Gambar hiasan
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH dan malaikatNya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam kepadanya.” (Surah Al-Ahzab: 56)
Selawat berasal daripada perkataan Arab, iaitu solat. Solat dari segi bahasa bererti doa, iaitu menyeru atau meminta. Apabila kita berdoa kepada ALLAH, bererti kita menyeru dan meminta kepada ALLAH. Itu juga yang dimaksudkan dengan selawat.
Apakah makna ALLAH berselawat ke atas Nabi?
Selawat ALLAH ke atas Nabi bermakna pujian ALLAH serta ALLAH menyebut-nyebut nama Rasulullah di sisi malaikat di langit tujuh. Disebut-sebut nama Rasulullah SAW di sisi malaikat yang paling hampir kedudukannya dengan Arasy ALLAH.
Apabila berselawat, sebenarnya kita berdoa kepada ALLAH agar ALLAH memperbanyakkan puji-pujian ke atas Nabi Muhammad SAW dan menyebut nama Baginda di sisi malaikat-Nya. Ia sebagaimana disebut disebut dalam ayat al-Quran di atas.
Lafaz yang diucapkan “Allahumma Salli ‘ala Muhammad (Ya ALLAH, selawatlah ke atas Muhammad)” atau “Sallallahu ‘ala Muhammad (ALLAH berselawat ke atas Muhammad)”, adalah ayat permohonan supaya ALLAH berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
Imam Ibnu Katsir rahimahullah mentafsirkan ayat, “ALLAH dan golongan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi” berkata, dalam ayat ini ALLAH mengkhabarkan kedudukan Nabi Muhammad SAW yang tinggi, ALLAH memuji-mujinya serta disebut-sebut namanya di sisi malaikat muqarrabin, lalu malaikat pun berselawat kepadanya.
Seterusnya ALLAH memerintahkan penduduk bumi agar mengucapkan selawat dan salam kepada Nabi dan menghimpunkannya bersama selawat penduduk langit agar selawat itu lengkap dan sempurna, dan dimuliakan Nabi Muhammad dengan semulia-mulianya.
Imam Al-Qurthubi rahimahullah ketika mentafsirkan ayat ini berkata ia secara langsung menunjukkan ALLAH memuliakan Rasulullah semasa hidupnya (ayat ini turun ketika Rasulullah hidup) dan juga setelah kewafatannya.
Ucapan salam ke atas Nabi
ALLAH hanya memerintahkan hamba-Nya berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, tidak ada perintah (kewajipan) selawat ke atas Nabi lain. Di situ jelas Nabi Muhammad SAW telah dikhaskan dengan satu doa, dan itu menunjukkan kedudukan Baginda SAW yang lebih tinggi berbanding golongan Nabi dan Rasul yang lain.
Antara faedah diambil daripada ayat ini adalah kemuliaan dan kedudukan Rasulullah SAWdi sisi ALLAH, dan perintah wajib mengamalkan satu ibadah khusus iaitu berselawat ke atas Nabi di samping ibadah lain yang disyariatkan.
Golongan ulama menjelaskan interaksi antara kita dengan Nabi Muhammad setelah kewafatan Baginda adalah sekadar kita berdoa kepada ALLAH untuk berselawat ke atas Baginda. Maka tidak dibolehkan sama sekali kita menyeru, meminta, atau berdoa kepada Nabi SAW.
Walaupun ayat ini menjelaskan kedudukan Baginda yang tinggi, tetapi tidaklah sampai kita melebihkan kedudukan Baginda daripada kedudukan yang sepatutnya, dan tidaklah sehingga kita menujukan doa dan seruan kepada Baginda. Dalam urusan meminta hajat, kita hanya meminta daripada ALLAH semata-mata.
Ayat ini secara langsung menjelaskan penyimpangan golongan yang berinteraksi dengan Rasulullah, antaranya dengan menyeru Baginda, dan menyedekahkan al-Fatihah kepada Baginda.
Ini adalah amalan baru yang diada-adakan. Kita tidak diperintahkan untuk melakukannya, bahkan golongan sahabat yang paling tinggi cintanya kepada Nabi pun tidak pernah melakukannya.
Dalam ayat yang sama, ALLAH turut memerintahkan supaya mengucapkan salam kepada Nabi SAW. Ini menunjukkan ada dua ibadah wajib dalam interaksi dengan Nabi iaitu berselawat dan mengucapkan salam.
Apa yang dimaksudkan dengan salam? Salam bererti keselamatan. Bagaimanakah ALLAH memberi keselamatan ke atas Nabi? Semasa hidup Rasulullah, telah dipelihara dan diberi keselamatan.
ALLAH berfirman: “Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepada mu daripada Tuhan mu. Jika tidak kamu lakukan maka kamu tidak menyampaikan risalahNya. ALLAH akan memelihara (menjaga) kamu daripada manusia.” (Surah al-Maidah: 67)
Ayat ini menunjukkan jaminan ALLAH kepada Rasulullah. ALLAH memerintahkan Baginda supaya menyampaikan apa yang telah diturunkan. Ini adalah amanah dan tanggungjawab Baginda.
Lalu ALLAH menjamin akan menjaga keselamatan Rasulullah daripada manusia. Ini adalah keselamatan ketika Baginda masih hidup.
Adapun selepas kewafatan Baginda, keselamatan dan jagaan ALLAH berterusan ke atas Baginda SAW. Pernah berlaku dalam sejarah di mana ada usaha dilakukan untuk mencuri jasad Baginda di kuburnya, namun usaha itu dapat digagalkan.
Sebab itu pada hari ini kita lihat di sekeliling kubur Baginda dipagari dengan dinding logam yang tebal, supaya tidak berulang kejadian seperti ini.
Lafaz selawat dan salam
Lafaz selawat ke atas Nabi disebutkan dalam hadis di mana seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan duduk di depan Baginda dan berkata, “Wahai Rasulullah, adapun tentang memberi salam ke atas mu telah kami ketahui, lalu bagaimana cara berselawat ke atas mu?
Rasulullah bersabda: “Ucapkanlah: Allaahumma salli ‘ala Muhammad wa ‘ala Aali Muhammad, kama sallaita ‘ala Ibrahim wa ‘ala Aali Ibrahim, innaka Hamidun Majid. Wabaarik ‘ala Muhammad wa ‘ala Aali Muhammad kama baarakta ‘ala Ibrahim wa ‘ala Aali Ibrahim innaka Hamiidun Majiid.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Dalam riwayat lain, lafaz "Wabaarik" diganti dengan "Allahumma baarik". Ini adalah lafaz selawat yang paling sempurna dan tidak ada yang lebih sempurna dari itu. Kalau kita inginkan pahala selawat yang paling sempurna, inilah yang perlu kita baca, iaitu seperti yang kita baca dalam tahiyat ketika solat.
Adapun lafaz salam, juga seperti yang kita baca dalam tasyahhud, “At-Tahiyatu lillahi wassalawatu watthayyibaat. Assalaamu ‘alaika ayyuha An-Nabiyyu warahmatullaahi wabarakaatuh.” (Riwayat Bukhari & Muslim). Ini adalah lafaz yang diajar Rasulullah.
Bagaimanapun, Ibnu ‘Umar RA yang merupakan sahabat yang faqih, sesudah kewafatan Rasulullah, membaca, “Assalaamu‘alan-Nabiyyi warahmatullaahi wabarakaatuh”.
Syaikh Al-Albani RH dalam kitab Sifat Shalat Nabi menjelaskan bahawa inilah yang sepatutnya dibaca, kerana lafaz Assalaamu‘alaika (Salam ke atasmu) diucap jika Nabi bersama kita (masih hidup). Berbeza dengan Assalamu‘alan-Nabiy (Salam ke atas Nabi) diucap kerana kita tidak lagi berinteraksi secara langsung dengan Nabi setelah Baginda wafat.
Syaikh Albani menyatakan mustahil Ibnu Umar RA mencipta sesuatu yang baharu daripada dirinya, kerana Ibnu Umar terkenal sebagai orang yang sangat mengikuti dan berpegang teguh sunnah Nabi SAW.
Perbuatan Ibnu Umar membaca dengan lafaz ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana perintah daripada Nabi SAW atau apa yang dia pelajari daripada Baginda.
Selawat dan salam ini kita ucapkan kedua-duanya di dalam solat. Di samping itu kita disunnahkan untuk berselawat pada tempat yang disyariatkan seperti dalam solat jenazah, selepas azan, dalam doa, dalam majlis, apabila disebut nama Rasulullah SAW, juga pada Jumaat di mana kita disuruh memperbanyakkan selawat.
Dengan itu terjelas kepada kita, tidak ada istilah kirim salam kepada Nabi, dan ini termasuk bidaah yang mungkar, kerana tidak ada beza selawat dan salam dari tempat yang dekat atau jauh. Kita tidak disuruh pergi ke kubur Baginda untuk melakukan ibadah ini.
Sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesungguhnya antara hari kamu yang paling utama adalah hari Jumaat, maka banyakkanlah selawat ke atas ku pada hari itu.
Sesungguhnya selawat kamu dihadapkan kepada ku.” Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana selawat kami dihadapkan ke atasmu sedang engkau telah hancur menjadi tanah?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya ALLAH mengharamkan atas bumi jasad-jasad golongan Nabi.” (Sahih, Abu Daud)
Sabda Baginda lagi, “Janganlah kamu jadikan kuburku tempat perayaan (pusat kunjungan). Selawatlah kepadaku, sesungguhnya selawat mu sampai kepada ku di mana pun kamu berada.” (Sahih, Abu Daud)
USTAZ IDRIS SULAIMAN
Ahli Majlis Syura Ilmuwan Malaysia (iLMU)
Sumber: Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.