Pages

08 Januari 2014

Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin Urus 3,000 Tan Sampah Sehari


SISA buangan ini menyebabkan bau busuk menyelubungi kawasan perumahan berdekatan.

PAGI itu, Mohd. Hamdi Muktar terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sejauh 3 kilometer selepas pemandu-pemandu lori yang membawa muatan sampah bertindak menimbunkan sisa buangan di bahu Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2).

Kejadian yang berlaku pada hari Sabtu, 21 Disember, 2013 lalu itu dikatakan berpunca daripada kerosakan mesin pemampat di Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Taman Beringin, Kepong, Kuala Lumpur yang terletak berdekatan lebuh raya berkenaan.

Ekoran keadaan tersebut, pemandu lori yang dilantik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) itu dipercayai mengambil jalan mudah dengan membuang sisa pepejal di tepi jalan.


Tindakan itu mengakibatkan satu daripada tiga lorong jalan itu dipenuhi sampah sarap seberat 2,500 tan.

Selain itu, jalan dari Batu Caves menghala ke Damansara turut mengalami kesesakan manakala puluhan ribu penduduk yang tinggal di kawasan perumahan berdekatan mengadu tidak tahan dengan bau busuk.

Mohd. Hamdi, 37, memberitahu, masalah kesesakan lalu lintas membabitkan lori sampah seringkali terjadi di kawasan itu.

Dia yang menetap di Taman Beringin sejak 13 tahun lalu berkata, kesesakan berlaku bermula pukul 12 tengah hari ekoran deretan lori sampah yang berhenti di tepi jalan kerana menunggu giliran untuk masuk ke stesen tersebut.

Katanya, penduduk juga terpaksa menghidu bau busuk yang meloyakan setiap hari sejak stesen itu dibina dan keadaan bertambah busuk apabila hari hujan.

“Bau busuk akibat pembuangan sampah yang tidak diurus dengan betul memang mengganggu pengguna lebuh raya dan penduduk.

“Pembuangan sampah secara tidak betul juga membahayakan pengguna jalan raya lebih-lebih lagi kemalangan kerap berlaku di kawasan ini,” ujarnya.

Masalah teknikal

Difahamkan stesen itu merupakan satu-satunya tempat pengumpulan dan pemindahan sampah yang dikutip di ibu negara dengan purata sampah yang dihantar ke stesen itu dianggarkan sebanyak 2,500 hingga 3,000 tan sehari.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Datuk Nadzri Yahya, tempat meletak sampah di stesen berkenaan mengalami gangguan teknikal yang menyebabkan kerja-kerja pemampatan sampah terganggu.


LONGGOKAN sampah yang menutupi salah satu lorong MRR2 mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

“Operator sedia ada gagal menjalankan tugas dengan sempurna sehingga menyebabkan sisa pepejal tidak dapat dihantar ke stesen ini,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib memberitahu, kegagalan kontraktor asal mengendalikan sisa buangan di stesen itu mengakibatkan operasi pengurusan sisa pepejal di ibu negara lumpuh seketika.

Meskipun demikian, keadaan kini terkawal berikutan penyerahan sistem pengurusan stesen pemindahan tersebut kepada Alam Flora.

Katanya, stesen berkenaan dijangka beroperasi semula pada 30 Disember 2013 ini selepas kerja-kerja baik pulih kerosakan mesin pemampat siap.

“Alam Flora diminta membersihkan stesen ini di samping membaiki kerosakan mekanikal pada kenderaan, kontena dan mesin pemampat.

“Kita sedang berusaha supaya stesen pemindahan ini beroperasi lebih awal daripada jangkaan asal,” jelasnya.

Tambah Ahmad Phesal, DBKL bersama-sama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, JPSPN, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) dan Alam Flora akan bekerjasama bagi memastikan tiada gangguan sepanjang tempoh tersebut.

“Kerjasama ini turut melibatkan pemantauan bagi memastikan tiada longgokan sampah khususnya di kawasan yang dikenalpasti sebagai lokasi pembuangan sampah haram,” ujarnya.

Menurutnya, pesalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 71 Akta PPSPPA (Akta 672) iaitu denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah melanggar syarat pelesenan.

Dalam pada itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengarahkan semua kontraktor pungutan sampah supaya membawa sisa buangan ke Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

“Proses tersebut hanya untuk sementara waktu dan kos penghantaran sampah sepanjang tempoh itu akan dibiayai oleh DBKL,” katanya.

Oleh NOR IDAYU BOSRO
Sumber: Kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.