Pages

23 Februari 2014

Panduan Penggunaan Pendingin Hawa



Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini mengeluarkan panduan penggunaan pendingin hawa secara bijak ketika cuaca panas dan kering melanda negara bagi pengurusan elektrik yang baik.

TNB dalam satu kenyataan berkata, antara langkah yang boleh diamalkan ialah dengan menyelaraskan suhu sistem penghawa dingin di antara 23 hingga 25 darjah selsius serta kerap menukar atau membersihkan penapis pendingin hawa.

Ia turut menyarankan pengguna supaya menutup semua pintu dan tingkap serta lubang udara bagi memastikan udara sejuk tidak keluar dari bilik selain mencadangkan untuk membuka kipas dan menetapkan masa pendingin hawa untuk ditutup pada waktu malam.


Dalam kenyataan itu, Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi TNB, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin, berkata pendingin hawa mewakili sebahagian besar penggunaan elektrik sebilangan pengguna TNB.

Turut disarankan ialah penggantian pendingin hawa yang berusia lebih 10 tahun dengan yang baharu kerana pada tempoh berkenaan unit itu tidak lagi efisien untuk digunakan.

Turut disertakan ialah tip membeli pendingin hawa baharu iaitu memilih unit yang mempunyai bintang kecekapan tenaga yang paling tinggi kerana peralatan itu lebih cekap berfungsi.

"Pilih saiz dan jenis yang tepat bagi menepati kehendak yang diperlukan. Penghawa dingin yang besar bukan saja lebih mahal malah menyebabkan bil elektrik lebih tinggi kerana alat pemampatnya perlu berputar dan berhenti secara berulang," katanya. - BERNAMA

Sumber: BHarian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.