Pages
▼
28 Februari 2014
Sunnah Sebagai Rujukan Di Samping Al-Quran
Sunnah atau hadis adalah sumber kedua terpenting dalam Islam. - Gambar hiasan
PERKARA pertama yang disebut oleh Imam Al-Barbahari rhm (w.329H) dalam Syarah Al-Sunnah, “Islam adalah sunnah, dan sunnah adalah Islam.” Ini adalah prinsip yang cukup penting dan perlu kita hayati dan amalkan dalam beragama.
Agama Islam kembali kepada dua sumber utama; al-Quran dan al-Sunnah.perkataan sunnah adakala membawa maksud hadis secara khasnya, dan adakala membawa maksud Hadis dan al-Quran kedua-duanya, atau Islam secara keseluruhannya.
Apabila dikatakan ‘Islam itu Sunnah, dan Sunnah itu Islam’, ini bermaksud Sunnah Nabi Muhammad SAW itu tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam. Islam terdiri daripada al-Quran dan Sunnah. Ia bukan al-Quran semata-mata. Sunnah Nabi SAW ada dalam tiga bentuk; ucapan, perbuatan, perakuan Nabi SAW.
Umat Islam sejak zaman berzaman, akibat tidak faham kedudukan Sunnah Nabi SAW dalam agama Islam, maka wujud kumpulan dalam kalangan umat Islam sendiri yang hanya mengambil al-Quran sebagai rujukan.
Kumpulan ini dikenali sebagai al-Quraniyyun atau anti-Hadis. Kumpulan ini wujud sejak berzaman.Umat Islam perlu mengambil tahu syubhat supaya tidak terjebak dalam fahaman ini.
Mereka (kumpulan anti-Hadis) mengatakan al-Quran itu terpelihara sejajar firman ALLAH: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan peringatan (al-Quran) dan Kami-lah yang akan memeliharanya.” (Surah Al-Hijr: 9)
Tolak hadis ahad
Berbeza dengan hadis; ada sahih, ada daif, ada palsu. Maka mereka (kumpulan anti-Hadis) mengatakan keberadaan al-Quran pada hari ini tanpa sebarang tokok tambah dan terpelihara oleh janji ALLAH, tetapi ALLAH tidak janji akan pelihara hadis.
Jadi mereka (kumpulan anti-Hadis) hanya berpegang dengan sumber yang ALLAH telah janji akan pelihara. Manakala hadis Nabi SAW, mereka (kumpulan anti-Hadis) mendakwa tidak boleh dijadikan sumber kerana dibimbangi ia palsu atau ada kesilapan.
Itu dakwaan orang anti-hadis. Mereka jahil, tidak faham bidang ilmu hadis. Oleh kerana mereka (kumpulan anti-Hadis) tidak ada kemampuan dan kefahaman bagaimana hendak bezakan yang sahih dan daif, akhirnya mereka menolak hadis semuanya.
Mereka melihat itu jalan selamat, tetapi hakikatnya itu adalah jalan kemusnahan, jalan kesesatan, dengan menolak hadis sekali gus menolak sunnah Nabi SAW.
Adakah alasan mereka boleh diterima? Tentu sekali tidak. Walaupun mereka mendakwa berpegang dengan al-Quran, hakikatnya mereka tidak berpegang dengan al-Quran. Ini kerana al-Quran menyuruh supaya umat Islam berpegang dengan kedua-dua al-Quran dan Hadis.
Firman ALLAH SWT: “Dan Kami turunkan kepadamu al-Quran, agar kamu (Nabi) menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan.” (Surah Al-Nahl: 44)
Seseorang tidak mungkin akan dapat solat kecuali dengan merujuk hadis Nabi SAW, ini kerana dalam al-Quran tidak memperincikan tatacara solat. Hal ini sudah jelas menunjukkan al-Quran dan hadis itu tidak mungkin dipisahkan.
ALLAH berfirman: “Jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada ALLAH dan Rasul-Nya (al-Quran dan al-Sunnah)” (Surah An-Nisaa: 59)
Ulama tafsir sepakat yang dimaksudkan dengan kembalikan kepada ALLAH dan Rasul dalam hal yang diperselisihkan adalah kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah.
Ada kumpulan Islam menolak hadis ahad. Hadis ahad adalah hadis yang diriwayatkan oleh jumlah perawi yang sedikit, sekitar 10 orang atau kurang.
Menurut mereka, al-Quran tidak boleh ditolak kerana ia bersifat mutawatir, iaitu ia diriwayatkan oleh perawi yang ramai sehingga mustahil mereka semua berdusta atau melakukan kesilapan.
Diriwayatkan perawi palsu
Al-Quran bukan diriwayatkan oleh puluhan, bukan ratusan, bahkan ribuan perawi yang menghafal al-Quran dan meriwayatkan pada setiap generasi kepada generasi berikutnya sehingga sampai ke hari ini.
Asas periwayatan al-Quran pada generasi awal Islam adalah dengan mulut, di samping ada yang menulisnya. Guru al-Quran mengajar kepada murid dan muridnya menghafal daripada gurunya. Disebabkan al-Quran diriwayatkan oleh ramai perawi maka kebarangkalian untuk mereka semua menipu adalah mustahil.
Berbeza dengan hadis; ada hadis mutawatir, dan ada hadis ahad. Hakikatnya hadis pertama dalam Sahih Bukhari: “Sesungguhnya amalan itu bergantung pada niat.” Hadis ini diriwayatkan oleh seorang sahaja perawi dalam kalangan sahabat iaitu Saidina Umar bin Al-Khatthab. Ini adalah hadis ahad yang paling minimum di mana perawinya cuma seorang.
Implikasi daripada jumlah perawi ini adalah kalau suatu hadis itu mutawatir, mustahil orang akan berdusta atau ada kesalahan.
Tetapi kalau suatu hadis itu ahad, ada kebarangkalian orang berdusta atau berlaku kesilapan. Maka hasilnya hadis ahad ada yang sahih iaitu diriwayatkan oleh perawi yang terpercaya, dan ada pula yang daif atau palsu. Hadis yang palsu diriwayatkan oleh perawi penipu.
Daripada itu, datang golongan yang mengatakan hadis ahad tidak boleh mentafsirkan al-Quran. Ini kebiasaannya boleh dilihat dalam Mazhab Hanafi. Akhirnya mereka menolak hadis itu bukan kerana ia daif, bahkan ia sahih, tetapi menolaknya kerana ia bersifat ahad.
Maka dalam Mazhab Hanafi, mereka mengatakan tidak perlu baca Surah Al-Fatihah dalam solat. Mereka berpegang dengan ayat al-Quran yang bermaksud: “Kerana itu bacalah apa yang mudah (bagi mu) daripada al-Quran.” (Surah Al-Muzammil: 20)
Sedangkan telah sabit dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim di mana Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca Al-Fatihah.”
Nabi mengatakan tidak sah solat orang yang tidak membaca Al-Fatihah. Tetapi oleh kerana hadis ini adalah hadis ahad, mereka menolak hadis tersebut.
Golongan kedua pula mendakwa hadis ahad tidak boleh digunakan dalam akidah. Golongan ini ada ramai di kalangan masyarakat kita.
Pemahaman ini diasaskan golongan Mu’tazilah, yang didukung oleh golongan asyairah dan maturidi serta didukung satu kumpulan haraki yang cawangannya ada di negara kira Malaysia.
Mereka adalah kumpulan yang mendukung falsafah ini; iaitu hadis ahad tidak boleh digunakan dalam akidah. Akibatnya sangat dahsyat, iaitu mana-mana hadis yang menceritakan perkara ghaib akan tertolak secara automatik. Perkara ghaib yang paling besar adalah ALLAH. Mana-mana hadis yang menceritakan ALLAH akan tertolak.
Begitu juga mana-mana hadis yang menceritakan seksa kubur, hari akhirat, syurga, neraka, timbangan amal, berdiri di Padang Mahsyar, akan tertolak kerana ia datang daripada hadis ahad.
Ini semua perkara ghaib yang termasuk dalam akidah. Kita tidak pernah nampak tetapi kita percaya. Kita percaya ALLAH, kita percaya malaikat, kitab, para rasul, hari akhirat. Ada juga yang mengingkari kedatangan Dajjal, dan mengingkari kedatangan Imam Mahdi. Semua ini berpunca akibat semua dalilnya datang dari hadis ahad.
Apa masalah mereka? Kenapa mereka tolak hadis ahad? Umat Islam perlu tahu agar tidak terperangkap dalam syubhat mereka.
Mereka mengatakan akidah adalah perkara yang kita percaya dan betul-betul perlu yakin, sedangkan hadis ahad tidak begitu meyakinkan kerana ada kebarangkalian perawi yang berdusta atau silap. Oleh itu ia tidak digunakan dalam akidah.
Logik kaedah mazhab
Tidak kurang penting juga adalah golongan ketiga, iaitu mereka yang tidak beramal dengan hadis ahad dalam perkara-perkara fikah dan ibadah.
Ini kerana mereka mendahulukan kaedah-kaedah mazhab - kaedah ditetapkan oleh akal (logik). Menurut mereka logik tidak akan salah, manakala hadis ahad boleh jadi salah.
Sebagai contoh, dalam solat, kaedah mazhab mengatakan tidak boleh bergerak lebih 3 kali. Jika gerak lebih 3 kali, maka batal solat. Hukum ini diambil daripada kaedah mazhab.
Walaupun mereka tidak terus-terang menolak hadis Nabi di mana telah sabit dalam hadis bahawa Nabi ketika solat menjawab salam dengan memberi isyarat yang difahami oleh orang di luar solat.
Baginda SAW ketika solat berjalan membuka pintu. Jika mengikut kaedah mazhab, perbuatan ini semua membatalkan solat. Sebahagian orang masih mendahulukan kaedah mazhab ini dan menolak hadis Nabi SAW.
Kesan daripada menolak satu hadis Nabi yang sahih adalah cukup berat. Ini kerana sesiapa saja yang mengingkari sunnah Nabi SAW untuk mengikuti pendapat manusia yang selainnya bererti dia telah mengingkari penyaksiannya dalam kalimah syahadah “Muhammad adalah utusan ALLAH”.
Kalimat ini mengandungi makna kesanggupan untuk seseorang itu beribadah kepada ALLAH dengan cara yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW tidak lain, tidak bukan melalui hadis dan Sunnah Baginda SAW.
Imam-imam mazhab sendiri kesemuanya menyuruh supaya sentiasa mendahulukan hadis Nabi yang sahih.
Antaranya Imam Syafi’i rhm berkata: “Ulama Sunnah sepakat, barang siapa yang sudah jelas baginya sunnah Rasulullah SAW maka tidak halal meninggalkannya untuk berpegang pada pendapat seseorang.” (I’lamul Muwaqqi’in)
Oleh: USTAZ IDRIS SULAIMAN
Sumber: SinarHarian [21 Februari 2014]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.