Pages

08 Mac 2014

Pertembungan Kuasa Besar Di Ukraine



CRIMEA, sebuah semenanjung yang terletak di lokasi strategik mengunjur ke Laut Hitam telah dianugerahkan oleh pemimpin Soviet kepada Ukraine dan diberikan taraf pemerintahan autonomi 60 tahun lalu.

Bagaimanapun, wilayah tersebut kini berdepan krisis yang boleh membawa kepada peperangan antara Rusia dengan Ukraine dan kuasa besar Barat pada bila-bila masa sahaja.

Sebenarnya, Semenanjung Crimea merupakan destinasi popular untuk percutian, namun di situ juga terletaknya pangkalan utama Armada Laut Hitam Rusia. Majoriti penduduk di wilayah tersebut ialah etnik Rusia.


Kebanyakan mereka melahirkan kebimbangan terhadap pemimpin baharu di ibu kota Kiev, Ukraine iaitu kira-kira 650 kilometer ke utara Crimea yang pro-Barat.


ORANG ramai mengambil peluang melawat kediaman mewah milik Yanukovich selepas pemimpin itu melarikan diri dari Kiev. [Kosmo]

Ketegangan mula tercetus apabila bekas Presiden Ukraine yang Pro-Rusia, Viktor Yanukovych, yang digulingkan pada 23 Februari, 2014, didakwa melakukan keganasan polis ke atas penunjuk perasaan hingga mengakibatkan kematian lebih 100 penduduk awam Ukraine.

Yanukovych melarikan diri selepas beliau menandatangani satu perjanjian damai tajaan Barat bagi meredakan situasi politik selepas hampir 100 orang mati akibat pertempuran antara polis dengan penunjuk perasaan.

Para penunjuk perasaan itu berhimpun bagi menuntut Yanukovych meletakkan jawatan selepas beliau enggan menandatangani satu perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Eropah.

Yanukovych enggan menandatangani Perjanjian Hubungan Ukraine-Kesatuan Eropah pada November 2014 dalam satu perjanjian yang bertujuan membolehkan barangan Ukraine menembusi pasaran di Eropah. Namun, Yanukovych lebih berminat untuk mengukuhkan hubungan dengan Rusia.

Disebabkan penggulingan pemimpin yang dipercayai pro-Rusia itu, timbul desakan daripada penduduk dalam kalangan etnik Rusia supaya wilayah autonomi tersebut menarik diri atau keluar dari Ukraine.

Konflik di Ukraine semakin memuncak selepas anggota-anggota Parlimen memilih Oleksandr Turchynovse yang pro-Barat sebagai presiden sementara. Beliau dilantik bagi menggantikan Yanukovych yang telah melarikan diri selepas menandatangani satu perjanjian damai tajaan Barat bagi meredakan situasi politik akibat pertempuran antara polis dengan penunjuk perasaan.


Pemandangan menarik di Kiev, Ukraine

Kawasan penting

Bagaimanapun, bekas Presiden itu diabaikan oleh Kesatuan Eropah (EU) menyebabkannya memihak dan menjalinkan hubungan lebih rapat dengan Kremlin. Para penunjuk perasaan pula menuntut Yanukovych meletakkan jawatan selepas beliau enggan menandatangani satu perjanjian perdagangan dengan EU.

Sementara itu, wilayah Crimea yang keluasannya kira-kira saiz Belgium (32,545 kilometer persegi) merupakan kawasan penting pertanian dan pengeluaran wain di samping kaya dengan ladang tembakau.

Crimea turut menjadi destinasi pelancongan popular kerana iklim cuaca subtropika dan banyak pusat peranginan di tepi laut.

Bagaimanapun, sejarah Crimea yang penuh dengan serangan dan penaklukan bermula daripada puak Hun kepada Yunani Byzantine dan Turki Uthmaniah yang memasuki wilayah yang subur itu menerusi laluan tepi pantai sejak beratus tahun dahulu.

Moscow (Rusia) pula memulakan pemerintahan di wilayah berkenaan pada abad ke-18 dengan mewujudkan Armada Laut Hitam pada tahun 1783 di selatan Semenanjung Crimea yang pada hari ini dikenali sebagai Sevastopol.

Pemerintahan di wilayah berkenaan berlanjutan ke era Kesatuan Soviet tanpa sebarang gangguan kecuali ketika zaman penjajahan Jerman semasa Perang Dunia Kedua.

Pada penghujung peperangan iaitu Mei 1944, pemimpin Soviet, Joseph Stalin telah mengusir seluruh penduduk Muslim Tatar yang telah hidup di Crimea selama berabad lamanya.

Stalin menuduh penduduk yang diusir ke Asia Tengah dan beberapa kawasan terpencil dari Kesatuan Soviet itu telah bekerjasama dengan pihak Nazi Jerman.


SEORANG askar berdiri dekat barsian kenderaan milik tentera Rusia di bandar Balaclava, Semenanjung Crimea

Menyerahkan

Kira-kira 45 peratus daripada jumlah penduduk Muslim Tatar terkorban pada tahun 1944 hingga 1945 disebabkan penyakit, keletihan dan kelaparan ketika dalam perjalanan keluar dari Crimea.

Para pemimpin Perang Dunia Kedua iaitu Presiden Amerika Syarikat, Franklin D. Roosevelt; Perdana Menteri Britain, Winston Churchill dan Stalin pernah berkumpul di Istana Livadia, pusat peranginan pantai di Yalta, Crimea pada Februari 1945 bagi memutuskan keadaan Eropah selepas perang.

Selepas Stalin meninggal dunia pada tahun 1953, pemimpin Soviet yang seterusnya, Nikita Khrushchev telah menyerahkan Crimea sebagai 'hadiah' kepada Ukraine dalam satu tindakan mengejut pada tahun 1954.

Tindakan tersebut tidak memberi makna besar pada zaman tersebut memandangkan kedua-dua negara, Rusia dan Ukraine adalah negara di bawah Kesatuan Soviet.

Bagaimanapun, tindakan itu menampakkan signifikan penting apabila Kesatuan Soviet runtuh pada tahun 1991 manakala Moscow mempunyai Armada Laut Hitam Rusia di sebuah negara merdeka yang dikenali sebagai Republik Autonomi Crimea itu.

Pada tahun tersebut, tentera Muslim Tatar yang diusir sebelum itu telah pulang semula ke Crimea hingga membentuk lebih 12 peratus daripada jumlah penduduk di wilayah berkenaan. Ekoran bimbang terhadap pengaruh dari Moscow, masyarakat Muslim Tatar ini cenderung untuk menyokong demonstrasi anti-Yanukovych (bekas Presiden Ukraine) yang meletus di Kiev.

Sementara, etnik Rusia yang pada hari ini menyumbang 59 peratus daripada penduduk Crimea pula berkiblatkan Moscow manakala 24 peratus lagi adalah etnik Ukraine menjadikan konflik di wilayah tersebut semakin rumit.

Selain itu, isu Armada Laut Hitam Rusia di Sevastopol telah menjadi duri dalam daging kepada hubungan antara Ukraine dan Rusia sejak keruntuhan Kesatuan Soviet.

Pelabuhan tersebut dianggap penting kepada Rusia memandangkan ia menyediakan akses segera ke timur Mediterranean, negara Balkan dan Timur Tengah.

Pada tahun 2010, selepas bertahun-tahun melalui rundingan yang rumit, Ukraine telah bersetuju untuk melanjutkan pajakan pelabuhan Sevastopol sehingga tahun 2042 kepada Moscow. Persetujuan itu adalah sebagai pertukaran untuk pengurangan 30 peratus harga gas Rusia memandangkan Ukraine bergantung kepada keperluan tenaga yang banyak.

Bagaimanpun, Rusia masih bimbang terhadap pergantungannya terhadap Ukraine, malah tidak gembira dengan beberapa syarat yang dikenakan dalam perjanjian berkenaan. Ia termasuk keperluan untuk mendapatkan kebenaran Ukraine setiap kali Moscow mahu menaik taraf atau menggantikan kapal di Sevastopol.


SUASANA perkhemahan penunjuk perasaan di Dataran Kemerdekaan di tengah-tengah bandar Kiev, Ukraine.

Pelabuhan baharu

Disebabkan itu, sejak tahun 2008, Rusia telah memperuntukkan kewangan untuk membina pelabuhan baharu di wilayah sendiri di Novorossiysk dalam Crimea dengan rancangan untuk menjadikannya kawasan perkapalan utama baharu.

"Apa yang pasti, terdapat sebab-sebab politik dan etnobudaya menjadi alasan Moscow untuk mengekalkan pengaruhnya di Crimea.

"Namun, ia semata-mata kepentingan tentera dan lokasi strategik Sevastopol. Sebenarnya kawasan tersebut sudah lemah sejak bertahun-tahun kebelakangan ini," ujar pengkaji Institut Strategik Antarabangsa London, Christian Le Miere minggu ini.

Sementara itu, kerajaan Ukraine mula berada selangkah ke dunia peperangan selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin mengisytiharkan beliau mempunyai hak untuk menceroboh Semenanjung Crimea.

Ketegangan yang berlaku melibatkan Ukraine dengan Rusia dan Barat itu dianggap yang paling buruk sejak Perang Dingin berakhir.

Putin memperoleh kebenaran daripada anggota-anggota Parlimen negaranya untuk melindungi warga Rusia di Ukraine selepas krisis politik berlaku di negara tersebut.

Malah, tentera Rusia telah menawan Crimea dan turut mengepung beberapa buah pusat ketenteraan Ukraine serta menuntut tentera negara itu meletakkan senjata.

Justeru, Majlis Keselamatan Ukraine mengarahkan para pegawainya memastikan semua askar diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk berdepan sebarang pertempuran.

Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyuarakan kebimbangan berhubung pencerobohan Rusia ke dalam wilayah Ukraine.

Menurut White House, Rusia jelas melanggar undang-undang antarabangsa kerana telah menceroboh wilayah Ukraine.

Sumber: Kosmo [7/3/2014], Kosmo [3/3/2014], Kosmo [23/2/2014]

Sevastopol, Crimea sertai Rusia


Sebahagian penduduk, memegang papan tanda tertera ‘Kami cintakan Rusia’, sementara beberapa yang lain mengibarkan bendera Rusia dalam satu perhimpunan di Sevastopol, Ukraine, kelmarin. - AGENSI

Pada 7 Mac, 2014, kerajaan sementara Ukraine menerima tamparan hebat apabila satu lagi bandarnya, Sevastopol mengisytiharkan untuk menjadi sebahagian daripada Persekutuan Rusia, beberapa jam selepas Parlimen kerajaan wilayah autonomi Crimea, melakukan perkara sama.

Portal berita Al-Jazeera melaporkan, perkara itu diumumkan oleh Majlis Perbandaran Sevastopol yang terletak di Semenanjung Crimea, kira-kira 78 kilometer di barat daya Simferopol, ibu negeri Crimea, dan menempatkan pangkalan utama armada Tentera Laut Rusia di Laut Hitam.

Terdahulu, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) mengecam tindakan Parlimen Crimea mengadakan undian untuk keluar dari Ukraine dan rancangan melaksanakan pungutan suara pada 16 Mac 2014.

Malah, Presiden sementara Ukraine, Oleksander Turchinov menyifatkan tindakan kerajaan dan Parlimen Crimea sebagai tidak sah kerana mengisytiharkan mahu keluar dari negara ini.

"Mereka (penduduk Crimea) membuat keputusan kerana ketakutan dan perkara itu menyalahi undang-undang," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Crimea, Rustam Temurgaliyev berkata, dekri berhubung keputusan Parlimen akan berkuatkuasa dengan serta-merta dan hanya tentera Rusia berhak menjalankan operasi di wilayah itu.

"Tentera Ukraine di Crimea perlu membuat pilihan sama ada untuk meletak senjata, menjadi warganegara atau menyertai angkatan tentera Rusia. Jika mereka enggan, kami akan membuka laluan selamat kepada mereka untuk pulang ke Ukraine," katanya.

Agensi berita Rusia, Interfax melaporkan, pihak berkuasa Crimea bersiap sedia untuk memperkenalkan matawang Rusia dan menjadikan kesemua syarikat di wilayah ini di bawah Moscow jika pungutan suara memihak kepada mereka.

Malah, hasrat Crimea itu turut mendapat petanda positif apabila Parlimen Rusia (Duma) dilapor bersedia untuk mempertimbangkan menerima wilayah berkenaan sebagai wilayah Rusia.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Crimea, Vladimir Konstantinov berkata, kerajaan masih berunding dengan Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) bagi mencari jalan penyelesaian krisis di wilayah terbabit.

Sumber: Utusan [07032014]

Ukraine tak mahu lepaskan Crimea

Ukraine tak mahu lepaskan Crimea
Kapal tentera laut Russia memasuki pelabuhan Crimea di Sevastopol.

Ukraine pada 8 Mac, 2014 berkata negara itu tidak akan menyerahkan Crimea dan akan melakukan apa yang mampu untuk menyelesaikan krisis semenanjung Laut Hitam itu secara aman.

Pemangku Menteri Luar ,Andriy Deshchytsia juga menggesa Russia meningkatkan usaha membolehkan kemasukan pemerhati luar ke Crimea dan mewujudkan kumpulan perhubungan antarabangsa bagi membincangkan krisis di rantau itu yang kini dikawal tentera Russia.

“Crimea adalah kawasan Ukraine dan akan tetap menjadi milik kami, kami tidak akan menyerahkannya kepada sesiapa,” kata Deshchytsia.

Berhubung kesediaan Ukraine berunding dengan Russia, beliau berkata kumpulan perhubungan patut ditubuhkan untuk membantu rundingan walaupun ia “hanya satu usaha yang kecil”.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry berkata, Washington mahu kumpulan perhubungan berkenaan dibentuk bagi menggariskan usaha bagi mengurangkan ketegangan dan membolehkan tentera Russia kembali ke pangkalan mereka di Crimea.

Sumber: BHarian [2014/03/08]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.