Pages

18 Mei 2014

Laluan Sutera Moden Hubung Asia dan Eropah



Mungkin ramai yang tidak mengetahui wujudnya landasan kereta api terpanjang di dunia sepanjang kira-kira 11,000 kilometer dari Chongqing, China ke Duisburg, Jerman. Landasan kereta api itu sering digelar sebagai ‘Laluan Sutera Moden’ kerana ia menghubungkan dua kota industri penting di Asia dan Eropah.

Sebelum ini, orang ramai hanya mengetahui tentang Laluan Sutera yang digunakan sejak berkurun-kurun lamanya, namun ia hanya dihubungkan melalui laluan darat dan laut untuk mengangkut barangan perdagangan antara Asia dan Eropah.

Laluan laut masih digunakan sebanyak 95 peratus bagi tujuan perdagangan antara kedua-dua benua, tetapi dengan wujudnya Laluan Sutera Moden sejak 2011, kos yang lebih murah dan perkhidmatan dua kali lebih pantas diwujudkan.


Hujung Mac lalu, Presiden China Xi Jinping melawat perhentian terakhir di landasan itu yang dikenali sebagai Yuxinou, ketika melawat Jerman, sekali gus membuka lembaran baharu dalam dunia perdagangan antara kedua-dua benua itu.

Duisburg merupakan pekan industri pembuatan besi yang terletak antara pertembungan Sungai Rhine dan Ruhr, selain menjadi pelabuhan kawasan pedalaman terbesar di dunia serta hab komersial dan pengangkutan terpenting di Jerman.

Walaupun jarak yang jauh menghubungkan kedua-dua lokasi itu, tetapi, hanya 16 hari diperlukan untuk mengembara dari Duisburg ke Chongqing, sebuah bandar metropolitan China yang semakin maju dengan dihuni lebih 30 juta penduduk.



Landasan kereta api berkenaan yang mula dibina sejak 2011 oleh syarikat Yuxinou meliputi perjalanan dari China menerusi Asia Tengah, Rusia, Belarus dan Poland sebelum tiba di Jerman, sekali gus menjimatkan masa lebih 20 hari jika menggunakan laluan laut.

Walaupun landasan terbabit kurang 2,000 kilometer daripada landasan terpanjang di dunia iaitu dari Jerman ke Shanghai, tetapi ia sangat penting bagi Chongqing yang terkenal dengan industri pembuatan komponen kereta dan elektronik kerana bandar tersebut terletak kira-kira 1,500 kilometer dari pelabuhan utama China.

Antara syarikat besar terdapat di Chongqing ialah Foxconn dari Taiwan yang membekalkan alat ganti Apple dan syarikat komputer Acer yang beroperasi di wilayah China itu.

Dengan wujudnya kemudahan terbabit, Eropah boleh memenuhi permintaan yang tinggi terutamanya dalam industri tekstil, manakala China boleh mengembangkan pasaran dengan cepat di benua berkenaan.

Bagaimanapun satu daripada cabaran di laluan itu ialah merangsang trafik di kedua-dua arah landasan bagi menguntungkan kedua-dua pihak.

Ini kerana kebiasaannya kereta api yang beroperasi di bawah syarikat Yuxinou berkeupayaan membawa 50 kontena yang penuh dengan barangan apabila tiba di Duisburg, tetapi pulang ke China dengan gerabak kosong.



Buat masa ini, jumlah barangan dagangan dari China ke Eropah lebih banyak berbanding arah sebaliknya, sekali gus memberi masalah daripada segi kos dan keberkesanan laluan berkenaan.

Namun, pengurusan pelabuhan di Duisburg berharap banyak syarikat perdagangan sedar kewujudan landasan terbabit dan memanfaatkannya.

Malah, usaha berunding dengan syarikat besar dan pembuat kereta giat dijalankan bagi memperluaskan perkhidmatan di Laluan Sutera Moden.

China merupakan rakan perdagangan utama Jerman, manakala Berlin merupakan rakan utama Beijing di Eropah.

Kedua-dua negara mencatat nilai dagangan dua hala berjumlah RM529 bilion pada tahun lalu.

Oleh MOHD HASRIQ AMIRUDDIN
Sumber: Utusan


Sekadar untuk halwa telinga ~ Silk Road hasil persembahan Kitaro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.