Pages

03 Disember 2014

Warisan Kaya Mergastua Langkawi


LANGKAWI menjadi kediaman tiga daripada 10 spesies kenyalang yang terdapat di Malaysia.

ARCA Helang Merah setinggi 12 meter di Dataran Lang, pekan Kuah dilihat sebagai mercu tanda ikonik pulau peranginan Langkawi.
 
Lang merah sememangnya menjadi kebanggaan pulau ini yang tersohor dengan legenda Mahsuri serta warisan semulajadi lain termasuk pantai yang pasirnya memutih dengan panorama landskap yang indah.
 
Bagaimanapun, bukan sahaja helang yang menghuni pulau indah ini. Sebenarnya, burung helang adalah antara 221 spesies burung yang menghuni pulau legenda ini.


Kawasan pesisiran pantai yang terdiri daripada bentuk mukabumi lereng batu kapur selain dilitupi hutan dan pelbagai tumbuh-tumbuhan di bahagian dalam menjadikan ia habitat paling sesuai untuk pelbagai spesies burung membiak.
 
Langkawi
Arca Helang Merah

Namun demikian, mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa pulau Langkawi kaya dengan begitu banyak spesies burung dan menjadi tumpuan peminat burung.
 
Burung adalah tarikan penting pulau Langkawi. Pemandangan burung helang mencari makan di perairan Taman Hutan Geo Langkawi Kilim menawarkan satu pemandangan menakjubkan akan keistimewaan alam semulajadi.
 
Selain helang, terdapat banyak lagi burung kecil termasuk burung raja udang. Kesemua lapan spesies burung itu menyerikan lagi keindahan pulau legenda ini.
 

Helang Putih Langkawi

BURUNG-BURUNG HEBAT

Tahukah anda bahawa Langkawi juga dikenali sebagai Pulau Kenyalang Dunia. Burung kenyalang boleh dilihat berterbangan atau bertenggek di dahan pokok.

Mungkin ramai yang terkejut dengan fakta ini kerana beranggapan Sarawaklah tempat di mana burung ini banyak diperkatakan.

Memang banyak burung untuk dilihat dan peminat burung serta orang ramai tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan acara Pesta Burung Asia (ABF) kelima di pulau ini yang telah berlangsung dari 29 hingga 30 November 2014.
 
Tema pesta tahun ini adalah 'Terbang Tinggi Gaya Pulau' dan ia telah memaparkan keunikan pelbagai spesies burung serta ekologi menerusi pelbagai kegiatan serta ceramah.
 
Penolong Pengurus Kanan, Bahagian Pelancongan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Putra Hilmy Elias memberitahu, pesta burung itu penting untuk memaparkan kekayaan warisan burung di pulau ini.
 
Ia juga sebagai meningkatkan usaha memulihara burung serta habitat mereka.


Raja Udang Langkawi

GILIRAN BURUNG KENYALANG
 
Burung yang menjadi tumpuan di pesta ini sudah tentunya Kenyalang termasuk 'the great hornbill' yang panjangnya boleh menjangkau 1.3 meter.
 
Langkawi menjadi kediaman tiga daripada 10 spesies Kenyalang yang terdapat di Malaysia.
 
Peminat burung yang berkunjung ke pesta ini juga didedahkan dengan pelbagai karektor unik Kenyalang, seperti bagaimana burung ini menjaga anak dan cara hidup berkumpulan.
 
"Kenyalang terbang bersama sebagai sebuah keluarga dan mereka membenarkan sarang mereka untuk digunakan kenyalang lain," kata Putra dalam menceritakan cara Kenyalang membesarkan anak dan hidup berkumpulan.
 
Pesta burung ini juga penting untuk menarik pelancong dalam dan luar negara khasnya daripada kumpulan pencinta burung dan alam semulajadi.
 
Pesta itu dianjurkan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan LADA bersama sokongan Pelancongan Malaysia.
 
ABF adalah acara tahunan dan diasaskan enam organisasi dari Taiwan, Filipina, Thailand dan Malaysia dengan tujuan memaparkan pelbagai pesta burung di seluruh Asia.
 
Keenam-enam organisasi pengasas ini secara bergilir-gilir menjadi tuan rumah ABF. Mereka adalah Wild Bird Club, Filipina (Davao, 2010), Chinese Wild Bird Federation (Tainan, 2011), Bird Conservation Society of Thailand (Bangpoo, 2012) dan The Wild Bird Society, Taipei (Taipei, 2013).

Oleh Ravichandran D.J Paul
Sumber: Bernama, Sinar Harian, Kosmo

Pulau Legenda Mahsuri Juga Syurga Mergastua


Bangau kecil atau Little Egret boleh dilihat di Pulau Langkawi.

Hari sudah semakin terik, namun tidak ada seorang pun mengeluh letih mahupun merungut kepanasan untuk terus menyusuri Sungai Kilim yang terletak di sebelah timur laut pulau Langkawi.

Bagi mereka yang datang jauh beribu-ribu kilometer ini, sudah tentu tidak mahu kedatangan mereka menjadi sia-sia kerana sudah lama menyimpan hasrat melihat secara dekat khazanah kehidupan burung di sini.

Pulau Langkawi yang terkenal dengan legenda Mahsuri ini bukan sahaja kaya dengan cerita sejarahnya malahan juga masih tersimpan rapi pelbagai khazanah alam yang berharga.

Bagaimanapun, penantian kumpulan peminat burung ini dari pelbagai negara Asia dari China hingga Filipina berakhir dengan kegembiraan apabila tidak sampai setengah jam pergerakan pelbagai jenis burung dapat dirakam.

"Cantik sekali. Saya belum pernah mengambil gambar spesies ini. Terima kasih, kawan," kata Chaton Chokpattara (HE), Ketua Pengarang www.gotravelphoto.com dari Thailand yang hampir menitis air mata sebaik dapat mengambil gambar Pekaka Emas Bakau, burung yang dinanti-nanti beliau selama ini.


Sejenis kera atau Long Tail Macaques, yang merupakan antara khazanah hidupan alam di Pulau Langkawi.

HUTAN PAYA BAKAU

Kedatangan mereka ke pulau legenda Mahsuri yang juga digelar sebagai 'permata' negeri Kedah ini adalah bersempena penganjuran julung kali Pesta Burung Asia (ABF) di Malaysia sejak pesta itu diperkenalkan pada 2010.

Kepuasan jelas tergambar di riak muka peserta yang terdiri daripada peminat burung dan media antarabangsa yang membuat liputan apabila dapat melihat secara lebih dekat dunia mergastua.

Istimewanya, khazanah sungai Kilim yang menjadi sebahagian daripada Langkawi Geopark ini mempunyai kehidupan alam lain yang juga mencuit hati mereka.

"Ini satu tempat yang menakjubkan. Kita dapat mengetahui semua mengenai alam sekitar di sini," kata Chokpattara sambil tangan tidak putus-putus menekan butang kamera ketika melihat habitat semulajadi serta aksi seekor ular sungai melemahkan mangsanya ketam.

Selain itu, landskap di sini yang berbukit-bukau dan disulami hutan paya bakau menjadikan pemandangan di sekitar Kilim Geoforest Park Langkawi ini sangat luar biasa sehingga membuatkan mereka terpukau dengan keindahannya.

SUMBER MAKANAN

"Di Langkawi terdapat sebanyak 42 spesies pokok bakau. Dan, Kilim adalah ekosistem bakau terunggul di rantau ini. Ia unik kerana pokok-pokok ini membiak di kawasan batu kapur.

"Keistimewaan hutan paya bakau Langkawi adalah kepelbagaian geologi, hutan batu kapur yang menjadi habitat utama burung helang dan burung pekaka," kata Othman Ayeb.

Beliau yang mengetuai ekspedisi di sungai itu dan sudah menjadi pemandu pelancong selama 19 tahun berkata, "untuk melihat burung di sungai hutan paya bakau, waktu sesuai adalah ketika air mula pasang kerana pada masa itu air mula masuk ke sungai membawa sumber makanan kepada burung-burung," jelas beliau.

Burung yang paling dinantikan di hutan paya bakau Langkawi dalam kalangan peminat burung adalah Pekaka Emas Bakau dan Helang Merah kerana sukar dilihat di tempat lain.

DESTINASI IDEAL

Menariknya, Langkawi terletak di laluan migrasi burung hijrah dari selatan negara Thailand dan dengan itu banyak burung yang singgah di pulau ini.

"Ramai kaitkan Langkawi dengan burung helang sahaja sedangkan ada banyak lagi spesies burung yang boleh ditonjolkan. Terdapat banyak burung di sini sehinggakan peminat burung dari Jepun datang setiap tahun ke sini.

"Ini disebabkan, Langkawi mempunyai lebih 230 spesies burung, burung residen mahupun hijrah. Bergerak mengikut musim tertentu, contoh bulan Disember sampai Mac ada burung-burung dari kawasan sejuk datang sini," jelasnya.

Antara burung hijrah yang singgah di sini ialah Brown Shriek (Tirjup Coklat) dan Chinese Ponds Heron (Pucung Cina).

Terdapat juga beberapa spesies burung tempatan yang dikatakan agak unik dan sukar dilihat di tempat lain. Antaranya, Black-hooded Oriole (Kunyit Topeng Hitam), Mountain Hawk Eagle (Helang Gunung) dan Pekaka Emas.

PESTA ENGGANG

Mergastua begitu sinonim dengan Langkawi apabila nama pulau ini sendiri dikatakan berasal daripada nama burung helang. Asal-usul nama Pantai Kok, yang terletak di bahagian barat pulau ini, iaitu kira-kira 12 kilometer ke utara Pantai Chenang, mempunyai kaitan dengan keriuhan bunyi 'kok kok kok' burung Enggang Papan atau The Great Hornbill.

Sebanyak 104 ekor burung jenis ini telah dikesan di Pantai Kok.

Selain pantai ini, kehadiran burung ini juga boleh dilihat sepanjang pemanduan ke Gunung Raya iaitu gunung paling tinggi di Langkawi dengan ketinggian 880 meter.

"Kedua-dua tempat ini (Pantai Kok dan Gunung Raya) terdapat pokok ara yang menjadi sumber makanan burung The Great Hornbill. Malahan, boleh dikatakan sepanjang pemanduan 13 kilometer ke puncak gunung, peluang melihat burung ini adalah baik.

"Ini kerana, muka bumi Gunung Raya subur dengan pelbagai tumbuhan yang menjadi sumber makanan kepada jenis burung yang memakan buah dan serangga," katanya.

Selain enggang ini, Langkawi mempunyai dua jenis burung Kenyalang yang sinonim dengan negeri Sarawak iaitu Enggang Kelingking (Oriental Pied-hornbill) dan Enggang Gunung (Wreathed Hornbill).

PESTA BURUNG ASIA

Istimewanya, mereka tidak perlu meredah jauh ke dalam hutan untuk memerhati burung yang diingini kerana kebanyakan lokasi melihat burung di sini mempunyai akses jalan raya.

"Langkawi adalah syurga peminat burung. Pemilihannya sempena acara ABF adalah pilihan terbaik," kata Othman.

Bertemakan 'Terbang Tinggi Gaya Pulau', ABF kelima yang berlangsung selama dua hari di Langkawi bermula 29 Nov lepas adalah anjuran Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) bersama sokongan Pelancongan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Lada, Tan Sri Khalid Ramli berkata pelancongan burung adalah antara produk berpotensi tinggi untuk dibangunkan.

Selain memberi nilai tambah dan faedah tinggi bagi aktiviti pelancongan, ia mewujudkan peluang ekonomi kepada penduduk setempat, katanya kepada pemberita sempena pesta itu baru-baru ini.

"Kita akan menganjurkan pesta burung yang lain bersama MNS. Kita akan jadikan ia sebagai acara tahunan," katanya.

ABF yang adalah acara tahunan diasaskan oleh enam organisasi dari Taiwan, Filipina, Thailand dan Malaysia bertujuan mengetengahkan burung berbeza seluruh Asia. Acara ini juga bertujuan menggalakkan perlindungan dan aktiviti memerhati burung. ABF 2015 akan diadakan di Singapura.

Daripada Sakini Mohd Said
Sumber: BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.