Pages

28 Januari 2015

Komunikasi Berkesan Bentuk Peribadi Kanak-Kanak



HATINYA terdetik untuk mengetahui aktiviti anak lelakinya pada waktu rehat di sekolah. Apabila tiba waktu yang ditunggu-tunggu, kelihatan seorang demi seorang murid lelaki termasuk anaknya menyelinap keluar dari sekolah menuju ke satu kawasan lapang.

Ibu kepada enam orang anak itu menghidupkan enjin kereta dan perlahan-lahan mengekori mereka dari belakang.

Sejurus tiba di tempat yang dituju, salah seorang daripada kumpulan remaja tersebut mengeluarkan sesuatu dari kocek seluar iaitu sekotak rokok.


“Apabila saya ternampak salah seorang daripada mereka mengeluarkan sekotak rokok dan mula mengedarkannya kepada rakan yang lain, saya memecut kereta dan berhenti betul-betul di hadapan mereka.

“Pada ketika itu, saya berasa sangat marah tetapi mengambil langkah menasihati mereka seorang demi seorang termasuk anak saya. Saya tidak meninggikan suara sebaliknya menggunakan intonasi suara yang tegas sambil menunjukkan reaksi marah kepada mereka.

“Saya juga tidak menggunakan perkataan negatif sebaliknya, menasihati mereka secara berhemah. Teguran tersebut bertujuan untuk menyedarkan bukan menghukum, tambahan pula saya mengenali ibu bapa mereka,” ujar Norainee Kamaruddin, 58.

Pendekatan komunikasi yang digunakan Norainee ternyata berkesan apabila mereka tidak lagi mengulangi perbuatan tersebut. Sejak peristiwa tersebut, hubungan dia bersama anak dan rakan-rakannya menjadi lebih akrab seperti sahabat.


BELAJAR daripada anak-anak merupakan salah satu cara membentuk komunikasi berkesan. – Gambar hiasan

Mesyuarat keluarga

Demi memastikan interaksi antara ibu bapa dan anak-anak sentiasa terjalin, suri rumah sepenuh masa itu sering mengadakan sesi mesyuarat keluarga. Ia bertujuan bagi mengetahui perkembangan terkini setiap anaknya selain berkongsi masalah yang dihadapi.

“Kami mula mengadakan mensyuarat keluarga sejak anak-anak masih di bangku sekolah rendah.

“Kami berbincang tentang apa sahaja perkara yang berlaku dan secara tidak langsung ia dapat mengeratkan hubungan kami. Waktu inilah kita dapat mendalami apa yang terpendam dalam hati masing-masing sekali gus menyelesaikan masalah yang timbul.

“Pada sesi mesyuarat keluarga itu juga secara tidak langsung saya dapat mengajar anak-anak cara untuk berkomunikasi dengan orang lain melalui perkongsian masalah dan saya galakkan setiap seorang daripada mereka untuk bercakap tidak kira mengenai apa sahaja,” kongsinya yang mempunyai lima anak lelaki dan seorang perempuan.

Selain mesyuarat keluarga, mereka turut mengadakan sesi usrah bagi membentuk peribadi diri yang sentiasa dekat dengan Allah SWT.

“Alhamdulillah semua anak saya menjadi insan yang berguna dan berjaya dalam kerjaya masing-masing di samping mempunyai budi pekerti yang elok,” katanya yang banyak belajar mengenai ilmu keibubapaan daripada interaksi dan komunikasi bersama anak-anaknya.

Masa berkualiti

Meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak amat diperlukan walaupun hanya mengambil jangka waktu yang pendek sama ada selama setengah atau satu jam kerana ia penting bagi mengeratkan hubungan antara ibu bapa dengan anak.

“Saya selalu sarankan kepada ibu bapa supaya adakan masa eksklusif dengan anak-anak iaitu meluangkan masa sedikit contohnya dua minit sebelum tidur untuk bercerita dan berbual hanya berdua antara ibu atau bapa dengan anak.

“Ini bagi mewujudkan rasa dekat anak-anak dengan ibu bapa dan mengeratkan hubungan antara mereka,” jelas Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Dr. Norharlina Bahar.

Kebiasaan golongan ibu bapa memarahi anak-anak dengan leteran amat tidak digalakkan kerana tabiat itu menyebabkan mereka keliru dengan setiap arahan yang hendak disampaikan sekali gus melatih kanak-kanak untuk mengabaikan kata-kata ibu bapa.


IBU bapa perlu meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak sekali gus dapat mengeratkan hubungan. – Gambar hiasan

Cara terbaik

Cara terbaik untuk memberikan sesuatu arahan kepada anak-anak adalah dengan menggunakan perkataan yang mudah difahami, tidak terlalu panjang dan perlu disampaikan dengan nada sederhana iaitu suara tidak terlalu perlahan atau menjerit.

“Tidak dapat dinafikan apabila kita marah memang sukar untuk mengawal setiap kata-kata yang keluar daripada mulut kita. Pelbagai perkataan tidak elok akan dilafazkan. Apa yang boleh dilakukan ialah berhenti seketika, diam dan tenangkan diri supaya dapat kawal penggunaan perkataan.

“Apabila ibu bapa marah mereka cenderung untuk menyebabkan anak-anak mereka rasa bersalah, malu dan takut. Perkara ini secara tidak langsung boleh mengakibatkan mereka hilang keyakinan terhadap diri sendiri.

“Jika ibu bapa tidak menyukai perbuatan yang dilakukan anak, mereka sepatutnya menerangkan apa kesalahan yang dibuat, mengapa kita tidak menyukainya dan luahkan apa yang kita rasa supaya mereka faham apa yang kita mahukan,” ujarnya yang merupakan penulis laman web Doktorbudak.com.

Tempoh lima tahun pertama kehidupan kanak-kanak sangat penting dalam menentukan perkembangan fizikal dan mental golongan itu sama ada positif atau negatif dan peranan ibu bapa dalam membentuk serta mencorak peribadi mereka amat diperlukan.

Komunikasi dua hala antara ibu bapa dengan anak-anak seperti mengambil kira pendapat dan juga pandangan mereka dalam membuat sesetengah keputusan amat penting bagi mengelak daripada anak memberontak. Ia lebih parah apabila ibu bapa sering menunjukkan kuasa sebagai orang dewasa untuk menghukum kesalahan anak-anak.

Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak segan untuk meminta maaf kepada anak-anak apabila melakukan kesilapan terhadap mereka. Langkah tersebut perlu untuk menunjukkan kepada kanak-kanak ibu bapa juga merupakan manusia biasa yang tidak sempurna dan mempunyai kelemahan.

“Ini tidak bermakna ibu bapa perlu sentiasa mengalah dengan anak-anak sebaliknya perlu seimbang antara peraturan di rumah dan kasih sayang yang dicurahkan kepada mereka.

“Mereka perlu banyak belajar daripada anak-anak dengan bertanya kepada diri sendiri apakah punca yang menyebabkan anak degil, tidak mahu mendengar kata dan sentiasa memberontak. Ilmu pengetahuan mengenai cara mendidik anak perlu ada dalam diri setiap individu yang bergelar ibu dan bapa,” katanya.

Oleh MAHFUZ MOHAMAD
Sumber: Kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.