Pages
▼
03 Februari 2015
Teknologi IBS (Sistem Binaan Berindustri) Menjimatkan
Komponen binaan yang digunakan dalam IBS berkualiti dan mendapat pengiktirafan antarabangsa. – Gambar hiasan
TEKNOLOGI binaan bangunan sama ada tinggi, rendah, besar ataupun kecil yang dapat dilihat pada hari ini bukanlah tercipta dalam sekelip mata. Sebaliknya, proses itu melalui banyak evolusi sejak kewujudan manusia di muka bumi ini.
Baik binaan purba, bangunan bersejarah mahupun pencakar langit moden yang terdapat di seluruh dunia, semuanya mempunyai keunikan sama ada dari segi teknologi atau reka bentuknya.
Pembinaan bangunan bersejarah seperti Istana Alhambra di Granada, Sepanyol dan Kaabah di Masjidil Haram, Mekah yang dibina menggunakan blok-blok batu membuatkan seorang pembekal batu blok bertekad untuk mengembangkan penggunaan bahan binaan tersebut kepada lebih banyak jenis bangunan dan binaan.
“Jika kita lihat binaan-binaan purba seperti piramid di Mesir, rumah berhala ziggurat di Asia Barat dan candi Angkor Wat di Kemboja semuanya dibina tanpa tiang. Ia hanya menggunakan batu bata sebagai bahan asas dan utama yang menjadi penanggung beban untuk keseluruhan bangunan.
“Walaupun tiada tiang seperti kebanyakan bangunan yang kita lihat sekarang, namun binaannya tetap teguh hingga ke hari ini. Saya percaya sistem yang mereka gunakan itu boleh diaplikasikan dalam binaan moden,” ujar Pengarah Eksekutif Integrated Brickworks Sdn. Bhd., Bismi Shah.
IBS juga dikenali sebagai pembinaan pasang siap di Eropah dan Amerika. – Gambar hiasan
Diguna pakai
Batu blok yang dikenali sebagai Unit Batu Konkrit (CMU) atau Unit Batu Seni Bina (AMU) merupakan salah satu daripada enam komponen utama yang terdapat dalam Sistem Binaan Berindustri (IBS) di negara ini.
IBS adalah sistem pembinaan bangunan menggunakan komponen yang telah siap dihasilkan di kilang seperti dinding, tiang, lantai dan kekuda besi sebelum dihantar ke tapak pembinaan untuk dipasang.
Sistem itu juga telah diguna pakai kira-kira satu abad lalu di Amerika dan Eropah yang dikenali dengan pelbagai panggilan seperti pembinaan pasang siap, pembinaan luar tapak dan pembinaan kaedah moden (MMC).
“Segelintir masyarakat tidak mempercayai IBS dengan alasan bangunan yang dibuat menggunakan sistem ini tidak kukuh, mudah bocor dan rekaan rumah tidak menarik. Tanggapan itu tidak benar kerana komponen yang digunakan dalam IBS mendapat pengiktirafan dan mengikut piawaian antarabangsa.
“Batu blok yang dihasilkan di kilang saya telah melalui pemeriksaan kualiti yang ketat dan diuji terlebih dahulu bagi memastikan ketahanan dan kualitinya sentiasa terjaga.
“Sebuah batu blok berukuran 20.3 sentimeter (sm) tebal, 20.3sm lebar dan 40.6sm panjang boleh menampung berat paling minimum sebanyak 52,000 kilogram dan membina bangunan menggunakan bahan tersebut sepenuhnya tidak menjadi masalah terutama sebagai penampung beban (load-bearing),” kata Bismi yang merupakan salah seorang daripada perintis dalam industri IBS.
Kebanyakan masyarakat tidak menyedari sistem yang telah diguna pakai sejak tahun 1966 itu turut diaplikasikan dalam banyak projek mega dalam negara seperti Menara Berkembar Petronas (KLCC), Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Selain mendapat pengiktirafan antarabangsa, Bismi menegaskan, penghasilan batu blok IBS lebih menjimatkan masa dan kos berbanding batu bata biasa.
“Kebiasaannya kerja-kerja menghasilkan batu blok secara purata hanya mengambil masa kira-kira satu saat untuk seketul batu dan penghasilan bahan-bahan bagi rumah yang mempunyai keluasan 93 meter persegi (1,000 kaki persegi) memerlukan tempoh cuma 36 minit.
“Batu bata biasanya mengambil masa lebih kurang seminggu kerana proses yang perlu dilalui itu melibatkan cara tradisional, tambahan pula kualiti bahan tersebut tidak kukuh, tidak tahan lama dan mudah pecah,” jelasnya yang terlibat dalam bidang penghasilan batu blok sejak tahun 1972.
KEPERLUAN tenaga pekerja dapat dikurangkan dengan penggunaan teknologi IBS. – Gambar hiasan
Kaedah pratuang
Tidak terhad kepada batu blok, IBS turut meliputi kaedah pratuang iaitu penghasilan pelbagai komponen binaan di kilang seperti membentuk struktur dinding, tiang, tangga dan rasuk.
“Pembinaan sesebuah bangunan menggunakan sistem pratuang mengambil masa yang sangat singkat. Misalnya, jika ingin membina sebuah rumah berkembar setingkat, kerangkanya boleh disiapkan dalam masa satu hari meliputi dinding dan lantai.
“Jika menggunakan kaedah konvensional, pembinaan bangunan seperti itu memakan masa antara empat hingga lima bulan untuk disiapkan. Ini kerana ia melibatkan kerja-kerja seperti menyusun dan membina dinding menggunakan batu bata kecil.
“Jika dibandingkan dengan sistem pratuang, ia hanya menggunakan beberapa panel dinding pasang siap dari kilang dan pemasangannya lebih mudah,” ujar Pengurus Pemasaran Kub Precast Sdn. Bhd., Abrizah Abdul Kadir.
Kelebihan lain penggunaan IBS ialah penggunaan tenaga kerja yang sedikit khususnya warga asing sekali gus mengurangkan kos buruh dan perbelanjaan keseluruhan.
Berkembang
“Apa yang dapat saya lihat selama terlibat dalam industri ini, penggunaan IBS mampu menjimatkan kos keseluruhan sebanyak 10 peratus dan penggunaan tenaga pekerja kerana ia banyak bergantung kepada penggunaan mesin serta jentera,” terangnya.
Menyokong kenyataan tersebut, Pengarah Urusan Teraju Precast Services Sdn. Bhd., Yusnizam Baharuddin berpendapat, teknologi yang dibawa melalui IBS mampu berkembang seiring dengan pembangunan Malaysia menuju ke arah negara maju pada masa akan datang.
“Perbezaan paling ketara yang dapat dilihat melalui penggunaan IBS ialah jumlah pekerja. Jika projek yang menggunakan sistem konvensional, jumlah pekerja yang diperlukan adalah seramai 150 orang, manakala projek IBS hanya menggunakan 15 pekerja iaitu pengurangan sebanyak 90 peratus tenaga buruh di tapak pembinaan.
“Saya yakin penggunaan IBS akan terus berkembang pada masa hadapan dengan penyertaan lebih banyak kontraktor serta pemaju dalam industri ini, sekali gus akan mengaplikasikannya dalam semua jenis binaan sama ada projek kecil mahupun besar.
“Demi menyokong perkembangan negara ke arah lebih maju, sistem pembinaan juga perlu menggunakan teknologi moden seperti IBS,” katanya yang berpengalaman dalam IBS sejak tahun 1997.
Sementara itu, Yusnizam menambah, penggunaan IBS juga mampu membendung isu manipulasi harga yang sering dikaitkan dengan pihak kontraktor kepada pemaju berikutan kebanyakan komponen pembinaan sudah disiapkan dari kilang.
Oleh MAHFUZ MOHAMAD
Sumber: Kosmo
FLAT Pekeliling di Kuala Lumpur merupakan salah satu projek perintis IBS yang dijalankan di negara ini 49 tahun lalu. – Gambar hiasan
Projek perintis IBS sejak 49 tahun lalu
USAHA memperluaskan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) di negara ini giat dijalankan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dari semasa ke semasa sebagai langkah mewujudkan persekitaran industri pembinaan berkualiti dan standard yang tinggi.
Pengurus Besar Bahagian Teknologi CIDB, Noraini Bahri berkata, usaha tersebut digiatkan dengan inisiatif pembentukan pelan tindakan IBS yang digerakkan sejak tahun 2003 hingga kini yang memasuki fasa kedua.
“IBS sebenarnya digunakan di Malaysia sejak tahun 1966 iaitu dengan pembinaan Flat Pekeliling di Kuala Lumpur dan Flat Riffle Range di Pulau Pinang sebagai projek perintis.
“Selepas dua projek berkenaan, pelbagai usaha dilakukan kerajaan khususnya CIDB untuk menambahbaik sistem serta pelaksanaan IBS dalam industri pembinaan seperti pembentukan Pelan Tindakan IBS yang meliputi dua fasa iaitu bagi tahun 2003 hingga 2010 dan tahun 2011 hingga 2015,” jelasnya.
Selain pelan tindakan, CIDB turut mewujudkan Pusat IBS yang terletak di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Pusat tersebut berfungsi sebagai pusat rujukan utama pelbagai agensi kerajaan dan syarikat swasta khususnya penggiat industri.
Menurut Noraini, kewujudan pusat yang ditubuhkan sejak lapan tahun lalu itu juga bertujuan menyokong matlamat Pelan Induk Industri Pembinaan (CIMP) dan Pelan Tindakan IBS.
“Penubuhan Pusat IBS ini secara langsung dapat memberi ruang dan peluang kepada pemain-pemain industri untuk berkongsi pengetahuan mengenai hal-hal berkaitan pembinaan dan sistem tersebut khasnya sekali gus meningkatkan kerjasama antara mereka.
“Pusat ini juga menjadi pintu utama untuk memasarkan produk-produk IBS sama ada di dalam dan di luar negara,” katanya.
Sementara itu, pihaknya juga sudah mengeluarkan beberapa garis panduan sebagai rujukan kepada kontraktor dan pereka pelan dalam mereka bentuk bangunan supaya mengikut spesifikasi serta standard tertentu.
“Kami di CIDB menggalakkan para pereka pelan khususnya supaya menjadikan garis panduan ini sebagai amalan dalam kerja-kerja mereka bagi memudahkan urusan semua pihak. Ini termasuklah pengeluar bahan binaan dan kontraktor di samping dapat menjimatkan masa pembinaan.
“Misalnya, pada masa kini jika hendak memasang pintu, mereka perlu ukur bingkai pintu terlebih dahulu, kemudian pintu yang dipesan perlu diubah suai supaya boleh dipasang pada bingkai tersebut. Keadaan ini memakan masa dan kos,” katanya.
Sebaliknya, di Eropah orang ramai hanya perlu ke kedai perkakasan rumah untuk membeli pintu atau tingkap.
Mereka boleh terus pasang tingkap atau pintu tersebut tanpa perlu mengukur semula dan melakukan pengubahsuaian kerana semua saiz adalah sama.
Sumber: Kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.