ISU berkaitan cadangan Malaysia menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hangat dibicarakan pelbagai pihak, terutama yang mewakili kepentingan Melayu dan Bumiputera.
Kumpulan yang membantah khuatir pengesahan Malaysia ke atas konvensyen berkenaan membawa implikasi negatif kepada keadaan demografi rakyat negara ini terutama Bumiputera dan Melayu kerana berpendapat, penduduk asal tidak lagi akan dilindungi keistimewaan seperti diperuntukkan dalam kontrak sosial.
Hujah bagi membantah cadangan itu kerana definisi dan skop ICERD dilihat bertentangan serta bercanggah dengan Perkara 153 Perlembagaan yang memberi tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan penduduk asal Malaysia atau Bumiputera, juga yang biasanya dianggap sebahagian daripada kontrak sosial.
Berdasarkan maklumat dipaparkan, ICERD dibuka untuk ditandatangani dan disahkan mulai 21 Disember 1965 dan mula berkuat kuasa pada 4 Januari 1969, namun sehingga hari ini, Malaysia antara 15 negara yang tidak mengesahkannya, termasuk Brunei dan Israel.
Kredit: Bharian (1/11/2018)
Kontrak Sosial dan Timbal Balas
Dari segi sejarahnya, Malaysia atau dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu merupakan kawasan geografi yang majoriti penduduknya kaum Melayu. Kehadiran pemastautin bangsa lain bermula pada era penjajahan British ke atas Tanah Melayu pada lewat kurun ke-19 dan awal kurun-20. Ketika itu British membawa masuk ramai tenaga buruh asing seperti rakyat China dan India untuk menampung kekurangan pekerja dalam industri perlombongan bijih timah dan perladangan getah.
Sebelum British meninggalkan Tanah Melayu, ramai daripada buruh ini diberi pilihan sama ada untuk terus menetap di Malaya atau kembali ke negara asal mereka. Ramai yang memilih untuk tinggal di sini. Tidak kurang memilih untuk kembali.
Apabila Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, buruh imigran ini diterima sebagai warganegara Malaysia melalui konsep jus soli dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Bahagian III-Kewarganegaraan; 3.1 Bab 1-Pemberian Kewarganegaraan; Artikel 14-22). Pemberian kewarganegaraan ini ditimbalkan dengan penerimaan balas beberapa syarat utama yang meliputi hal ehwal berkaitan perlindungan dan penjagaan status dan hak bangsa Melayu sebagai penduduk asal.
Aturan timbal balas atau quid pro quo penerimaan syarat-syarat ini dikenali sebagai ‘kontrak sosial.’ Kontrak inilah yang dijadikan asas kepada pembentukan Perlembagaan Malaysia dan penubuhannya sebagai sebuah negara. Kontrak ini turut dipanjangkan kepada penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 yang membabitkan status dan hak kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.
Dipetik Dari Catatan Oleh: Zulkifli Jalil
Kredit: Utusan
Catatan Untuk Pengetahuan Umum:
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bukan kerajaan dunia dan resolusi, konvensyen atau protokolnya tidak semestinya dipatuhi oleh negara anggotanya.
Keputusan PBB mesti dikaji secara menyeluruh oleh negara anggotanya untuk mengelakkan impak negatif kepada nilai-nilai teras, kepentingan survival, kedaulatan dan keselamatan nasional.
Keputusan PBB tidak boleh mengatasi keputusan negara yang berdaulat. Ini kerana konsep dan sistem kenegaraan moden berdasarkan Perjanjian Damai Westphalia (1648) menegaskan, semua negara, besar atau kecil, mempunyai hak yang sama berkaitan kedaulatannya.
Kedaulatan negara juga dijadikan prinsip utama undang-undang antarabangsa yang menegaskan, sesebuah negara mempunyai kedaulatan yang eksklusif ke atas wilayahnya. Ia juga dimaktubkan dalam Kanun PBB bahawa tidak ada suatu autoriti boleh mengizinkan campur tangan mengenai hal ehwal yang dalam bidang kuasa sesebuah negara.
Majlis Keselamatan PBB hanya berfungsi untuk memelihara keamanan, Perhimpunan Agung PBB untuk membincangkan isu dunia, institusi sosioekonomi PBB untuk mewujudkan dunia yang saksama, dan institusi perundangan PBB untuk mengasaskan undang-undang antarabangsa. (Evan Luard 1979, dalam buku The United Nations: How It Works and What It Does).
Isu Ratifikasi ICERD.
Oleh itu, PBB tidak boleh mengarahkan negara anggotanya mematuhi atau mengguna pakai segala resolusi, konvensyen atau protokolnya.
ICERD yang diluluskan oleh PBB pada 1961 adalah untuk mematahkan gerakan anti-yahudi (antisemitism) pada 1960, berkuat kuasa pada 4 Januari 1969. Ini menunjukkan, ICERD sudah berkuat kuasa 59 tahun dan pendirian Malaysia tidak meratifikasikannya selama ini tidak pernah menimbulkan reaksi negatif.
Adakah Benar?
Adakah benar bahawa “Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak akan memberi kesan kepada Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan?”
Seterusnya, jika Perkara 153 tidak berkait dengan ratifikasi ICERD, kenapakah Hindraf memfailkan saman di Queen’s Bench Division, High Court of Justice, London, pada 30 Ogos 2007, dan mendesak Perlembagaan Persekutuan diisytiharkan sebagai tidak sah? Kenapakah dalam saman yang sama, Hindraf mengatakan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan, kononnya bercanggah dengan Deklarasi Hak Manusia Sejagat? Adakah benar usaha meratifikasikan ICERD berkait dengan saman Hindraf mengenai Perlembagaan Persekutuan pada 2007?
Chow Yu Hui (DUN-Tras) dan Chiong Yoke Kong (DUN-Tanah Rata) pernah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kaitan ratifikasi ICERD dengan Deklarasi Setapak (1967). ADUN DAP ini, melalui kenyataannya dalam akhbar (12 November 2018) menyatakan bahawa “jika parti itu (DAP) mahu menjadi sebuah parti untuk semua rakyat, ia sepatutnya bermula dengan memberi sokongan di Parlimen atau Kabinet untuk meratifikasikan (ICERD)”.
“Dalam Deklarasi Setapak, pendirian DAP adalah sangat tegas dan kukuh bahawa warganegara Malaysia tidak harus diasingkan dengan label bumiputera dan bukan bumiputera”.
Kajian Leon Comber (1983) membayangkan Deklarasi Setapak berkait dengan konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan Lee Kuan Yew pada 1964 hingga 1965.
Kesimpulannya, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyatakan, ratifikasi ICERD akan dihalusi secara bijaksana. Rakyat Malaysia yang prihatin, mesti mendahului proses ini menerusi pendekatan berhemah dan berwibawa.
Dipetik dari Catatan: DATUK DR. RUHANIE AHMAD, lulusan ijazah PhD dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kredit: Utusan (15/11/2018)
Kepentingan Institusi Diraja
Apabila Timur Tengah telah ditenggelami dengan kesan Arab Spring pada tahun 2011, satu trend strategik yang jelas dan nyata: di mana negara-negara Republikan seperti Mesir, Libya, dan Syria, terjerumus ke dalam konflik yang berpanjangan, bahkan rampasan kuasa dan peperangan di jalanan.
Hasil penyelidikan oleh Institut Legatum di Belanda, dan Unit Ekonomi, menjawab persoalan yang dicari. Tidak ada kekosongan kuasa di ketiga-tiga negara untuk mempunyai tempat institusi diraja.
Daripada aktivis jalanan menentang kerajaan, dan kerajaan menentang rakyat, dinamika sedemikian tidak hadir di negara-negara yang memperoleh manfaat apabila ditadbir oleh institusi diraja.
Malaysia, adalah himpunan sembilan orang Sultan, beberapa bekas Negeri-Negeri Selat dan dua negeri Borneo. Ia adalah gabungan karya entiti yang berbeza.
Ia berlaku serentak dengan pasca penjajah dan anti-penjajah. Walaupun Portugis, Belanda dan Inggeris, mungkin telah menguasai seluruh Tanah Melayu, dalam pembentukan awal Malaysia, Kesultanan seperti Kedah, Perak, Johor, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Pahang, mempunyai sedikit atau tidak ada bantuan luar dengan mereka. Mereka tetap wujud, lengkap dengan tradisi berabad lamanya.
Oleh itu, antara 1511 dan 1957, Kesultanan menikmati pelbagai bentuk hubungan dengan tetuan penjajah. Apabila Britain mencadangkan pembentukan sebuah negara, tanpa rasa hormat terhadap institusi diraja, orang Melayu bangkit melalui gabungan persatuan untuk membantah yang dikenali sebagai “hartal” atau pergerakan boikot.
Perkara penting adalah untuk menghantar mesej ke London bahawa pembentukan Persekutuan mesti terlebih dahulu melindungi hak-hak orang Melayu dan pemerintah yang mereka hormati.
Usaha untuk memburuk-burukkan institusi diraja harus dibendung, dan kesungguhan mereka atas talian (online), perlu dikawal oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MMCC); sekiranya terdapat usaha untuk menyemai benih ketegangan perkauman dan etnik.
Malaysia adalah pembinaan yang dibentuk oleh pelbagai kontrak sosial. Semangat kemerdekaan melindungi hak-hak orang Melayu dan bukan Melayu, juga Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru dan Wawasan 2020.
Kerabat diraja mempunyai tempat mereka dalam Perlembagaan Persekutuan, seperti yang terkandung pelbagai kontrak sosial, yang Rakyat juga mendapat faedah tidak terhingga. Kuncinya adalah untuk mencipta formula yang menguntungkan kedua-dua belah pihak bagi menghalang haluan kiri atau kanan politik Malaysia.
Petikan Daripada Artikel:
Pertahan institusi diraja, lindungi rakyat dengan Perlembagaan, kontrak sosial
Oleh: Dato’ Dr. Rais Hussin, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Ketua Biro Polisi dan Strategik Bersatu.
Kredit: Utusan (13/11/2018)
Pandangan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad
Cadangan ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) itu perlu dinilai secara tempatan kerana budaya dan pegangan hidup mereka yang mengiktiraf konvensyen itu sendiri sudah berbeza dengan amalan di negara ini.
Realiti dan hakikat yang perlu diterima oleh semua pihak bahawa amalan di negara ini ternyata berbeza dengan negara Barat.
Kalau semua pihak menghormati Perlembagaan Persekutuan yang digubal pada 1957 sudah cukup harmoni untuk hidup di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Dalam tempoh 60 tahun Malaysia merdeka tiada apa yang berlaku seperti di negara Barat kecuali peristiwa yang berlaku pada 13 Mei 1969 itu sahaja.
Tiada perkara yang sama rata di dunia ini, semuanya ada perbezaan termasuklah lelaki dan perempuan, orang kaya dan miskin.
Sebagaimana perumpamaan, alat muzik gitar yang mempunyai enam tali itu juga mempunyai perbezaan namun menghasilkan irama yang sama.
Keenam-enam tali yang terdapat pada sebuah gitar itu semuanya tidak sama. Dalam sebuah persembahan muzik, beberapa buah gitar yang berbeza digunakan, ada yang rhythm, ada yang base. Namun, semua lagu yang dimainkan adalah secara harmoni dan mengikut rentak yang sama.
Harmoninya sesebuah lagu itu bukan kerana persamaan yang terdapat pada kesemua tali gitar, tetapi kerana semuanya mengalunkan irama sama.
Kita jangan tertipu dengan keadaan yang menuntut kepada kesamarataan ini kerana Perlembagaan sendiri tidak menafikan hak kaum lain di negara ini.
Kredit: Utusan (13/11/2018)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.