Pages
▼
07 Julai 2013
China Denda Rakyatnya Jika Abai Ibu Bapa
Denda jika abai ibu bapa ~ Gambar Hiasan
China menguatkuasakan undang-undang baru mengenakan denda terhadap warga negaranya jika gagal mengunjungi ibu bapa mereka hingga hidup sendirian tanpa bantuan.
Undang-undang baru yang mewajibkan seorang anak melawat atau sentiasa berhubungan dengan ibu bapa mereka berkuat kuasa pada 1 Julai, 2013, ketika China berdepan kesukaran menjaga kebajikan golongan warga tua.
Bagaimanapun, undang-undang dipinda itu dianggap tidak banyak membawa perubahan kepada masyarakat kerana ibu bapa yang semakin tua semakin kerap menyaman anak mereka untuk mendapatkan sokongan emosi.
Selain itu, undang-undang berkenaan tidak menetapkan kekerapan seseorang itu perlu melawat ibu bapa mereka atau menjelaskan bentuk hukuman kepada mereka yang tidak berbuat demikian.
Apapun, ia memang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai isu itu, kata penulis perundangan berkenaan, Profesor Undang-Undang di Universiti Shandong, Xiao Jinming.
Bekerja beratus kilometer
Seorang pencuci, Wang Yi, 57, yang tinggal berseorangan di Shanghai, berkata undang-undang itu lebih baik daripada tiada langsung. Dua anak lelakinya bekerja beratus-ratus kilometer di wilayah Guangdong dan cuma berkesempatan bertemu pada majlis perjumpaan semula keluarga.
Orang China membesarkan anak supaya mereka menjaga kita apabila kita tua, katanya.
Ahli perundangan China meminda undang-undang itu Disember 2012 lalu berikutan kekerapan laporan ibu bapa diabaikan anak. Perundangan baru menekankan, anak yang ada ibu bapa berusia lebih 60 tahun perlu memastikan keperluan kewangan dan kerohanian mereka dipenuhi setiap hari.
Walaupun rasa hormat kepada warga tua memang berakar umbi dalam masyarakat China, pembaharuan selama tiga dekad menyumbang kepada perpecahan keluarga tradisi dan ada beberapa alternatif seperti rumah persaraan.
Saman anak
Xiao berkata, sebelum Undang-Undang Perlindungan Hak dan Kepentingan Warga Tua dipinda, ada ibu bapa menyaman anak untuk mendapat sokongan emosi. Pegawai mahkamah secara umum menyelesaikan kes itu dengan mendapatkan persetujuan anak melawat ibu bapa mereka lebih kerap.
Bilangan rakyat berusia 60 tahun ke atas di China dijangka bertambah daripada 185 juta kepada 487 juta atau 35 peratus daripada penduduk, menjelang 2053, menurut perangkaan Jawatankuasa Kebangsaan China mengenai Warga Tua.
Nisbah yang jauh itu disebabkan kenaikan jangka hayat daripada 41 kepada 73 tahun sejak lima dekad lalu dan dasar perancangan keluarga yang mengehadkan cuma satu anak.
Pensyarah universiti dari Wilayah Jiangsu, Zhang Ye, 36, berkata undang-undang itu tidak munasabah dan meletakkan terlalu banyak tekanan ke atas rakyat yang berpindah jauh dari rumah untuk mencari kerja atau hidup berdikari.
Sumber: BHarian [2013/07/02]
Nenek menang kes pertama diabai anak
Chu ketika mendengar kes terhadap anak perempuannya, kelmarin. - Foto AFP
Seorang wanita diperintahkan mahkamah melawat ibunya sekurang-kurangnya sekali setiap dua bulan dalam kes pertama bawah undang-undang melindungi golongan tua di negara itu.
Wanita tua berusia 77 tahun yang bertongkat dan tersandar di kerusi plaintif di mahkamah wilayah Wuxi hadir ketika mendengar kes terhadap anak perempuannya bersama suami kelmarin, lapor Wuxi Daily, pada 2 Julai 2013.
Ubah tradisi keluarga
Undang-undang berkenaan berkuatkuasa Isnin 1 Julai 2013 lalu berikutan kebimbangan pembangunan pesat di China mengubah tradisi keluarga dan mewujudkan lebih banyak kediaman tanpa penghuni.
Laporan mengenai orang tua yang sering diabaikan atau tidak dilayan dengan baik anak mereka mengejutkan negara itu.
Dalam kes di Wuxi, di wilayah timur Jiangsu, anak perempuannya dan suaminya bersetuju menjaga wanita dikenali Chu, tetapi tidak melawatnya sejak dia tinggal bersama anak lelakinya berikutan satu perselisihan faham ahli keluarga.
Mahkamah di daerah Beitang memutuskan pasangan terbabit perlu melawat ibu mereka sekurang-kurangnya sekali dalam dua bulan dan sekurang-kurangnya sekali ketika cuti kebangsaan negara.
Hakim turut memerintahkan pasangan terbabit membayar pampasan jika mereka tidak melawat wanita tua itu.
Undang-undang perlindungan hak dan kepentingan orang tua mengatakan bahawa ahli keluarga perlu melawat anggota keluarga berusia lebih 60 tahun ke atas secara kerap tetapi tidak memberikan penerangan lanjut.
Pakar bimbang, undang-undang baru terbabit akan sukar dikuatkuasakan, sementara sebilangan pengguna internet menyifatkan peraturan itu sebagai tidak dapat diterima malah ada yang menganggapnya penghinaan kepada negara. - AFP
Sumber: BHarian [2013/07/03]
Hai koding , lame xsinggah sini..
BalasPadamAku rase denda kalau bole buat depa jaga parent dgn ikhlas takpela..
Sbb xnak kene denda , takut depa jaga parent macam xnak jaga..
Lagipun bio ade kat malaysia jugak kan...