Pages
▼
06 Julai 2013
Tentera Guling Mursi Selepas Setahun Memerintah Mesir
Presiden Mesir Mohammed Mursi jatuh juga akhirnya. Namun bukan di tangan rakyatnya tetapi di tangan tentera yang bertindak menggulingkannya demi menyelamatkan Mesir daripada terjebak ke dalam konflik yang lebih besar.
Walau apa cara sekalipun Mursi dijatuhkan, kejatuhan Mursi tetap dilihat sebagai kejatuhan sebuah kerajaan Islam dan matinya demokrasi di Mesir. Mursi kini ditahan di Kementerian Pertahanan dan tidak ada berita tentang keadaannya sehingga sekarang.
Kejatuhan Mursi turut memusnahkan pergerakan Ikhwan Muslimin di Mesir yang telah membina kedudukan sehingga ke tahap ini selama lebih 80 tahun.
Ini adalah kerana Mursi merupakan Presiden pertama negara itu yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi dan sedang berusaha membina sebuah kerajaan yang berasaskan Islam di Mesir, selepas kejatuhan Hosni Mubarak dalam kebangkitan rakyat pada 2011.
Lebih tragis adalah kejatuhan Mursi berlaku genap setahun beliau menyandang jawatan itu setelah memenangi pilihan raya Presiden pertama negara itu, ekoran berlaku demonstrasi besar-besaran bermula pada hari ulang tahun pertama beliau menyandang jawatan tersebut.
Barat melabelkan kebangkitan rakyat Mesir kali ini, sebagai gelombang kedua Arab Spring selepas gelombang pertama berjaya menjatuhkan beberapa pemimpin Arab termasuk pemimpin Mesir Hosni Mubarak pada 2011.
Presiden Mohammed Mursi yang dipilih rakyat Mesir melambai tangan kepada penyokongnya pada 29 Jun 2012. Selepas setahun berkuasa, akhirnya beliau digulingkan oleh pihak tentera Rabu 3 Julai 2013 lalu. - REUTERS
Dalam gelombang kedua ini, penentang kerajaan menuduh Mursi menggagalkan revolusi 2011 dengan menumpukan pembahagian kuasa kepada pergerakan Ikhwan Muslimin.
Dalam tempoh setahun pemerintahannya juga, Mursi dibelenggu dengan krisis ekonomi, kekurangan bahan bakar dan berdepan tunjuk perasaan oleh kumpulan antikerajaan yang boleh dikatakan hampir setiap hari.
Pergolakan terbaharu di Mesir itu juga tidak boleh dinafikan bermula daripada draf Perlembagaan yang dirangka sepenuhnya oleh parti Islam selepas parti liberal dan Kristian bertindak memulaukan mesyuarat untuk menulis draf piagam tersebut.
Perlembagaan itu dibuat bagi menggantikan Perlembagaan yang digantung sebelum ini, selepas bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak digulingkan.
Draf Perlembagaan itu yang menjadikan Syariah Islam sebagai sumber utama perundangan, bagaimanapun telah diberi lampu hijau oleh rakyat pada 26 Disember 2012 setelah melalui proses pengundian sebanyak dua kali pada 15 dan 22 Disember.
Sejak itu, golongan sekular, liberal Islam dan Kristian mula menunjukkan penentangan terhadap kerajaan Mursi.
Bermula daripada itu, pergolakan semakin hebat dengan penunjuk perasaan mula menyuarakan rasa tidak puas hati dengan media-media Barat melaporkan kumpulan minoriti pembangkang mendakwa mereka dikecualikan dan suara mereka tidak pernah didengari berhubung draf perlembagaan kontroversi ini.
Kumpulan hak asasi antarabangsa, Human Rights Watch pula turut campur tangan dengan mendakwa Perlembagaan baharu itu melindungi beberapa hak, tetapi ia melemahkan orang lain termasuklah gagal melindungi kebebasan bersuara dan agama.
Dalam isu ini, Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir, Abdul Aziz Ali berpendapat apa yang berlaku di Mesir adalah disebabkan oleh isu agama.
"Tunjuk perasaan yang dilakukan oleh Tamarod bukanlah disebabkan isu deraf Perlembagaan itu, tetapi hakikatnya ada pihak yang tidak suka dengan pemerintahan Islam,'' katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan Utusan Malaysia.
Beliau yang merupakan penuntut di Mesir dan mengikuti perkembangan semasa di negara itu menjelaskan, kempen Tamarod dinaungi oleh golongan sekular, sosialis dan liberal pimpinan Mohamed Mustafa ElBaradei, Hamdeen Sabbahi dan Amru Mousa.
Ketiga-tiga tokoh utama itu merupakan mereka yang berhajatkan jawatan Presiden Mesir selepas kejatuhan Hosni dengan Hamdeen dan Amru adalah calon yang tewas dalam pusingan pertama Pilihan Raya Presiden.
Hamdeen berhaluan kiri dan mendapat sokongan daripada pemuda yang mengadakan revolusi menggulingkan Hosni dan Amru pula adalah calon Presiden berfahaman sekular.
Sementara itu, Mustafa yang pernah diangkat sebagai pemimpin revolusi ketika kempen menjatuhkan Hosni tidak dicalonkan sebagai Presiden dalam satu pakatannya dengan Ikwan Muslimin yang mencalonkan pula Mursi dalam Pilihan Raya Presiden tersebut.
Ketiga-tiga tokoh ini jelas menunjukkan mereka berfahaman sekular dan kemudiannya disokong oleh anti-Islam yang tidak senang dengan kepimpinan Mursi kerana menyuarakan kebimbangan terhadap orang Islam di Syria dan lantang mempertahankan rakyat Palestin yang ditindas Israel.
Abdul Aziz berkata, terdapat dakwaan oleh perisik polis bahawa ketiga-tiga tokoh itu mendapat dana asing yang akan diberikan antara Lira Mesir LE500 hingga LE3,000 kepada mereka yang keluar menentang Mursi.
''Pertembungan yang berlaku bukanlah membabitkan Ikhwan Muslimin dan penentang Mursi, tetapi ia melibatkan kumpulan anti-Islam dan sekular yang menentang pemimpin Islam,'' katanya.
Namun, media Barat pula memburuk-burukkan Ikhwan Muslimin dengan mendakwa penentangan berlaku antara penyokong dan penentang Ikhwan Muslimin.
Perasaan kecewa, dendam dan tidak mahu mengaku kalah walaupun tidak diterima oleh rakyat melalui proses pilihan raya telah menyebabkan sebuah negara seperti Mesir mengalami pergolakan yang maha hebat.
Kini, banyak pihak menunggu tindakan seterusnya daripada pihak tentera dan sebarang percaturan yang salah oleh pihak tentera boleh mengundang konflik yang lebih di negara itu yang bakal berdepan kancah perang saudara.
Golongan yang berfahaman sekular yang menjadi virus dalam kalangan penentang Mursi, tidak akan berpuas hati jika kehendak mereka tidak dituruti dan tidak akan senang hati jika Mesir diperintah oleh kerajaan Islam.
Gelombang Arab Spring kedua di Mesir kini dilihat bukan sebagai transformasi dan revolusi rakyat lagi, tetapi ia kini dilihat sebagai malapetaka yang bakal membawa padah kepada ekonomi Mesir dan juga membawa bencana besar kepada Islam jika ia mempengaruhi negara Islam lain.
Oleh FAUZI JAAFAR
Sumber: Utusan
Tentera guling Presiden Mursi
Tentera Mesir menaiki kenderaan APC berkawal di luar kedutaan Perancis di Kaherah, semalam selepas tentera menggulingkan Presiden Mohammed Mursi dan menahannya. - AFP
Tentera Mesir, pada awal pagi 3 Julai, 2013 menggulingkan Presiden Mohammed Mursi dan menahan beliau, selepas seminggu tunjuk perasaan besar-besaran yang menyebabkan berpuluh-puluh orang terbunuh di negara ini.
Panglima Tentera Jeneral Abdel Fattah al-Sisi yang juga Menteri Pertahanan berkata, Mursi kini di tahan di kementerian itu dan nasibnya masih tidak diketahui.
Fattah mengumumkan rampasan kuasa tentera itu melalui televisyen kerajaan, ketika polis mula menahan pegawai-pegawai kanan Presiden dan pemimpin pergerakan Ikhwan Muslimin.
Waran tangkap turut dikeluarkan ke atas sebanyak 300 pegawai Ikhwan Muslimin, lapor media milik kerajaan.
Beribu-ribu penunjuk perasaan yang berkhemah di jalan-jalan raya di sekitar bandar raya Kaherah sejak beberapa hari lalu menyambut berita itu dengan kegembiraan dengan sesetengah daripada mereka meraikannya dengan membakar mercun.
Sekurang-kurangnya tujuh penyokong Mursi terbunuh dalam pertempuran dengan anggota keselamatan di Iskandariah dan di bandar Marsa Matrouh, menurut pegawai keselamatan.
Sebanyak 50 orang dilaporkan maut dalam pertempuran antara penyokong dan penentang kerajaan sejak minggu lalu menjelang ulang tahun pertama Mursi dipilih menjadi Presiden Mesir pertama selepas kejatuhan Presiden Hosni Mubarak dalam kebangkitan rakyat pada 2011.
Menurut Jurucakap Ikhwan Muslimin, Gehad El-Haddad, Mursi dan penolong-penolong kanannya ditahan di kemudahan tentera.
Imej yang diambil daripada televisyen kerajaan merakamkan Jeneral Abdel Fatah al-Sisi mengumumkan penggulingan Presiden Mohammed Mursi, semalam. - AFP
Katanya, Mursi, bagaimanapun dipindahkan ke Kementerian Pertahanan dengan ayahnya, Essam El-Haddad adalah antara penolong kanan Mursi yang ditahan.
Dalam ucapannya, Jeneral Fattah turut menjelaskan dengan teperinci pelan tindakan bagi peralihan kuasa politik.
Katanya, draf Perlembagaan yang dirangka oleh kerajaan Mursi akan dibekukan dan pilihan raya Presiden akan diadakan tidak lama lagi, tetapi tidak menyatakan tarikhnya.
Beliau turut mengumumkan Ketua Mahkamah Perlembagaan Agung Mesir, Adli Mansour dilantik memimpin kerajaan sementara sehinggalah pilihan raya awal diadakan. - AFP
Sumber: Utusan
Seorang pegawai kanan tentera berkata, penahanan Mursi dibuat sebagai satu langkah 'pencegahan'. Katanya, Mursi mungkin berdepan dakwaan rasmi berhubung tuduhan yang dibuat oleh penentangnya.
Mursi ditahan bersama-sama pegawai-pegawai kanannya selepas mengeluarkan kenyataan menggesa pengikutnya melindungi pelantikannya sebagai Presiden secara sah dalam satu ucapan yang disebarkan di Internet beberapa jam selepas tentera mengumumkan penggulingan beliau, semalam.
"Saya adalah Presiden yang dipilih oleh rakyat dan rakyat perlu mempertahankannya," katanya dalam rakaman yang dimuat naik di YouTube itu.
Pegawai tentera itu berkata, mereka perlu bertindak kerana itu adalah retorik ancaman, dan Mursi telah berjaya mewujudkan permusuhan dalam kalangan rakyat Mesir. - AFP
Sumber: Utusan
Ketua Hakim angkat sumpah jawatan Presiden
Adly Mansour (tengah) mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden sementara Mesir di Mahkamah Perlembagaan Agung di Kaherah, semalam, - AFP
Ketua Mahkamah Perlembagaan Agung Mesir, Adly Mansour mengangkat sumpah sebagai Presiden sementara Mesir pada 4 Julai 2013, selepas tentera menggulingkan dan menahan Presiden Mohammed Mursi.
''Saya bersumpah untuk memulihara sistem negara republik dan menghormati Perlembagaan serta undang-undang, serta menjaga kepentingan rakyat,'' katanya pada majlis angkat sumpah jawatan di Mahkamah Perlembagaan Agung..
Sumber: Utusan
PASUKAN keselamatan cuba meleraikan pergaduhan antara penyokong dengan penentang Morsi di Kaherah.
Dataran Tahrir adalah pusat kebangkitan rakyat menentang pemerintahan rejim Hosni Mubarak pada 2011. Namun, gelombang kebangkitan rakyat kali ini dikatakan lebih besar berbanding dua tahun lalu.
Terdahulu, tentera Mesir yang terpanggil susulan demonstrasi anti-Morsi di seluruh negara memberi tempoh 48 jam kepada beliau meletak jawatan.
Namun, Morsi, 61, tidak menghiraukan kata dua itu dengan alasan beliau adalah pemerintah Mesir yang dipilih oleh rakyat. Kedegilan Morsi mendorong pihak tentera melaksanakan kuasa.
Presiden Mesir pertama yang dipilih menerusi proses pilihan raya bebas dan adil itu akhirnya tumbang di tangan rakyat. Beliau senasib dengan bekas presiden Mubarak yang digulingkan dalam gelombang kebangkitan rakyat pada 2011.
Pada Februari 2011, Mubarak terpaksa berundur selepas tentera Mesir memihak kepada rakyat yang mahukan beliau berundur.
Morsi yang sebelum ini merupakan penyokong pergerakan persaudaraan Islam Ikhwanul Muslimin kini dikenakan tahanan dalam rumah manakala beberapa penasihat kanan beliau turut ditahan.
Perkembangan itu berlaku selepas seminggu Mesir dilanda keganasan yang meragut hampir 50 nyawa. Sepanjang tempoh tersebut, berjuta-juta orang membanjiri jalan raya dan dataran di Mesir untuk mendesak beliau meletak jawatan.
Sementara itu, kuasa Barat meminta semua pihak agar bertenang dengan demokrasi segera dipulihkan di Mesir. - Agensi
Sumber: Kosmo
Kekalutan hala tuju cetus krisis Mesir
Rusuhan di Dataran Tahrir, Kaherah, Mesir yang menghimpunkan lebih setengah juta orang dan mengakibatkan ibu pejabat Ikhwanul Muslimin rosak, lima orang terkorban serta lebih sepuluh orang tercedera beberapa hari lalu adalah satu petunjuk bahawa bukanlah mudah untuk memelihara kestabilan dan keamanan.
Pada 2011, rusuhan yang berlaku mendesak pengunduran Hosni Mubarak yang memerintah lebih tiga dekad menjadi petunjuk keresahan rakyat, tetapi rusuhan kali ini membawa refleksi bahawa Mesir sebenarnya tidak mudah menerima kepimpinan politik Islam.
Ketika pemerintahan Hosni Mubarak yang panjang, konsep politik Islam sentiasa mengalami ancaman termasuk tidak mengiktiraf kemenangan parti yang mewakili Islam. Perubahan pasca Hosni Mubarak, pada awal kemenangan sayap politik Ikhwanul Muslimin ramai aktivis Islam melihatnya sebagai kemenangan pergerakan Islam, tetapi ia tidaklah semudah ketika runtuhnya rejim Mubarak.
Dr. Mohamed Morsi yang menang secara sah menerusi pilihan raya awam pertama selepas kejatuhan Hosni Mubarak, akhirnya terpaksa berhadapan dengan siri rusuhan yang panjang dalam tempoh setahun kemenangannya.
Pertengahan tahun 2012, Morsi diisytiharkan menang dan di awal kemenangannya, Ikhwanul Muslimin pernah ditempelak kerana masih mengekalkan sebahagian penyokong Mubarak dan kelompok liberal dalam mempengaruhi pentadbirannya, termasuk cadangan pindaan perlembagaan.
Kumpulan liberal, sekular dan pembangkang berhaluan kiri melihat Morsi adalah seorang pemimpin yang gagal, kerana tidak mampu menyusun sebuah sistem pentadbiran yang cekap dan berkesan.
Morsi juga terpaksa mengetepikan diri yang pernah dikeluarkan bagi melaksanakan pindaan perlembagaan kerana dianggap tidak menepati kehendak politik moden negara itu yang masih memerlukan bantuan Barat, terutamanya Amerika Syarikat.
Morsi pernah membuat permohonn bantuan kewangan daripada tabung kewangan yang dikawal oleh Amerika Syarikat bagi memulihkan negara itu yang musnah dalam rusuhan besar selama beberapa bulan terakhir pentadbiran Mubarak.
Sejak negara-negara Barat menjajah Mesir, dan selepas mencapai kemerdekaan, pemerintahan boneka Mesir dinilai tidak memberikan ruang yang menarik untuk pertubuhan Islam.
Ikhwanul Muslimin bukan sahaja pernah diharamkan oleh pemerintah, bahkan aktivisnya pernah ditangkap dan dijatuhi hukuman bunuh manakala sebahagian yang lain melarikan diri ke serata negara. Dalam perlembagaan Mesir, oleh sebab Ikhwanul Muslimin yang berasal daripada gerakan sosial dan kemudiannya membuka sayap politik, memasuki pilihan raya menjadi ancaman kepada kekuasaan pemerintah dan Barat, tekanan sentiasa dilakukan.
Bagaimanapun, Ikhwanul Muslimin merupakan sebuah pertubuhan yang paling berpengaruh dan tersusun, apabila berakhirnya rejim Mubarak pada awal tahun 2011, ramai yang meramalkan parti yang didokongi Ikhwanul Muslimin akan mencapai kemenangan. Hal itu menjadi kenyataan apabila sayap politiknya menang pada pertengahan 2012, dan proses pembentukan kerajaan benar-benar memberikan cabaran yang besar.
Kemunculan kumpulan ekstremis dalam politik Mesir sebenarnya sudah diketahui umum dan sentiasa ada. Ketika Morsi menetapkan dasar yang lebih liberal dan menangguhkan sementara pengiktirafan ke atas Israel, golongan sekular dan kelompok pembangkang berhaluan kiri melihatnya sebagai halangan yang besar. Kelompok tersebutlah sebenarnya yang muncul kemudian untuk menentang setiap keputusan presiden dan ketika ini mendesak Morsi berundur.
Kelompok penentang Morsi telah memulakan gerakan menyeru rakyat agar bangkit dan mendesak pengundurannya. Situasi seperti ini memang sudah muncul sejak zaman pemerintahan Saidina Uthman Affan r.a. sehingga menyebabkan berlaku tragedi berdarah. Ia bermula menerusi penyebaran fitnah oleh kelompok pelampau atas dakwaan urus tadbir negara yang tidak cekap. Morsi juga berhadapan dengan tuduhan yang sama kerana gagal melaksanakan reformasi ekonomi yang berkesan.
Kegagalan Morsi menguruskan ekonomi sebenarnya berpunca daripada sumber kewangan yang tidak mencukupi. Apabila gagal mendapat pinjaman, bantuan kewangan daripada dana pemegang tabung antarabangsa, ia telah membantut proses pemulihan ekonomi.
Sebahagian besar kelompok yang banyak mendapat faedah ketika pemerintahan Mubarak, melihat Morsi sebenarnya seorang pemimpin yang gagal. Proses menjana kekayaan telah gagal, maka menyebabkan jumlah rakyat miskin semakin besar dan setiap hari dikatakan bertambah.
Sekalipun dinafikan kegagalan berpunca daripada kelemahan dasar, Morsi berhadapan dengan situasi yang hampir sama dengan Khalifah Uthman Affan. Puak pelampau menggunakan kelemahan itu sebagai senjata untuk mendesak pengunduran pada mulanya, tetapi atas keengganan beliau, mereka akhirnya mengajak rakyat berhimpun semula di Dataran Tahrir melancarkan revolusi kebangkitan rakyat kedua.
Mereka hanya berkumpul kerana disatukan oleh rasa kemarahan yang sama. Biasanya sasaran kemarahan itu ialah kuasa yang diwujudkan. Mereka merupakan manusia yang yang normal, tetapi apabila emosinya sentiasa diasak dengan kebencian dan hasutan, akhirnya bertukar menjadi ganas atau agresif.
Mereka sebenarnya telah kehilangan arah, tunduk kepada kemahuan massa dan seakan-akan mereka dirasuk. Sikap seumpama ini menjatuhkan martabat mereka sebagai manusia dan secara tidak langsung telah menuruni beberapa anak tangga peradaban.
Iktibar penting daripada peristiwa terkini dalam percaturan politik di Mesir bahawa keamanan, kestabilan, keharmonian dan perdamaian nasional merupakan sesuatu yang sangat mahal harganya. Di negara kita, elemen-elemen inilah yang menjadi tunjang kepada kerajaan hari ini yang tidak akan digadaikan semata-mata menuruti kehendak sesetengah pihak yang mahukan perubahan landskap politik negara.
Perubahan yang tidak disertai dengan kesedaran dan kesepakatan secara menyeluruh oleh semua komponen masyarakat akan hanya dapat menghasilkan suasana huru-hara dan kekalutan politik. Hakikatnya apa yang lebih utama adalah merangka dan menyusun agenda perpaduan dan kesatuan semua elemen masyarakat bagi mewujudkan pemerintahan yang mantap dan stabil.
Provokasi dan fitnahlah yang bakal menyaksikan Mesir kembali bermandi darah, manakala musuh-musuh Islam boleh tersenyum melihat betapa kalutnya jiwa yang ada dalam kalangan umat Islam.
Oleh Mohd. Shauki Abd. Majid
Pengurus Besar Analisa dan Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
Sumber: Utusan
Tabiat politik rakyat Mesir menghairankan
Ramai dalam keadaan kehairanan melihat tabiat politik sebahagian rakyat Mesir. Mereka bersorak gembira selepas mengetahui pihak tentera ‘merampas kuasa’ daripada Presiden Mohammad Morsi yang hanya baru setahun dipilih oleh rakyat Mesir mengetuai negara itu menerusi proses demokrasi.
Tabiat politik rakyat Mesir yang menghairankan ini tergambar dalam kenyataan sarjana Islam, Sheikh Dr Yusof al-Qaradhawi yang meminta rakyat Mesir bersabar dengan kehidupan secara demokrasi dan menyeru mereka menyokong Morsi kerana pengalaman pemerintahan beliau baru berusia setahun.
Qaradhawi hairan mengapa sebahagian rakyat Mesir tidak mampu bersabar dengan sistem pemerintahan demokrasi yang menekankan aspek keterbukaan, kesaksamaan dan semangat berperaturan yang hanya baru setahun jagung usianya sedangkan mereka mampu pula bersabar berdekad-dekad hidup di bawah sistem pemerintahan tentera pimpinan Hosni Mubarak sebelumnya yang memang terkenal bersifat kuku besi.
Bertentangan akal, logik
Tabiat politik yang gelojoh dan tidak sabar ini bukan saja menghairankan Qaradhawi tetapi juga seluruh masyarakat antarabangsa. Mereka hairan dengan dakwaan sebahagian rakyat Mesir yang menyatakan bahawa pemerintahan Morsi gagal menyelesaikan pelbagai isu negara, terutama membabitkan soal ekonomi.
Dakwaan ini ternyata suatu yang bertentangan dengan akal dan logik pemikiran umum. Ia seolah-olah menunjukkan iaitu sebelum ini sebahagian rakyat Mesir mengharapkan Morsi membawa bersamanya ‘keajaiban’ atau ‘mukjizat’ besar bagi menyelesaikan seluruh permasalahan dihadapi Mesir dalam masa setahun.
Dalam kehidupan semasa hari ini, tidak ada seorang pemimpin sekalipun yang memiliki ‘tongkat mukjizat’ yang mampu menyelesaikan seluruh permasalahan negara dalam tempoh setahun.
Dipengaruhi tabiat politik
Mengapa sebahagian rakyat Mesir begitu mudah menjadi saluran kepada proses rampasan kuasa tentera adalah suatu persoalan yang sungguh menghairankan.
Ada komentar yang mengatakan tabiat politik yang ditunjukkan sebahagian rakyat Mesir ini yang mana mereka seperti tidak dapat membezakan kebaikan antara sistem pemerintahan bercorak autokratik dan demokratik adalah antara jelmaan nilai dan naluri yang membentuk keperibadian mereka sejak sekian lama.
Pengalaman kehidupan yang berada di bawah pemerintahan kuku besi dalam satu tempoh masa yang sungguh lama memberi kesan besar terhadap pembentukan jiwa yang lemah sebahagian rakyat Mesir.
Nilai hidup yang memupuk dan menekankan kehidupan secara berperaturan dan menghormati undang-undang yang disepakati bersama nampaknya tidak sejajar dengan keadaan jiwa mereka yang lemah.
Oleh: Dr Muhammad Razak Idris
Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM
Sumber: BHarian
p/s: Sama-samalah kita berdoa dan melaksanakan solat hajat agar Mesir kembali aman, demokrasi kembali semula bertapak di Mesir, Mesir dikuasai semula oleh parti Islam yang melaksanakan syariat Islam. Atau Mursi mendapat semula haknya untuk berkuasa di Mesir berdasarkan pilihan yang telah dibuat oleh rakyat dalam pilihanraya 2012.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.