Pages
▼
16 Julai 2013
FRIM Rawat Kayu Dengan Pengeringan Suhu Tinggi (HTD)
SEKITAR tahun 2004, negara-negara Kesatuan Eropah (EU) yang merupakan pengimport terbesar perabot kayu getah bagi kegunaan dalaman rumah mengeluarkan peraturan supaya tiada sebarang bahan kimia digunakan terhadap kayu getah.
Pada kebiasaannya, kayu getah diawet menggunakan bahan kimia seperti asid borik. Perbuatan itu didakwa boleh mendatangkan kanser selain merencatkan kesuburan dan pertumbuhan sistem pembiakan manusia. Malah, asid itu digunakan untuk menyingkirkan susu getah daripada kayu getah serta menghalang pertumbuhan kulat dan serangga perosak.
Penggunaan bahan kimia berkenaan mendatangkan kesan ke atas pengeksportan produk kayu getah bernilai berbilion ringgit setahun yang menggunakan sebatian asid borik walaupun hakikatnya, dos asid yang digunakan itu sangat rendah dalam industri perabot.
Tidak mahu perkara itu menjejaskan industri perabot, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menjalankan kajian terperinci untuk mencari alternatif bagi merawat kayu.
Hampir 10 tahun, penyelidik FRIM, Choo Kheng Ten dan Sik Huei Shing membangunkan serta menjalankan kerja-kerja pembaikan sistem Pengeringan Suhu Tinggi (HTD). Sistem pengeringan kayu dilakukan untuk mengurangkan kandungan lembapan, mengelakkan pengecutan dan pecah.
Selain itu, proses pengeringan perlu supaya kerja-kerja mengecat lebih kemas di samping kayu menjadi lebih ringan. Begitupun, kajian itu dilakukan sebagai respons EU yang melabelkan beberapa jenis bahan kimia rawatan kayu terutama borates dalam kategori repro toksik di bawah Arahan Bahan Berbahaya 67/548.
Namun, akhirnya kira-kira dua tahun lalu, sistem itu mula diguna pakai untuk merawat kayu-kayu getah di Malaysia.
Bagi mengulas perkara itu, Pegawai Penyelidik Program Teknologi Hijau Bahagian Keluaran Produk Hutan FRIM, Huei Shing berkata, pihaknya menjalankan kajian dalam tempoh yang lama kerana mereka mengkaji sistem itu dari pelbagai sudut.
Antaranya, pengawalan sistem pengeringan suhu, menaik taraf sistem dan peredaran suhu.
HUEI SHING (dua dari kanan) melihat beberapa jenis kepingan papan.
Kaedah pengeringan
Menurut Huei Shing, walaupun pihaknya mengambil masa yang lama, ia berbaloi apabila berjaya memperoleh kaedah terbaharu menggunakan teknologi HTD bagi mengeringkan kayu.
Kaedah pengeringan itu dijalankan melalui pembakaran kayu di dalam sebuah mesin untuk menghasilkan pengewapan. Bagaimanapun, pengeringan kayu itu perlu dilakukan pada suhu 150 darjah Celsius. Pengewapan pada suhu tinggi mampu merawat kayu daripada serangan kulat dan serangga.
"Biasanya, kaedah pengeringan kayu-kayu getah mengambil masa sekurang-kurangnya 14 hari sebelum boleh digunakan dalam pengeluaran perabot. Ini kerana jika kayu dirawat dengan bahan kimia, ia perlu dikeringkan menggunakan kaedah stim pada suhu 70 darjah Celsius dan disimpan di kilang," katanya.
Terdahulu, Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Dr. Jalaluddin Harun berkata, industri kayu di negara ini menunjukkan peningkatan sekali ganda dalam pendapatan eksport sepanjang tempoh sedekad, daripada RM10.5 bilion pada 1992 kepada RM20.2 bilion tahun lalu.
Walau bagaimanapun ujar beliau, peratusan sumbangan eksport industri kayu hanya 2.8 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara tahun lalu.
Tambah Huei Shing, dengan penggunaan HTD, pengeringan kayu hanya mengambil masa dua hari sekali gus menjimatkan kos penyimpanan kayu di kilang.
Penggunaan suhu tinggi juga meningkatkan kuantiti kandungan kanji dan gula yang terhidrolisis (sumber makanan kepada perosak kayu) selain mempunyai kestabilan dimensi lebih tinggi berbanding kayu yang dirawat secara konvensional.
"Kawalan suhu dan keadaan lembap ketika kerja-kerja pengeringan tanur pada suhu tinggi boleh mengurangkan kecacatan pengeringan kayu," katanya sambil menyifatkan kayu tidak mudah melengkung.
Ketika ditanya mengenai kos pembinaan bangunan pengeringan tanur itu, beliau enggan mendedahkan, namun kerja-kerja penyelidikan itu bernilai RM2 juta.
Pertama di dunia
Sementara itu, Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod berkata, pihaknya berjaya membangunkan serta mempatenkan teknologi hijau bertaraf antarabangsa untuk merawat kayu getah itu.
Sistem itu tidak menggunakan sebarang rawatan bahan kimia namun mampu meningkatkan kestabilan kayu.
Melihat kepada keberkesanan teknologi itu, beliau yakin HTD mempunyai potensi untuk meletakkan Malaysia antara negara pertama di dunia yang menawarkan kayu terawat selamat dan mesra alam.
Beliau berpendapat, teknologi HTD merupakan penyelesaian terbaharu kepada industri kayu-kayan negara terutamanya pengeluar perabot berasaskan kayu getah.
Justeru, dalam berdepan halangan serta syarat-syarat perdagangan negara maju yang ketat, HTD merupakan penyelesaian kepada masalah tersebut.
KAYU-KAYU dibakar dengan menggunakan sebuah mesin untuk menghasilkan pengewapan ke dalam bilik pengeringan tanur.
Lagipun, lebih 80 peratus eksport perabot Malaysia ialah perabot yang diperbuat daripada kayu getah. Malah, kayu berkenaan merangkumi hampir separuh daripada kayu-kayan yang digunakan dalam pembuatan perabot di Asia.
Sistem itu bukan sahaja dapat menghapuskan penggunaan bahan pengawet, malah menjimatkan masa kitaran pemprosesan sehingga lebih 75 peratus.
"Selain kayu getah, teknologi tersebut boleh digunakan pada kayu-kayu seperti akasia dan sesenduk," ujarnya lagi.
Jelasnya ketika ini, lebih 90 peratus kilang-kilang pengeringan di rantau Asia Tenggara menggunakan sistem konvensional pemanas stim pada suhu di bawah 80 darjah Celcius.
Pada kebiasaannya, kayu perlu dirawat dengan bahan pengawet seperti borates untuk mencegah kulat dan serangan perosak kayu yang dirawat dengan kaedah konvensional.
"Setakat ini, tidak banyak negara yang menggunakan sistem HTD ini lagi," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memberitahu FRIM memperoleh paten untuk teknologi HTD daripada Pejabat Paten dan Cap Dagang Amerika Syarikat (USPTO) pada Mac lalu.
Seterusnya, FRIM memfailkan paten di Malaysia dan enam negara lain iaitu Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia, China dan India.
Pihak FRIM bekerjasama dengan Advanced Low Pressure System Sdn. Bhd. (ALPS) untuk mengkomersialkan teknologi HTD dengan menubuhkan dua unit sistem HTD di Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor.
Selain itu, FRIM akan bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia serta Majlis Kayu Kayan Malaysia untuk menganjurkan sebuah forum yang menyasarkan pembabitan pengeluar perabot dan mereka yang terlibat dalam industri perkayuan untuk mempromosikan sistem HTD .
Menurut beliau, pihaknya telah menerima banyak pertanyaan terutamanya daripada pengeluar kayu getah seperti China, Thailand dan India.
Oleh SUHANA VERU
Sumber: Kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.