Pages
▼
17 Julai 2013
Taktik Penipuan Guna Telefon
Penipuan melalui telefon boleh menyebabkan mangsanya tertekan. - Gambar hiasan
TELEFON khususnya telefon bimbit adalah antara gajet yang penting pada hari ini. Malah aplikasi penggunaannya yang mudah, moden dan sentiasa dikemas kini turut menjadi faktor yang menyebabkan kecenderungan melampau untuk memiliki dan sentiasa menukar telefon bimbit baru di kalangan orang awam.
Kecanggihan teknologi telefon ini juga tidak disia-siakan penjenayah, malah mereka bijak menggunakan peluang ini untuk memerangkap dan memperdaya mangsa.
Jika orang awam menggunakan telefon sebagai keperluan untuk berhubung dengan individu lain, bekerja dan melayari internet, penjenayah pula sebaliknya. Mereka menggunakan telefon untuk menipu dan mengugut orang awam bagi mendapatkan wang segera dalam jumlah yang banyak.
Taktik mereka juga licik kerana sudah diatur rapi dan kebanyakan mangsa menyedari ditipu selepas duit mereka lesap.
Modus operandi
Suspek menggunakan pelbagai modus operandi. Antara taktik popular digunakan adalah:
1. Suspek akan menghubungi mangsa dan mendakwa mangsa memenangi cabutan bertuah bernilai jutaan dolar dari syarikat Hong Kong /Macau.
Amaun besar sengaja digunakan sebagai tarikan kepada mangsa.
Suspek akan bagi nombor telefon untuk dihubungi, sekiranya mangsa ingin menuntut hadiah yang ditawarkan.
Sekiranya mangsa bersetuju, suspek akan minta mangsa bayar cukai dan insurans dengan cara memasukkan wang ke akaun yang diberikan oleh sindiket.
Setelah wang dimasukkan ke akaun yang diberikan, suspek gagal dihubungi wang hadiah yang dijanjikan tidak diterima.
Sindiket/suspek didalangi rakyat Taiwan yang menghubungi mangsa melalui Hong Kong atau Malaysia menggunakan Voice Over Internet Protocol (VoIP) untuk meminda nombor pemanggil.
Sindiket guna akaun bank milik rakyat tempatan untuk kutip wang daripada mangsa.
Wang itu kemudiannya ditunaikan dan dihantar ke luar negara melalui khidmat pertukaran wang asing atau ejen penghantaran.
2. Suspek hubungi mangsa dan mengaku sebagai pegawai mahkamah atau polis dari Bukit Aman.
Suspek akan maklumkan mangsa disyaki terlibat dalam kegiatan haram seperti ah long, kongsi gelap dan pengedaran dadah.
Mangsa diarahkan untuk pindahkan semua wang dalam akaunnya ke akaun lain, kononnya bagi mengelak akaun mangsa disita pihak berkuasa.
Suspek menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai bank.
Suspek akan dimaklumkan kononnya mangsa tidak membayar penggunaan kad kredit melebihi had.
Suspek akan minta mangsa menghubungi seseorang, kononnya pegawai dari Bank Negara bagi mengelakkan nama disenaraihitamkan atau akaun bank dibekukan.
Apabila mangsa menghubungi suspek kedua yang menyamar sebagai pegawai dari Bank Negara, dia akan diminta untuk memberikan butir-butir akaun banknya.
Mangsa hanya menyedari ditipu apabila wang dalam akaunnya lesap dan dikeluarkan melalui transaksi e-banking.
3. Mangsa terima panggilan dari individu tertentu menyatakan anak/saudara diculik.
Suspek arahkan mangsa bayar wang melalui pindahan wang ke nombor akaun pihak ketiga yang diberikan.
Selepas bayaran dibuat, mangsa menghubungi anaknya dan dapati sebenarnya tiada sebarang penculikan berlaku.
Suspek menggunakan rakaman suara untuk mempengaruhi mangsa.
Contoh kes
Kerani yang hanya mahu dikenali sebagai Dahlia berkata, dia nyaris menjadi mangsa penipuan menggunakan telefon kira-kira tiga tahun lalu.
Menurutnya, ketika itu dia baru bangun tidur sebelum melihat terdapat satu khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan dia memenangi hadiah cabutan bertuah iaitu iPad dan wang tunai RM500,000.
Katanya, SMS sama turut menyebut meminta tuntutan dibuat segera dalam tempoh seminggu dan terdapat beberapa nombor telefon untuk dihubungi.
“Siapa tak gembira kalau dapat duit banyak? Dapat hadiah lagi.
“Tapi angan-angan itu seketika sahaja kerana terlintas di fikiran, siapa yang baik hati mahu bagi duit yang begitu banyak kepada saya?” katanya.
Bagaimanapun, Dahlia nekad untuk menghubungi nombor yang tertera dalam SMS bagi mengetahui siapa pengirimnya.
Beliau berkata, dia menghubungi nombor tertera, sebelum panggilannya disambut seorang lelaki.
“Saya berpura-pura setuju untuk membuat tuntutan terbabit dan bertanyakan sebab kenapa saya diberikan hadiah serta wang tersebut.
“Lelaki itu hanya berkata pemilihan dibuat secara rambang dan nombor telefon saya yang terpilih, maka saya layak menerima wang serta hadiah tersebut,” katanya.
Menurutnya, dia yang tidak berpuas hati, terus bertanyakan latar belakang syarikat serta pihak yang bertanggungjawab memberi hadiah serta wang tersebut.
Katanya, lelaki itu mula berdolak-dalih, sebelum memintanya memasukkan sejumlah wang ke satu akaun bank, kononnya bayaran untuk cukai dan insurans bagi menuntut hadiah terbabit.
“Wang yang diminta bukan sedikit tapi mencecah ribuan ringgit. Secara logiknya, kenapa kita perlu membayar untuk mendapatkan hadiah yang kita tidak minta?
Dahlia berkata, apabila diajukan persoalan itu, lelaki terbabit memberi pelbagai alasan.
Keesokan harinya, beliau berkata lelaki terbabit menghubunginya dan bertanyakan sama ada sudah memasukkan duit ke dalam akaun yang diberikan.
Menurutnya, dia memberitahu belum berkesempatan memasukkan wang seperti diminta, sebelum lelaki itu berterusan menghubunginya.
“Saya mula rasa syak bahawa lelaki itu menipu dan mungkin kegiatan dilakukan didalangi sindiket tertentu.
“Mujurlah saya tidak terpengaruh dengan tawaran hadiah dan wang tersebut. Jika tidak, pasti saya menjadi mangsa dan menyesal kerana bertindak terburu-buru sehingga mengalami kerugian ribuan ringgit,” katanya.
Sumber: Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia,
Oleh HASNIZA HUSSAIN
Sumber Artikel online: Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.