Pages

29 Julai 2013

Jangan Terlepas Bonus Allah Di Malam Lailatul Qadar



Dalam 10 malam terakhir Ramadan, Allah menjanjikan pemberian bonus yang amat lumayan kepada hamba-hamba-Nya yang bertakwa. Pada malam tersebut orang mukmin digalakkan melipat gandakan ibadat mereka.

Malam itu adalah lailatul qadar di mana ganjaran bagi yang beribadat pada malam tersebut adalah 1,000 bulan atau kira-kira 83 tahun tiga bulan.

Ganjaran itu sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Malam Qadar itu lebih baik daripada 1,000 bulan. (al-Qadr: 3)


Sayangnya bukan semua orang Islam mampu istiqamah dan bertahan dalam melakukan ibadat kepada Allah termasuk sepanjang Ramadan. Pengalaman membuktikan, bagaimana masjid dan surau-surau yang penuh sesak pada awal minggu pertama Ramadan kini semakin sepi dengan jemaah.

Ramai dalam kalangan kita dileka dan disibukkan dengan pelbagai aktiviti antaranya membeli-belah, membuat persiapan menyambut Aidilfitri dan lebih teruk lagi duduk menonton program kegemaran masing-masing di kaca televisyen.

Jika demikian, kita berada dalam kelompok orang yang amat malang kerana senario begitu sudah jauh menyimpang daripada tujuan dan matlamat puasa itu difardukan kepada umat Islam iaitu mencapai takwa.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Sayangnya, jaminan bonus 1,000 bulan itu tidak mengujakan sesetengah orang Islam. Walhal, dalam menyambut hari lebaran, sebahagian besar kita antaranya kakitangan awam tertunggu-tunggu pengumuman bonus oleh kerajaan.

Jika diumumkan bonus sama ada setengah bulan atau sebulan gaji, kita amat gembira. Namun agak pelik apabila majoriti umat Islam tidak langsung teruja atau tertarik dengan ganjaran bonus pahala 1,000 bulan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Untuk itu, kita perlu berazam memastikan diri kita, isteri dan anak-anak menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan. Sebenarnya bukanlah terlalu sukar untuk mendapatkan pahala lailatul qadar.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang bangun (untuk beribadah) pada malam-malam Ramadan kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan pahala daripada-Nya, akan diampunkan dosanya yang lalu. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Para ulama dalam membahaskan hadis tersebut menjelaskan untuk masuk dalam kategori bangun beribadat atau qiamullail pada Ramadan adalah memadai orang itu solat Isyak diikuti solat tarawih dan witir secara berjemaah.

Ini adalah satu lagi kelebihan yang Allah berikan kepada kita sepanjang Ramadan di mana kita tidak perlu tidur dahulu untuk berqiamullail sebagaimana pada bulan-bulan yang lain.

Jadi, bagi mereka yang membiasakan diri solat tarawih di masjid dan surau terutama pada 10 malam terakhir Ramadan, insya-Allah mereka akan beroleh pahala ganjaran beribadat 1,000 bulan jika bertepatan dengan lailatul qadar.

Cuma, kita disyorkan melipatgandakan ibadat pada 10 malam terakhir Ramadan kerana waktu bila sebenarnya lailatul qadar itu berlaku adalah rahsia Allah.

Untuk mendapatkan lebih banyak pahala, pada malam-malam tersebut juga kita dianjurkan bangun malam mendirikan solat sunat yang lain seperti tahajud, tasbih, taubat dan hajat sama ada di rumah, masjid atau surau. Selain itu, memperbanyakkan membaca al-Quran kerana Ramadan adalah bulan kitab suci itu diturunkan kepada manusia.

Jangan pula kita termasuk dalam golongan mereka yang hanya sibuk mencari tanda-tanda sudah berlaku atau belum lailatul qadar.

Alamat atau tanda

Alamat atau tanda secara langsung seperti yang dijelaskan oleh Ibn Uthaimin dalam Fatawawa Rasa'il Ibn Uthaimin antaranya:

1. Sinar cahaya sangat kuat pada malam al-qadar dibandingkan dengan malam-malam lain.
2. Bertambah kuatnya cahaya pada malam itu.
3. Ketenangan dan kelapangan hati yang dirasakan oleh orang-orang yang beriman lebih kuat daripada malam-malam yang lain.

4. Angin dalam keadaan tenang pada malam al-qadar. Tidak bertiup kencang dan tidak ada ribut petir. Ini berdasarkan hadis daripada sahabat Jabir bin Abdillah sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Aku melihat lailatul qadar kemudian dilupakannya. Lailatul qadar turun pada 10 akhir (bulan Ramadan) iaitu malam yang tenang, tidak dingin dan tidak panas serta tidak hujan. (riwayat Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban)

5. Terkadang-kadang Allah memperlihatkan malam al-qadar kepada seseorang dalam mimpinya. Sebagaimana yang terjadi pada diri para sahabat Nabi SAW.

6. Kenikmatan beribadat dirasakan oleh seseorang pada malam itu lebih tinggi daripada malam-malam lainnya.

7. Tanda selepas terjadi lailatul qadar (iaitu pada pagi harinya) antaranya ialah matahari terbit dalam keadaan tidak tersebar sinarnya dan tidak menyilaukan berbeza dengan hari-hari biasa.

Ini berdasarkan hadis daripada sahabat Ubay bin Ka'ab yang mengatakan; Sesungguhnya Rasulullah mengkhabarkan kepada kami: Sesungguhnya matahari terbit pada hari itu dalam keadaan yang tidak tersebar sinarnya. (riwayat Muslim)

Bagaimanapun, tentang tanda-tanda tersebut, tidak semestinya mereka yang tidak nampak tanda-tanda malam al-qadar tidak mendapat malam tersebut.

Menurut Imam al-Munawi dalam Fayd al-Qadir: "Barangkali seorang yang bangun pada malam al-qadar itu tidak memperolehi dari malam itu melainkan peluang beribadah dan tidak ada sebarang tanda yang dilihatnya.

"Dia lebih baik dan lebih mulia di sisi Allah daripada orang yang melihat tanda-tandanya sahaja (tetapi tidak beribadat pada malam itu)".

Sehubungan itu, marilah kita mengambil kesempatan memanfaatkan umur yang diberikan oleh Allah SWT untuk mencari malam al-qadar supaya kita tidak termasuk dalam golongan orang yang rugi semasa dihisab di hadapan Allah SWT kelak.

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN
Sumber: Utusan

1 ulasan:

  1. Terima kasih koding...semoga kita terus istiqamah dalam beribadah terutamanya di akhir Ramadhan ni..

    BalasPadam

Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.