Pages

28 Julai 2013

Pertambahan Longgokan Sisa Makanan Di Bulan Ramadhan



JIKA mengikut logik akal, kedatangan Ramadan yang mana umat Islam diwajibkan menahan lapar dan dahaga sebelum matahari terbenam mampu menjadi bulan paling menjimatkan untuk individu Muslim.

Namun, mungkin disebabkan tenggelam dalam kemewahan, perlu diakui kebanyakan kita seringkali menjadikan Ramadan sebagai bulan 'menabur duit' atas alasan persiapan menyambut Syawal.

Tanpa sedar, berlaku pembaziran yang mencacatkan ibadah puasa kerana perkara itu amat tidak disukai Allah SWT sehingga disebut di dalam surah al-Israa ayat ke-27 yang bermaksud 'Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada tuhannya'.


Tidak hanya terhenti di situ, sesuatu yang perlu diberi perhatian di sepanjang Ramadan adalah cara bagaimana untuk kita mengawal gejolak nafsu dalam menyediakan juadah berbuka.

Adakalanya, juadah yang disediakan terlampau berlebihan sehingga tidak mampu lagi 'disumbat' ke tembolok. Akhirnya, tong sampah menjadi destinasi terakhir sisa-sisa makanan yang tinggal.

15,000 tan sisa makanan dilupus

Perkara itu bukan omongan kosong memandangkan kajian dilakukan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) mendapati sisa-sisa makanan yang dibuang sepanjang Ramadan akan menokok sebanyak lima hingga 10 peratus kepada 55 peratus berbanding 45 peratus daripada 29,000 tan sampah pada hari-hari biasa.

Pertambahan itu menjadikan jumlah sisa makanan atau juga dipanggil sisa organik yang dibawa ke tapak pelupusan sampah di lapan negeri diuruskan JPSPN mencecah sekitar 15,000 tan sehari pada bulan Ramadan.

Dengan jumlah pembaziran sisa makanan sebesar itu, bayangkanlah betapa mewahnya kita di bumi bertuah ini. Sedang rakyat di negara lain ada yang sanggup berbunuhan demi merebut makanan, kita di sini melakukan pembaziran yang amat besar disebabkan 'terlampau kenyang untuk menghabiskan hidangan'.

Mungkin ramai yang tidak mengambil kisah dengan angka-angka besar diberikan di atas kerana dianggap tiada kena mengena dengan masyarakat kita sebagai rakyat biasa.

Bagi yang mengambil remeh perkara berkenaan, anda perlu tahu bahawa kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan sebelum ini menyebut penyakit kencing tikus atau Leptospirosis selalunya berpunca daripada sisa makanan yang tidak diuruskan dengan betul.

Selain itu, sisa-sisa organik ini juga mampu membebaskan gas rumah hijau yang menyumbang kepada pemanasan global.

Jika kewangan pula yang menjadi keutamaan anda, ketahuilah bahawa kerajaan terpaksa membelanjakan beratus juta ringgit untuk pembaziran yang seringkali dianggap kecil dan remeh oleh kebanyakan rakyat negara ini.


LONGGOKAN sisa pepejal yang separuh daripadanya sisa makanan dikumpul di satu tempat khas sebelum kerja-kerja menimbus dilakukan dengan tanah di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Tagar, Selangor.

Boleh jimat perbelanjaan negara

"KALAU rasa nak makan, beli atau masak sajalah. Kita ada duit, bukannya mencuri. Kalau tak habis, buangkan saja. Bukannya menyusahkan orang lain pun,"

Jika anda berfikiran sedemikian, tolonglah ubah cara anda berfikir setiap kali mahu menurut nafsu dalam menyediakan hidangan. Jika tidak, anda berpotensi untuk menjadi penyumbang kepada kerugian yang dialami negara.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Dr. Nadzri Yahaya, perbelanjaan negara mampu dijimatkan dengan jumlah yang banyak sekiranya rakyat mengamalkan sifat tidak membazir.

"Sebagai contoh, kita perlu membayar sebanyak RM49 bagi satu tan sampah yang dibawa untuk dilupuskan di Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Tagar.

"Satu hari, sebanyak 2,500 tan sampah dari Kuala Lumpur dan Selayang dibawa ke situ dan hampir separuh daripadanya adalah sisa makanan atau sisa organik. Bayangkan, jika rakyat Malaysia lebih berjimat-cermat dan tidak membazir makanan, berapa banyak yang dapat dijimatkan," katanya.

Mengulas lanjut katanya, RM49 untuk satu tan sampah itu tidak termasuk kos kutipan dari rumah ke rumah serta jumlah yang perlu dibayar untuk pusat transit di Taman Beringin, Kepong.

"Di situ pula kita perlu bayar RM35 satu tan. Setelah kos-kos ini diketahui umum, saya harap orang ramai dapat lebih berjimat-cermat agar tidak berlaku pembaziran yang merugikan negara.

"Kadang-kadang perkara sebegini tampak remeh, namun kita sebagai individu sebenarnya turut memainkan peranan besar dalam menentukan untung rugi negara," katanya.

Dalam pada itu kata Nadzri, pembaziran dikesan lebih banyak berlaku di kawasan-kawasan bandar.

"Mungkin di kampung kalau makanan tak habis, boleh beri haiwan ternakan makan dan mereka juga lebih menghargai makanan. Tetapi di bandar, semuanya mudah dan mampu diperolehi, jadi perkara ini dianggap kecil.

"Tambahan pula pada bulan Ramadan ini, kalau di desa, bazar Ramadannya tidaklah besar. Bufet Ramadan pun tidak ada. Jadi, berbeza sangat jumlah pembazirannya berbanding di bandar," katanya.

Tidak selari semangat Ramadan

APABILA isu pembaziran makanan ketika Ramadan dibawa ke pengetahuan tokoh-tokoh agama, kesemua mereka menganggap perkara itu amat bertentangan dengan semangat Ramadan yang bertujuan memupuk nilai-nilai murni dalam jati diri Muslim.

Malah, Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad turut mengingatkan umat Islam agar tidak kufur nikmat dengan melakukan pembaziran di bulan mulia ini.

"Kaya macam mana sekali pun, jangan kita membazir. Berpuasa merupakan satu ibadat tetapi apabila kita berbuka, kita cemarkan pula dengan tindakan yang tidak disukai Allah. Itu tidak betul.

"Kalau ambil makanan sewaktu bufet Ramadan contohnya, ambil sedikit dahulu. Bukannya ambil penuh macam bukit tetapi makan separuh saja.

"Petuanya mudah, kalau kita berpuasa atas niat ikhlas beribadat, insya-Allah hari kita menjadi mudah. Jika asyik fikir lapar, memang betul-betul lapar jadinya," katanya.

Pendakwah bebas, Dr. Zaharuddin Abd. Rahman pula beranggapan isu pembaziran berkenaan merupakan salah satu ujian daripada Allah terhadap hambanya dalam menentukan yang terbaik bagi menjalani ibadah Ramadan.

"Di bulan Ramadan, Islam mengajar kita untuk lebih berhati-hati. Termasuklah dalam perkara ini di mana kita perlu bijak menilai keperluan sebenar tanpa melakukan pembaziran.

"Semua itu sebagai latihan untuk kita menjadi insan lebih baik pada masa akan datang. Tetapi kalau kita gagal melatih diri dalam isu ini, nampaknya matlamat Ramadan itu gagal kita penuhi," ujarnya.

Sementara itu, tokoh agama terkenal, Datuk Hassan Mahmud al-Hafiz menyifatkan individu yang mengamalkan pembaziran di bulan Ramadan sebagai tidak mempunyai kefahaman yang cukup mengenai bulan mulia itu.

"Mengapa pula ketika Ramadan kita hendak membazir melebihi bulan-bulan lain sedangkan ketika inilah sepatutnya kita menjadi lebih baik untuk mendekatkan diri dengan Allah," katanya.

Meningkat hingga 65 peratus

KUB-Berjaya Enviro Sdn. Bhd. iaitu syarikat yang menguruskan Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Tagar mengakui bahawa sisa organik yang merangkumi sisa-sisa makanan akan meningkat sehingga 65 peratus berbanding 40 peratus setiap kali Ramadan dan musim buah-buahan.

Menurut Penolong Pengarah Urusannya, Mohd. Fatimi Said, pertambahan itu bagaimanapun tidak menjadi masalah bagi pihaknya kerana syarikat tersebut mempunyai strategi terbaik yang mampu menjana keuntungan bagi menguruskan sisa-sisa organik berkenaan.

"Kami mempunyai perancangan yang cukup jauh dalam menguruskan sisa organik. Kesemua sampah termasuk sisa organik yang tiba ke sini akan ditanam dalam beberapa lapisan dan hasil tindak balas mikrob dengan sisa organik akan menghasilkan gas metana.

"Gas itu, kami gunakan bagi menjana tenaga elektrik untuk dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Setakat ini, kami menjual 1.2 megawatt sehari kepada TNB dan insya-Allah kami akan meningkatkannya kepada 4.4 megawatt pada penghujung bulan ini. Jumlah itu mampu memberi bekalan elektrik kepada 2,000 rumah," katanya.

Fatimi menambah, pusat pelupusan berkenaan sebenarnya mempunyai kemampuan untuk menghasilkan tenaga elektrik mencecah enam hingga lapan megawatt sehari.

Bagaimanapun katanya, TNB tidak dapat membeli kesemua tenaga berkenaan kerana kurang permintaan dari kawasan sekitar yang kebanyakannya masih dikelilingi hutan.

"Gas yang berlebihan itu kami tidak lepaskan begitu saja kerana boleh mencemar alam sekitar. Kami bakar bagi menukarnya kepada karbon dioksida yang boleh diserap tumbuhan sebagai salah satu cara menyelamatkan bumi. Sebab itu, anda dapat lihat tapak pelupusan sampah di sini tidak berbau busuk dan kotor seperti tempat lain," katanya.

Kata-kata itu dibuktikan apabila Fatimi sendiri membawa S2 melawat tapak pelupusan sampah berkenaan serta kawasan di sekitarnya.

Malah di suatu kawasan yang menempatkan 1.6 juta tan sampah yang sudah dikambus, tiada langsung bau mahu pun lalat serta serangga perosak lain berada di situ.

'Lebih kami sedekah'

BULAN Ramadan dan bazar tidak boleh dipisahkan kerana pada bulan inilah akan diadakan jualan makanan dan minuman secara mega di seluruh negara, tidak kira di bandar mahupun di kampung.

Trend sebegini dilihat telah menjadi satu kemestian tiap kali tibanya Ramadan sebagai kemudahan kepada orang berpuasa mendapatkan juadah yang mereka inginkan.

Daripada makanan moden hingga ke makanan tradisi, sebutlah apa jua sekalipun boleh didapati di pasar Ramadan.

Jika terdapat lambakan makanan, sudah pasti akan berlaku sedikit pembaziran kerana ada yang tidak terjual sehingga tutup kedai.

Namun pelbagai reaksi daripada peniaga bazar mengenai lebihan makanan dan minuman yang tidak habis dijual.

Kesemuanya menafikan makanan tersebut dibuang begitu sahaja jika tidak habis dijual, kerana terdapat pelbagai alternatif lain yang boleh dilakukan.

Peniaga bazar Ramadan, Fazli Selamat berkata, setiap hari dia akan memasak kuah untuk 500 bungkus mi dalam lima buah kuali besar yang disediakan di gerainya di bazar Ramadan Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur.

Menurutnya, sepanjang menjalankan perniagaan itu, tidak sekali pun mi yang tidak habis dijual dibuang.

Selain memberi jiran-jiran, mi yang lebih akan disedekahkan ke surau berdekatan sebagai juadah moreh.

"Ini yang kami lakukan sejak mula berniaga di pasar Ramadan yang mana mi tidak habis dalam 30 hingga 50 bungkus, kami sedekah ke surau atau masjid berhampiran," katanya yang merupakan pemilik gerai D'Bang Food.

Sementara itu, peniaga nasi kukus ayam beserta ayam goreng berempah, Kamariah Yaacob memberitahu, pengalaman lebih 20 tahun berniaga makanan banyak membantunya mengelakkan pembaziran.

"Pengalaman mengajar saya tentang bagaimana untuk menganggarkan jumlah jualan. Selalunya kalau ada lebihan pun, jumlahnya amat sedikit kerana kami telah membuat anggaran berapa banyak yang biasanya terjual dalam sehari.

"Disebabkan lebihan yang sedikit itu, biasanya saya dan pekerja akan makan sendiri untuk berbuka puasa. Jika tidak pun, kami akan berikan kepada peniaga-peniaga lain di sini untuk bertukar juadah," katanya.

Bagi penjual air, Abd. Malek Zakaria, beliau menggunakan lebihan jualannya untuk membuat amalan dengan memberikannya secara percuma kepada sesiapa saja yang lalu di hadapan gerainya sebaik azan Maghrib berkumandang.

"Dengan cara itu, sekurang-kurangnya tidak berlaku pembaziran. Daripada terbuang begitu saja, sekurang-kurangnya dapat juga membuat amal," katanya yang menjual kira-kira 18 jenis air setiap hari.

Sikap tamak punca pembaziran

JIKA sebut berbuka puasa di hotel, sudah pasti terbayang deretan makanan yang enak-enak sedia menanti untuk dimakan.

Ditambah dengan selera selepas sehari berpuasa, semua yang dilihat nampak sedap membuatkan kita mengambil makanan lebih daripada yang sepatutnya.

Ini menyebabkan pembaziran apabila makanan terpaksa dibuang kerana tiada siapa yang mahu makan lebihan makanan orang lain.

Pembaziran itu bukan sahaja tidak baik dari sudut budaya tetapi bertentangan dengan semangat bulan Ramadan yang mengajak umat Islam untuk bersederhana dalam kehidupan termasuk ketika berbuka puasa.

Menurut seorang chef di sebuah hotel di Kuala Lumpur yang hanya mahu dikenali sebagai Dani, pihak pengurusan hotel sememangnya tidak mahu melakukan sebarang pembaziran kerana ia melibatkan kos.

Jika boleh pihak dapur akan menggunakan bahan yang ada semaksimum yang mungkin untuk mengurangkan kos dan hanya akan membuang bahan yang sudah rosak serta tidak boleh digunakan lagi.

Sebagai contoh, penggunaan buah tembikai untuk hiasan ukiran hanya akan menggunakan kulit buah dan isinya sedikit sahaja, kerana isinya itu akan dijadikan minuman.

"Apa yang menjadi masalah kini adalah makanan lebihan ketika hidangan bufet diadakan. Sebagai contoh, seramai 200 orang akan menghadiri bufet itu dan pihak hotel akan memastikan hidangan untuk 200 orang disediakan.

"Teknik yang diguna pakai oleh pihak hotel adalah keluarkan makanan mengikut peringkat agar tidak berlaku pembaziran makanan.

"Makanan yang masih elok disimpan semula untuk diagihkan kepada kafetaria ataupun kantin kakitangan bagi dihidangkan kepada kakitangan yang bertugas,'' katanya.

Melalui pengalamannya, Dani menambah, pembaziran sering berlaku membabitkan kanak-kanak yang suka mengambil makanan berlebihan.

Namun ada juga dalam kalangan ahli keluarga yang mengambil makanan yang banyak, kononnya untuk merasa semua tetapi akhirnya tidak dijamah disebabkan sudah kenyang.

"Cara makan makanan bufet agak sukar walaupun termanya agak mudah iaitu makan selagi kita termampu untuk makan.

"Pilih makanan ikut aturan, bermula pembuka selera, hidangan utama, sampingan sehinggalah pencuci mulut.

"Selain itu, ambil untuk diri kita sendiri, itulah cara betul untuk menikmati makanan bufet tanpa pembaziran," katanya.

Sumber:
Utusan Artikel1, Utusan Artikel2, Utusan Artikel3, Utusan Artikel4
Utusan Artikel5 dan Utusan Artikel6

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.