Pages

02 Februari 2014

1 Februari ~ Hari Hijab Sedunia



BERITA baik buat wanita bertudung di seluruh dunia. Pada 1 Februari, 2014 buat julung kalinya Hari Hijab Sedunia diraikan di peringkat global.

Tarikh 1 Februari dipilih menjadi tarikh keramat buat wanita berhijab, sekali gus mengiktiraf jutaan wanita Islam yang memilih untuk menjalani kehidupan seharian dengan memakai hijab tanpa sebarang diskriminasi.

Hijab tidak bermakna sekadar memakai tudung sebaliknya membawa maksud menutupi seluruh badan termasuk kepala, dada, lengan dan kaki tanpa memakai pakaian yang ketat.

Di sebalik hari tersebut, ada kisah menarik yang seharusnya diteladani ramai umat Islam hari ini mahupun buat mereka yang berlainan agama agar sentiasa menghormati kebebasan beragama.


Pergerakan Hari Hijab Sedunia merupakan cetusan idea seorang pemastautin dari kota New York, Amerika Syarikat bernama Nazma Khan.

Cetusan idea gadis berdarah Bangladesh itu diharapkan bakal memupuk sikap toleransi agama dan pemahaman terhadap wanita Islam yang memakai tudung sebagai suatu kewajipan untuk menutup aurat dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Lebih istimewa lagi, hari tersebut bukan sahaja diraikan oleh masyarakat Islam sahaja malah terbuka juga buat mereka yang bukan Islam untuk bersama mencuba memakai tudung selama sehari.

Sejak ditubuhkan pada 21 Januari 2013, pergerakan tersebut mendapat sejumlah 11,600 peminat dalam masa sebulan.

Biarpun wanita bukan Islam merasai hijab sebagai simbol penindasan dan pengasingan, namun bagi wanita Islam, kewajipan memakai tudung seharusnya dilaksanakan sebaik mungkin.

Dengan membuka laluan baru ke arah pemahaman yang lebih terbuka, Nazma berharap Hari Hijab Sedunia itu diterima ramai dan mampu mengatasi beberapa kontroversi mengenai wanita Islam yang memilih untuk memakai hijab.

Di awal kedatangan Nazma ke negara Uncle Sam pada usia 11 tahun, dia mendapati dirinya menjadi satu-satunya wanita berhijab di sekolah menengahnya.

Baginya, pengalaman berpindah ke negara itu yang kebanyakan wanitanya berpakaian bebas merupakan suatu pengalaman yang sangat menyukarkan.

“Membesar di Bronx yang terletak dalam bandar New York sangat sukar buat mereka yang bertudung.

“Saya mengalami dan menerima pelbagai diskriminasi kerana tampil dengan tudung ke sekolah," katanya.


Menurutnya, di sekolah menengah, beliau digelar sebagai Batman dan kadang-kala dipanggil ninja kerana berhijab.

Apabila Nazma melanjutkan pengajian ke peringkat universiti, lebih banyak panggilan diterimanya dan selepas peristiwa 9 September, beliau dipanggil dengan nama pengganas dan Osama Laden.

“Menerima panggilan dengan nama-nama seperti itu sangat menyedihkan, lebih-lebih lagi saya sedang membesar.

“Saya berasa satu-satunya cara untuk menamatkan diskriminasi ini adalah dengan menyedarkan mereka yang bukan beragama Islam mengenai kewajipan bertudung dalam kalangan wanita muslimah.

“Oleh itu, saya mengajak kesemua saudara Islam dan yang bukan Islam untuk mengenakan hijab pada hari ini," ujarnya penuh yakin.

Pergerakan Hari Hijab Sedunia bermula dengan penganjuran pelbagai diskusi menerusi rangkaian sosial seperti YouTube, Facebook dan Twitter.

Sejak ditubuhkan di laman berkenaan, ia telah menarik minat pelbagai latar belakang wanita yang beragama Islam dan bukan Islam dari lebih 67 negara berbeza di seluruh dunia.

Sumber: Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.