Pages

03 Februari 2014

Punca Nafas Berbau


Memberus gigi merupakan salah satu penjagaan mulut yang dapat mengelakan nafas berbau.

"SEBENARNYA banyak perkara yang menyumbang kepada berlakunya nafas berbau dan permasalahan ini juga boleh dikategorikan sebagai tanda diri kita berpenyakit." Itu antara kenyataan awal diberikan oleh Pakar Pembedahan Pergigian, Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur, Dr. Naseem Banu Sadruddin, sebaik sahaja diajukan persoalan adakah masalah nafas berbau merupakan simptom awal seseorang itu menghidap penyakit dalaman atau sebaliknya.

MENURUT Dr. Naseem Banu, sekiranya masalah tersebut bukan terhasil daripada penyakit dalaman yang dialami individu tersebut, ia sebenarnya adalah disebabkan oleh bakteria yang berkumpul di dalam mulut akibat daripada penjagaan oral yang tidak betul.


Begitupun, penurunan kandungan air liur di dalam mulut juga adalah antara penyebab nafas berbau. Disebabkan itu juga Dr. Naseem Banu menasihatkan, individu yang mengalami masalah nafas berbau perlu menjalani pemeriksaan terlebih dahulu sebelum boleh diklasifikasikan sama ada ia hanya disebabkan penjagaan oral yang tidak betul atau merupakan satu penyakit berpunca daripada dalam badan.

"Bagi mereka yang tidak mengalami sebarang penyakit mulut seperti tonsil, resdung, sakit tekak, selesema, demam, kencing manis, penyakit hati, penyakit buah pinggang, kanser mulut, dan sebagainya, nafas berbau ini selalunya berpunca daripada penjagaan oral (mulut) yang tidak betul.

"Bau tersebut terhasil daripada proses pereputan sisa-sisa makanan yang terselit di antara gigi dan gusi.

"Oleh yang demikian, penjagaan oral dengan betul adalah penting dalam usaha memastikan nafas sentiasa segar dan tidak berbau," ujarnya.

Menurut Dr. Naseem Banu lagi, tidak perlu bersusah payah memberus gigi atau berkumur dengan pencuci mulut setiap kali habis makan bagi memastikan sisa-sisa makanan tidak melekat pada celah gigi, sebaliknya cukup sekadar berkumur dengan air bersih dengan cara yang betul.

Bagaimanapun, sekiranya ingin juga memberus gigi juga selepas makan, disyorkan dilakukan 30 minit selepas itu.

Memberus gigi dua kali sehari sudah memadai untuk mengelakkan sebarang masalah lain timbul seperti gigi menjadi nipis.

Pada masa yang sama, Dr. Naseem Banu turut memberitahu pembersihan lidah juga adalah penting kerana kebanyakkan bakteria busuk suka berada pada penghujung lidah.

Seboleh-bolehnya bersihkan lidah dengan menggunakan berus gigi tetapi dengan cara yang lembut.

"Sekiranya tidak dapat berkumur atau memberus gigi pada masa-masa tertentu, cuba kunyah gula-gula getah kerana boleh membantu melonggarkan makanan yang terselit di antara gigi serta menutup bau busuk nafas anda.

"Tetapi awas, anda dinasihatkan agar mengunyah gula-gula getah tanpa gula kerana gula getah bergula akan memburukkan lagi bau nafas," katanya.

Tip segarkan nafas

Dalam hal ini, Dr. Naseem Banu memberikan beberapa tip untuk menyegarkan kembali nafas, antaranya seperti pengambilan yogurt (yang masam) kerana makanan ini mengandungi vitamin D yang boleh melawan bakteria yang mengakibatkan nafas berbau.

Walaupun nampak kuno, beliau turut menjelaskan daun sirih juga sebenarnya mengandungi klorofil yang menyegarkan nafas jika dimakan secara konsisten, tidak ketinggalan mengunyah beberapa helai daun kari dan juga daun pudina.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar berkumur dengan air suam yang telah dicampurkan dengan serbuk penaik (tulen yang tidak dicampur dengan bahan kimia) selama 30 saat dalam usaha menjaga masalah nafas berbau ini.

Ini kerana kandungan serbuk penaik mampu menyeimbangkan asid yang terkandung dalam badan dan seterusnya menyegarkan semula pernafasan.

Apa yang pasti, Dr. Nassem Banu berkata, punca utama yang menyebabkan masalah nafas berbau bagi mana-mana individu yang tidak mengalami sebarang penyakit ialah makanan.

"Dalam hal ini (masalah nafas berbau), makanan merupakan punca utama kepada permasalahan ini kerana makanan harian hari ini terdapat lebih karbohidrat selain makanan yang berprotein lebih kepada jenis yang bergoreng.

"Jika kita lihat masyarakat kampung yang hidup dalam suasana yang tidak tercemar dan makan makanan yang segar dan asli, mereka jarang mengalami masalah nafas berbau ini.

"Jadi selain penjagaan oral dengan betul, pilihlah makanan yang betul untuk mengelakkan nafas anda berbau," katanya menutup bicara.

Oleh mariatul qatiah zakaria
Sumber: Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.