Pages
▼
02 Mac 2014
Dobi Basuh, Kering Dan Lipat Sendiri
KIRA-KIRA sedekad lalu, Khairul Ikhsan Shah Kamal Bashah, 27, terpaksa menyental baju dan seluar sebaik tamat sesi latihan sukan di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Biarpun keletihan, dia tetap meneruskan rutin tersebut kerana tiada pilihan lain dan masih menetap di asrama pada waktu itu.
Setahun kemudian, dia menerima risalah mengenai dobi layan diri yang diletakkan dalam peti surat rumah bujangnya yang terletak di Bukit Jalil. Tawaran istimewa yang tertera pada risalah tersebut menarik minat jejaka yang berasal dari Perak itu untuk mencubanya buat kali pertama.
Kini, walaupun sudah lama menamatkan pengajian dan telah bekerja di sektor swasta, dia masih membasuh dan mengeringkan pakaian di kedai dobi layan diri.
“Saya lebih yakin dengan kebersihan pakaian berbanding jika dihantar ke kedai dobi biasa. Jika di dobi biasa, ada antara pengusaha dobi yang suka mencampurkan pakaian pelanggan lain dalam satu cucian bagi mengaut keuntungan lebih.
“Kebanyakan dobi layan diri ada menjual sabun dan pelembut pakaian bagi memudahkan pelanggan yang mungkin terlupa untuk membawa ‘barang wajib’ itu bersama,” katanya ketika ditemui di Kedai Dobi 96 di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur.
Khairul Ikhsan Shah akan mencuci pakaian di kedai dobi pada setiap hujung minggu. Luahnya, terdapat kekurangan yang masih boleh dibaiki oleh pemilik-pemilik dobi iaitu keperluan menyediakan ruang menunggu yang selesa dan secukupnya kepada pelanggan.
PELANGGAN wanita ini memasukkan cecair pencuci ke bekas yang disediakan.
Mutakhir ini, dobi berkonsep layan diri sudah semakin banyak dibuka. Ia tidak terhad kepada bandar-bandar besar sahaja malah terdapat permintaan terhadap perkhidmatan tersebut di kawasan luar bandar.
Sejarah
Seawal tahun 1949, dobi layan diri atau dobi syiling sudah mula diperkenalkan di England. Ia adalah satu kemudahan pelanggan mencuci dan mengeringkan pakaian mereka sendiri. Di England, perkhidmatan tersebut dikenali sebagai launderettes manakala di Amerika Syarikat, Kanada dan Australia pula digelar laundromats.
Di Malaysia, kebanyakan premis dobi layan diri beroperasi selama 24 jam sehari dan menawarkan harga yang berpatutan. Sekali cucian bermula pada harga RM4 dan RM4 lagi dikenakan untuk proses pengeringan.
Operasi dobi yang menggunakan syiling terdiri daripada tiga perkara asas iaitu penjagaan, penyelenggaraan dan pengurusan kutipan bayaran.
Dalam pada itu, seorang guru di Terengganu, Munirah Mohamad, 24, mengakui pernah menggunakan dobi layan diri ketika masih bergelar pelajar di Maktab Perguruan Teknik, Kuala Lumpur. Baginya, dobi layan diri lebih menjimatkan masa dan wang.
“Saya hanya memperuntukkan masa lebih kurang 45 minit bagi mencuci dan mengeringkan pakaian. Tambah menarik, dobi yang dikunjungi beroperasi selama 24 jam memudahkan pengguna untuk datang mencuci pakaian pada bila-bila masa.
“Harga pula jauh lebih murah. Jika dobi biasa mengenakan RM2.50 hingga RM3.50 untuk setiap kilogram pakaian, dobi layan diri hanya menelan belanja RM11 untuk kos cucian dan pengeringan. Bagi pengguna yang menggunakannya buat kali pertama, arahan penggunaan mesin ditampal dengan jelas dan memudahkan pengguna,” ujarnya.
KHAIRUL IKHSAN SHAH melipat kain di ruang yang disediakan di Kedai Dobi 96 selepas pakaian siap dikeringkan.
Memandangkan mesin basuh di dobi tersebut memerlukan duit syiling untuk beroperasi, Munirah berharap pemilik dobi di negara ini dapat menyediakan mesin pertukaran wang syiling kepada pengguna pada masa akan datang.
Antara dobi layan diri yang popular dalam kalangan pengguna ialah Clean Pro Express, Dobi Papa, My Laundry, Wash & Save dan Dobi JJ.
Pakaian hilang
Menurut seorang pekerja swasta, Mohd. Aiyuha Sulaiman, 25, pakaiannya kerap hilang dan kadangkala cucian tidak begitu bersih selepas menghantarnya ke dobi biasa.
“Saya masih menghantar pakaian ke dobi biasa kerana hanya perlu hantar dan mengambil semula pada keesokan harinya.
“Bagi saya, perkhidmatan sebegini lebih memudahkan kerana tidak perlu fikir untuk basuh, bilas, jemur dan lipat. Segala-galanya pekerja dobi yang lakukan,” ujar bekas atlet lompat galah kebangsaan tersebut.
Biarpun dobi biasa menawarkan perkhidmatan yang lebih mahal iaitu antara RM8 hingga RM12 bagi sekali cucian kerana bergantung pada berat pakaian, Mohd. Aiyuha ada sebabnya tersendiri.
Jalan penyelesaian
Masalah baju berbau menjadi faktor utama bagi pemuda yang berasal dari Negeri Sembilan itu untuk memilih dobi sebagai jalan penyelesaian. Tambahnya, menetap di pangsapuri menyukarkannya untuk menjemur pakaian disebabkan ruang yang terhad.
Trend perkhidmatan dobi di Malaysia semakin berkembang dan memberi pilihan kepada pengguna untuk menguruskan kerja rumah dan kewangan dengan lebih bijak.
TERDAPAT beberapa dobi layan diri yang menyediakan kemudahan mesin tukaran duit syiling.
Sementara itu, seorang suri rumah, Hanum Mokhtar, 35, berkata, bil elektrik dan air di rumahnya dapat dijimatkan daripada RM600 kepada RM300 sebulan selepas menghantar pakaian ke dobi layan diri pada setiap minggu.
“Sudah banyak kedai dobi layan diri yang saya kunjungi dan saya paling suka mencuci pakaian di Kedai Dobi 96 kerana harganya lebih murah. Sekali cucian baru RM4 berbanding tempat lain yang mengenakan harga berdasarkan berat muatan.
“Walaupun saya tinggal di Taman Shamelin, Cheras, Kuala Lumpur yang terletak kira-kira enam kilometer dari dobi ini, saya lebih selesa ke sini pada setiap minggu kerana ia dilengkapi dengan mesin tukaran syiling, sabun, peluntur dan air minuman,” katanya.
Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI
Sumber: Kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.