Pages

03 Mac 2014

Penyakit Musim Panas


Keletihan akibat kepanasan menyebabkan tubuh mula menjadi kering, pening dan mengalami kekejangan otot. - Gambar hiasan

TIDAK kira sama ada musim sejuk atau panas, kedua-dua keadaan cuaca tersebut boleh memberi implikasi kepada tubuh badan sekiranya individu tidak memberi perhatian pada penjagaan yang sewajarnya.

Sebagai contoh, cuaca panas atau kemarau yang melanda negara ketika ini menyebabkan ramai mengadu tidak selesa, selain peningkatan bagi kes demam, penyakit ruam mahupun penyakit-penyakit lain seperti batuk dan selesema yang memakan masa berhari-hari.

Perkara ini diakui perunding kesihatan dari Hospital Pakar Ampang Puteri Kuala Lumpur, Dr. Mat Rifin Jusoh. Dr. Mat Rifin berkata, kebanyakan penyakit yang sering terjadi pada musim panas adalah seperti ruam panas.


Ruam Panas

Menurutnya, ruam panas sering terjadi bukan saja di kalangan bayi malah orang dewasa dan warga emas juga. Keadaan tersebut berlaku apabila cuaca panas dan individu tidak menggunakan pakaian yang sesuai seperti fabrik yang menyerap peluh, warna fabrik yang lembut dan tidak meminum air yang cukup.

"Apabila panas terperangkap dalam badan, kilang peluh menjadi tersumbat dan tersekat. Apabila itu terjadi, pada permukaan kulit akan dilihat sedikit membengkak dan akan menimbulkan rasa tidak selesa.

"Dalam sesetengah kes, apabila berlaku jangkitan maka boleh berlaku demam. Pemakaian adalah elemen penting dalam memastikan tubuh tidak terkena ruam panas pada musim panas ini," jelas Dr. Mat Rifin.

Heat Edema

Selain ruam panas, individu yang terdedah pada cuaca panas melampau juga berisiko terkena penyakit yang dinamakan heat edema. Golongan ini menurutnya, adalah mereka yang bekerja dan berdiri dalam cuaca panas untuk satu tempoh yang agak lama.

"Dalam kes heat edema ini adakalanya boleh menjurus kepada simptom yang lebih serius lagi seperti keletihan akibat kepanasan (heat exhaustion).

"Apabila ini berlaku, tubuh mula menjadi kering atau dehidrasi dan gejala lain seperti haus, pening dan kekejangan otot. Otot yang berisiko menjadi kejang seperti abdomen, kaki dan tangan.

"Untuk mengelakkan heat exhaustion ini, individu tersebut perlu memberi keutamaan kepada pemakaian yang betul terutama dari segi pemilihan warna. Elakkan pakai pakaian berwarna hitam kerana ia memang kuat menyerap haba," pesannya lagi.

Strok panas

Dr. Mat Rifin berkata, keadaan paling kronik melibatkan cuaca panas ini ialah heat stroke atau strok panas. Walaupun setakat ini kes seperti itu jarang berlaku di Malaysia, risikonya tetap ada.

"Heat stroke ini kita pernah dengar berlaku di kalangan jemaah haji dan ada kalanya turut melibatkan kematian.

"Punca utama ialah apabila tubuh hilang banyak air dan invividu tersebut tidak minum air yang cukup. Memang adakalanya mereka tidak berasa haus, tetapi sebenarnya apa yang mereka tidak sedari ialah dalam tubuh memang sudah kekurangan air.

"Jika heat stroke ini berlaku risikonya individu boleh hilang ingatan sementara. Sebab itu kadangkala kita ada jumpa warga emas yang sekali sekala bercakap yang sukar difahami kerana salah satu faktornya mereka ini sangat kurang minum air.

"Kerosakan otak boleh berlaku sekiranya air yang diminum tidak mencukupi," kata Dr. Mat Rifin yang menyarankan pada musim ini individu sepatutnya minum air sebanyak dua hingga tiga liter sehari atau lebih.

Beliau mengakui pada sesetengah pekerjaan agak sukar untuk mengelak berada di cuaca panas terutama mereka yang bekerja di tapak pembinaan.

Salah satu cara yang boleh dibuat ialah dengan penjadualan semula, tetapi jika keadaan tersebut juga sukar dilakukan maka disarankan mereka mandi dengan kerap.

Selain itu, perhatian juga perlu diberi pada kanak-kanak dan warga emas supaya tidak dibiarkan lama dalam bilik sempit tanpa pengudaraan atau dalam kenderaan tertutup.

Dalam dua situasi ini haba tidak boleh keluar dan bila terlalu panas, kanak-kanak atau warga emas tadi boleh terkena simptom heat exhaustion atau keletihan panas dan mula menjadi keliru. Mereka sukar menjerit, seakan khayal dan fungsi untuk meminta pertolongan menjadi lemah.

"Disarankan juga kepada mereka yang mampu untuk memasang pendingin hawa di kediaman masing-masing bagi mengurangkan kepanasan.

"Jika perlu keluar, pastikan memakai topi atau payung untuk kurangkan pendedahan panas tersebut pada kulit.

"Pada musim panas ini juga penyakit selesema juga bertambah dan untuk mengelak penyebarannya pastikan memakai topeng mulut," nasihatnya.

Panas dan denggi

Dr. Mat Rifin juga berkata, terdapat kajian yang telah dijalankan oleh University John Hopkins mendapati bahawa pemanasan global memang ada kaitan dengan penyebaran penyakit termasuk denggi.

"Penyebaran penyakit pembawaan vektor nyamuk ini termasuk denggi dan malaria. Dalam kajian tersebut juga mendapati cuaca panas menjadikan nyamuk lebih aktif dan lebih banyak serta cepat membiak.

"Jika pada musim selain panas, nyamuk aedes menghisap darah selang sehari tetapi kajian menunjukkan pada musim panas, nyamuk aedes menghisap darah setiap hari dengan itu risiko penyebaran penyakit denggi lebih tinggi.

Lazimnya beliau berkata, sekitar lima hari selepas gigitan nyamuk, mangsa akan mula mendapat demam panas dengan perkembangan segala bentuk jangkitan denggi.

Ini termasuk sakit tekak, simptom seakan-akan selesema, ruam, sakit belakang dan perubahan darah adalah petanda klasik demam denggi," katanya.

Demam denggi berdarah terdiri daripada tiga fasa berbeza. Pada fasa pertama atau fasa febril (hari pertama hingga hari ketujuh), mangsa turut mengalami kehilangan selera makan, loya selain demam dan sakit seluruh badan.

"Jika demam, disertai sakit sendi-sendi, rasa lemah dan muntah-muntah segeralah ke hospital. Demam denggi tidak semestinya timbul bintik-bintik merah, kes sebegini hanya 30 peratus sahaja.

"Oleh itu, penting untuk mangsa denggi hadir untuk diagnosis awal agar rawatan bersesuaian boleh diberikan segera. Biasanya pergantungan kepada cecair intravena hanya untuk memperbetulkan dehidrasi tubuh selain kebanyakan simptom lain," tambahnya sambil menjelaskan bahawa penambahan produk darah mungkin diperlukan dalam kes-kes serius.

Di hospital ini terdapat pengesan denggi seperti NS1 antigen yang boleh mengesan denggi pada tahap apa dengan lebih tepat berbanding kiraan ujian darah.

Sumber: NOOR FAZRINA KAMAL
Sumber: Utusan

strok

Waspada 'strok haba' berikutan cuaca panas

Rakyat Malaysia diminta berwaspada terhadap tanda-tanda awal 'heat stroke' atau 'strok haba' berikutan cuaca panas dan kering ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, definisi strok haba adalah paras suhu badan meningkat melebihi 40.5 darjah celcius. Suhu normal badan manusia kira-kira 37.0 darjah celsius.

"Antara tanda awal terkena strok haba ialah sakit kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas dan denyutan nadi yang pantas. "Tanda-tanda lain ialah otot lemah dan kejang, muntah, kulit kering dan kemerahan, sawan serta pitam," katanya.

Dr Noor Hisham berkata suhu tinggi juga mengundang komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma dan boleh membawa kematian.

Dr Noor Hisham berkata pendedahan berpanjangan kepada cuaca dan suhu panas disamping kurang minum air dan dehidrasi badan antara punca boleh menyebabkan strok haba.

Oleh itu beliau menyarankan beberapa langkah segera untuk diambil sekiranya ada individu terkena strok haba iaitu menempatkan pesakit di tempat teduh dan berhawa dingin.

"Haba tinggi boleh dikurangkan jika individu itu ditempatkan di bawah kipas dan mengelap anggota badan menggunakan tuala basah.

"Pesakit juga mungkin boleh berendam di dalam kolam air untuk menurunkan tekanan haba dan menyejukkan badan," katanya.

Dr Noor Hisham turut meminta orang ramai mengelakkan aktiviti riadah yang terdedah kepada cuaca panas serta minum air dalam kuantiti banyak atau sekurang-kurangnya 2.5 liter sehari.

Sumber: BERNAMA, BHarian

Peningkatan masalah kesihatan

Menurut Pakar Perubatan Respiratori Hospital Pakar DEMC, Shah Alam, Dr. Zal Abdul Rahim, perubahan cuaca mendadak boleh mengakibatkan peningkatan masalah kesihatan khususnya sistem pernafasan.

Cuaca panas berpanjangan juga boleh menyebabkan selaran matahari, ruam panas, kejang otot, mual, muntah, strok haba, dehidrasi, pitam, halusinasi dan maut.

"Perubahan cuaca yang sejuk beberapa minggu lalu menjadi panas terik pula sekarang boleh menyebabkan peningkatan kes demam, batuk, lelah dan lain-lain penyakit berkaitan perubahan iklim," katanya.

Mengulas tentang strok haba, Dr. Zal memberitahu, strok haba bermakna paras suhu badan meningkat melebihi 40.5 darjah Celsius dan suhu normal badan manusia kira-kira 37.0 darjah Celsius.

"Simptom awal strok haba ialah sakit kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas dan denyutan nadi yang pantas. Pesakit juga akan mengalami otot lemah dan kejang, muntah, kulit kering dan kemerahan, sawan serta pitam," ujarnya.

Selain itu, cuaca panas melampau juga boleh memberi masalah kepada kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma dan boleh membawa kematian.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini menyatakan keadaan cuaca panas dan kering melanda negara ketika ini agak tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas dan dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac ini.

Sementara itu, pendedahan berpanjangan kepada cuaca dan suhu panas di samping kurang minum air dan dehidrasi badan juga boleh menyebabkan strok haba.

Pencegahan

"Mencegah lebih baik daripada mengubati terutamanya untuk mereka yang diklasifikasikan dalam kumpulan yang berisiko tinggi. Kumpulan ini dinasihatkan untuk mengambil langkah berhati-hati dan melakukan langkah-langkah pencegahan. Apa yang penting ialah menjaga suhu badan normal, memastikan kekal hidrat serta mendapatkan maklumat yang tepat," katanya.

Apabila berdepan dengan musim panas yang melampau seperti sekarang, golongan yang berisiko digalakkan berada di dalam rumah atau bangunan, lebih baik dengan kemudahan alat pendingin hawa.

Hadkan aktiviti luar semasa awal pagi dan lewat petang sahaja kerana ia kurang merbahaya dan kurang panas serta berehat dengan kerap sekiranya terdedah kepada pancaran matahari.

Lakukan langkah pencegahan seperti memakai topi atau payung yang besar dan pakai pakaian yang ringan, berwarna-terang serta longgar.

Jangan lupa memakai krim pelindung matahari yang mempunyai SPF 15 atau lebih 30 minit sebelum terdedah kepada sinaran matahari untuk mengelakkan sinaran UVA dan UVB dan gunakan secara berterusan.

Sentiasa mengamalkan konsep pusingan kerja dan rehat seperti yang dicadangkan terutama mereka yang bekerja di bawah terik matahari.

Kita sebenarnya boleh menyesuaikan badan dengan suhu yang panas daripada biasa dengan cara mengehadkan aktiviti luar secara berperingkat sehingga badan dapat mengadaptasi dengan cuaca panas tersebut.

Elakkan makanan yang pedas dan kuantiti yang banyak, kerana ini akan menyebabkan suhu badan naik, berpeluh dan kehilangan cecair badan.

Dalam pada itu, Dr. Zal berkata, musim panas ini memerlukan kita minum air yang banyak bagi mengembalikan kelembapan badan kerana kita kehilangan cecair badan melalui peluh dan mudah menjadi kering.

"Jika melakukan aktiviti fizikal di bawah panas terik, minum air dua hingga empat cawan setiap jam tanpa mengira tahap aktiviti anda.

"Jangan minum minuman berkafein, alkohol atau kandungan gula yang tinggi, kerana boleh mempengaruhi fisiologi badan dan menyebab kita kehilangan cecair badan," katanya.

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
Sumber: Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang Komen Adalah Dialu-alukan...
Komen-Komen Negatif Hendaklah Dielakkan...
Komen-Komen Positif dan Membina Amat Diharapkan...
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen...

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.