Nuff Atas

17 Februari 2012

Gabungan Sains dan Iman Membentuk Insan Bertakwa


Pengetahuan Tentang Sains Mengukuhkan Keimanan dan Ketakwaan Bagi Mereka Yang Mahu Berfikir.

ISLAM adalah satu-satunya agama yang sangat menumpukan kepada ilmu pengetahuan. Ini boleh dibuktikan melalui penurunan wahyu Allah SWT yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW iaitu Surah Al-Alaq yang mencerminkan bahawa Islam ingin mewarnakan gaya hidup umatnya dengan budaya keilmuan. Pemerolehan dan pembelajaran terhadap ilmu itu termasuklah dalam lapangan sains dan teknologi.

Dalam al-Quran tidak terdapat istilah sains yang dinyatakan oleh Allah secara jelas, akan tetapi secara epistimologinya bidang sains dan teknologi jelas terangkum apabila kita merujuk secara mendalam dalam banyak ayat Allah yang memperkatakan mengenai ilmu pengetahuan.

Maher Zain - Open Your Eye


Perhatikan firman Allah yang jelas mengajak umat manusia mengkaji dan meneroka alam ciptaan-Nya menerusi ilmu sains menerusi Surah Fussilat, ayat ke-53 bermaksud:

“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran itu benar.”


Ayat Allah itu terkandung pentingnya ilmu sains seperti biologi, fizik, kimia, astronomi, oseanologi, botani malah banyak lagi cabang sains. Ini kerana untuk memperhatikan apa saja tanda kekuasaan Allah di alam jagat ini, pendekatan pengkajian sains diperlukan untuk memantapkan penghayatan serta pemahaman.

Melalui ilmu sains yang mantap, maka akan hadir keinsafan kita bahawa segala yang diciptakan Allah ini sangat bermakna dan berharga, sekali gus akan memperkukuhkan keimanan dan takwa.

Kita perlu sedar dan insaf bahawa nabi dan rasul Allah diutuskan selain daripada menyampaikan ajaran tauhid, mereka juga diamanahkan untuk menjadi perintis dalam ilmu sains. Misalnya mereka memberitahu umat manusia berkenaan asal usul kejadian manusia, fungsinya serta kesudahannya. Hal ini sebenarnya jelas terangkum dalam ilmu sains.


GENERASI muda wajar digalak meminati sains.

Malah ilmu sains sudah bermula sejak zaman Nabi Adam lagi. Ertinya ilmu sains setua sejarah manusia di muka bumi ini. Hanya dunia Barat saja yang memesongkan fakta yang kononnya merekalah yang menjadi peneroka awal ilmu sains.

Kita ambil contoh di sini supaya kita sama-sama jelas akan hal itu. Allah mengajar Nabi Adam mengenai ilmu sains boleh kita tafsir menerusi ayat ini, “Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam akan segala nama-nama benda dan gunanya….” -(Surah al-Baqarah ayat 31).

Maher Zain - Open Your Eye


Bukankah ayat itu tergolong dalam pendekatan pengajaran ilmu sains. Menurut Ibnu Abbas, kata ‘benda-benda’ dalam ayat itu bermaksud sesuatu yang terdapat di dunia seperti manusia (anatomi), gunung, laut, tanah, haiwan dan sebagainya (Ilmu biologi dan oseanologi).

Sambil itu seorang pengkaji lagi, Ibnu Al-Athir pula mengatakan bahawa Nabi Adam juga diajarkan oleh Allah melalui malaikat Jibril mengenai kaedah membuat besi dan menanam pokok. Jadi, di sini cukup bukti bahawa Allah begitu mementingkan umat-Nya memperoleh ilmu sains dalam usaha menjana kehidupan yang bermakna dan sejahtera.

Sekarang kita tinjau pula perkembangan ilmu sains dan teknologi pada era Nabi Nuh. Nabi Nuh adalah nabi keempat diutuskan Allah selepas Nabi Adam, Syis dan Idris serta lahir selepas 126 tahun kewafatan Nabi Adam. Baginda adalah pakar dalam bidang ilmu sains dan teknologi pembuatan.

Ini dapat dilihat dengan jelas melalui perintah Allah kepadanya agar membina bahtera atau kapal sebagai persiapan menghadapi taufan dan banjir besar. Hal itu dijelaskan Allah, “Nuh berdoa; “Wahai Tuhanku, bantulah aku kerana mereka mendustakan seruanku. Lalu Allah mewahyukan kepadanya: Buatlah bahtera dengan pemerhatian dan petunjuk Allah.” -(Surah al-Mukminun ayat 26-27).

Menurut sejarawan Islam, kapal Nabi Nuh diperbuat daripada kayu dan logam besi. Kayu-kayu diperoleh daripada pokok yang ditanamnya sendiri. Maka, dapatlah kita rumuskan di sini bahawa Nabi Nuh adalah seorang pakar dalam ilmu fizik dan matematik tinggi, juga sangat mahir dalam kemahiran pelayaran atau boleh dianggap sebagai seorang nakhoda yang hebat.

Bidang teknologi pembuatan kapal dikuasai Nuh yang memiliki kepakaran memilih bahan seperti kayu dan logam untuk dibuat bahtera.

Ini menjadi bukti bahawa dunia Islam seharusnya dicorakkan secara aktif dan berdaya dinamik dalam aspek ilmu sains dan teknologi. Kita sebagai mukmin tidak boleh ketinggalan dari arus dunia yang nampaknya lebih condong kepada penguasaan bidang berkenaan.

Namun begitu, perlu diingatkan, galakan dari Allah agar kita meneroka bidang sains dan teknologi itu tidak menjadikan kita lupa daratan dan hilang pedoman sehingga mengakui kehebatan diri sendiri.

Seharusnya semakin mendalam memperoleh ilmu itu, semakin menebal keimanan dan takwa terhadap Allah.

Dengan kesepaduan antara ilmu dan keimanan, akan terbina watak insan mengenali dan mengetahui mengenai Tuhan penciptanya, Allah lalu mencerna karakter iman dan takwa yang tinggi.

Oleh yang demikian, kita tidak seharusnya memandang isu menguasai ilmu sains dan teknologi sebagai hal yang remeh-temeh, sebaliknya hendaklah seluruh mukmin menjadikan bidang itu sebagai pemangkin kepada keunggulan ummah.

Oleh Rizal Abd Rahman
Sumber: BHarian

9 comments:

iffa berkata...

rindu la kat aquarium room members. best tak student tak de. kelas tutup ke? - zaleha

محمد أمين بن أريس berkata...

memang benar Islam itu syumul.... :)

Aida Omar berkata...

tanpa sedar islam meliputi seluruh kehidupan kita.. Sungguh besar ciptaan Allah ini hingga tidak terpikir dek akal. SubhanAllah..

MawardiYunus berkata...

x habis ilmu ALLAH ni kalau kita nak teroka :)

Cikgu Ma berkata...

tidaklah Allah menciptakan segala isi alam dengan sia-sia...

khairul berkata...

x tercapai akal kitadgn kebesaran dan kebesaran Allah

sabry oppa berkata...

segala ape yg Allah kurnie n cipta sememangnya tiada penghujungnya...
kite sebagai hamba harus berase rendah diri dengan keesaannya...sesungguhnya Allah amat syg kepade org yg beriman n bertaqwa pada Nya... SubhanAllah!!! Allahukbar !!!!!
nice entry ")

Ahmad Sabree berkata...

http://sabryoppa.blogspot.com/2012/02/berfikir-sejenak-solat.html

jom singgah blog sabree...

caliph shuriken berkata...

cantik susunan planet2 tu ^^