01 Januari 2012

Keagungan Zikrullah Oleh Ustaz Dzulkarnain

Sambutan Tahun Baru 2012 Masihi Dengan Majlis Ilmu.

Media TV menayangkan siaran terus menerus dari beberapa tempat yang mengadakan sambutan tahun baru dengan berbagai jenis hiburan menjelang detik 12.00 malam tahun 2012. Nyalaan bunga api kemudiannya menerangi langit dengan pelbagai corak dan warna sebaik jam berbunyi menandakan detik 12.00 malam di tahun baru.

Bagaimanapun di beberapa tempat yang tidak mendapat liputan media, suatu sambutan tahun baru yang berlainan diadakan sebagai alternatif kepada insan-insan yang inginkan kepada pengisian rohani serta suatu cara sambutan yang diredhai Allah.



Bersempena sambutan tahun baru 2012 Masihi, Masjid Temerloh Jaya telah menganjurkan satu alternatif sambutan dengan majlis ilmu (meliputi Kuliah Maghrib dan Kuliah Subuh) dan Qiamullail. Bagi tujuan tersebut Ustaz Dzulkarnain Hamzah telah dijemput sebagai tetamu khas yang mengendalikan majlis ilmu tersebut dan mengimami solat-solat malam yang berkaitan.


Program tersebut mendapat sambutan yang baik daripada penduduk setempat di mana dianggarkan 500 orang mendengar ceramahnya, dan 300 menyertai ibadah Qiamullail yang diimaminya.

Ustaz Dzulkarnain memulakan majlis ilmu dengan alunan Zikrullah dan menutupnya juga dengan alunan Zikrullah. Zikrullah juga dialunkan sebelum memulakan solat sunat malam. Alunan suaranya cukup membuatkan hati tersentuh mendengarnya.

Umum mengenali Ustaz Dzulkarnain Hamzah sebagai pengacara program Imam Muda yang disiarkan oleh Astro Oasis. Melalui Astro Oasis beliau juga mengendalikan program Kalam Suci. Alunan Zikrullahnya disiarkan oleh Astro Oasis setiap kali sebelum masuknya waktu solat fardhu dalam rancangan Indahnya Iman.

Ustaz Dzulkarnain Hamzah - Keagungan Zikrullah 1



Ustaz Dzulkarnain Hamzah - Keagungan Zikrullah 2



Ustaz Dzulkarnain Hamzah - Keagungan Zikrullah 3



Biodata Ustaz Dzulkarnain.

Anak murid kepada Mantan Masjid Imam Negara, Datuk Hassan Mahmud Al Hafiz. Pernah diberikan ruang memasuki dalam Kaabah oleh Kerajaan Arab Saudi ketika berusia 19 tahun.

"Alhamdullilah, saya bergelar juara ketika mewakili Malaysia dalam Pertandingan Taranum dan Tahfiz Peringkat Antarabangsa di Arab Saudi pada 1985. Saya diberi peluang memasuki dalam Kaabah dan doa saya, berkatkan ilmu al-Quran dan berilah kebahagiaan kepada saya dunia dan akhirat ketika mengerjakan solat sunat dalam Kaabah.

"Pengalaman saya diberi masuk dalam Kaabah adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat saya lupakan. Saya sedar saya antara insan yang terpilih. Alhamdullilah, Tuhan tidak tunjuk kepada saya perkara buruk, hanya bauan setanggi yang dapat saya rasa. Ketika keluar dari Kaabah, ramai orang Arab yang datang memeluk, mencium malah ada yang menggunting baju saya.

"Dan berkat doa itu juga, saya mengelola jemaah haji dan umrah ke Makkah setiap tahun. Kini, ilmu yang dimiliki dikongsi pula dengan penonton dalam program berbentuk keagamaan seperti Kalam Suci dan Imam Muda. Saya yakin inilah berkat doa saya ketika dalam Kaabah, lambat atau cepat, Tuhan tetap akan kabulkan," katanya.

Nyata anak kelahiran Kampung Jasin, Melaka itu bukan calang-calang orang, banyak pengalaman dilaluinya seperti menjadi imam muda Istana Negara, berkhidmat selama 13 tahun sebagai guru agama di Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) dan kini aktif sebagai pengacara, penceramah dan mengelola jemaah haji serta umrah.

Pembabitan Ustaz Dzulkarnain secara aktif dalam ilmu al-Quran bermula seawal di sekolah rendah kerana minat serta kemampuan membaca al-Quran dengan baik. Beliau pernah menjadi johan dalam Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Sekolah Negeri Melaka.

Beliau turut terpilih mewakili Melaka dalam Pertandingan Tahfiz al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 1984 dan 1985. Walaupun mendapat pendidikan di sekolah menengah aliran Inggeris, cinta terhadap ilmu membaca al-Quran tidak pernah luntur dan kerana itu, Ustaz Dzulkarnain mengambil keputusan berhenti belajar di tingkatan empat dan memasuki sekolah pondok.

Beliau menyambung pelajaran di Maahad Muhamadi, Kota Bharu dan kemudian mendalami ilmu al-Quran di Darul Quran, Masjid Negara sebelum melanjutkan pengajian peringkat ijazah di Jamiah Islamiah Madinah.

Sumber: BHarian

1 comments:

sarina izryn berkata...

memanfaatkan peluang yang ada dengan pengisian yang penuh dengan peringatan tntang akhirat...amin...