08 Ogos 2010

Tentang Blog Aku …

ASSALAMUALAIKUM ....



Aku cuba untuk mengendalikan blog aku sendiri sejak Januari 2010. Bagaimanapun disebabkan aku ni buta ICT, dan sangat perlahan (lembab) untuk menerima dan menghadam ilmu-ilmu baru, maka aku sekadar dapat membuka akaun blogspot tanpa sebarang entri dihasilkan.

Sehinggalah pada bulan Julai 2010 adik aku memberikan tunjuk ajar dengan bersungguh-sungguh bagaimana untuk menulis entri di dalam blog. Hasilnya inilah antara entri terawal yang aku hasilkan dan aku terbitkan (publish). Sebahagian entri terawal telah aku 'delete' memandangkan ia hanya mengandungi pengisian yang merapu tanpa mengandungi sebarang maklumat yang berguna dan bermanfaat.


Antara entri yang aku 'delete' adalah entri ringkas berikut ini yang hanya aku tulis...

"YES!! AKHIRNYA AKU MEMPUNYAI BLOG AKU SENDIRI."

dan ....

"MAAF. BLOG INI SEDANG DALAM PEMBINAAN.
TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG. SILA DATANG LAGI KEMUDIAN."

Disamping pelbagai jenis gambar haiwan dan karekter kartun di saat aku belajar copy-paste gambar.

Satu hal lagi yang menyebabkan kelambatan aku membangunkan blog aku sendiri ialah kerana aku terlalu memikirkan apa jenis entri yang aku ingin persembahkan. Cubaan untuk menulis sendiri entri nyata menunjukkan kegagalan. Kebanyakan entri-entri tersadai begitu tanpa kesudahan. Nampak sangat aku ni tak ada tokoh untuk menulis.

Sebagai jalan penyelesaiannya aku memutuskan untuk merojakkan blog aku dengan pelbagai jenis kategori entri. Kebanyakan daripadanya adalah entri jenis 'copy-paste'.

Oleh kerana entri aku sebahagian besarnya adalah entri 'copy-paste' maka aku memutuskan untuk meletakkan gambar sepasang bayi kembar berpakaian 'copy-paste' sebagai mewakili identiti diri aku.




MUKADIMAH.

"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah! Dan Tuhanmu Yang Paling Pemurah. Yang telah mengajar (manusia) dengan kalam. Dia yang mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya”. (Al-‘Alaq: 1-5)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Sesiapa yang berkehendakkan dunia maka hendaklah ia berilmu, sesiapa yang berkehendakkan akhirat maka hendaklah ia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya maka hendaklah ia berilmu.” Riwayat At-Tirmidzi.

Jika anda mencari blog yang unik, tersendiri dan panas, maka sudah pasti blog ini bukanlah pilihan anda. Segala artikel yang terkandung di dalam blog ini bukan hasil tulisan aku sendiri. Ianya diambil (copy-paste-edit) dari pelbagai sumber.

Segala artikel 'copy-paste' yang aku letakkan adalah artikel yang kuanggap berguna sebagai memberi pengetahuan dan menjadi rujukan untuk diri aku sendiri. Aku harapkan artikel tersebut dapat membantu para pembaca yang lain mendapatkan maklumat dan sumber rujukan. Artikel 'copy-paste' tersebut aku nyatakan sumber asalnya dan sesetengahnya aku nyatakan juga nama penulisnya di akhir penutup artikel.

Aku sedia menerima teguran jika secara tanpa sedar aku meletakkan artikel yang menyentuh sensitiviti sesetengah pihak. Aku sedia mengubahsuainya atau menghapuskan sesuatu artikel berdasarkan keperluan dan teguran-teguran yang membina.

Setakat ini, tujuan blog ini diwujudkan hanya semata-mata berkongsi maklumat. Disebabkan ilmu yang terlalu sedikit di dalam dadaku, keupayaan aku yang terhad dan masa yang terbatas, tidak banyak artikel yang dapat aku hasilkan.

Artikel yang aku olah sendiri dan berkaitan dengan pengalaman hidup aku, aku kategorikan sebagai 'Masam Manis Payau'. Ia menggambarkan pelbagai perisa pengalaman dan perasaan yang menjadikan kehidupan aku ini enak untuk dilalui.

Semoga Kita Semua Mendapat Manfaat Daripada Perkara-Perkara Baik Yang Aku Persembahkan Di Sini. InsyaAllah.

Segala kelemahan dalam catatan dan blog ini adalah kelemahan diri aku sendiri, manakala segala kebaikan dan kekuatannya adalah daripada Allah S.W.T.

Terima Kasih Rakan Blogger

Aku mengucapkan terima kasih kepada rakan blogger yang terus berkunjung ke blog ini untuk menyatakan sokongan.

InsyaAllah di setiap kelapangan, jejak-jejak anda pasti akan aku balas.
Tanpa anda, siapalah diriku dan tanpa pengunjung apalah ertinya berblog.

Selamat Membaca ...

0 comments: