05 Januari 2012

Gangguan Seksual



APAKAH takrif gangguan seksual? Apakah ia merangkumi aspek fizikal semata-mata? Andai itulah yang disangka, hakikatnya takrifan itu sudah tersasar. Ini disebabkan aspek lisan, komen, jelingan, menjilat bibir, memakan dengan cara menggoda, termasuk makan pisang yang membawa unsur seksual saja sudah cukup menepati definisi gangguan seksual.

Tingkah laku mengurat dan sudah cukup menepati definisi gangguan seksual. Tidak ketinggalan, gangguan visual pula seperti merakam gambar atau video, menjadi aliran kepada pasangan bercinta dengan mengambil gambar pasangan dalam keadaan tidak sepatutnya turut menjadi gangguan apabila imej itu dijadikan ‘senjata’ mengugut atau disebarkan kepada pihak ketiga.

Kenali ciri-ciri gangguan seksual dan cabaran pihak berkuasa mendakwa pelaku gangguan ini...


Padah cakap lucah, raba

MENANGANI masalah gangguan seksual dan mensabitkan pelaku ke muka pengadilan sehingga dijatuhi hukuman setimpal menjadi cabaran terbesar dihadapi pihak berkuasa berikutan pelbagai kekangan sepanjang siasatan, mengumpul bukti dan kesediaan pelaku mendedahkan kes.

Lebih sukar lagi, jika mangsa sendiri tidak pasti sama ada dirinya menjadi mangsa. Ada ketikanya pula, keterangan diberikan sering saja tidak konsisten dan berubah-ubah sehingga boleh menjejaskan siasatan serta menyukarkan pendakwaan.

Supritenden Ong Chin Lan dari Jabatan Siasatan Keganasan, Penderaan Kanak-kanak dan Keganasan Rumah Tangga, berkata mangsa sukar untuk memberikan keterangan yang jelas kerana berasa malu atau segan, selain berada dalam keadaan trauma dan enggan bercakap.

Keadaan itu, akhirnya, boleh mengganggu siasatan dan tidak dapat diteruskan, lantaran pelaku pula terus bebas walaupun melakukan kesalahan, akibat kurang bukti.

“Masalah dalam siasatan yang menyukarkan polis mendapat keterangan dan bukti antara sebab kes gangguan seksual tidak dapat dibuat pendakwaan. Selain itu polis juga menghadapi masalah memanggil saksi kerana ada yang enggan memberi kerjasama. Ketiadaan saksi, pendakwaan tidak begitu kukuh,” katanya.

Ong berkata, gangguan seksual boleh berlaku dalam pelbagai bentuk iaitu lisan, bukan lisan atau isyarat, gangguan fizikal dan visual. Bagi bentuk lisan ia boleh merangkumi kata-kata, komen, gurauan, lisan bunyi dan juga soalan yang berbentuk ancaman atau pun cadangan seksual manakala; gangguan bukan lisan adalah seperti pandangan, jelingan, menjilat bibir, memakan atau makan dengan cara menggoda, isyarat tangan dan tingkah laku mengurat.

“Makan pisang yang membawa unsur bermaksud seksual boleh dianggap gangguan seksual. Begitu juga jika ada lelaki memuji seorang wanita yang memakai pakaian seksi, bukan niatnya memuji cantik tetapi dengan maksud menjurus seksual.

Jika kedua-dua perbuatan itu tidak disenangi dan mengaibkan kehormatan serta menjatuhkan maruah, mangsa perlu nyatakan pendirian kepada pelaku dan boleh buat laporan,” katanya.

Ong berkata, gangguan visual pula seperti merakam gambar atau video, menjadi aliran kepada pasangan bercinta dengan mengambil gambar pasangan dalam keadaan tidak sepatutnya.

Pada awalnya gambar itu diambil ketika masing-masing suka sama suka, tetapi masalahnya apabila bergaduh gambar imej itu digunakan untuk mengugut dan mungkin disebarkan kepada orang lain.


Gangguan seksual satu kesalahan jenayah, pelaku boleh didenda dan dihukum penjara

Menjelas lanjut, katanya, gangguan fizikal merangkumi sentuhan tidak diingini, mencubit, memeluk dan sebagainya, justeru jika sesiapa yang tidak suka dengan perbuatan seumpama itu haruslah tegas menyatakan pendirian dan jangan biarkan ia berterusan.

“Pelaku perlu ingat, sentuhan mudah itu bukan ‘murah’ kerana ia boleh menyebabkan kekesalan sepanjang kehidupannya. Gangguan seksual dilihat sebagai satu kesalahan jenayah dan pelaku boleh didakwa, didenda dan dipenjara.

Tiga peruntukan berhubung kesalahan gangguan seksual meliputi, Kanun Keseksaan ialah seksyen 509 Kanun Keseksaan, seksyen 354 Kanun Keseksaan dan seksyen 355 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ong memberitahu, 90 peratus kes gangguan seksual membabitkan individu berusia 18 tahun ke atas.

Gangguan seksual, antaranya pelaku sememangnya mencari sasaran, mangsa kurang berhati-hati, mangsa tidak tahu haknya, mangsa kurang matang dalam pemikiran dan kurang pengetahuan.

Bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, Ong menasihatkan setiap individu supaya tingkatkan kepekaan dengan menjaga keselamatan diri dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

INFO:
Antara cabaran menangani kes gangguan seksual:

Masalah Dalam Siasatan
* Memanggil saksi
* Rakam percakapan
* Geledah
* Tangkapan
* Percakapan suspek
* Tuduh/dakwa

Memanggil saksi
* Enggan beri kerjasama (membabitkan ahli keluarga/kenalan)
* Ketiadaan saksi
* Sikap tidak mahu jaga tepi kain
* Enggan buat pengecaman

Rakam percakapan mangsa
* Segan / malu
* Masih dalam keadaan trauma
* Enggan bercakap
* Tidak konsisten
* Cacat / terencat akal
* Tutur kata tidak boleh difahami (terlalu muda)
* Terlalu ringkas

Saksi
* Geledah (barang kes)
* Kejadian sudah lama berlaku
* Bahan bukti sudah hilang
* Kurang menggunakan bantuan teknik

Oleh Nor Affizar Ibrahim
Sumber: BHarian

1 comments:

Unknown berkata...

mcm2 dok jadi dlm zaman la ni