29 Mei 2013
Aksi Pahang-Johor DT Separuh Akhir Piala FA 2013 Ditunda
PARA penonton tetap tidak berganjak dari kawasan trek Stadium Darul Makmur, Kuantan meskipun diminta untuk meninggalkan kawasan trek oleh anggota polis.
LEBIHAN penonton skuad Tok Gajah yang mencecah sehingga 60,000 orang, melebihi kapasiti sepatutnya iaitu 40,000 orang di Stadium Darul Makmur di Kuantan pada malam 28 Mei 2013, menyebabkan perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 2013 di antara Pahang dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) tertangguh selama 90 minit.
Ia dikatakan berpunca daripada pengedaran tiket palsu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil peluang mengaut keuntungan daripada perlawanan tersebut.
Keadaan itu menyebabkan kira-kira 1,000 penyokong tuan rumah terpaksa ditempatkan di kawasan trek stadium tersebut bermula pukul 8.30 malam sebelum kedudukan mereka disusun semula oleh anggota keselamatan.
Dalam pada itu, anggota polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) segera menghampiri para penyokong tersebut bagi memastikan keadaan terkawal sepenuhnya.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang turut menyaksikan perlawanan tersebut berkenan mencemar duli selama 10 minit memasuki kawasan trek untuk meminta kerjasama para penyokong supaya mengawal disiplin.
Sultan Ahmad Shah yang diiringi Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Datuk Mohd. Johari Hussain, kemudian kembali ke tempat duduk utama sambil menunjukkan isyarat kepada para penyokong supaya menjaga kelakuan masing-masing.
Disebabkan terlalu lama padang dikosongkan oleh pemain kedua-dua pasukan yang cemas dengan insiden itu, seekor kucing tiba-tiba memasuki kawasan tengah padang dan berak di situ sambil disambut dengan hilai ketawa para penonton di stadium.
Pada pukul 9.45 malam, kesemua penyokong yang membanjiri kawasan trek kemudian ditempatkan semula ke kawasan tempat duduk dalam keadaan terkawal.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff yang berada di stadium kemudian membuat pengumuman bahawa permainan boleh diteruskan selepas keadaan terkawal sepenuhnya.
Sebaik pengumuman itu dibuat, para pemain tuan rumah memasuki padang untuk bersedia memulakan perlawanan.
Pasukan Johor DT dikatakan terlebih dahulu meninggalkan kawasan padang selepas penyokong tuan rumah bergerak memenuhi kawasan trek.
Keadaan bagaimanapun tidak terkawal sepenuhnya apabila beberapa kali dicemari bunyi mercun dan balingan objek keras ke kawasan padang.
Ekoran dibaling dengan objek keras, para penyokong Johor DT pula bertindak turun dan duduk di trek olahraga meskipun kawasan balapan itu telah diarah untuk dikosongkan bagi membolehkan perlawanan dimulakan.
Perbuatan berbaur provokasi oleh penyokong Johor DT itu kemudian disambut oleh penyokong tuan rumah yang menyanyikan lagu 1Malaysia.
Pada pukul 10.30 malam, Penolong Setiausaha FAM, Datuk Ahmad Fuad Daud membuat pengumuman bahawa perlawanan tidak dapat diteruskan malam tadi dan terpaksa ditunda ke tarikh lain.
Malangnya, pengumuman tersebut tidak diterima baik oleh penyokong kedua-dua pasukan apabila masing-masingnya bertindak berlari ke tengah padang sehingga hampir mencetuskan pergaduhan.
Dalam insiden tersebut, dua penyokong Pahang terpaksa digari dan ditahan polis, manakala para penyokong lain bertindak memenuhi padang.
Kekecohan yang pertama kali berlaku di Pahang itu berlarutan sehingga pukul 11.30 malam sebelum diarah bersurai oleh polis.
Mohd. Jasmani Yusoff berkata, keadaan stadium melebihi kapasiti berpunca daripada tiga pintu masuk yang dipecahkan oleh para penyokong yang tidak dibenarkan masuk walaupun mempunyai tiket.
"Keadaan masih terkawal walaupun berlaku kekecohan akibat provokasi pihak-pihak tertentu.
"Polis tidak menahan mana-mana penyokong, tetapi hanya meleraikan bibit-bibit pergaduhan," katanya kepada pemberita selepas keadaan terkawal.
Dalam pada itu, Mohd. Jasmani menambah, pihak polis juga mengiringi para penyokong Johor DT keluar dari stadium bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Perlawanan malam tadi merupakan detik penentuan buat kedua-dua pasukan bagi menempah tiket ke final Piala FA.
Kelebihan kini memihak kepada Johor DT selepas mencatat kemenangan 1-0 pada separuh akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru Sabtu 25 Mei, 2013.
Sumber: Kosmo [29052013]
PBNP dan PBNJ Didenda
Perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara pasukan Pahang dan Johor DT yang ditangguhkan akibat insiden kekecohan penyokong ini, bakal dilangsungkan semula pada Sabtu, 1 Jun 2013 di Stadium Nasional Bukit Jalil jam 8.45 malam.
Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM yang bersidang pada petang 29 Mei, 2013 membuat keputusan untuk mengenakan denda dengan nilai maksimum RM100,000 kepada PBNP di atas empat kesalahan iaitu tahap keselamatan, menyebabkan perlawanan tertangguh, penyokong masuk ke trek sebelum perlawanan dan penyokong meluru ke penyokong Johor DT selepas pengumuman penundaan perlawanan.
Manakala PBNJ pula didenda RM20,000 atas dua kesalahan iaitu pasukan meninggalkan stadium pada jam 9.50 malam sebelum tempoh 90 minit masa menunggu dan penyokong memasuki trek. Kedua-dua hukuman tersebut tidak boleh dirayu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata, insiden kekecohan penyokong itu dipercayai berlaku selepas empat pintu masuk stadium berkenaan dipecahkan penyokong.
“Pintu 5, 7, 11 dan 14 dipecah sekitar jam 8.30 hingga 8.35 malam menyebabkan penyokong tanpa tiket dapat masuk ke dalam stadium. Pihak tuan rumah didapati lambat menghubungi pihak keselamatan yang menyebabkan penyokong melimpah ke kawasan trek,” katanya.
Sumber: BHarian [2013/05/29], Bernama [29052013], BHarian [2013/05/30], Kosmo [31052013]
Tiket Perlawanan Semula Piala FA Pahang Vs JDT Mula Dijual
Penyokong Pahang boleh mendapatkan tiket perlawanan semula separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Darul Makmur dan Stadium Mini Temerloh, bermula jam 10 pagi Jumaat 30 Mei, 2013.
Naib Presiden Satu Persatuan Bola Sepak Pahang, Datuk Dr Omar Othman berkata, Pahang selaku tuan rumah mendapat 70,000 tiket daripada 90,000 yang dipohon.
"Bagi pemegang tiket pada perlawanan 28 Mei lepas, mereka boleh menukar tiket berkenaan dengan yang baharu di dua lokasi terbabit. Mereka hanya boleh menukar tiket perlawanan sedia ada dengan tiket yang baharu manakala penukaran kepada wang tidak akan dilayan," katanya.
Penukaran tiket itu tidak melibatkan tambahan wang, namun bagi yang membeli tiket baharu mereka akan dikenakan bayaran RM15. Jika pemegang tiket 28 Mei 2013 tidak mahu menggunakannya untuk perlawanan Piala FA itu, mereka boleh menggunakan tiket tersebut untuk perlawanan Pahang yang akan datang di Stadium Darul Makmur, katanya lagi.
Sumber: BHarian [30052013]
Sementara itu, ucapan tahniah kepada pasukan Kelantan kerana berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala FA Malaysia 2013.
Manaf Mamat dalam aksinya ketika Terengganu menentang Kelantan.
DUA pemain import Kelantan, Obinna Nwaneri dan Dickson Nwakaeme meranapkan impian Terengganu untuk melangkah ke final Piala FA musim ini apabila menjaringkan dua gol pada aksi separuh akhir kedua yang penuh dramatis di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 28 Mei, 2013.
Dua gol penting jaringan Kelantan pada perlawanan tersebut membolehkan mereka mara ke final dengan agregat 6-5 meskipun tewas 2-4 kepada Terengganu.
Namun, Kelantan mara dengan kelebihan agregat selepas meraih kemenangan 4-1 pada aksi pertama di Kota Bharu, Sabtu 25 Mei, 2013.
Jaringan yang diperoleh Nwaneri pada minit terakhir masa kecederaan menjadikan kedudukan agregat 5-5 dan memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan. Nwakaeme berjaya menjaringkan gol penting buat pasukan Kelantan di masa tambahan ini yang merupakan gol pengesahan tiket ke final .
Jurulatih Terengganu, E. Elavarasan yang akur dengan keputusan tersebut menjelaskan bahawa pemainnya telah menampilkan permainan yang cukup baik.
"Kita bermula dengan baik tetapi pemain sudah kehilangan fokus selepas insiden kad merah," katanya merujuk kepada kad merah yang dilayangkan oleh pengadil kepada Effa Owona dan Manaf Mamat. Insiden layangan dua kad merah tersebut menyebabkan pasukan Terengganu terpaksa berhempas pulas bermain dengan sembilan orang pemain sahaja di masa tambahan.
Sumber: Kosmo [29052013]
p/s: Semoga pihak yang terbabit dapat mengambil ikhtibar daripada peristiwa penundaan perlawanan ini. Dengan teknologi yang ada sekarang mencetak tiket yang 95% menyerupai yang asal bukan lagi suatu masalah. Pihak yang berkaitan perlu memikirkan untuk meletakkan satu ciri keselamatan khas pada tiket yang sukar untuk ditiru serta mudah pula dibezakan dengan yang tiruan.
Dengan kehadiran penonton dalam stadium yang begitu ramai melebihi kapasiti sepatutnya boleh membawa kepada pelbagai kemungkinan. Provokasi yang mencetuskan pergaduhan antara para penyokong pastinya tidak dapat dielakkan.
Jika tidak berlaku kemungkinan pergaduhan sekalipun, kemungkinan untuk tempat duduk dalam stadium runtuh juga adalah tinggi.
Lebih-lebih lagi terdapat pula di kalangan penonton tersebut adalah kanak-kanak kecil yang daya untuk mempertahankan diri mereka adalah lemah ...
Saya yang merupakan salah seorang daripada penduduk yang bermastautin di Pahang yang juga turut menyokong pasukan Pahang amat berdukacita dengan situasi ini.
Apakah kucing berak di tengah padang juga menggambarkan satu protes? Kucing tersebut sebenarnya menyokong pasukan mana?
Labels:
Sukan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan