17 Mei 2013
Keistimewaan Beribadah Pada Bulan Rejab
Allah SWT menyediakan balasan nikmat khusus bagi mereka yang berselawat ke atas Baginda Rasulullah SAW pada bulan Rejab. Rasulullah SAW bersabda: “Pada malam Mikraj saya melihat sebatang sungai, airnya lebih manis daripada madu, lebih sejuk daripada salji dan lebih harum daripada minyak misk. Saya bertanya kepada Jibril: Untuk siapa (sungai) ini? Ia menjawab: Bagi orang yang berselawat ke atasmu pada bulan Rejab.”
Rasulullah SAW juga menamakan bulan Rejab sebagai ‘bulan tuli’ kerana malaikat Kiraman Katibin akan hanya mencatat segala kebaikan dan tidak mencatat segala kejahatan pada bulan itu.
Sabda Rasulullah SAW; “Bertaubatlah kamu kepada Tuhan kamu, dan minta ampunlah kamu daripada segala dosa dan jauhilah maksiat, pada bulan haram, iaitu bulan Rejab.”
Setiap orang akan berasa lapar pada hari kiamat kelak, kecuali nabi-nabi dan keluarganya serta orang yang berpuasa pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan.
Saidatina Aishah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Semua manusia dalam keadaan lapar pada hari kiamat kecuali nabi-nabi dan keluarga mereka juga orang yang berpuasa pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan. Sesungguhnya mereka dalam keadaan kenyang, tidak lapar dan tidak haus.”
Mereka yang menghidupkan Rejab dengan beribadah akan mendapat balasan di akhirat kelak. Cahaya Rejab kelihatan pada mereka yang berbuat demikian menyebabkan mereka dapat dikenali. Mereka juga dapat melintasi siratal-mustaqim seumpama laluan kilat.
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila datang hari kiamat, maka ada suara memanggil: Di mana ahli Rejab?” Maka terpancarlah sinar, diikuti oleh Jibril dan Mikail, cahaya itu diikuti oleh ahli Rejab.
Mereka mereka semua lalu di atas siratal-mustaqim seperti kilat yang menyambar. Kemudian mereka semua sujud bersyukur kepada Allah Taala kerana dapat melintasi sirat tadi. Allah berkata: “Wahai ahli Rejab, angkatlah kepala kamu semua, kamu telah sempurnakan sujud di dunia pada bulan-Ku, lalu mereka pergilah ke tempat masing-masing.”
Beribadah pada bulan Rejab
Baginda Rasulullah SAW menggesa umatnya memperbanyakkan taubat serta menjauhkan maksiat, di samping melakukan ibadah pada bulan Rejab Baginda bersabda: “Bertaubatlah kamu kepada Tuhan kamu, dan minta ampunlah kamu daripada segala dosa dan jauhilah maksiat, pada bulan haram, iaitu bulan Rejab.”
Barang siapa yang inginkan keringanan ketika menghadapi sakaratulmaut, terpelihara daripada godaan iblis dan syaitan ketika menghadapi maut, ia hendaklah menghormati bulan haram yang termasuk dalamnya bulan Rejab.
Rasulullah SAW bersabda: “Andainya kamu semua hendakkan keringanan pada saat kematian daripada dahaga dan keluar bersama iman, juga terselamat daripada tipu daya syaitan, maka hormatilah bulan-bulan ini dengan memperbanyakkan puasa dan menyesali terhadap perkara yang telah lalu daripada dosa-dosa dan ingatlah selalu kepada Allah SWT yang mencipta, nescaya kamu masuk syurga Tuhan kamu dengan sejahtera.”
Sumber: BHarian
Amalan di bulan Rejab
HARI ini kita telah memasuki bulan Rejab. Tidak lama lain Syaaban akan menjelang lalu Ramadan menyusul.
Rejab adalah kunci kebaikan dan ibadah. Berkata Abu Bakar Al-Warraq al-Balkhi: "Bulan Rejab bulan menanam pokok. Bulan Syaaban bulan menyiram pokok. Dan bulan Ramadan bulan menuai buahnya."
Itu kerana bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan rahmat daripada Allah SWT. Setiap Muslim merasakan keindahan dan kedekatan dengan-Nya. Pada bulan itu, setiap ibadah diberi ganjaran berkali-kali ganda. Belum lagi malam Lailatulqadar yang menjadi harapan setiap orang yang mencintai negeri akhirat.
Kesempurnaan Ramadan mustahil diraih tanpa persiapan. Dan persiapan itu bukan bermula apabila Ramadan bermula. Persiapan Ramadan mesti bermula sejak beberapa bulan sebelumnya. Rejab bulan yang sangat baik untuk kita memulai persiapan itu.
Bulan haram
Apa lagi sebenarnya Rejab memiliki kelebihan tertentu berbanding bulan-bulan yang lain. Ia adalah salah satu daripada empat bulan haram, yakni bulan-bulan yang sangat terhormat di sisi Allah SWT.
Rasulullah SAW pernah bersabda: Sesungguhnya masa telah beredar seperti mana keadaannya ketika Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun adalah 12 bulan. Di antara bulan-bulan itu terdapat empat bulan haram. Tiga di antaranya berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Dan (keempat) adalah Rejab Mudar yang terletak antara Jumada dan Syaaban. (al-Bukhari dan Muslim)
Sejak masa jahiliah, keempat-empat bulan haram ini sangat dihormati. Ia adalah bulan-bulan bertenang untuk meraikan para jemaah haji dan umrah. Peperangan dan pergaduhan diharamkan pada bulan-bulan tersebut.
Dalam Islam hukum ini memang dimansuhkan. Apabila diperlukan, umat Islam dibenarkan berperang pada bulan-bulan tersebut itu. Namun begitu, keempat-keempat bulan itu tetap memiliki kelebihan tersendiri dengan dilebihkan ganjaran pahala dan dosa padanya.
Berkata Ibnu Abbas: "Allah mengkhaskan beberapa bulan untuk dijadikan bulan haram dan mengagungkan kadarnya. Dosa maksiat yang dilakukan padanya sangat besar. Sebagaimana pahala ibadah yang dilakukan padanya juga sangat besar." (diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman)
Amalan
Tiada amalan khas yang mesti dilakukan pada bulan Rejab. Kita hanya diperintahkan untuk memperbanyak ibadah apa yang kita mampu lakukan.
Siapa yang mampu memperbanyak solat sunat dipersilakan. Namun begitu hindari daripada melakukan solat Raghaib yang selalu dilakukan pada Jumaat pertama bulan Rejab. Berkata Ibnu Rajab al-Hanbali: "Hadis-hadis yang menceritakan fadilat solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab adalah palsu. Solat ini bidaah menurut kebanyakan ulama."
Siapa yang hendak memperbanyak puasa sunat, juga digalakkan. Usman bin Hakim al-Ansari pernah bertanya kepada Said bin Jubeir tentang amalan puasa sunat pada bulan Rejab. Said menjawab: Aku mendengar Ibnu Abbas berkata: Rasulullah selalu berpuasa sehingga kami menyangka beliau tidak pernah berbuka. Dan baginda juga selalu berbuka sehingga kami menyangka beliau tidak pernah berpuasa. (riwayat Muslim)
Imam Al-Nawawi menjelaskan: "Maksud Said bin Jubeir adalah tidak ada larangan dan galakan khas untuk melakukan puasa di bulan Rejab. Akan tetapi hukum bulan ini seperti bulan-bulan lainnya. Asal hukum puasa adalah sunat."
Adapun ibadah umrah, maka sunat melakukannya pada bulan Rejab. Rasulullah pernah melakukan ibadah umrah di bulan Rejab. Ibnu Sirin meriwayatkan bahawa para tokoh-tokoh ulama salaf sangat menyukai ibadah umrah di bulan Rejab.
Selain ibadah-ibadah ini, lakukanlah ibadah-ibadah lain semampu kita. Perbanyakkanlah zikir, bacaan al-Quran dan selawat.
Jika tidak mampu melakukan ibadah dan kebaikan, minimal yang kita mesti lakukan adalah menjauhkan diri daripada maksiat. Jangan nodai bulan yang mulia ini dengan kata-kata kesat, lucah, ghibah, makian dan lain-lain. Siapa yang meninggalkannya kerana Allah, ganjaran besar telah menunggu untuknya.
Semoga Allah membuka hati-hati kita untuk menikmati keindahan Ramadan dengan memberinya hidayah untuk melakukan kebaikan sejak dari bulan Rejab dan Syaaban.
Oleh UMAR MUHAMMAD NOOR
PENULIS kini sedang mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM).
Sumber: Utusan
Labels:
Tazkirah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
2 comments:
Emmmm... hebatnya bulan2 sebelum ramadan ni.. tahu yang digalakkan untuk berpuasa di bulan Rejab tapi tak tahu sebesar ini ganjarannya... Tq sharing
banyak syafaatnya kalau beramal...:)
Catat Ulasan