27 Mei 2013

Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi Bergabung



Pengabungan dua kementerian, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu dikekalkan untuk tempoh lebih lama bagi memastikan kesinambungan sistem pendidikan negara yang lebih berkualiti dan dinamik.

Menerusi pengabungan dua entiti itu juga, dasar pendidikan negara dipercayai mampu menandingi standard pendidikan antarabangsa dalam tempoh berbaki tujuh tahun ke arah mencapai Wawasan 2020, menjadikan Malaysia negara maju.

Pensyarah Kanan Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan Universiti Malaya, Dr Ghazali Darusalam, berkata penggabungan itu perlu dikekalkan 10 hingga 15 tahun akan datang bagi melihat kesan lebih jelas dari segi pencapaian dan penambahbaikan sistem pendidikan yang perlu dilaksanakan.


"Idea penggabungan ini adalah sangat futuristik dalam memperjuang kelangsungan pendidikan negara, dan ia seharusnya dikekalkan di bawah satu bumbung memandangkan ia akan memudahkan pentadbiran membabitkan bidang pendidikan negara ini," katanya.

Katanya, kementerian yang digabungkan di bawah satu nama itu, perlu ditadbir urus dengan sistematik dan menyeluruh bagi memastikan pentadbirannya lebih tersusun sekali gus berada pada landasan yang betul.

Ghazali berkata, melalui penggabungan itu, kerajaan mampu menjimatkan kos operasi dan memaksimumkan penggunaan sumber tenaga manusia dengan lebih efektif.

Katanya, dalam usaha penambahbaikan sistem pendidikan negara, kementerian perlu mengalakkan guru supaya meningkatkan taraf pendidikan mereka dari Ijazah Sarjana kepada Sarjana kerana syarat kelayakan itu adalah standard yang digunakan negara-negara maju.

Beliau berkata, transformasi pendidikan yang mengandungi nilai pengantarabangsaan dengan mengambil contoh model sistem pendidikan negara maju perlu diaplikasi oleh kementerian dalam meningkatkan struktur kurikulum pendidikan dan pengajian tinggi.

"Setiap sekolah harus menjadikan jurusan sains dan teknikal sebagai fokus utama, selain memperkasa bidang vokasional kerana ia adalah asas pendidikan bagi sesebuah negara maju," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Universiti Putra Malaysia, Dr Ismi Arif Ismail berkata penggabungan berkenaan akan memperkukuh pelaksanaan dua pelan pendidikan utama yang direncanakan kedua-dua kementerian sebelum ini iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) dan Pelan Strategi Pengajian Tinggi Negara.

"Apabila pelan pendidikan ini dimurnikan, setiap unit akan berbincang dan berkomunikasi antara satu sama lain bagi memastikan pelaksanaannya itu berjalan lancar dan sempurna," katanya.

Beliau berkata, audit pengurusan sumber manusia perlu diwujudkan bagi memastikan tiada pertindihan tugas dan pegawai serta kakitangan kementerian dapat memainkan peranan masing-masing secara optimum.

"Maksudnya kerjasama mobiliti kakitangan akan berlaku dengan lebih agresif dan efektif sebab bila dah ada satu kementerian sahaja, contohnya, pensyarah di institut pengajian tinggi boleh berkongsi idea dengan guru sekolah," katanya.

Ismi Arif berkata, kementerian juga perlu memberi penerangan dari semasa ke semasa berkenaan rasionalnya pengabungan ini kerana masyarakat Malaysia pastinya ingin melihat kemajuan dalam bidang pendidikan negara. - BERNAMA

Sumber: BHarian [2013/05/22]

Penggabungan selesai sebulan

Proses penyeragaman struktur Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang digabungkan di bawah satu kementerian dan akan dikenali sebagai Kementerian Pendidikan dijangka selesai dalam tempoh sebulan lagi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses tersebut bertujuan meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam sistem pendidikan di negara ini.

"Proses pencantuman kedua-dua kementerian ini bukan sesuatu yang sukar kerana Kementerian Pelajaran menumpukan kepada sekolah rendah dan menengah yang telah dilakukan sekian lama, manakala KPT pula berurusan dengan pendidikan tinggi yang sehingga kini telah dilaksanakan dengan baik dan cemerlang oleh kepimpinan terdahulu.

Muhyiddin berkata, beliau berharap penggabungan kedua-dua kementerian itu akan melicinkan usaha meningkatkan tahap pendidikan negara di masa depan.

Beliau menambah, harapan itu sejajar dengan langkah kedua-dua kementerian terlibat melancarkan pelan strategik masing-masing iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) dan Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Nasional.

"Kedua-dua pelan itu boleh terus kita laksanakan dalam beberapa tahap akan datang dan jika memerlukan penyelerasan, kita akan lakukan selagi tidak menjejaskan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia hab pendidikan yang setanding dengan negara maju," katanya.

Beliau berkata, penggabungan kedua-dua kementerian dengan sumber yang lebih luas dari segi kepakaran dan kemahiran itu boleh dimanfaatkan bersama sambil memberi contoh, kepakaran tenaga pensyarah digunakan untuk membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di peringkat sekolah.

Sumber: Utusan

Kementerian Pelajaran kini dikenali Kementerian Pendidikan

Kementerian Pelajaran kini dikenali sebagai Kementerian Pendidikan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau, yang juga Menteri Pendidikan berkata, perubahan nama kementerian itu diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Rabu lalu selepas pakar bahasa sependapat istilah pendidikan lebih tepat berbanding pelajaran.

“Pakar bahasa berpendapat istilah pendidikan lebih tepat dan sebab itu Perdana Menteri bersetuju dan saya juga beritahu pegawai supaya menerimanya sebagai nama baharu, malah nama kementerian pendidikan juga pernah digunakan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata proses penggabungan dua kementerian - Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi - yang dijangka selesai dalam tempoh sebulan bermula sejurus kabinet diumumkan dan yakin tidak akan menghadapi kesukaran kerana kedua-duanya mencakupi proses pembelajaran dan pengajaran yang berasal daripada satu kementerian sebelum dipisahkan.

Muhyiddin berkata, penggabungan itu tidak menyebabkan pertindihan antara sekolah rendah, menengah dan universiti kerana masing-masing mempunyai pelan pembangunan sendiri kecuali aspek kepimpinan yang diletakkan di bawah satu kementerian dengan mempunyai dua menteri dan dua timbalan menteri.

“Saya telah mengemukakan cadangan bagaimana struktur baru itu hendak dibentuk dan Ketua Setiausaha Negara telah mengambil maklum dan berbincang dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam di mana minggu depan akan ada perbincangan lanjut dan Insya-Allah pelantikan jawatan yang sepatutnya dibuat akan dilakukan,” katanya dan menambah dalam bahasa Inggeris kementerian itu kekal dengan panggilan 'Ministry of Education'.

Beliau berkata, walaupun digabungkan beliau membayangkan tidak akan berlaku perubahan terhadap dasar yang digunakan sebelum ini sebaliknya penyatuan itu menghasilkan penjimatan dari segi guna tenaga dan kepakaran kakitangan.

Muhyiddin berkata, sebagai contoh, koordinasi dua kementerian membawa kebaikan kepada sektor pendidikan kerana kepakaran tenaga pengajar di universiti seperti pensyarah bahasa Inggeris boleh digunakan untuk membantu meningkatkan kemahiran bahasa itu di sekolah rendah dan menengah kebangsaan.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, cadangan supaya bahasa Mandarin dan Tamil kembali diajar di Sekolah Kebangsaan akan dikaji secara mendalam kerana pelaksanaannya akan membabitkan perubahan kepada dasar tertentu.

Muhyiddin berkata, proses pengajaran kedua-dua bahasa itu pernah dilaksanakan sebelum ini tetapi tidak mencapai matlamat seperti apa yang dimahukan berikutan jumlah pelajar yang tidak begitu ramai.

“Itu sebenarnya bukan baru tetapi setelah ada pihak yang mencadangkan sebegitu, maka saya perlu meneliti kerana kita nak melaksanakannya secara bersungguh-sungguh dan tidak mahu orang bukan Melayu melihat Sekolah Kebangsaan ialah ‘sekolah kebangsaan’, bukannya sekolah Melayu dan menawarkan pelbagai bahasa selain bahasa Malaysia.

“Persoalan besar yang mencabar kementerian ialah kalau ia hendak dilaksanakan kita perlu sediakan sejumlah guru mahir yang ramai kerana kita memiliki lebih 7,000 sekolah rendah dan 3,000 sekolah menengah... jadi sebelum kita nak buat keputusan yang membabitkan dasar kita perlu kaji dengan sebaik-baiknya,” katanya. - BERNAMA

Sumber: BHarian [24052013]

Kita sebaiknya berprasangka baik sahaja dengan apa yang direncanakan oleh pihak kerajaan untuk rakyat. Walaupun kadangkala kita tertanya-tanya juga tentang keperluan atau logiknya sesuatu perubahan dilaksakan lebih-lebih lagi apabila perubahan hanya berkisar pada nama yang membawa kepada tujuan yang sama.

Setiap pucuk pempinan mempunyai cara mereka yang tersendiri dalam melihat dan menangani sesuatu masalah.

Selepas beberapa lama dengan nama Kementerian Pendidikan, maka pihak kerajaan pun beralih kepada gelaran Kementerian Pelajaran dengan alasannya yang tersendiri. Beberapa tahun kemudian tidak sesuai pula dengan nama Kementerian Pelajaran, maka mereka pun berbalik semula kepada nama baru iaitu Kementerian Pendidikan juga dengan alasan yang tersendiri. 

Demikian juga dengan pemisahan Kementerian Pelajaran kepada Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi suatu ketika dahulu adalah dengan alasan melicinkan usaha meningkatkan tahap pendidikan negara. 

Begitulah seterusnya apa yang berlaku pada masa akan datang silih berganti setiap kali pucuk pimpinan bertukar ganti ...

1 comments:

MyFreeMinded berkata...

Moga "mendidik" itu di pergunakan sepenuhnya oleh para pendidik semua baik di pengajian tinggi mahupun di sekolah2..